Showing posts with label tazkirah. Show all posts
Showing posts with label tazkirah. Show all posts

Thursday, August 18, 2011

10 malam terakhir Ramadhan yang bakal hadir

Alhamdulillah, bermula malam ini kita akan masuk ke fasa terakhir Ramadhan iaitu Fasa yang dijanjikan dijauhkan dari api neraka dan Insya-Allah, antara malam-malam kesepuluh ini kita bakal berjumpa dengan malam Lailatul-Qadar, malam yang sangat-sangat istimewa, malam yang lebih baik dari seribu bulan, malam ini dinanti-nantikan oleh hamba-hambaNya yang beriman....Insya-Allah. Jadi, jangan kita lepaskan peluang keemasan ini.

Untuk membangkitkan semangat memeriahkan 10 malam terakhir Ramadhan ini, sama-sama kita muhasabah diri kita semua. Renung-renung dan fikir-fikirkan kembali sedalam-dalamnya...Jika kita mati pada hari ini, adakah kita pasti amalan kita cukup untuk melepaskan diri kita dari azab Allah yang benar di akhirat sana iaitu azab neraka yang amat pedih dan seksa...duduk bertafakur dan renung kembali, bagaimana agaknya kedudukan kita di sisi Allah Yang Maha Esa. Kita semak bermula dari solat kita....

Solat fardhu : Adakah kita tunaikan diawal waktu atau kita lengah-lengahkannya. Berjemaah kah kita (terutamanya bagi lelaki)? Khusyukkah solat kita? Mereka yang dekat di sisi Allah yang dijanjikan syurga adalah mereka yang pertama sekali menjaga solat fardhu mereka. ditunaikan di awal waktu dan berjemaah. Mereka menunggu-nunggu solat ini seumpama untuk bertemu kekasih. Mereka solat dengan khusyuk, seolah-olah berkata-kata dan memuji-muji Penciptanya Yang Maha Agung.

Solat-solat sunat: Adakah kita banyak menunaikan solat-solat sunat untuk menampung kekurangan kesempurnaan solat fardhu kita? Rasulullah s.a.w dan para sahabat banyak melakukan solat sunat terutamanya solat malam sehingga bengkak-bengkak kaki Rasulullah kerana terlalu lama berdiri menunaikan solat malam. Rasulullah telah dijanjikan syurga namun tetap melakukan solat kerana cintanya terhadap Allah. Lalu, kita bagaimana?

Membaca al-Quran : Adakah kita membaca al-quran setiap hari. Begitu hebat amalan orang-orang yang soleh di zaman lampau. Imam As-Sayfie mengkhatamkan al-quran sebanyak 2 kali dalam sehari semasa bulan Ramadahn. Masya-Allah, hebatnya. Kita bagaimana?

Bersedekah: Kalau kita rajin bersedekah, Alhamdulillah. Namun, walaupun kita rajin bersedekah namun sedekah kita tidaklah mencapai walau separuh pun dari harta kita. Sifat bermewah-mewah itu adalah lebih besar dari sedekah yang kita berikan. Ini amat berbeza dengan sahabat Rasulullah seperti Abu Bakar yang mendermakan seluruh hartanya untuk Islam dan Umar mendermakan separuh hartanya untuk jalan Allah. Kita masih tidak sanggup melakukannya.

Lalu bagaimana kedudukan kita?

Rasa takut atau tidak, takut-takut kita tidak lepas dengan hisab Allah di akhirat nanti dan kita dihukum dengan azab api neraka...Nauzubillah....

Akhirat itu benar.

Syurga itu benar...

Dan neraka itu benar...

Jadi, sama-sama kita muhasabah dan mengambil peluang 10 malam terakhir Ramadhan ini, untuk berdoa, menghidupkan malam. Kita mohon supaya diri kita dan keluarga kita, sahabat-sahabat kita, semua muslimin muslimat dijauhkan dari azab api neraka dengan rahmat dan kasih sayang Allah semata.

