Showing posts with label motivasi. Show all posts
Showing posts with label motivasi. Show all posts

Sunday, April 10, 2011

Analisis saya daripada segmen motivasi pagi IKIM

Setiap hari, dalam perjalanan ke tempat kerja, satu perkara wajib yang saya mesti buat ialah mendengar motivasi pagi di IKIM. Memang seronok dan banyak perkara yang berguna saya dapat sepanjang tempoh mendengar motivasi tersebut. Jadi, kali ini saya ingin mengambil peluang berkongsi manfaat yang saya dapat menerusi motivasi pagi pada minggu lepas.

Motivator yang baru ini menekankan perkara-perkara yang boleh menaikkan semangat untuk bekerja. Dengan mengambil falsafah daripada Maslow, beliau mengolah falsafah tersebut kepada konsep Islam. Saya rasa cara tersebut amat bagus. Antara perkara yang boleh menaikkan semangat untuk bekerja ialah kita merasa seronok dengan pekerjaan yang kita lakukan dan mempunyai matlamat yang jelas berkenaan pekerjaan kita. Jadi kunci untuk bersemangat untuk bekerja ialah kita mesti tanamkan minat terhadap pekerjaan yang kita lakukan dan merancang matlamat hasil daripada pekerjaan kita. Bila dikaitkan dengan Islam sebenarnya, Islam telah mengajar kita tentang matlamat sesuatu perkara yang kita lakukan iaitu setiap perkara yang dilakukan dengan niat kerana Allah Taala pasti akan mendapat ganjaran yang besar daripada Allah. Kalau niat perkara keduniaan semata-mata, maka kita akan dapat perkara dunia itu sahaja dan terlepas ganjaran yang lebih besar di akhirat sana yang lebih kekal abadi...Subhanallah...

Saya ingin kaitkan dengan dunia blogging saya. Niat saya berblogging adalah kerana Allah dan untuk berkongsi serba sedikit ilmu perubatan, ilmu keibubapaan, ilmu agama yang ada pada saya dengan semua orang-orang awam (public person) dengan bahasa yang mudah difahami dan mudah untuk dipraktikkan. Matlamat saya ialah satu semoga ilmu yang bermanafaat ini menjadi salah satu antara 3 perkara yang dapat menolong saya jika saya telah meninggal dunia nanti iaitu di bawah ilmu yang bermanafaat. Semoga niat saya ini dimakbulkan oleh Allah dan semoga ilmu yang bermanafaat ini dapat menerangi saya semasa di alam barzakh nanti, Insya-Allah. Jadi, kawan-kawan amatlah dialu-alukan menyebarkan ilmu daripada blog saya ini untuk manfaat semua.

Daripada motivasi pagi kepada motivasi untuk Aiman

Saya sebagai ibu, saya ingin memupuk rasa seronok untuk belajar dalam diri anak saya Aiman. Saya amat sedar bahawa jika kesedaran untuk belajar datang dari dalam diri individu itu sendiri bukan dari paksaan ibu bapa, maka kejayaan akan mudah dicapai oleh mereka. Selalu saya dengar bahawa budak-budak lelaki lebih suka bermain daripada belajar. Memang saya akui, Aiman memang lebih suka bermain daripada mentelaah pelajaran. Namun, saya tidak mahu berputus asa. Sifat berputus asa tidak boleh ada dalam diari seorang yang mengaku dirinya Islam. Saya ingin merubah keadaan tersebut untuk mendidik anak lelaki saya juga salah seorang anak yang cemerlang dan belajar hasil daripada keinginan beliau sendiri bukan dari paksaan saya.

Daripada motivasi pagi yang saya dengar mengenai matlamat dan keseronokan dengan apa yang kita suka, saya cuba terjemahkan kepada Aiman dalam bahasa yang mudah. Saya mengambil contoh Jackie Chan sebab Aiman memang mengenali Jackie Chan dan meminati filem-filem aksi beliau. Sepertimana yang kita ketahui, Jackie Chan merupakan seorang pelakon Hong Kong yang berjaya bukan sahaja di negaranya malah di seluruh dunia. Daripada pembacaan saya, Jackie Chan amat komited, seronok dengan pekerjaannya sebagai pelakon filem kung-fu. Kesemua filem aksi kung fu dan aksi lasak di dalam filem-filem beliau dilakukan oleh beliau sendiri tanpa menggunakan pelakon lagak ngeri (stunt man). Di setiap akhir filem beliau akan ditunjukkan aksi-aksi ngeri yang dilakukan sendiri oleh Jackie Chan. Walaupun kesemua aksi lagak ngeri tersebut berbahaya tetapi beliau melakukan sendiri di atas rasa seronok apabila beliau melakukan perkara tersebut. Rasa seronok telah menolak semua cabaran yang akan beliau hadapi. Bila saya bagi contoh tersebut, Aiman kelihatan amat berminat sekali mendengar. Jadi, saya memberitahu Aiman, jika kita ingin berjaya pada tahap yang paling tinggi dalam hidup kita kita kena terlebih dahulu seronok dengan perkara yang kita lakukan. Ini termasuklah belajar. Bahkan matlamat atau cita-cita juga kena tanamkan apa yang seronok tentang cita-cita tersebut. Cita-cita Aiman ingin menjadi seorang doktor. Saya memberitahu Aiman bahawa bekerja sebagai seorang doktor adalah sangat sibuk. Jadi, jika duit menjadi matlamat, maka kesibukan kerja akan melemahkan semangat Aiman nanti untuk bekerja. Jadi kena betulkan niat untuk menjadi doktor bukan kerana duit tetapi kerana pahala yang dapat oleh para doktor yang bekerja secara ikhlas dan seronok dapat membantu orang sakit. Kelihatan muka Aiman amat ceria sekali menyatakan Aiman amat seronok jika dapat bantu orang yang sakit. Saya sentiasa panjatkan doa semoga anak-anak saya akan menjadi orang yang berguna dan berjaya di dunia dan akhirat....Amin... dan saya juga percaya anda juga begitu...

