Sunday, April 10, 2011

Analisis saya daripada segmen motivasi pagi IKIM

Setiap hari, dalam perjalanan ke tempat kerja, satu perkara wajib yang saya mesti buat ialah mendengar motivasi pagi di IKIM. Memang seronok dan banyak perkara yang berguna saya dapat sepanjang tempoh mendengar motivasi tersebut. Jadi, kali ini saya ingin mengambil peluang berkongsi manfaat yang saya dapat menerusi motivasi pagi pada minggu lepas.

Motivator yang baru ini menekankan perkara-perkara yang boleh menaikkan semangat untuk bekerja. Dengan mengambil falsafah daripada Maslow, beliau mengolah falsafah tersebut kepada konsep Islam. Saya rasa cara tersebut amat bagus. Antara perkara yang boleh menaikkan semangat untuk bekerja ialah kita merasa seronok dengan pekerjaan yang kita lakukan dan mempunyai matlamat yang jelas berkenaan pekerjaan kita. Jadi kunci untuk bersemangat untuk bekerja ialah kita mesti tanamkan minat terhadap pekerjaan yang kita lakukan dan merancang matlamat hasil daripada pekerjaan kita. Bila dikaitkan dengan Islam sebenarnya, Islam telah mengajar kita tentang matlamat sesuatu perkara yang kita lakukan iaitu setiap perkara yang dilakukan dengan niat kerana Allah Taala pasti akan mendapat ganjaran yang besar daripada Allah. Kalau niat perkara keduniaan semata-mata, maka kita akan dapat perkara dunia itu sahaja dan terlepas ganjaran yang lebih besar di akhirat sana yang lebih kekal abadi...Subhanallah...

Saya ingin kaitkan dengan dunia blogging saya. Niat saya berblogging adalah kerana Allah dan untuk berkongsi serba sedikit ilmu perubatan, ilmu keibubapaan, ilmu agama yang ada pada saya dengan semua orang-orang awam (public person) dengan bahasa yang mudah difahami dan mudah untuk dipraktikkan. Matlamat saya ialah satu semoga ilmu yang bermanafaat ini menjadi salah satu antara 3 perkara yang dapat menolong saya jika saya telah meninggal dunia nanti iaitu di bawah ilmu yang bermanafaat. Semoga niat saya ini dimakbulkan oleh Allah dan semoga ilmu yang bermanafaat ini dapat menerangi saya semasa di alam barzakh nanti, Insya-Allah. Jadi, kawan-kawan amatlah dialu-alukan menyebarkan ilmu daripada blog saya ini untuk manfaat semua.

Daripada motivasi pagi kepada motivasi untuk Aiman

Saya sebagai ibu, saya ingin memupuk rasa seronok untuk belajar dalam diri anak saya Aiman. Saya amat sedar bahawa jika kesedaran untuk belajar datang dari dalam diri individu itu sendiri bukan dari paksaan ibu bapa, maka kejayaan akan mudah dicapai oleh mereka. Selalu saya dengar bahawa budak-budak lelaki lebih suka bermain daripada belajar. Memang saya akui, Aiman memang lebih suka bermain daripada mentelaah pelajaran. Namun, saya tidak mahu berputus asa. Sifat berputus asa tidak boleh ada dalam diari seorang yang mengaku dirinya Islam. Saya ingin merubah keadaan tersebut untuk mendidik anak lelaki saya juga salah seorang anak yang cemerlang dan belajar hasil daripada keinginan beliau sendiri bukan dari paksaan saya.