Jangan kita sombong dan berlagak dari memohon dari Yang Maha Esa.

Di sini saya petik peringatan dari ayat-ayat al-Quran yang menceritakan dahsyatnya Api Neraka supaya hati kita akan lembut dan kembali bertaubat kepada Allah dan memohon supaya kita dijauhkan oleh-Nya dari azab ini..

Surah al- Ghaasiyyah

[Ayat : 1]

Sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal hari kiamat yang huru-haranya meliputi.


[Ayat : 2]

Muka (orang yang kafir) pada hari itu tunduk kerana merasa hina.


[Ayat : 3]

Mereka menjalankan kerja yang berat lagi berpenat lelah.


[Ayat : 4]

Mereka tetap menderita bakaran neraka yang sangat-sangat panas (membakar).

[Ayat : 5]

Mereka diberi minum dari mata air yang menggelegak panasnya.

[Ayat : 6]

Tiadalah makanan bagi mereka (di situ) selain dari pokok-pokok yang berduri.

[Ayat : 7]

Yang tidak menggemukkan, dan tidak pula dapat menghilangkan sedikit kelaparan pun.

[Ayat : 8]

(Sebaliknya) muka (orang yang beriman) pada hari itu berseri-seri.


[Ayat : 9]

Berpuas hati dengan balasan amal usahanya (yang baik, yang telah dikerjakannya di dunia).

[Ayat : 10]

(Mereka tinggal menetap) di dalam Syurga yang tinggi (tempat kedudukannya dan darjatnya).


[Ayat : 11]

Mereka tidak mendengar di situ sebarang perkataan yang sia-sia.

[Ayat : 12]

Di dalam Syurga itu ada mata air yang mengalir.

[Ayat : 13]

Di situ juga ada pelamin-pelamin (berhias) yang tinggi (tempatnya).

[Ayat : 14]

Dan piala-piala minuman yang disediakan (untuk mereka).

[Ayat : 15]

Dan bantal-bantal yang teratur (untuk mereka berteleku atau bersandar).

[Ayat : 16]

Serta hamparan-hamparan yang terbentang.

[Ayat : 17]

Tidakkah mereka memperhatikan keadaan unta, bagaimana ia diciptakan?

[Ayat : 18]

Dan keadaan langit, bagaimana ia ditinggikan binaannya.?

[Ayat : 19]

Dan keadaan gunung-ganang, bagaimana ia ditegakkan?

[Ayat : 20]

Dan keadaan bumi, bagaimana ia dihamparkan?

[Ayat : 21]

Oleh itu, berikanlah peringatan kerana sesungguhnya engkau hanyalah seorang Rasul pemberi ingatan.

[Ayat : 22]

Bukanlah engkau seorang yang berkuasa memaksa mereka (menerima ajaran Islam).

[Ayat : 23]

Akan tetapi sesiapa yang berpaling (dari kebenaran) serta ia kufur ingkar.

[Ayat : 24]

Maka Allah akan menyeksanya dengan azab seksa yang sebesar-besarnya.

[Ayat : 25]

Sesungguhnya kepada Kamilah kembalinya mereka.

[Ayat : 26]

Selain dari itu, sesungguhnya tanggungan Kamilah soal menghitung amal mereka.

Semoga mendapat manfaat.

Wallahua’lam

Wednesday, August 10, 2011

Tazkirah Ramadhan 3 : Berlalu sudah1/3 Ramadhan



Assalamualaikum sahabat-sahabat semua...

