Blog ini memfokuskan mengenai isu-isu perubatan, keibubapaan dan isu-isu semasa yang berkaitan dengan perubatan. Diharapkan para pembaca dapat memberi komen atau reaksi bagi mengetahui kualiti entry saya, semoga apa yang dipaparkan dapat memberikan manfaat kepada pembaca...Terima kasih
Friday, January 7, 2011
Cerita masak-masak :Western Food
Chef kecik buat roti coklat chips!
Labels:
aiman,
aqilah,
cerita masak-masak,
keluarga,
roti
Thursday, January 6, 2011
Sesungguhnya ajal itu pasti...
060111, abang saya yang kedua menghembuskan nafasnya yang terakhir pada usianya 48 tahun akibat komplikasi kencing manis. Hati saya merasa sebak tatkala mengucup dahi Abang Ri buat kali terakhir, dinginnya terasa dan tatkala mendengar talkin yang dibacakan sendiri oleh ayah saya di perkuburan beliau..."Wahai anakandaku Che Engku Nazeri ibn Habsah.....".Tiada siapa sangka beliau pergi terlebih dahulu daripada ibu dan ayah saya. Sesungguhnya ajal itu pasti dan kita tidak tahu bilakah ia akan datang menjemput kita.
Sesungguhnya orang yang paling bijak ialah orang yang sentiasa mengingati mati iaitu sentiasa cuba menjadi insan yang terbaik di setiap hari...Menjadi hamba Allah yang terbaik, menjadi isteri yang terbaik, menjadi ibu yang terbaik, menjadi anak yang terbaik, menjadi teman yang terbaik, menjadi pekerja yang terbaik....
Al-fatihah......
Sesungguhnya orang yang paling bijak ialah orang yang sentiasa mengingati mati iaitu sentiasa cuba menjadi insan yang terbaik di setiap hari...Menjadi hamba Allah yang terbaik, menjadi isteri yang terbaik, menjadi ibu yang terbaik, menjadi anak yang terbaik, menjadi teman yang terbaik, menjadi pekerja yang terbaik....
Al-fatihah......
Wednesday, January 5, 2011
PETUA MELAHIRKAN ANAK YANG HEBAT

Semua ibubapa tentunya inginkan anak-anak mereka menjadi anak-anak yang hebat termasuklah diri saya sendiri. Namun, bagaimanakah cara melahirkan anak-anak yang hebat dari aspek intelektual dan juga spiritual?
Jika semasa mengandung, kita memastikan memakan makan vitamin dan makanan yang sihat. Semasa membesarkan anak-anak kita sentiasa teliti dengan pemakanan anak-anak kita, sedari kecil diberikan susu ibu sehingga sekurang-kurangnya 2 tahun. Kemudian kita sanggup bersusah payah memasak masakan yang berkhasiat dan berkualiti untuk anak-anak tanpa sebarang campuran msg. Jika membeli bahan-bahan mentah juga kita pastikan mencari yang segar untuk disuapkan ke mulut anak-anak kita. Langkah itu sememangnya amat baik namun itu masih belum cukup untuk menjadikan anak-anak kita anak yang hebat.
Saya suka mengulas perkara ini setelah menganalisis pembacaan saya terhadap tokoh-tokoh Islam yang hebat seperti Imam As-Syafie, Sultan Muhammad al-Fateh dan juga Sheikh Kadir al-Jailani. Mereka merupakan orang yang hebat di zaman masing-masing dan terkenal hingga ke hari ini. Mereka yang hebat ini semua lahir dari ibubapa yang hebat hubungannya dengan Allah s.w.t.