Daripada motivasi pagi yang saya dengar mengenai matlamat dan keseronokan dengan apa yang kita suka, saya cuba terjemahkan kepada Aiman dalam bahasa yang mudah. Saya mengambil contoh Jackie Chan sebab Aiman memang mengenali Jackie Chan dan meminati filem-filem aksi beliau. Sepertimana yang kita ketahui, Jackie Chan merupakan seorang pelakon Hong Kong yang berjaya bukan sahaja di negaranya malah di seluruh dunia. Daripada pembacaan saya, Jackie Chan amat komited, seronok dengan pekerjaannya sebagai pelakon filem kung-fu. Kesemua filem aksi kung fu dan aksi lasak di dalam filem-filem beliau dilakukan oleh beliau sendiri tanpa menggunakan pelakon lagak ngeri (stunt man). Di setiap akhir filem beliau akan ditunjukkan aksi-aksi ngeri yang dilakukan sendiri oleh Jackie Chan. Walaupun kesemua aksi lagak ngeri tersebut berbahaya tetapi beliau melakukan sendiri di atas rasa seronok apabila beliau melakukan perkara tersebut. Rasa seronok telah menolak semua cabaran yang akan beliau hadapi. Bila saya bagi contoh tersebut, Aiman kelihatan amat berminat sekali mendengar. Jadi, saya memberitahu Aiman, jika kita ingin berjaya pada tahap yang paling tinggi dalam hidup kita kita kena terlebih dahulu seronok dengan perkara yang kita lakukan. Ini termasuklah belajar. Bahkan matlamat atau cita-cita juga kena tanamkan apa yang seronok tentang cita-cita tersebut. Cita-cita Aiman ingin menjadi seorang doktor. Saya memberitahu Aiman bahawa bekerja sebagai seorang doktor adalah sangat sibuk. Jadi, jika duit menjadi matlamat, maka kesibukan kerja akan melemahkan semangat Aiman nanti untuk bekerja. Jadi kena betulkan niat untuk menjadi doktor bukan kerana duit tetapi kerana pahala yang dapat oleh para doktor yang bekerja secara ikhlas dan seronok dapat membantu orang sakit. Kelihatan muka Aiman amat ceria sekali menyatakan Aiman amat seronok jika dapat bantu orang yang sakit. Saya sentiasa panjatkan doa semoga anak-anak saya akan menjadi orang yang berguna dan berjaya di dunia dan akhirat....Amin... dan saya juga percaya anda juga begitu...

Wallahua'lam...

Thursday, April 7, 2011

Sambungan ulasan buku Aisyah Keanggunan Sejati

Sambungan ulasan buku Aisyah Keanggunan Sejati Terdapat kisah di mana berlaku fitnah terhadap Aisyah yang dilakukan oleh orang munafik. Fitnah tersebut menyebabkan kesucian dan kehormatan Aisyah diragui. Malah Rasulullah sendiri mengasingkan Aisyah akibat peristiwa tersebut. Aisyah amat sedih kerana dirinya difitnah sehingga beliau jatuh sakit. Kesucian Aisyah akhirnya terjawab dengan turunnya wahyu daripada Allah. Aisyah juga merajuk dengan Rasulullah akibat peristiwa ini. Sewaktu Rasulullah sakit kepala yang teramat sangat (sebelum baginda wafat), setiap hari baginda asyik bertanyakan hari tersebut baginda sepatutnya berada di rumah isteri mana dan berikutnya ke rumah isteri yang mana. Isteri-isteri baginda amat memahami bahawa Rasulullah s.a.w ingin segera berada di rumah Aisyah. Dengan itu,dengan rasa kasih sayang, bersetuju supaya Rasulullah s.a.w terus berada di rumah Aisyah sewaktu baginda sakit tanpa perlu pergiliran. Rasulullahs.a.w akhirnya wafat di atas pangkuan Aisyah.

Antara kelebihan Aisyah yang tidak dapat ditandingi oleh mana-mana wanita adalah:

1. Beliau merupakan isteri yang paling dicintai oleh Rasulullah s.a.w selain Khadijah.

2. Rasulullah s.a.w mengahwini Aisyah berdasarkan wahyu daripada Allah. Sebelum berkahwin dengan Aisyah, Rasulullah bermimpi dua kali Malaikat Jibril membawa kain sutera kepada Rasulullah s.a.w. Apabila dibuka kain sutera tersebut, Rasulullah melihat wajah Aisyah pada kain sutera tersebut dan Malaikat Jibril berkata itulah gambaran bakal isteri Rasulullah s.a.w.