Wallahua'lam...

Wednesday, March 16, 2011

Ulasan buku Sultan Muhammad al-Fateh, Penakluk Konstantinople


Akhirnya saya sudah habis membaca buku Sultan Muhammad al-Fateh, Penakluk Konstantinople hari ahad yang lepas. Ceritanya memang best!Tak jemu membaca buku ini. Bagi sesiapa yang tidak tahu siapa sultan ini, apa hebatnya diri beliau, kenapa penaklukan Konstantinople ni penting, saya akan ceritakan serba sedikit ringkasan buku ini..:)...Sultan Muhammad al-Fateh atau nama sebenarnya Muhammad dan al-Fateh pula bermaksud penakluk adalah seorang yang hebat kerana kedatangan beliau telah disabdakan oleh baginda Rasulullah s.a.w kira-kira 1000 tahun sebelum penaklukan itu. Ini bermakna Rasulullah telah mendapat wahyu daripada Allah tentang kedatangan Sultan Muhammad al-Fateh. Ini bermakna Sultan Muhammad al-Fateh bukan calang-calang orang, beliau dipilih oleh Allah untuk menjadi penakluk Kota Konstantinople yang dikenali sebagai Istanbul sekarang ini.

Apakah sabda Rasulullah tersebut?

Kota Konstantinople akan ditawan oleh seorang raja yang terbaik yang memimpin askar yang terbaik dan rakyat yang terbaik.


Kenapa penaklukan Konstantinole sangat penting?
Konstantinople merupakan pusat Kerajaan Rom yang hebat dan sukar ditakluk sejak zaman para sahabat lagi kerana berada di kawasan yang sangat strategik. Sejak dari zaman Saidina Ali, zaman kerajaan Muawiyah, zaman kerajaan Abasiah semasa pimpinan Sultan Harun ar-Rasyid dan ayahanda Sultan Muhamamad sendiri iaitu Sultan Murad cuba menawan kota ini namun kesemuanya gagal.


Apakah kehebatan Sultan Muhammad al-Fateh?
1. Sultan Muhammad al-Fateh mempunyai seorang ayah yang alim iaitu Sultad Murad. Beliau adalah salah seorang raja yang cuba menakluk Kota Konstantinople namun gagal. Disebabkan Sultan Murad merupakan seorang raja yang alim, walaupun sorang raja boleh hidup dalam serba kemewahan namun beliau tidak membesarkan anaknya dengan kemewahan. Tetapi naluri keanak-anakkan pada Sultan Muhammad menyebabkan beliau suka bermain bersama rakan-rakannya sehinggalah pada suatu hari sewaktu beliau berusia 5 tahun, seorang guru agama yang tegas yang ditugaskan untuk mengajar beliau telah merotan Sultan Muhammad yang lebih suka bermain daripada belajar. Beliau tidak menyangka guru tersebut akan merotannya kerana beliau anak sultan. Apabila diadukan kepada ayahnya, apa jawapan Sultan Murad? Sultan Murad berkata beliau akan tugaskan guru yang lebih garang daripada guru yang memukulnya. Sejak hari itu Sultan Muhammad insaf dan belajar bersungguh-sungguh ilmu agama daripada ulama yang terhebat pada zaman itu.

2. Sultan Muhammad telah dilantik menjadi sultan pada usia yang sangat muda iaitu ketika usia 20 tahun selepas ayahandanya mangkat. Namun, usia yang muda tidak bermakna Sultan Muhammad tidak bijak memerintah.

3. Beliau adalah seorang yang amat alim, beliau tidak pernah meninggalkan tahajud sejak daripada usia baligh.

4. Beliau sentiasa meninjau keadaan rakyat dengan menyamar pada waktu malam. Sewaktu menyamar beliau mendapat tahu adakah rakyatnya adalah rakyat yang beriman atau sebaliknya.

5. Sewaktu menentang Rom bagi menawan Konstantinople beliau menggunakan taktik perang yang didatangkan oleh Allah ke dalam mimpinya.

6. Beliau berjaya menawan Konstantinople setelah hampir 2 bulan mengepung kota tersebut.

7. Setelah beliau menawan Kota Konstantinople, beliau tidak berlaku zalim kepada rakyat kota itu yang beragama Kristian.

Untuk mengetahui kisah lanjut mengenai tokoh Islam yang tersohor dan hebat ini, anda boleh dapatkan buku ini di website saya di http://www.kasihbuku.com/title-Sultan-Muhammad-Al-Fateh-Penakluk-Konstantinopel/isbnno-9789675136115.aspx


Membaca buku ini akan menimbulkan rasa kecintaan kepada agama Islam kerana tokoh yang berjaya dan hebat ini ternyata amat kuat iman dan amat dekat dengan yang Maha Esa. Ini menolak sangkaan sesetengah orang yang berfikiran liberal bahawa jika kita mahu jadi hebat kita harus mengikut barat. Ternyata sangkaan itu amat TIDAK BENAR SEKALI. Membaca buku-buku tokoh Islam yang hebat juga memberikan motivasi kepada kita untuk menjadi umat Islam yang TERBAIK. Insya-Allah....
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...