Sedar tak sedar kita sudah masuk pusingan 2/3 Ramadhan. Muhasabah diri kita sekarang, bagaimana prestasi Ramadhan kita kali ini? Adakah masa kita dipenuhkan dengan perkara-perkara kebaikan? Membaca al-Quran, berzikir, sembahyang sunat, sembahyang fardhu di awal waktu dan berjemaah (terutama bagi golongan lelaki) dan bersolat malam. Jika jawapannya YA, alhamdulillah syukur kita panjatkan kepada Allah kerana kita menggunakan Ramadhan yang hanya datang sekali setahun ini, Ramdhan yang penuh keberkatan dengan sebaik-baiknya. Kita tidak tahu samada kita berpeluang lagi untuk bertemu kembali Ramadhan pada tahun hadapan. Jika jawapan kita adalah TIDAK bagi soalan-soalan di atas, ayuh jangan berlengah lagi, rebut peluang untuk 18 atau 19 hari lagi yang berbaki ini untuk melakukannya. Semoga kita tergolong dalam golongan yang mengejar impian yang paling tinggi iaitu mudah-mudahan puasa dapat mendidik kita menjadi orang yang berTAQWA....Insya-Allah...

Bagaimana ingin mencapai ketaqwaan? Rasulullah s.a.w bersabda bahawa TAQWA itu adalah sesuatu yang berkaitan dengan hati. Jadi, untuk mencapai ketaqwaan kita harus mendidik hati kita? Bagaimana mahu mendidik hati menjadi hati yang baik (kalbu salim)? Menurut Imam Al-Ghazali, bagi mendidik hati dan mengawal nafsu kita harus KURANGKAN MAKAN kita, dengan sebab itu Allah wajibkan kita berpuasa selama sebulan untuk mendidik kembali hati-hati kita. Kemudian setelah makan dikurangkan kita dera nafsu dan didik hati kita kembali dengan BANYAKKAN BERIBADAH. Biar nafsu letih dan dengan itu hati akan mudah dididik untuk mencapai ketaqwaan. Oleh sebab itu, di bulan Ramadhan ini, adalah amat-amat digalakkan untuk kita bertadarus, solat sunat tarawikh dan solat malam dengan tujuan mudah-mudahan kita akan tergolong dalam golongan orang-orang yang berTAQWA...Insya-Allah.

Bagi kurangkan makan, waktu berbuka, pantau makanan yang kita ambil. Bukan sahaja pantau kebersihannya namun pantau amaun makanan yang kita ambil, jangan berlebih-lebihan. Bila berbelanja di pasar Ramadhan atau memasak juga kawal supaya tidak terlebih. Dengan itu, kita dapat kawal daripada makan secara berlebih-lebihan semasa berbuka puasa. Makan secara bersederhana juga dapat mengelakkan kita berasa malas untuk beribadah dan berasa mengantuk semasa bersolat tarawikh dan liat untuk solat malam.

Moga-moga Ramadhan yang berbaki ini kita guna sebaik-baiknya. 10 Ramadhan dipertengahan ini, Allah menjanjikan keampunan kepada hamba-hamba-Nya yang memohon keampunan. Semoga kita tergolong di dalam hamba Allah yang diampun dosa-dosa kita...Insya-Allah.

Firman Allah Taala dalam Surah Asy Syu'araa'

Ayat 88
Hari yang padanya harta benda dan anak-anak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun

Ayat 89
Kecuali orang-orang yang mengadap Allah dengan hati yang sejahtera (bersih)



Firman Allah s.w.t di dalam Surah Al-Qalam[Ayat : 34]

Sesungguhnya orang yang bertakwa, disediakan bagi mereka taman-taman syurga yang penuh nikmat, di sisi Tuhan mereka.


Semoga mendapat manfaat.

Wallahua'lam

Thursday, August 4, 2011

Tazkirah Ramadhan 2 : Jaga mulut

Assalamualaikum sahabat-sahabat semua...


Saya ingin menyampaikan ilmu yang saya dapat semasa tazkirah selepas solat tarawikh semalam. Mudah-mudahan ianya memberi manfaat kepada sahabat yang membaca, Insya-Allah.

