Showing posts with label muhasabah diri. Show all posts
Showing posts with label muhasabah diri. Show all posts

Tuesday, February 8, 2011

Merenung wajah-wajah tua dengan mata IMAN

Merenung wajah-wajah tua yang sudah berkedut, kudrat yang sudah uzur memberikan perspektif yang berbeza pada mata yang melihat. Ianya boleh dilihat dengan mata kasar, mata nafsu atau mata iman.

Mata kasar ; tidak memberi makna apa-apa sekadar melihat sambil lalu.

Mata nafsu ; tidak mahu menjadi tua seperti itu. Tidak mahu berkedut, tidak mahu sakit dan jikalau boleh mahu kekal muda buat selama-lamanya. Lalu pelbagai cara digunakan untuk menegangkan kulit muka seperti botox,cucuk vitamin c , pembedahan plastic dan sebagainya. Pelbagai ubat-ubatan digunakan kononnya untuk mengekalkan keremajaan kulit. Segala produk kecantikan dan ubat-ubatan untuk melambatkan penuaan akan dicuba dan dimakan. Bagi mereka yang pernah melihat cerita-cerita kuno dinasti cina, pasti teringat tentang kisah dimana seorang raja yang mempunyai ubat yang boleh menjadikannya hidup selama-lamanya dan menjadi rebutan semua orang.

Mata iman ; melihat wajah-wajah tua dan kusam, penuh dengan kedut di muka dengan kudrat yang sudah uzur akan memberikan keinsafan di hati insan yang melihat dengan mata iman. Melihat wajah-wajah tua akan menyebabkan mereka menangis. Mereka menangis bukan kerana takutnya menjadi tua. Mereka menangis kerana sedar dan insaf bahawa apa yang ada di dunia ini semuanya tiada yang kekal abadi. Semuanya adalah sementara. Kecantikan akan hilang, kekuatan akan hilang, kekayaan akan ditinggalkan, kuasa dan pangkat akan ditinggalkan, muda akan tua. Lalu apakah yang lebih utama di dalam kehidupan sementara di muka bumi ini? Mata iman akan menjawab ialah mencari keredhaan Allah dan menjadi hamba Allah yang bertaqwa. Kerana apa? Kerana apa yang dijanjikan Allah iaitu hari akhirat yang kekal abadi adalah pasti, syurga dan neraka adalah pasti. Jika tiada cukup bekalan yang baik yang dibawa dari hidup yang sementara ini balasan neraka adalah pasti dan kekal abadi...Nauzubillah...Lalu apakah gunanya melebih-lebihkan kehidupan dunia yang sementara daripada kehidupan akhirat yang abadi. Bukanlah bermakna melebihkan akhirat dengan meninggalkan seluruh urusan di dunia dan hanya duduk di tikar sejadah semata-mata. Lalu, bagaimanakah cara kita boleh mencapai kejayaan di alam yang kekal abadi itu? Apa yang patut kita buat semasa kehidupan yang sementara di dunia ini?

Jawapannya semua ada di dalam al-Quran, manual hidup seorang muslim yang harus dibaca dan dihayati setiap hari, iaitu:

-Jika dia seorang anak, dia akan menjadi anak yang terbaik, yang sentiasa membahagiakan hati kedua ibu bapanya. Tidak lupa sentiasa berdoa untuk ibubapa samada ibubapa masih hidup ataupun sudah meninggal dunia.

-Jika dia seorang ibu/ayah, dia akan cuba menjadi ibu yang terbaik untuk anak-anaknya dengan mendidik mereka tentang ilmu, mendidik anak menjadi anak soleh dan solehah. Melaksanakan tanggungjawab sebagai ibubapa tanpa rasa keluh kesah. Memasak, menjaga rumahtangga dengan hati yang ikhlas dan tenang.

-Jika dia seorang suami, dia tidak akan berlaku zalim kepada isterinya dan mendidik isterinya dengan baik dan penuh kasih sayang. Melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang suami dengan cara yang terbaik.