Jawapan untuk melahirkan anak-anak yang hebat sebenarnya harus bermula daripada diri kita sendiri. Kita harus menjadi hebat sebelum kita mengharapkan anak-anak kita menjadi hebat. Hebat dari segi yang mana? Hebat yang saya maksudkan di sini adalah hebat dari segi hubungan dengan Allah s.w.t. Antara checklist untuk melahirkan anak-anak yang hebat yang bermula dari kandungan:
1. Adakah kita rajin untuk membaca al-Quran?
2. Adakah kita ada rasa cinta kepada al-Quran?
3. Adakah sembahyang fardhu kita cukup?
4. Adakah kita suka sembahyang berjemaah?
5. Adakah kita suka mengawalkan waktu solat dengan tidak menangguh-nangguhnya disebabkan urusan dunia?
6. Adakah kita suka melakukan perkara-perkara sunat seperti sembahyang sunat sebelum dan selepas sembahyang fardhu?
7. Adakah kita selalu bangun malam untuk bertahajud, solat taubat dan solat hajat?
8. Adakah kita tidak kedekut untuk bersedekah untuk membantu orang-orang miskin?
9. Adakah kita sudah membahagiakan hati kedua ibubapa kita dengan member khidmat kepada mereka?
10. Adakah hati kita ikhlas dan jujur dalam melakukan amanah?
11. Adakah kita sudah memberikan pergantungan hidup kita adalah semata-mata hanya kepada Allah?
12. Adakah rezeki yang kita cari setiap hari adalah dari sumber yang halal?
13. Adakah kita selalu berdoa dan berharap kepada Allah untuk mudahkan segala urusan kita?
14. Adakah kita lebih cintakan kehidupan dunia atau akhirat?
Checklist ini menjadi panduan untuk muhasabah diri saya dan juga anda. Saya selalu mendengar orang takut tentang masa depan anak-anak mereka di masa hadapan. Takut anak-anak mereka terlibat dengan gejala yang tidak sihat. Lalu, mereka menghantar anak-anak mereka ke sekolah agama. Namun, pada masa yang sama, diri mereka sebagai ibubapa tidak berusaha untuk menjadi yang terbaik. Mereka hanya mengharapkan anak-anak mereka menjadi yang terbaik. Jika merujuk checklist di atas kebanyakkan jawapannya adalah tidak. Saya merasakan itu adalah satu perkara yang tidak adil untuk diri anak-anak mereka sendiri dan adakah Allah s.w.t akan membantu kita jika hubungan kita dengan Yang Maha Kuasa adalah setakat gitu-gitu sahaja? Insya-Allah jika hubungan kita dengan Allah adalah kuat, Allah akan memudahkan urusan kita mendidik anak-anak kita, dilembutkan hati anak-anak kita untuk mendengar tunjuk ajar dan nasihat daripada kita, rasa kasih dan sayang anak akan sentiasa ada pada kita dan dilindungkan anak-anak kita daripada gejala yang tidak diingini. Ini kerana Allah sentiasa mendengar doa dan rintihan hamba-hambanya terutamnya daripada hambanya yang baik dan terutamanya di waktu 1/3 malam. Contoh terbaik untuk kita ikut pastilah Rasulullah s.a.w. yang merupakan insan terbaik di muka bumi ini.
Untuk melahirkan anak-anak yang hebat sebenarnya bermula dari diri anda bukan bermula dari diri anak anda.
Fikir-fikirkanlah.
Wallahua’alam.
Monday, January 3, 2011
Lagi filem wajib tonton:3 Idiots
Saya bukanlah peminat filem Hindustan terutama filem hindustan yang baru-baru sebab banyak pelakonnya makin seksi berlakon dan penceritaan berkisar hanya mengenai cinta muda-mudi. Tetapi filem hindustan 3 Idiots ini memang lain dari yang lain! Memang klass dan wajib ditonton oleh ibu-ibu dan bapa-bapa muda zaman sekarang. Sebelum tengok filem ini kat Astro di saluran Fiesta sempena tahun baru 2011 baru-baru ini memang saya dan suami sudah diberitahu oleh kawan-kawan kat pejabat masing-masing, filem ni memang best!!!Jadi, kami sekeluarga tak lepaskan peluang menontonnya secara percuma di saluran Fiesta baru-baru ini:). Memang filem ini best sampaikan Aqilah (anak saya yang berusia 2tahun) pun suka, walaupun Aqilah tak faham bahasa Hindustan (ibu dan ayah dan abang Aiman pun sama..:)) dan tak boleh baca subtitle, namun Aqilah seolah-olah faham dan terhibur dengan cerita ini. Kami tengok filem ini berulang-ulang sampai 3 kali tanpa jemu. Terdapat babak yang membuatkan saya sedih dan mengalirkan air mata...tersentuh sangat...kalau tak percaya cuba tengok sendiri. Favourite code kami anak beranak sekarang adalah All Izz Well yang maksudnya semuanya baik.Ringkasan cerita 3 Idiots
Mengisahkan 3 orang sahabat baik iaitu Ranchoo, Raju dan Farhan yang belajar di sebuah kolej kejuruteraan yang terkenal di India. Ranchoo merupakan seorang budak yang genius. Dia belajar adalah kerana dia suka belajar dan kerana ilmu bukan semata-mata untuk lulus peperiksaan. Ini berbeza dengan Raju yang bersala daripada keluarga miskin. Tekanan untuk mencapai kecemerlangan bagi mengubah nasib keluarga menyebabkan dirinya tertekan. Bagi Farhan pula, minatnya tiada dalam bidang kejuruteraan tetapi dipaksa oleh keluarganya untuk menjadi jurutera bagi menaikkan imej keluarga di mata masyarakat setempat. Minat Farhan adalah di dalam bidang fotografi.