3. Wahyu pernah diturunkan kepada Rasulullah sewaktu baginda bersama dengan Aisyah tidak ketika baginda bersama dengan isteri yang lain.

4. Terdapat ayat al-Quran yang menceritakan kisah Aisyah yang difitnah oleh orang-orang munafik. Ayat al-Quran tersebut membersihkan nama Aisyah kembali. 5. Rasulullah dimaqamkan di rumah Aisyah.

Ciri-ciri sifat Aisyah yang patut menjadi contoh semua wanita:


(1) Aisyah bersifat qanaah iaitu sifat redha dengan apa yang ada. Sifat qanaah dan wanita sebenarnya ibarat air dan minyak iaitu amat sukar untuk bercampur. Ini kerana naluri semulajadi wanita memang sukakan kecantikan dan kemewahan. Jikalau memakai baju, mahu memakai baju yang tercantik dan jikalau boleh menjadi perhatian semua orang. Begitu juga dengan perhiasan rumah, wanita suka menghias rumah dengan kadar yang berlebih-lebihan. Tetapi Aisyah tidak bersifat begitu. Sepertimana yang dinyatakan sebelum ini, rumah Aisyah dan Rasulullah hanyalah sebesar bilik sahaja dan tiada tilam empuk sebagai lapik tidur mereka berdua. Namun, Aisyah tidak pernah meminta-minta daripada Rasulullah untuk kehidupan yang mewah.

(2) Aisyah merupakan seorang wanita yang amat bijak. Beliau dapat menghafal ayat-ayat al-Quran dengan cepat dan juga mengingati hadis-hadis Rasulullah s.a.w. Hanya Aisyah seorang sahaja wanita di kalangan perawi-perawi hadis. Ini juga adalah hikmah di mana Allah mewahyukan Rasululah mengahwini Aisyah sewaktu Aisyah masih kecil iaitu 6 tahun dan Aisyah duduk bersama Rasullullah sejak dari umur 9 tahun. Sebagaimana yang kita maklum, keinginan untuk belajar dan akal yang cerdas adalah lebih di kalangan mereka yang masih muda berbanding orang yang sudah berusia. Oleh sebab itu, dibandingkan dengan isteri-isteri Rasulullah yang lain, Aisyah adalah yang palik bijak dan banyak menghafal hadis-hadis Nabi. Selepas kewafatan Rasulullah s.a.w, Aisyah menjadi sumber rujukan untuk penjelasan hadis-hadis Nabi dan al-Quran juga.

(3) Aisyah merupakan seorang wanita yang amat rajin bersedekah.

(4) Aisyah juga amat suka berpuasa.

(5) Aisyah juga seorang wanita yang bersemangat waja. Beliau boleh mengetuai pasukan semasa Perang Jamal berlaku.

Hikmah Rasulullah mengahwini Aisyah

1. Aisyah menjadi isteri Rasulullah sejak dari usia 9 tahun hingga 18 tahun. Oleh itu, segala akhlak dan tingkahlaku Aisyah adalah hasil didikan daripada Rasulullah s.a.w.

2. Aisyah yang berusia muda dan mempunyai akal yang cerdas dapat menghafal hadis-hadis Rasulullah.

3. Banyak akhlak Rasululah bersama keluarga diceritakan oleh Aisyah.

4. Aisyah meninggal pada usia 57 tahun, oleh itu masa 40 tahun digunakan oleh Aisyah untuk memperturunkan segala ilmu yang diajar oleh Rasulullah kepada beliau. Beliau menjadi rujukan jika terdapat kekeliruan yang berlaku pada hadis nabi malah ayat-ayat al-Quran juga.

5. Aisyah menjadi rujukan utama untuk para wanita menuntut ilmu pada zaman tersebut. Di kalangan lelaki banyak para ilmuwan yang dihasilkan namun bagi pihak perempuan Aisyah adalah yang paling hebat.