-Jika dia seorang isteri, dia akan menjadi seorang isteri yang terbaik untuk suami yang tercinta, taat dan menghormati suami. Melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang isteri dengan cara yang terbaik.

-Jika dia seorang pekerja, dia akan berusaha untuk melakukan yang terbaik di dalam usaha kerjanya tanpa seberang kebencian dan rasa tidak puas hati kepada orang atasan.

-Jika dia seorang kawan, dia akan selalu bercakap bersopan dengan kawan-kawannya tanpa cuba menyakiti hati kawan, tidak akan menabur fitnah dan mengumpat kawannya tanpa jemu. Dia akan menegur rakannya jika rakannya menyimpang dari jalan yang benar. Hasratnya adalah supaya dia dan rakannya akan bersama-sama terselamat daripada seksaan neraka di alam yang kekal abadi.

- dan yang paling UTAMA, dia akan menjadi seorang hamba yang sentiasa bersyukur, mengharapkan rahmat dan kasih sayang daripada ALLAH Yang Maha Esa dengan melakukan ibadah yang diperintahkan oleh Allah dengan rasa khusyuk, ikhlas kerana apa yang paling penting dalam hidup insan ini adalah mendapat kasih sayang, rahmat dan redha daripada Allah. Sesungguhnya tanpa rahmat dan kasih sayang daripada Tuhan Yang Maha Esa sesungguhnya jadilah kita tergolong dalam hamba-hamba yang rugi. Setiap perlakuannya sentiasa merasa diperhatikan oleh Allah dan dengan itu merasa takut untuk melakukan dosa. Mementingkan Allah daripada segala-galanya. Tidak culas untuk bersolat di awal waktu, bersolat sunat, berqiamulail dan sebagainya.

Namun, memang sifatnya manusia kekadang terlupa dan terdengar pujukan dan rayuan nafsu dan syaitan. Jika sudah tersedar dari kesilapan maka beristighfarlah kepada yang Maha Esa untuk mengampuni dosa-dosa kita. Insya-Allah, jika kita memohon ampun dengan hati yang tulus ikhlas, Allah yang pengasih dan penyayang akan mengampuni dosa-dosa kita. Rasullah s.a.w manusia yang maksum juga beristighfar paling kurang 100 kali sehari jadi kita sepatutnya lebih kerap lagi beristighfar. kerana jika kita lalai daripada beristighafar dan memohon ampun daripada Yang Maha Esa, hati kita yang berbuat dosa akan dipenuhi dengan titik-titik hitam. Jika titik hitam sudah memenuhi hati kita, hati kita menjadi buta. Hati yang buta teramat bahaya kerana sinar kebaikan dan sinar hidayah akan susah menembusi hati kita yang sudah hitam. lalu, jika orang mengajak kita membuat kebaikan, memberi nasihat, hati kita akan mencemuh dan membenci perkara kebaikan lagi. Nauzubillah.....

Dunia ini sementara adalah pasti.

Hidup kita di dunia sudah pasti akan mati.

Akhirat itu pasti.

Syurga dan neraka itu pasti.

Lalu adakah kita mengambil langkah yang sepatutnya untuk perkara yang pasti itu?


p/s :5 perkara yang harus digunakan sepenuhnya sebelum tiba 5 perkara iaitu

Kaya sebelum miskin

Muda sebelum tua

Sihat sebelum sakit

Lapang sebelum sibuk

Hidup sebelum mati



Fikir-fikirkanlah.....Wallahua'alam

Monday, January 17, 2011

Awas! Dosa syirik tanpa sedar....


