Tuesday, November 23, 2010

Panduan asas pengambilan ubat semasa mengandung




Pengambilan ubat semasa mengandung terutama semasa 3 bulan pertama seharusnya dielakkan oleh ibu-ibu mengandung kerana sewaktu 3 bulan pertama janin dalam proses membesar dan menghasilkan organ-organ penting di dalam badan mereka. Namun masih terdapat ubat yang selamat diambil oleh ibu-ibu walaupun semasa 3 bulan pertama mengandung. Bagi merungkai persoalan ibu-ibu mengandung, di sini terdapat panduan apakah ubat yang boleh dan tidak boleh diambil semasa mengandung bagi sakit-sakit yang biasa dialami.

1. Jika demam atau sakit-sakit badan:

Ubat yang selamat dimakan adalah paracetamol (PCM)

Elakkan mengambil ponstan dan ubat tahan sakit yang lain seperti voltaren

Jika demam perpanjangan melebihi 3 hari segera berjumpa dengan doktor berdekatan untuk pemeriksaan lebih lanjut.

2. Jika selsema:

Elakkan mengambil semua jenis ubat selsema seperti actifed, piriton

Apa yang boleh dilakukan oleh ibu-ibu mengandung adalah mengambil vitamin C dan makan banyak buah-buahan dan sayur-sayuran dan banyakkan minum air suam.

3. Jika batuk

Elakkan minum semua jenis ubat batuk

4. Jika cirit-birit

Elakkan mengambil ubat cirit birit (lomotil) dan ubat sakit perut yang memulas akibat cirit birit (buscopan)

Ibu-ibu boleh mengambil ubat garam (ORS-oral rehydration salt) untuk menggantikan garam galian yang hilang daripada badan dan pastikan banyak minum air suam.

Antibiotik selamat?

Terdapat antibiotik yang selamat digunakan semasa mengandung. Di sini saya senaraikan antibiotik yang biasa diberikan oleh doktor-doktor di Malaysia untuk jangkitan yang pelbagai dan ianya selamat digunakan semasa mengandung

-amoxycillin
-erythromycin
-augmentin
-cephalexin

Semoga panduan asas ini membantu anda menentukan ubat yang selamat semasa mengandung. Paling penting jaga kesihatan anda semasa mengandung. Elakkan mengunjungi tempat-tempat kunjungan orang ramai bagi mengelakkan terkena jangkitan terutamanya selsema dan batuk (jangkitan salur pernafasan atas-upper respiratory tract infection) kerana semasa mengandung imuniti ibu-ibu sedikit lemah dengan kehadiran bayi di dalam kandungan. Bagi mengelakkan jangkitan kuman pada salur kencing pula, elakkan menahan diri daripada buang air kecil dan minum banyak air. Semoga anda dan bayi anda sihat dalam proses mengandung, jangan lupa banyak berdoa dan berserah diri kepada Yang Maha Esa, Insya-Allah dimudahkan.

Semoga jumpa lagi.

Monday, November 15, 2010

Tahniah Aiman sayang:)

Alhamdulillah dalam exam akhir tahun satu baru-baru ini Aiman mencatatkan keputusan yang amat membanggakan. Terdapat peningkatan berbanding exam-exam yang terdahulu, alhamdulillah, syukur kepada Allah. Markah-markah Aiman banyak yang sipi-sipi saja lagi nak dapat 100%; Bahasa Arab:98%, Bahasa Melayu:99%, Matematik:99%, Sains:98%. Kedudukan dalam kelas, Aiman mendapat tempat kedua, tempat pertama daripada keseluruhan budak lelaki dalam kelas Aiman..:)...Tahniah daripada ibu dan ayah. Semoga Aiman tidak akan berhenti berusaha kerana ini hanya satu permulaan. Permulaan yang memberangsangkan untuk kejayaan-kejayaan yang akan datang, Insya-Allah. Tahun depan Aiman akan pindah ke kelas pertama dan persaingan semestinya semakin hebat...Apa-apa pun, ibu doakan Aiman akan tidak akan berhenti berusaha kerana setiap kejayaan tidak akan datang secara bergolek...Untuk dapat kejayaan samada kejayaan di dunia dan kejayaan di akhirat semua harus berusaha. Jadi, Aiman jangan lupa juga untuk solat, jangan cuai dan malas untuk sembahyang ya nak...:)...Tahun depan juga Aiman dilantik menjadi pengawas perpustakaan. Semoga ini adalah satu jalan untuk mengasah bakat kepimpinan dan tanggungjawab melaksanakan tugas di dalam diri Aiman....:)...Dan sebagai menghargai usaha Aiman dalam exam kali ini ayah menghadiahkan helicopter control untuk Aiman dan ibu Insya-Allah akan belikan buku untuk Aiman untuk tambahkan koleksi buku-buku Aiman. Semoga kejayaan Aiman akan menjadi contoh juga untuk adik-adik Aiman nanti, Insya-Allah...Selamat berjaya anakku...ibu sentiasa dan tidak putus berdoa untuk kejayaan Aiman di dunia dan juga akhirat....Amin.....