Banyak lagi kisah-kisah best…buku ini amat tebal sekali. Berbaloi beli sebab harganya amat berpatutan dan ceritanya best dan dapat merangsang jiwa kita berfikir. Anda boleh dapatkan buku ini di website saya http://www.kasihbuku.com/

Wallahua’lam

Wednesday, March 30, 2011

Ulasan Buku Aisyah Keanggunan Sejati


Alhamdulillah saya sudah membaca buku ni 1/3 dalam masa 3 jam malam tadi, memang best! Jika anda berminat boleh dapatkan diwebsite saya di kasihbuku.com .Banyak cerita-cerita best pasal Aisyah bersama Rasulullah s.a.w dimuatkan dalam buku ini. Memang amat bertuah Aisyah yang menjadi isteri yang paling dicintai oleh Rasulullah s.a.w selain Khadijah.
Banyak adegan yang saya rasa amat romantik antara Rasulullah dan Aisyah dimuatkan dalam buku ini. Contohnya masa hari perkahwinan mereka, Rasulullah dihidangkan segelas susu selepas akad nikah, kemudian Rasulullah memberikan lebihan susu yang diminum kepada Aisyah yang sudah sah menjadi isteri baginda. Aisyah dengan rasa malu-malu menerima gelas tersebut dan meminum susu tersebut. Sewaktu makan juga, daging yang mereka makan digigit oleh Aisyah kemudian Rasulullah menggigit daging tersebut di tempat yang sama, sewaktu Rasulullah beriktikaf di masjid Nabawi juga Aisyah akan datang menyikat rambut Rasulullah.....alahai...sungguh romantik, bertuahnya Aisyah menjadi suri insan teragung. Namun, banyak dugaan menjadi suri insan teragung ini, iaitu dalam hidup Aisyah tiada kemewahan. Kadang-kadang tiada makanan dan rumah bergelap kerana tiada pelita. Saiz rumah Aisyah dan Rasulullah s.a.w amat kecik, sebesar bilik sahaja dan tiada hiasan kemewahan. Namun mereka dijanjikan istana di syurga nanti, kita bagaimana...Masya-Allah minta dijauhkan rumah di dunia besar namun di akhirat .... Dalam buku ini juga dimuat cerita Aisyah sewaktu kecil, sewaktu menjadi isteri Rasulullah dan selepas kematian Rasulullah. Aisyah merupakan seorang yang bijak, sebab itulah beliau amat di sayangi oleh Rasulullah disamping sifatnya yang manja dan agak nakal. Terdapat satu kisah yang saya rasa kenakalan Aisyah ialah di mana setelah Rasulullah bersumpah tidak akan mendatangi isteri-isteri Baginda selama sebulan kerana mereka menginginkan kemewahan. Mereka diberi pilihan memilih Rasulullah atau kemewahan dunia. Setelah tamat tempoh sebulan, rumah yang pertama Rasulullah pergi ialah rumah Aisyah. Dengan sifat kenakalananya, Aisyah bertanya, mengikut perkiraannya hari itu baru hari ke-29, kenapa Rasulullah sudah datang? Rasulullah menjawab, bulan itu hanya ada 29 hari sahaja. Nakalkan Aisyah ni..:)....

Saya akan cuba tamatkan lagi 2/3 buku ini. Kalau kawan-kawan nak juga alami keseronokan membaca buku ini boleh dapatkan di kasihbuku.com .Link

Semoga jumpa lagi...