Dosa syirik yang merupakan salah satu dosa besar boleh berlaku tanpa sedar dalam kehidupan seharian kita...Nauzubillah, mintak dijauhkan oleh Allah sebab dosa syirik dan khurafat adalah dosa besar yang pertama yang tidak akan diampunkan oleh Allah tanpa taubat nasuha. Antara top five dosa besar:

1) Syirik kepada Allah
2) Derhaka kepada kedua ibubapa
3) Berzina
4) Minum arak
5) Berjudi

Mungkin kita rasa kita terlepas daripada dosa syirik kerana kita tidak menyembah berhala dan kita solat lima waktu sehari semalam. Namun, syirik kepada Allah bukan semata-mata penyembahan berhala tetapi jika hati kita percaya terdapat sebab atau punca masalah atau bencana atau penyakit disebabkan lain daripada kuasa Allah Taala kita sebenarnya terdedah kepada dosa syirik kepada Allah. Orang-orang Melayu masih tebal dengan kepercayaan tahyul yang menyebabkan dosa syirik. Di sini saya ingin menceritakan kepercayaan tahyul mengenai uri yang masih wujud di kalangan orang Melayu.

Kepercayaan tahyul mengenai uri

Saya mendengar cerita ini dengan telinga saya sendiri. Saya bukan mereka-reka. Ada seorang hamba Allah ini memberitahu saya bahawa punca anaknya menangis sewaktu kecil adalah disebabkan cara penanaman uri yang salah. Menurut beliau uri sepatutnya ditanam dengan membalikkan tempurung kelapa namun jika tersalah ditanam boleh menyebabkan bayi kembung perutnya kerana air hujan terkumpul di dalam tempurung kelapa tersebut sewaktu hujan turun. Bagi menguatkan kepercayaannya lagi, anaknya makin kuat menangis sewaktu hujan turun. Menurut beliau setelah dibetulkan tempurung kelapa berkenaan (setelah 2 bulan di tanam, waktu itu uri tersebut sudah pun reput) barulah anaknya berhenti menangis. Sewaktu mendengar perkara ini saya memberikan reaksi tidak percaya dan beliau berkata memanglah doktor tidak akan percaya tapi ini memang betul. Saya hanya mampu merasa simpati kepada dirinya yang jahil mengenai ilmu saintifik dan juga ilmu agama. Seperti yang saya katakana sebelum ini apa-apa pun di dalam dunia ini kita mesti ada ilmu baru hidup kita tidak tersesat dan tidak mudah ditipu oleh orang lain.

Kenapa kepercayaan ini dikatakan syirik

Cerita di atas adalah salah satu cerita kepercayaan tahyul yang masih wujud di kalangan orang-orang Melayu . Uri yang telah terpisah daripada bayi tidak akan memberi kesan lagi kepada bayi daripada sudut perubatan mahupun dari sudut agama. Apabila bayi dilahirkan, apa yang sepatutnya dilakukan oleh ibubapa adalah membersihkan uri tersebut daripada darah dan ditanam dan elakkan ianya dimakan oleh binatang seperti anjing dan sebagainya. Sebarang sebab perut kembung atau bayi menangis adalah atas kuasa Allah s.w.t dan bukannya berkaitan dengan uri yang salah ditanam atau sebagainya. Masya-Allah, mungkin bagi kita perkara ini tidak ada salahnya namun kepercayaan ini membawa kita kepada dosa syirik tanpa sedar kerana seolah-olah uri ini mempunyai kuasa kepada kesihatan anak kita. Wallahua’lam.


Penerangan bayi yang selalu menangis akibat abdominal colic dari sudut perubatan

Abdominal colic ataupun perut kembung boleh berlaku di kalangan bayi. Kejadian ini adalah lebih kerap berlaku di kalangan bayi yang menyusu menggunakan botol. Ini kerana sewaktu menyusu botol, terdapat ruang udara di bahagian puting yang akan terdedah dan udara ini akan masuk bersama-sama ke dalam perut bayi menyebabkan bayi akan mengalami abdominal colic. Selain daripada itu, pemberian makanan seperti nestum sebelum bayi mencapai umur 6 bulan juga akan mendedahkan mereka kepada abdominal colic. Ini kerana sistem penghadaman mereka masih belum bersedia untuk memproses makanan yang masuk ke dalam perut mereka. Apabila abdominal colic berlaku, bayi akan merasa sakit dan mereka akan kerap menangis. (Untuk kes di atas memang anak beliau sudah meminum susu botol sewaktu dalam pantang dan diberikan makanan seawal umur sebulan). Oleh itu, cara yang paling berkesan untuk mengelakkan bayi mengalami abdominal colic adalah dengan memberikan susu ibu sepenuhnya kepada bayi terutama semasa dalam proses berpantang. Juga elakkan daripada memberikan makanan kepada bayi sebelum umur 6 bulan.