Kebanyakkan pelajar di kolej ini juga belajar sekadar untuk menghafal tanpa cuba memahami menyebabkan mereka seolah-olah seperti mesin. Kehadiran pensyarah yang tidak mendidik pelajar untuk berinovasi juga menerukkan lagi situasi ini.
Akibat tekanan kehidupan, banyak pelajar yang mengambil keputusan untuk membunuh diri.
Pengajaran yang saya dapat kutip dari filem ini.....
Suami saya bekerja di sebuah syarikat antarabangsa dan mempunyai kawan-kawan yang berasal dari Negara India. Menurut mereka, memang di negara India sekarang, situasi yang dipaparkan di dalam filem 3 Idiots ini memang benar-benar berlaku. Mereka di sana berlumba-lumba untuk jadikan anak-anak mereka doktor, jurutera ataupun peguam. Dan menurut suami saya, mereka yang datang dari India, memang macam mesin dan kerja ikut buku semata-mata dan tidak boleh berfikir secara kreatif.
Saya perhatikan, Malaysia sekarang juga sedang melangkah ke arah itu. Masing-masing berlumba-lumba untuk mendapatkan banyak A. Sehingga satu tahap, A sudah tidak dipandang lagi tetapi 100%. Bagi saya situasi ini amat tidak sihat untuk diteruskan. Jika anak di darjah satu tidak mendapat markah 100%, itu bukanlah pengakhiran dalam hidupnya. Banyak perkara lagi yang akan dipelajari sepanjang penghidupan ini bukan hanya semata-mata markah 100%. Janganlah ketidakcapaian mereka mendapat 100% menyebabkan kita runsing dan resah dan memberi tekanan juga kepada anak-anak kita. Lantas sejak dari darjah satu lagi kita sudah sibuk menghantar mereka ke kelas tuisyen semata-mata supaya mereka mendapat 100% dalam semua matapelajaran.
Apa yang penting bagi saya adalah kita mendidik anak-anak kita the spirit of the learning itself. Mengapa mereka perlu belajar?Apakah ilmu itu untuk dihafal semata-mata atau ilmu harus ada di dalam dada?Adakah semata-mata belajar atau semua ilmu yang ada perlu diamalkan?Banyak ceramah-ceramah agama/motivasi dan buku-buku agama/motivasi yang saya baca mengaitkan ilmu adalah cahaya. Ilmu bukan sesuatu yang perlu dihafal semata-mata tetapi diamalkan. Seperti kata pepatah Ilmu yang tidak dimanfaatkan ibarat pokok yang tidak berbuah.Seperti kata Imam As-Syafie, jika ingin ilmu masuk dan meresap di dalam hati kita, hati kita mestilah bersih, untuk membersihkan hati, kita hendaklah kita hubungannya dengan Allah, pencipta kita.
Untuk mendidik anak kita untuk menjadi orang berilmu dan buakn robot atau mesin kita mestilah terlebih dahulu berilmu untuk mendidik....Fikir-fikirkanlah....Jangan lupa menonton 3 Idiots dan beritahu saya apa komen anda...:)
Sunday, December 19, 2010
Filem wajib tonton:Shrek 4!