Thursday, March 24, 2011

Info Mengenai Mengandung Luar Rahim (Ectopic Pregnancy)



Saya diminta menulis info mengenai ectopic pregnancy atau mengandung luar rahim oleh Zi. Insya-Allah saya akan memberikan sedikit maklumat yang penting mengenai mengandung luar rahim kepada anda semua. Semoga anda mendapat manfaat. Pengalaman bertugas di Jabatan Kecemasan Hospital Kuala Lumpur banyak mengajar saya untuk cepat dan tepat membuat diagnosis kejadian mengandung luar rahim ini. Ini merupakan diagnosis pertama yang harus ada dalam senarai seorang doktor jika seorang wanita muda dan dalam usia subur datang mengadu sakit perut. Satu peristiwa yang tidak pernah saya lupa walaupun ia telah berlalu hampir 6 tahun yang lalu iaitu pesakit saya yang pekak dan bisu (si suami pun juga pekak dan bisu) mengadu sakit perut dan muntah. Saya memang tidak belajar bahasa isyarat. Apabila bertanya di manakah tempat sakit, dia menunjukkan di bahagian ulu hati. Jadi, pada awalnya saya menyangka sakit perutnya disebabkan gastrik, setelah diberikan injection ranitide, sakitnya tetap tidak berkurangan, rupa-rupanya sakit perut si isteri disebabkan mengandung luar rahim. Alhamdulillah Allah membantu saya dan beliau. Si isteri dapat diselamatkan melalui pembedahan kecemasan.

Apakah dia mengandung luar rahim?

Sebagaimana namanya mengandung luar rahim, bermakna embrio yang sepatutnya menempel di dinding rahim tidak berada di dalam rahim tetapi berada di tempat lain iaitu tiub fallopian (tiub rahim) paling banyak kes atau ovari (kilang telur) atau boleh juga berada di dalam perut (amat jarang). Keadaan ini berlaku kerana kegagalan embrio untuk bergerak melalui tiub ke dinding uterus. Ini boleh berlaku akibat tiub yang tersumbat disebabkan banyak perkara antaranya jangkitan kuman pada tiub, kehadiran parut (scar) pada tiub disebabkan pembedahan yang lepas. Kehadiran IUCD pada rahim juga boleh menghalang penempelan embrio pada dinding rahim. Merokok juga dikatakan punca mengandung luar rahim. Bagi wanita yang telah mengikat salur fallopion mereka juga, mengandung luar rahim juga boleh berlaku.

Apakah mengandung luar rahim ini biasa berlaku kepada mana-mana wanita?

Untuk pengetahuan anda, bagi kalangan wanita muda dalam usia yang subur (reproductive age), mengandung luar rahim merupakan diagnosis pertama yang harus ada di dalam fikiran semua doktor apabila seorang wanita muda datang mengadu mengalami sakit perut yang teramat sangat. Ini kerana jika mereka salah membuat diagnosis, keadaan ini boleh mengundang kematian. Oleh itu, anda jangan berasa marah kepada doktor jika anda mengalami sakit perut tetapi anda belum berkahwin, doktor tetap bertanyakan bila tarikh akhir haid anda dan adakah anda pernah melakukan hubungan dengan mana-mana lelaki. Semasa bertugas di Jabatan Kecemasan dahulu, ada kes dimana mereka menipu mengenai tarikh akhir haid dan menafikan hubungan dengan lelaki (samada mereka masih bujang atau ibu tunggal), namun disebabkan rasa prihatin doktor yang mahu menyelamatkan nyawa pesakit, pemeriksaan air kencing akan dilakukan dahulu untuk mengesahkan pesakit mengandung dan jika ianya positif , maka doktor selanjutnya akan menjalankan pemeriksaan ultrasound dan mendapati ianya kandungan luar rahim. Pesakit tidak menyedari sebenarnya jika mereka berbohong, mereka membahayakan diri mereka sendiri.
Tanda-tanda awal mengandung luar rahim

1. Anda tidak datang haid sebagaimana biasa (miss period) atau anda memang telah menyedari anda telah mengandung melalui ujian air kencing yang dilakukan.