Pohonlah kepada yang Allah Yang Maha Kuasa untuk hilangkan penyakit kembung perut anak anda. Yakinlah doa tulus seorang ibu kepada anaknya, Insya-Allah akan dimakbulkan oleh Allah s.w.t.

Wallahua'alam.

Thursday, January 6, 2011

Sesungguhnya ajal itu pasti...

060111, abang saya yang kedua menghembuskan nafasnya yang terakhir pada usianya 48 tahun akibat komplikasi kencing manis. Hati saya merasa sebak tatkala mengucup dahi Abang Ri buat kali terakhir, dinginnya terasa dan tatkala mendengar talkin yang dibacakan sendiri oleh ayah saya di perkuburan beliau..."Wahai anakandaku Che Engku Nazeri ibn Habsah.....".Tiada siapa sangka beliau pergi terlebih dahulu daripada ibu dan ayah saya. Sesungguhnya ajal itu pasti dan kita tidak tahu bilakah ia akan datang menjemput kita.

Sesungguhnya orang yang paling bijak ialah orang yang sentiasa mengingati mati iaitu sentiasa cuba menjadi insan yang terbaik di setiap hari...Menjadi hamba Allah yang terbaik, menjadi isteri yang terbaik, menjadi ibu yang terbaik, menjadi anak yang terbaik, menjadi teman yang terbaik, menjadi pekerja yang terbaik....

Al-fatihah......

Wednesday, January 5, 2011

PETUA MELAHIRKAN ANAK YANG HEBAT


Semua ibubapa tentunya inginkan anak-anak mereka menjadi anak-anak yang hebat termasuklah diri saya sendiri. Namun, bagaimanakah cara melahirkan anak-anak yang hebat dari aspek intelektual dan juga spiritual?

Jika semasa mengandung, kita memastikan memakan makan vitamin dan makanan yang sihat. Semasa membesarkan anak-anak kita sentiasa teliti dengan pemakanan anak-anak kita, sedari kecil diberikan susu ibu sehingga sekurang-kurangnya 2 tahun. Kemudian kita sanggup bersusah payah memasak masakan yang berkhasiat dan berkualiti untuk anak-anak tanpa sebarang campuran msg. Jika membeli bahan-bahan mentah juga kita pastikan mencari yang segar untuk disuapkan ke mulut anak-anak kita. Langkah itu sememangnya amat baik namun itu masih belum cukup untuk menjadikan anak-anak kita anak yang hebat.

Saya suka mengulas perkara ini setelah menganalisis pembacaan saya terhadap tokoh-tokoh Islam yang hebat seperti Imam As-Syafie, Sultan Muhammad al-Fateh dan juga Sheikh Kadir al-Jailani. Mereka merupakan orang yang hebat di zaman masing-masing dan terkenal hingga ke hari ini. Mereka yang hebat ini semua lahir dari ibubapa yang hebat hubungannya dengan Allah s.w.t.

Jawapan untuk melahirkan anak-anak yang hebat sebenarnya harus bermula daripada diri kita sendiri. Kita harus menjadi hebat sebelum kita mengharapkan anak-anak kita menjadi hebat. Hebat dari segi yang mana? Hebat yang saya maksudkan di sini adalah hebat dari segi hubungan dengan Allah s.w.t. Antara checklist untuk melahirkan anak-anak yang hebat yang bermula dari kandungan:

1. Adakah kita rajin untuk membaca al-Quran?
2. Adakah kita ada rasa cinta kepada al-Quran?
3. Adakah sembahyang fardhu kita cukup?
4. Adakah kita suka sembahyang berjemaah?
5. Adakah kita suka mengawalkan waktu solat dengan tidak menangguh-nangguhnya disebabkan urusan dunia?
6. Adakah kita suka melakukan perkara-perkara sunat seperti sembahyang sunat sebelum dan selepas sembahyang fardhu?
7. Adakah kita selalu bangun malam untuk bertahajud, solat taubat dan solat hajat?
8. Adakah kita tidak kedekut untuk bersedekah untuk membantu orang-orang miskin?
9. Adakah kita sudah membahagiakan hati kedua ibubapa kita dengan member khidmat kepada mereka?
10. Adakah hati kita ikhlas dan jujur dalam melakukan amanah?
11. Adakah kita sudah memberikan pergantungan hidup kita adalah semata-mata hanya kepada Allah?
12. Adakah rezeki yang kita cari setiap hari adalah dari sumber yang halal?
13. Adakah kita selalu berdoa dan berharap kepada Allah untuk mudahkan segala urusan kita?
14. Adakah kita lebih cintakan kehidupan dunia atau akhirat?

Checklist ini menjadi panduan untuk muhasabah diri saya dan juga anda. Saya selalu mendengar orang takut tentang masa depan anak-anak mereka di masa hadapan. Takut anak-anak mereka terlibat dengan gejala yang tidak sihat. Lalu, mereka menghantar anak-anak mereka ke sekolah agama. Namun, pada masa yang sama, diri mereka sebagai ibubapa tidak berusaha untuk menjadi yang terbaik. Mereka hanya mengharapkan anak-anak mereka menjadi yang terbaik. Jika merujuk checklist di atas kebanyakkan jawapannya adalah tidak. Saya merasakan itu adalah satu perkara yang tidak adil untuk diri anak-anak mereka sendiri dan adakah Allah s.w.t akan membantu kita jika hubungan kita dengan Yang Maha Kuasa adalah setakat gitu-gitu sahaja? Insya-Allah jika hubungan kita dengan Allah adalah kuat, Allah akan memudahkan urusan kita mendidik anak-anak kita, dilembutkan hati anak-anak kita untuk mendengar tunjuk ajar dan nasihat daripada kita, rasa kasih dan sayang anak akan sentiasa ada pada kita dan dilindungkan anak-anak kita daripada gejala yang tidak diingini. Ini kerana Allah sentiasa mendengar doa dan rintihan hamba-hambanya terutamnya daripada hambanya yang baik dan terutamanya di waktu 1/3 malam. Contoh terbaik untuk kita ikut pastilah Rasulullah s.a.w. yang merupakan insan terbaik di muka bumi ini.

Untuk melahirkan anak-anak yang hebat sebenarnya bermula dari diri anda bukan bermula dari diri anak anda.
Fikir-fikirkanlah.
Wallahua’alam.

Monday, January 3, 2011

Lagi filem wajib tonton:3 Idiots

Saya bukanlah peminat filem Hindustan terutama filem hindustan yang baru-baru sebab banyak pelakonnya makin seksi berlakon dan penceritaan berkisar hanya mengenai cinta muda-mudi. Tetapi filem hindustan 3 Idiots ini memang lain dari yang lain! Memang klass dan wajib ditonton oleh ibu-ibu dan bapa-bapa muda zaman sekarang. Sebelum tengok filem ini kat Astro di saluran Fiesta sempena tahun baru 2011 baru-baru ini memang saya dan suami sudah diberitahu oleh kawan-kawan kat pejabat masing-masing, filem ni memang best!!!Jadi, kami sekeluarga tak lepaskan peluang menontonnya secara percuma di saluran Fiesta baru-baru ini:). Memang filem ini best sampaikan Aqilah (anak saya yang berusia 2tahun) pun suka, walaupun Aqilah tak faham bahasa Hindustan (ibu dan ayah dan abang Aiman pun sama..:)) dan tak boleh baca subtitle, namun Aqilah seolah-olah faham dan terhibur dengan cerita ini. Kami tengok filem ini berulang-ulang sampai 3 kali tanpa jemu. Terdapat babak yang membuatkan saya sedih dan mengalirkan air mata...tersentuh sangat...kalau tak percaya cuba tengok sendiri. Favourite code kami anak beranak sekarang adalah All Izz Well yang maksudnya semuanya baik.