Adalah satu kesilapan yang besar jika kita menganggap bahawa kedatangan Ramadhan dan berpuasa hanyalah semata-mata mengawal daripada makan dan dahaga sahaja. Amatlah malang kepada sesiapa yang berpuasa hanya dengan menahan lapar dan dahaga namun perkara-perkara lain tidak dijaga. Perkara yang harus dijaga sepanjang kita berpuasa adalah menjaga mulut kita. Kawal mulut kita daripada bercakap perkara-perkara yang sia-sia, juga kawal diri kita daripada mengumpat, memfitnah, mengadu-domba dan sebagainya. Semoga latihan sebulan dari mengawal mulut kita dari melakukan perbuatan keji akan berterusan untuk bulan-bulan yang akan datang juga, Insya-Allah.

Allah berfirman di dalam Surah al-Hujuraat

[Ayat : 6]
Wahai orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang yang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada kaum dengan sebab kejahilan kamu sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu lakukan.

[Ayat : 9]
Dan jika dua puak dari orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah; jika ia kembali patuh maka damaikanlah keduanya dengan adil, dan berlaku adillah kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berlaku adil.

[Ayat : 10]
Sebenarnya orang yang beriman itu bersaudara maka damaikanlah di antara dua saudara kamu itu; dan bertakwalah kepada Allah agar kamu beroleh rahmat.


[Ayat : 11]
Wahai orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak merendah-rendahkan puak yang lain, mungkin puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula kaum wanita ke atas kaum wanita yang lain, mungkin puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah kamu mencela dirimu sendiri; dan jangan kamu panggil-memanggil antara satu sama lain dengan gelaran yang buruk. Amatlah buruknya sebutan nama fasik sesudah ia beriman. Dan sesiapa yang tidak bertaubat maka merekalah orang yang zalim.

[Ayat : 12]
Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa, dan janganlah kamu mencari kesalahan orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah kamu suka makan daging saudaranya yang telah mati? Maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. Dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.

[Ayat : 13]
Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan suku puak, supaya kamu saling berkenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling takwa di antaramu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya.

Semoga mendapat manfaat.

Wallahua'lam.



Wednesday, August 3, 2011

Tazkirah Ramadhan:Hidupkan malam dan banyakkan bersedekah

surah / surat : Adz-Dzaariyat Ayat : 15
Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa itu berada dalam taman-taman (syurga) dan mata air-mata air,

surah / surat : Adz-Dzaariyat Ayat : 16
sambil menerima segala pemberian Rabb mereka. Sesungguhnya mereka sebelum itu di dunia adalah orang-orang yang berbuat kebaikan.

surah / surat : Adz-Dzaariyat Ayat : 17
Di dunia mereka sedikit sekali tidur diwaktu malam

surah / surat : Adz-Dzaariyat Ayat : 18
Dan selalu memohonkan ampunan diwaktu pagi sebelum fajar.

surah / surat : Adz-Dzaariyat Ayat : 19
Dan pada harta-harta mereka ada hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang tidak mendapat bagian [1418].

[1418] "Orang miskin yang tidak mendapat bagian" maksudnya ialah orang miskin yang tidak meminta-minta

surah / surat : Adz-Dzaariyat Ayat : 20
Dan di bumi itu terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang yakin.

Masya-Allah...Dinyatakan dalam al-Quran, bahawa orang-oarang yang menghidupkan malam dengan beribadah, mengingati Allah dan bermunajat kepada Allah akan diberikan ganjaran yang paling agung iaitu syurga Allah yang indah yang mengalir air di bawahnya di akhirat sana...Subhanallah.

Marilah kita sama-sama merebut peluang ini. Bulan Ramadhan ini, kita pasti bangun awal untuk bersahur, jadi jangan sia-siakan waktu itu untuk sekurang-kurangnya bersolat tahajud2 rakaat semasa waktu sahur. Latihan selama sebulan di bulan Ramadhan ini Insya-Allah akan membuatkan kita istiqamah melakukan amalan ini sampai bila-bila...Insya-Allah...