Dalam 2 minggu lepas, kami sama-sama lepak tengok DVD Shrek 4, walaupun mungkin bagi sesetengah kawan-kawan ianya dah basi tapi ini 1st time saya dan suami menonton filem ini dan Aiman dah pernah tengok kat rumah babysitter...Sepanjang tengok filem ini sibuk Aiman mahu bercerita sebab dia dah tengok sampai saya terpaksa cakap sshhh...sori ye Along Aiman, ibu nak feel sendiri filem ni...:)...
Saya dan suami bagi 5 bintang pada filem ini, menarik dan banyak pengajaran yang dapat kita ambil dari kisah Shrek 4. Bagi Aqilah, saya rasa Aqilah bagi 10 bintang kot sebabnya Aqilah tak puas-puas tengok cerita ini, pagi-pagi bangun tidur tengok shrek, petang ibu balik kerja pun nak tengok shrek...
Bagi sesiapa yang belum tengok filem ini wajib beli dan tengok dengan suami dan anak-anak sebab pengajarannya untuk sekeluarga. Shrek 4 menceritakan mengenai Shrek yang mulai merasa bosan dengan kehidupan rutinnya bersama keluarganya iaitu Fiona dan 3 anaknya. Setiap hari rutin kehidupan Shrek ialah bangun tidur yang dikejutkan oleh anak-anaknya kemudian menolong Fiona menguruskan urusan anak-anak, memberikan susu anak, menyalin lampin anak, membuang sampah lampin, menolong membetulkan sinki tersumbat, makan bersama keluarga yang diceritakan tentang cerita yang sama berulang-ulang. Kesibukan rutin harian ini juga menyebabkan aktiviti personal Shrek untuk mandi lumpur dan berehat-rehat sendirian juga terganggu. Kebosanan dan kemarahan yang terpendam dalam diri Shrek akhirnya dikeluarkan semasa sambutan Hari Jadi pertama anak kembar 3 Shrek. Shrek mengamuk dengan menghancurkan kek hari jadi anaknya. Fiona dengan sabar cuba menyedarkan Shrek tentang nikmat yang Shrek ada pada hari ini iaitu isteri yang menyayanginya, anak-anak yang comel dan rakan-rakan yang memuja dirinya. Namun, nasihat Fiona tidak dapat melembutkan hati Shrek yang marah dan ingin mendapat nikmat kehidupan sebelum dia berjumpa dengan Fiona. Pertengkaran Shrek dan Fiona didengari oleh Rumpelstilskin iaitu seorang ahli sihir yang jahat. Rumpelastilskin membuat rancangan untuk memusnahkan kehidupan Shrek dengan memujuk Shrek membuat satu perjanjian di mana Shrek akan dapat kehidupannya semula sebelum bertemu Fiona. Namun, perjanjian tersebut terdapat perkara yang tersembunyi di belakang perjanjian tersebut yang tidak disedari oleh Shrek. Apabila Shrek tersedar, ianya bagaikan sudah terlambat. Dalam kehidupan barunya, Fiona tidak pernah kenal dirinya dan Shrek tidak pernah menyelamatkan Fiona daripada menara yang dikawal oleh naga. Bagi menyelamatkan keadaan, Shrek cuba mendapatkan semua true love daripada Fiona. Adakah Shrek berjaya?Anda perlu menontonnya. Filem ini digarap dengan begitu baik dan memang rasa amat terhibur menontonnya. Aqilah paling suka dengan adegan Shrek, Fiona dan rakan-rakan Ogre yang menari dengan terpaksa akibat siulan seruling oleh Piper.
Lepas menonton filem ini, macam biasa saya akan bertanyakan Aiman apa pengajaran yang dapat diambil dari filem ini. Pengajarannya ialah kita harus bersyukur dengan apa yang kita ada pada hari ini, kena sayang apa yang kita ada, keluarga kita, suami kita, anak-anak kita. Jangan sesekali kita merasa susah dan bosan dengan kehadiran kita dalam kehidupan kita kerana sesungguhnya merekalah penyeri kehidupan yang mungkin kita telah melupakannya.....
Selamat menonton....
Thursday, December 9, 2010
APA YANG ANDA PERLU TAHU MENGENAI OMEGA 3

Info ini diadaptasi daripada Medscape dan diolah oleh saya
Adakah anda tahu apakah sebenarnya Omega 3?