Ringkasan cerita 3 Idiots

Mengisahkan 3 orang sahabat baik iaitu Ranchoo, Raju dan Farhan yang belajar di sebuah kolej kejuruteraan yang terkenal di India. Ranchoo merupakan seorang budak yang genius. Dia belajar adalah kerana dia suka belajar dan kerana ilmu bukan semata-mata untuk lulus peperiksaan. Ini berbeza dengan Raju yang bersala daripada keluarga miskin. Tekanan untuk mencapai kecemerlangan bagi mengubah nasib keluarga menyebabkan dirinya tertekan. Bagi Farhan pula, minatnya tiada dalam bidang kejuruteraan tetapi dipaksa oleh keluarganya untuk menjadi jurutera bagi menaikkan imej keluarga di mata masyarakat setempat. Minat Farhan adalah di dalam bidang fotografi.

Kebanyakkan pelajar di kolej ini juga belajar sekadar untuk menghafal tanpa cuba memahami menyebabkan mereka seolah-olah seperti mesin. Kehadiran pensyarah yang tidak mendidik pelajar untuk berinovasi juga menerukkan lagi situasi ini.

Akibat tekanan kehidupan, banyak pelajar yang mengambil keputusan untuk membunuh diri.

Pengajaran yang saya dapat kutip dari filem ini.....

Suami saya bekerja di sebuah syarikat antarabangsa dan mempunyai kawan-kawan yang berasal dari Negara India. Menurut mereka, memang di negara India sekarang, situasi yang dipaparkan di dalam filem 3 Idiots ini memang benar-benar berlaku. Mereka di sana berlumba-lumba untuk jadikan anak-anak mereka doktor, jurutera ataupun peguam. Dan menurut suami saya, mereka yang datang dari India, memang macam mesin dan kerja ikut buku semata-mata dan tidak boleh berfikir secara kreatif.

Saya perhatikan, Malaysia sekarang juga sedang melangkah ke arah itu. Masing-masing berlumba-lumba untuk mendapatkan banyak A. Sehingga satu tahap, A sudah tidak dipandang lagi tetapi 100%. Bagi saya situasi ini amat tidak sihat untuk diteruskan. Jika anak di darjah satu tidak mendapat markah 100%, itu bukanlah pengakhiran dalam hidupnya. Banyak perkara lagi yang akan dipelajari sepanjang penghidupan ini bukan hanya semata-mata markah 100%. Janganlah ketidakcapaian mereka mendapat 100% menyebabkan kita runsing dan resah dan memberi tekanan juga kepada anak-anak kita. Lantas sejak dari darjah satu lagi kita sudah sibuk menghantar mereka ke kelas tuisyen semata-mata supaya mereka mendapat 100% dalam semua matapelajaran.

Apa yang penting bagi saya adalah kita mendidik anak-anak kita the spirit of the learning itself. Mengapa mereka perlu belajar?Apakah ilmu itu untuk dihafal semata-mata atau ilmu harus ada di dalam dada?Adakah semata-mata belajar atau semua ilmu yang ada perlu diamalkan?Banyak ceramah-ceramah agama/motivasi dan buku-buku agama/motivasi yang saya baca mengaitkan ilmu adalah cahaya. Ilmu bukan sesuatu yang perlu dihafal semata-mata tetapi diamalkan. Seperti kata pepatah Ilmu yang tidak dimanfaatkan ibarat pokok yang tidak berbuah.Seperti kata Imam As-Syafie, jika ingin ilmu masuk dan meresap di dalam hati kita, hati kita mestilah bersih, untuk membersihkan hati, kita hendaklah kita hubungannya dengan Allah, pencipta kita.

Untuk mendidik anak kita untuk menjadi orang berilmu dan buakn robot atau mesin kita mestilah terlebih dahulu berilmu untuk mendidik....Fikir-fikirkanlah....Jangan lupa menonton 3 Idiots dan beritahu saya apa komen anda...:)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...