2. Pada peringkat awal, anda mungkin akan mengalami tanda-tanda seperti wanita mengandung lain seperti loya dan mual.

3. Ada akan berasa sakit perut samada di sebelah kanan atau kiri. Kebiasaannya bagi orang lelaki, jika sakit perut pada bahagian kanan bawah (right iliac fossa), diagnosis utama adalah appendicitis tapi bagi perempuan muda dan dalam usia subur, diagnosis pertama adalah mengandung luar rahim. Pada mulanya sakit perut tersebut mungkin tidak berapa teruk tetapi apabila tiub fallopian pecah, maka akan akan mengalami sakit perut yang teramat sangat dan sakit perut ini akan merebak ke seluruh perut. Kebiasaannya tanda-tanda ini akan berlaku pada minggu ke-5 atau ke-6 mengandung kerana embrio sudah tidak dapat membesar di dalam tiub dan ia akan pecah.

4. Anda mungkin akan mengalami pendarahan yang sedikit melalui vagina sebab embrio telah tidak dapat membesar.


PERINGATAN: Anda harus SEGERA ke hospital apabila terdapat tanda-tanda berikut ada iaitu SAKIT PERUT DI BAHAGIAN KIRI ATAU KANAN PERUT DAN ANDA SEDANG MENGANDUNG MINGGU KE-4 ATAU KE-5 / HAID ANDA LAMBAT SELAMA 1-2 MINGGU.

Apakah rawatan untuk kes mengandung luar rahim

Kebiasaannya doktor akan melakukan pembedahan semada secara laparoscopic (guna alat robotic dan hanya tebukan kecil diperut, untuk kes yang belum pecah) atau laparotomy (pembedahan perut secara classic, untuk kes yang telah terpecah) untuk membuang kandungan luar rahim ini bagi menyelamatkan hanya ibu.

Apakah yang boleh menyebabkan kematian ibu

Bagi kes mengandung luar rahim yang tidak dikesan pada peringkat awal, ibu boleh meninggal disebabkan pendarahan dalaman.

Berita gembira untuk semua

Alhamdulillah dengan teknologi pada zaman kini, terdapat ultrasound yang dapat digunakan untuk mengenalpasti kejadian mengandung luar rahim. Kebanyakan hospital kerajaan yang berpakar dan mempunyai pakar perubatan kecemasan mempunyai alat ini di jabatan kecemasan masing-masing. Dengan kecanggihan teknologi masa kini, kejadian ibu mengandung meninggal disebabkan kes mengandung luar rahim telah dapat dikurangkan.

Semoga info di atas bermanafaat untuk anda semua...:)

Wallahua’lam

Wednesday, March 16, 2011

Ulasan buku Sultan Muhammad al-Fateh, Penakluk Konstantinople


Akhirnya saya sudah habis membaca buku Sultan Muhammad al-Fateh, Penakluk Konstantinople hari ahad yang lepas. Ceritanya memang best!Tak jemu membaca buku ini. Bagi sesiapa yang tidak tahu siapa sultan ini, apa hebatnya diri beliau, kenapa penaklukan Konstantinople ni penting, saya akan ceritakan serba sedikit ringkasan buku ini..:)...Sultan Muhammad al-Fateh atau nama sebenarnya Muhammad dan al-Fateh pula bermaksud penakluk adalah seorang yang hebat kerana kedatangan beliau telah disabdakan oleh baginda Rasulullah s.a.w kira-kira 1000 tahun sebelum penaklukan itu. Ini bermakna Rasulullah telah mendapat wahyu daripada Allah tentang kedatangan Sultan Muhammad al-Fateh. Ini bermakna Sultan Muhammad al-Fateh bukan calang-calang orang, beliau dipilih oleh Allah untuk menjadi penakluk Kota Konstantinople yang dikenali sebagai Istanbul sekarang ini.

Apakah sabda Rasulullah tersebut?

Kota Konstantinople akan ditawan oleh seorang raja yang terbaik yang memimpin askar yang terbaik dan rakyat yang terbaik.