Omega 3 sebenarnya adalah sejenis lemak yang baik yang boleh didapati daripada ikan, telur beromega 3, kekacang dan sayuran seperti bayam, brokoli.
Apakah terdapat perbezaan di antara Omega 3 daripada ikan dan kekacang juga sayur-sayuran?
Memang terdapat perbezaan antara Omega 3 di dalam ikan dan kekacang juga sayur-sayuran. Jenis omega 3 yang terdapat pada ikan dikenali sebagai DHA dan EPA dan didalam sayuran dan kekacang dikenali sebagai ALA. DHA dan EPA didapati mempunyai manfaat yang lebih berbanding ALA. Namun begitu sebahagian kecil daripada ALA akan ditukarkan kepada EPA dan ALA oleh badan.
Apakah kebaikan Omega 3 ini?
Omega 3 dipercayai boleh mengurangkan risiko penyakit jantung, mengurangkan simptom kemurungan, sakit sendi dan juga mengurangkan risiko penyakit kanser.
Bagaimana Omega 3 dapat mengurangkan risiko penyakit-penyakit tersebut?
Omega 3 dipercayai dapat menghalang penyakit-penyakit tersebut dengan mengurangkan inflamasi di dalam salur darah, sendi dan semua tempat inflamasi yang ada di dalam badan. Omega 3 juga dipercayai mengurangkan risiko ritma jantung yang abnormal (abnormal heart rhythm), mengurangkan kadar lemak yang tidak sihat di dalam badan dan melambatkan kadar pembinaan plak-plak lemak di dalam salur darah atau dikenali sebagai arteriosklerosis (penyebab penyakit darah tinggi dan penyakit jantung).
Omega 3 dan Triglycerides (TG)
Omega 3 boleh mengurangkan kadar TG dalam darah (TG adalah sejenis lemak yang tidak baik dalam darah yang boleh menyebabkan penyakit jantung). Walau bagaimanapun, Omega 3 juga boleh meningkatkan kadar kolesterol dalam badan iaitu kedua-dua lemak baik (HDL) dan lemak jahat (LDL). Oleh itu bagi pesakit yang mempunyai kadar TG yang tinggi dalam badan hendaklah mendapatkan nasihat pakar perubatan sebelum mengambil Omega 3. Namun secara umumnya pengambilan ikan yang mempunyai kadar Omega 3 yang tinggi adalah selamat.
Omega 3 dan Stroke
Omega 3 menghalang pembinaan plak dalam salur darah ke otak yang boleh menghalang ischemic stroke (strok yang terjadi akibat saluran darah ke otak tersumbat). Omega 3 juga mempunyai kesan menghalang pembekuan darah. Oleh itu pada dos yang tinggi, supplement Omega 3 dipercayai boleh menyebabkan hemorrhagic stroke (strok yang terjadi akibat pendarahan dalam otak).
Omega 3 dan Rheumatoid Arthritis
Omega 3 boleh mengurangkan sakit sendi dan kekerasan sendi (joint stiffness) pada pesakit rheumatoid arthritis.
Omega 3 dan dementia
Omega 3 dipercayai mengurangkan risiko penyakit Alzheimer’s.
Omega 3 dan kanak-kanak
Berhati-hati dengan promosi iklan susu tepung kanak-kanak yang mendakwa Omega 3 adalah ”brain-boosting” power untuk kanak-kanak. American Academy of Pediatrics mengesyorkan kanak-kanak makan lebih banyak ikan bagi mendapatkan khasiat Omega 3 berbanding pengambilan supplement.
Omega 3 dan wanita mengandung
Satu kajian yang telah dijalankan oleh John Colombo, PhD mendapati bayi yang lahir daripada ibu yang mengambil kadar Omega 3 dan DHA yang mencukupi semasa mengandung didapati mempunyai daya tumpuan yang lebih semasa dua tahun awal mereka berbanding dengan bayi yang lahir daripada ibu yang kurang kadar Omega 3 dan DHA.
Berapa banyak Omega 3 dan DHA yang diperlukan oleh wanita mengandung?