Hadiah dari Ayah



Hadiah dari Ibu

Thursday, November 11, 2010

ANDAI DIRIMU TIDAK DIHARGAI.....

Saya ingin berkongsi satu ingatan yang ringkas tapi significant yang saya dengar daripada ceramah motivasi di IKIM baru-baru ini.

“Janganlah ditangisi jika diri kita tidak dihargai tetapi menangislah jika diri kita sudah tidak berharga lagi”

Kata-kata ringkas di atas mempunyai pelajaran yang amat besar di sebaliknya. Tidak dinafikan dalam menjalani kehidupan kita seharian kadang-kadang seringkali kita berdepan dengan situasi suami/isteri, anak-anak kita, bos kita/orang bawahan kita, ibubapa kita , adik beradik kita tidak menghargai segala kebaikan yang kita berikan kepada mereka. Kerana sememangnya sifat manusia itu jarang suka menghargai kebaikan orang lain. Sudah semestinya kita akan merasa teramat sedih jika menghadapi situasi tersebut, bukan. Tetapi sebenarnya kita tidak perlu menangis kerana sesungguhnya jika kebaikan itu kita lakukan dengan ikhlas semata-mata kerana Allah maka sudah pasti Allah akan memberikan ganjaran kepada hamba-Nya. Sebab itu jika ditanya siapakah yang lebih sayangkan pasangan masing-masing, samada suami lebih sayang kepada isteri atau isteri lebih sayang kepada suami, jawapannya ialah suami/isteri yang sayangkan Allah akan lebih sayang kepada pasangannya....

Namun kita seharusnya menangis jika diri kita sudah tidak berharga. Nilai harga diri seseorang manusia itu terletak pada 3 perkara yang utama:

1. Iman
2. Ilmu
3. Akhlak

Oleh itu, jika kita tiada kesemua perkara yang tercatat di atas atau kita hilang salah satu perkara yang di catatkan di atas, kita seharusnya menangis kerana diri kita seolah-olah tidak berharga lagi di mata manusia mahupun di mata Allah s.w.t. Fikir-fikirkanlah.....

Sunday, November 7, 2010

IMAM AS-SYAFIE, SAYA KAGUM KEPADA ANDA!!!

Adakah anda pengikut ahli Sunnah wal Jamaah? Jika ya, mazhab mana yang menjadi ikutan anda? Secara umumnya mengikut pengetahuan saya, rakyat Malaysia yang beragama Islam adalah pengikut ahli Sunnah Wal Jamaah dan mengamalkan mazhab as-Syafie. Jadi, adakah anda tahu siapa Imam As-Syafie, imam mazhab anda? Jika tidak, saya merasakan anda perlu mengenali siapa dia Imam As-Syafie kerana anda mengamalkan mazhab yang disarankan oleh beliau. Dengan mengenali Imam ikutan kita, kita akan lebih sayang dan kagum kepada beliau. Kata orang apabila kenal barulah benar-benar cinta.

Saya telah membaca buku yang menceritakan sejarah hidup Imam As-Syafie. Buku bertajuk Imam As-Syafie Pejuang Kebenaran hasil tulisan Abdul Latip Talib amat menarik jika anda tercari-cari buku mengenai Imam As-Syafie. Anda boleh dapatkan buku ini di website saya http://www.kasihbuku.com/title-Imam-Syafie-pejuang-kebenaran/isbnno-9789833892518.aspx Cara penulisannya benar-benar memberi kesan, apabila membacanya kita terasa amat rugi untuk berhenti membacanya dan terasa rindu dan teringat-ingat untuk membacanya kembali apabila sudah berhenti.