Memang untuk bangun dari tidur yang enak amat berat sebenarnya terutamanya jika bukan berada dalam bulan Ramadhan. Bila terasa liat itu, kita ingatkan dalam hati untuk bangun bersolat tahajud semata-mata kerana Allah, semata-mata untuk mendapat kasih-sayang dan cinta daripada Allah pencipta kita, berdoa semoga Allah berikan kekuatan juga kepada kita untuk beribadah kepadaNya dengan sebaiknya. Betapa Allah amat mencintai kita hambaNya dengan mengajar kita supaya bangkit dari tidur yang lena dan enak selama sebulan latihan di bulan Ramadhan.

Bulan Ramadhan juga dijanjikan digandakan pahala amalan kebaikan termasuklah bersedekah. Jadi ambil peluang ini untuk pupuk sifat bersedekah kepada orang miskin yang meminta dan yang tidak meminta. Pada bulan Ramadhan ini kita digalakkan bersedekah dengan menjamu mereka yang berbuka puasa. Bersedekahlah walaupun sedikit walaupun hanya sebiji kurma jika kita tidak mampu. Semoga amalan akan berkekalan dalam diri kita sampai bila-bila.

Kedua-dua amalan di atas jika dilakukan dengan ikhlas dan secara berterusan akan diganjarkan dengan ganjaran yang paling mahal harganya, ganjaran yang kita semua impikan iaitu syurga seperti yang tercatat di dalam al-Quran yang benar.

Sama-sama kita bertekad di dalam hati untuk membuat amalan yang dicintai oleh Allah ini.

Semoga kita diberikan kekuatan oleh Allah untuk melaksanakannya. Insya-Allah

Wallahua'lam.





Wednesday, June 29, 2011

Hargai orang yang kita sayang

Semalam saya melayari WebMD. Saya memang suka baca artikel-artikel perubatan di sini kerana ia dapat mengemaskini (update) pengetahuan saya di dalam bidang perubatan. Bidang perubatan sepertimana bidang-bidang yang lain juga berkembang setiap hari. Jadi, amat malang jika kita masih lagi berada di takuk lama dan tidak memperbaharui pengetahuan kita...

Ok, semalam saya melihat satu tajuk yang menarik perhatian saya di WebMD “The best age to be have a baby”. Mengikut pengetahuan saya yang lalu, umur yang terbaik untuk hamil bagi wanita adalah sebelum umur 35 tahun. Banyak sebab mengapa pakar-pakar perubatan menyarankan perkara ini. Namun saya tidak menolak fakta bahawa terdapat wanitayang boleh lagi mengandung selepas umur 35 tahun namun mengandung di usia tersebut mempunyai risiko kesihatan kepada ibu dan juga bayi yang dikandung. Mungkin, ada yang mencebik mengatakan bahawa ada juga orang yang mengandung selepas umur 35 tahun namun tiada masalah. Saya tidak membangkang. Itu semua memang kuasa Allah Yang Maha Esa, namun banyak kajian dijalankan oleh pakar perubatan bahawa ibu yang mengandung selepas umur 35 tahun mempunyai risiko kesihatan seperti darah tinggi dan kencing manis berbanding mereka yang lebih muda.

Berbalik kepada apa yang saya baca di WebMD semalam. Saya menyangka ada ilmu yang baru berkenaan perkara ini. Mana tahu terdapat kajian baru mengenai umur terbaik untuk mengandung. Namun apa yang di paparkan adalah mengenai pengalaman beberapa orang ibu di negara barat menceritakan kisah kali pertama mereka hamil. Umur mereka sewaktu mereka pertama kali hamil dan pandangan mereka bilakah umur yang paling sesuai untuk hamil. Apabila membaca kisah-kisah mereka, saya merasakan betapa bertuahnya diri saya kini...Masya-Allah...kisah-kisah hidup mereka benar-benar menginsafkan diri ini. Diri ini telah dikurniakan nikmat yang paling agung iaitu nikmat Iman dan Islam. Diri ini menganut agama yang benar dan dapat dijadikan panduan hidup. Tidak tersasar sebagaimana orang-orang barat yang kebanyakkannya tidak lagi beragama. Mereka hidup secara sekular iaitu memisahkan agama dari kehidupan seharian kerana agama mereka yang tidak benar itu tidak lagi dapat menyelesaikan masalah mereka.