Kajian Levine menyarankan keperluan DHA sebanyak 250mg semasa mengandung
DHA dan susu ibu
DHA secara semulajadi terkandung di dalam susu ibu yang mana amat bagus untuk kecerdasan otak bayi yang sedang membesar....alhamdulillah, anugerah Allah untuk ibu dan anak-anak kita.
Bahaya ikan yang dicemari
Salah satu perhatian yang perlu diberi perhatian semasa pengambilan ikan adalah pencemaran ikan oleh merkuri akibat laut yang tercemar. Kehadiran merkuri di dalam ikan adalah berbahaya bagi wanita mengandung, wanita menyusukan anak dan kanak-kanak. Oleh itu sebagai langkah berjaga-jaga elakkan memakan ikan pemangsa seperti shark, sworkfish, king mackerel dan buang kulit, lemak-lemak ikan sebelum memakan ikan.
Kesimpulan
Terdapat banyak kebaikan yang boleh didapati dengan pengambilan Omega 3 terutamanya bagi mengelakkan penyakit kronik seperti darah tinggi, sakit jantung dan strok. Bahkan ianya amat bagus untuk bayi dan kanak-kanak yang sedang membesar untuk kecerdasan otak dan daya tumpuan yang tinggi. Namun, badan kita tidak dapat menghasilkan Omega 3 dengan sendiri. Sumber terbaik bagi mendapatkan Omega 3 adalah daripada ikan. Ini bertepatan dengan hadis Rasulullah yang menggalakkan kita umat Islam memakan ikan dan mengurangkan pengambiln daging sekali seminggu sahaja. Dan bayi bayi pula sumber yang terbaik semestinya daripada susu ibu, anugerah daripada Allah Taala. Oleh itu, langkah terbaik sebagai seorang ibubapa, kita pastikan diet keluarga kita lebih kerapkan pengambilan ikan dalam masa seminggu sebagai sumber protein berbanding ayam atau daging. dan bagi bakal-bakal ibu pastikan anda menyusu anak-anak anda.
Semoga mendapat manfaat.
Wallahua’alam.
Berapa banyak Omega 3 dan DHA yang diperlukan oleh wanita mengandung?
Kajian Levine menyarankan keperluan DHA sebanyak 250mg semasa mengandung
DHA dan susu ibu
DHA secara semulajadi terkandung di dalam susu ibu yang mana amat bagus untuk kecerdasan otak bayi yang sedang membesar....alhamdulillah, anugerah Allah untuk ibu dan anak-anak kita.
Bahaya ikan yang dicemari
Salah satu perhatian yang perlu diberi perhatian semasa pengambilan ikan adalah pencemaran ikan oleh merkuri akibat laut yang tercemar. Kehadiran merkuri di dalam ikan adalah berbahaya bagi wanita mengandung, wanita menyusukan anak dan kanak-kanak. Oleh itu sebagai langkah berjaga-jaga elakkan memakan ikan pemangsa seperti shark, sworkfish, king mackerel dan buang kulit, lemak-lemak ikan sebelum memakan ikan.
Kesimpulan
Terdapat banyak kebaikan yang boleh didapati dengan pengambilan Omega 3 terutamanya bagi mengelakkan penyakit kronik seperti darah tinggi, sakit jantung dan strok. Bahkan ianya amat bagus untuk bayi dan kanak-kanak yang sedang membesar untuk kecerdasan otak dan daya tumpuan yang tinggi. Namun, badan kita tidak dapat menghasilkan Omega 3 dengan sendiri. Sumber terbaik bagi mendapatkan Omega 3 adalah daripada ikan. Ini bertepatan dengan hadis Rasulullah yang menggalakkan kita umat Islam memakan ikan dan mengurangkan pengambiln daging sekali seminggu sahaja. Dan bayi bayi pula sumber yang terbaik semestinya daripada susu ibu, anugerah daripada Allah Taala. Oleh itu, langkah terbaik sebagai seorang ibubapa, kita pastikan diet keluarga kita lebih kerapkan pengambilan ikan dalam masa seminggu sebagai sumber protein berbanding ayam atau daging. dan bagi bakal-bakal ibu pastikan anda menyusu anak-anak anda.
Semoga mendapat manfaat.
Wallahua’alam.
Subscribe to:
Posts (Atom)