Setelah membaca buku ini satu perasan yang amat kagum terhadap Imam As-Syafie terlekat di jiwa saya. Banyak sifat positif yang patut menjadi ikutan kita semua sebagai umat Islam dan sebagai pengamal mazhabnya. Sifat Imam As-Syafie yang paling saya kagum adalah KECINTAANnya yang amat tinggi terhadap ILMU. Beliau menuntut ilmu bukan untuk menjadi masyur, menjadi kaya tetapi beliau menuntut ilmu kerana beliau amat cintakan ilmu. Kecintaan terhadap ilmu sebenarnya amat penting dipupuk kepada diri kita sendiri dan keluarga kita juga. Salah satu perkara yang akan membuat diri seseorang adalah berharga baik di dunia mahupun akhirat ialah orang yang berilmu. Imam As-Syafie amat cintakan ilmu sejak kecil lagi. Kemiskinan hidupnya tidak menjadi penghalangnya untuk menuntut ilmu. Pada umur 9 tahun beliau sudah menghafal al-Quran. Ibunya menjadi guru pertama beliau di dalam bacaan al-Quran. Beliau suka mendengar apa sahaja ilmu yang disampaikan oleh imam-imam di Masjidil Haram waktu itu tanpa jemu. Akhirnya beliau dapat menjadi murid kepada kebanyakkan imam-imam yang terkenal di dalam bidang al-Quran, ilmu hadis, ilmu tafsir dan bermacam-macam ilmu lagi termasuk ilmu bersyair. Guru Imam As-Syafie yang paling terkenal ialah Imam Malik pengasas mazhab Maliki. Terasa amat kagum sekali saya terhadap Imam As-Syafie kerana sebelum beliau menuntut ilmu dengan Imam Malik, beliau telah menghafal kitab karangan Imam Malik iaitu kitab Al-Muwatta’. Sehingga Imam Malik sendiri kagum dengan kebolehan Imam As-Syafie (cerita lanjut tentang pertemuan Imam As-Syafie dan Imam Malik boleh di baca di dalam buku ini, pertemuan mereka mungkin agak tragis, jadi jika nak tahu kena beli dan baca sendiri buku ini..:)). Satu kelebihan yang Allah kurniakan kepada Imam As-Syafie ialah beliau mempunyai akal yang amat bijak. Beliau mudah untuk menghafal dan memahami apa jua ilmu yang dipelajari dalam waktu yang singkat. Sepanjang hidupnya dia tidak jemu mengembara demi menuntut ilmu. Beberapa perkara yang positif yang diamalkan oleh Imam As-Syafie boleh kita amalkan dan saya ingin terapkan juga kepada anak-anak saya dalam proses menuntut ilmu iaitu:

Membaca terlebih dahulu buku, dokumen yang berkaitan dengan ilmu yang bakal kita pelajari sebelum kita masuk kelas/bilik kuliah/ seminar yang berkaitan. Dengan membaca terlebih dahulu akan membuatkan kita lebih faham apabila belajar. Di samping itu jika terdapat bahagian yang kita tidak faham semasa pembacaan kita dapat bertanya lebih lanjut dengan guru/ pensyarah/ penceramah yang berkenaan.

Beliau mencatatkan apa jua ilmu yang diajarkan kepada beliau. Disebabkan kemiskinan beliau, beliau tidak dapat membeli kertas untuk menulis. Oleh itu beliau menulis ilmu di atas tulang-tulang, kulit-kulit binatang. Pernah satu ketika beliau hanya menulis ilmu di atas tapak tangan beliau semasa kuliah Imam Malik. Kelakuan beliau menyebabkan Imam Malik marah kerana sangkaannya Imam As-Syafie bermain-main dan tidak menumpukan perhatian. Namun setelah diuji, barulah Imam Malik tahu kebenarannya. Cerita lanjut kena dapatkan buku ini.

Di dalam buku ini juga menceritakan mengenai ketegasan Imam As-Syafie di dalam menangani salahlaku pemimpin/gabenor yang lalai. Beliau sangat tegas di dalam perkara ini. Sehinggakan beliau difitnah disebabkan ketegasan beliau. Jika diperhatikan sikap pemimpin yang lalai amat berleluasa di kalangan pemimpin hari ini. Sikap bermewah-mewah di kalangan pemimpin amat ketara. Jika pada zaman Imam As-Syafie beliau akan menegur sikap pemimpin yang lalai tanpa menghiraukan periuk nasi beliau. Saya amat rindukan kehadiran ulama seperti beliau. Banyak ulama masa kini tidak mengamalkan sikap seperti Imam As-Syafie. Membaca kisah-kisah Imam As-Syafie membuatkan diri saya amat insaf dan saya menangis ketika membaca kisah sewaktu diri beliau difitnah.

Imam As-Syafie juga tidak pernah putus berzikir dan membaca al-Quran. Sembahyang tahajud sentiasa diamalkan. Beliau meninggal disebabkan pendarahan yang terlalu banyak disebabkan buasir. Buasir beliau terjadi kerana beliau waktu siangnya beliau banyak duduk semasa mengajar ilmu-ilmu agama dan waktu malam beliau banyak berdiri menghidupkan solat malam. Membaca kisah beliau membuatkan diri terasa amat kerdil kerana amat culas sekali diri ini untuk bangun sembahyang tahajud di waktu malam. Imam as-Syafie juga tidak pernah menyakiti hati sesiapa termasuk orang yang menyakiti hatinya jua beliau tidak membalas. Jika beliau ingin menegur beliau menegur dengan lembut namun tegas. Saya bercadang untuk memberikan Aiman dan Aqilah membaca buku ini apabila Aiman dan Aqilah sudah mencapai 9 atau 10 tahun kerana banyak sifat positif yang boleh diambil daripada tokoh ini. Semoga Imam As-Syafie juga menjadi idola anak saya Aiman dan Aqilah sebagaimana diri saya menjadikan Imam As-Syafie sebagai idola hidup saya selain daripada Nabi Muhammad s.a.w. Sekali lagi, jika anda berminat untuk dapatkan buku ini anda boleh dapatkan di website saya di http://www.kasihbuku.com/title-Imam-Syafie-pejuang-kebenaran/isbnno-9789833892518.aspx
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...