Di samping nikmat iman dan Islam yang Allah kurniakan kepada diri saya, Allah juga telah mengurniakan nikmat hidup berkeluarga kepada diri saya. Mempunyai anak dan suami. Tidak dinafikan kadangkala terdapat perselisihan faham dalam hidup berkeluarga. Namun, saya masih ada tempat bergantung iaitu suami yang baik dan juga tempat untuk menumpahkan kasih sayang kepada suami dan anak-anak. Fitrah sebagai manusia ini telah Allah kurniakan kepada diri saya, Alhamdulillah...bila membaca kisah-kisah mereka yang tidak bernasib baik, tidak mendapat nikmat yang memenuhi fitrah manusia, kita akan insaf dan tersedar kembali. Betapa kadang-kadang kita terlupa untuk mengucapkan terima kasih kepada orang-orang yang kita sayang yang berada di sekeliling kita.

Saya juga merasa amat bersyukur di samping mempunyai keluarga, saya juga mempunyai pekerjaan yang baik. Walaupun saya bekerja namun saya masih boleh lagi berbakti kepada keluarga dan masyarakat secara serentak. Ya Allah betapa besarnya nikmat yang Engkau kurniakan kepada hambaMu ini yang kadang-kadang terlalai dan terleka. Ampunkan hambaMu ini, Ya Allah...

Di sini saya paparkan kisah-kisah mereka, moga-moga ianya menjadi teladan buat diri kita. Benarlah kata-kata bahawa jika kita ingin menghargai nikmat yang Allah kurniakan kepada kita, kita lihat orang yang tidak bernasib baik berbanding dengan kita...

Cerita 1

Shannon, seorang peguam berusia 38 tahun. Beliau telah berkahwin namun perkahwinannya hanya bertahan selama 4 bulan. Selepas setahun hidup sendirian, naluri inginkan seorang anak sebagai penyeri hidup telah membuak-buak dalam dirinya. Jadi dia mengambil keputusan untuk mengandung menggunakan IVF . Teknik IVF ini akan menggunakan ovum daripada Shannon dan sperma dari lelaki yang tidak dikenali. Sperma ini beliau akan dapat dari bank sperma. Beliau menghabiskan wang sebanyak $50,000 untuk merealisasikan kehendaknya untuk mempunayi seorang anak. Beliau sedar cabaran yang akan beliau akan hadapi iaitu membesarkan anak secara bersendirian dan anak ini akan membesar tanpa mengetahui siapa sebenarnya ayahnya.

Masya-Allah, betapa rosaknya sudah system kekeluargaan di Negara barat. Mereka membenarkan seorang wanita mengandung dengan mengambil sperma hanya dari bank sperma. Natijahnya kesian terhadap anak yang akan dilahirkan. Satu kerana tiada bapa. Kedua, langsung tidak mengetahui siapa bapanya. Ketiga, membesar tanpa kasih sayang bapa. Keempat ada kemungkinan akan berkahwin dengan adik beradiknya sendiri apabila telah dewasa...bagi si ibu pula membesarkan anak tanpa suami di sisi juga merupakan satu cabaran yang besar...

Cerita 2

Leslie, seorang editor sebuah syarikat akhbar berusia 40 tahun. Berkahwin sewaktu umur 36 tahun tahun. Sewaktu mula-mula kahwin mereka merasakan tidak mahu mempunyai anak namun lama kelamaan fitrah kemanusiaan datang juga mengetuk hati mereka. maka, dalam usia 40 tahun, barulah Leslie mengandung. Beliau berfikir bahawa di usianya mencecah umur 60 tahun pun dia masih perlu bekerja bagi menyara kos pembelajaran anaknya. Pada waktu yang sama kawan-kawannya sudah menikmati hidup persaraan

Semoga cerita-cerita ini mengingatkan diri kita tentang nikmat yang kita ada sekarang...

Wallahua’lam...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...