Kenapa penaklukan Konstantinole sangat penting?
Konstantinople merupakan pusat Kerajaan Rom yang hebat dan sukar ditakluk sejak zaman para sahabat lagi kerana berada di kawasan yang sangat strategik. Sejak dari zaman Saidina Ali, zaman kerajaan Muawiyah, zaman kerajaan Abasiah semasa pimpinan Sultan Harun ar-Rasyid dan ayahanda Sultan Muhamamad sendiri iaitu Sultan Murad cuba menawan kota ini namun kesemuanya gagal.


Apakah kehebatan Sultan Muhammad al-Fateh?
1. Sultan Muhammad al-Fateh mempunyai seorang ayah yang alim iaitu Sultad Murad. Beliau adalah salah seorang raja yang cuba menakluk Kota Konstantinople namun gagal. Disebabkan Sultan Murad merupakan seorang raja yang alim, walaupun sorang raja boleh hidup dalam serba kemewahan namun beliau tidak membesarkan anaknya dengan kemewahan. Tetapi naluri keanak-anakkan pada Sultan Muhammad menyebabkan beliau suka bermain bersama rakan-rakannya sehinggalah pada suatu hari sewaktu beliau berusia 5 tahun, seorang guru agama yang tegas yang ditugaskan untuk mengajar beliau telah merotan Sultan Muhammad yang lebih suka bermain daripada belajar. Beliau tidak menyangka guru tersebut akan merotannya kerana beliau anak sultan. Apabila diadukan kepada ayahnya, apa jawapan Sultan Murad? Sultan Murad berkata beliau akan tugaskan guru yang lebih garang daripada guru yang memukulnya. Sejak hari itu Sultan Muhammad insaf dan belajar bersungguh-sungguh ilmu agama daripada ulama yang terhebat pada zaman itu.

2. Sultan Muhammad telah dilantik menjadi sultan pada usia yang sangat muda iaitu ketika usia 20 tahun selepas ayahandanya mangkat. Namun, usia yang muda tidak bermakna Sultan Muhammad tidak bijak memerintah.

3. Beliau adalah seorang yang amat alim, beliau tidak pernah meninggalkan tahajud sejak daripada usia baligh.

4. Beliau sentiasa meninjau keadaan rakyat dengan menyamar pada waktu malam. Sewaktu menyamar beliau mendapat tahu adakah rakyatnya adalah rakyat yang beriman atau sebaliknya.

5. Sewaktu menentang Rom bagi menawan Konstantinople beliau menggunakan taktik perang yang didatangkan oleh Allah ke dalam mimpinya.

6. Beliau berjaya menawan Konstantinople setelah hampir 2 bulan mengepung kota tersebut.

7. Setelah beliau menawan Kota Konstantinople, beliau tidak berlaku zalim kepada rakyat kota itu yang beragama Kristian.

Untuk mengetahui kisah lanjut mengenai tokoh Islam yang tersohor dan hebat ini, anda boleh dapatkan buku ini di website saya di http://www.kasihbuku.com/title-Sultan-Muhammad-Al-Fateh-Penakluk-Konstantinopel/isbnno-9789675136115.aspx


Membaca buku ini akan menimbulkan rasa kecintaan kepada agama Islam kerana tokoh yang berjaya dan hebat ini ternyata amat kuat iman dan amat dekat dengan yang Maha Esa. Ini menolak sangkaan sesetengah orang yang berfikiran liberal bahawa jika kita mahu jadi hebat kita harus mengikut barat. Ternyata sangkaan itu amat TIDAK BENAR SEKALI. Membaca buku-buku tokoh Islam yang hebat juga memberikan motivasi kepada kita untuk menjadi umat Islam yang TERBAIK. Insya-Allah....

Tuesday, March 8, 2011

Ringkasan buku Travelog Haji:Mengubah Sempadan Iman


Alhamdulillah saya sudah habis membaca buku Travelog Haji:Mengubah Sempadan Iman karya Prof Mohd Kamil Ibrahim dalam masa sehari! Saya kagum kepada diri saya sendiri penangan buku yang menarik ini..:)...Buku ini menarik kerana menceritakan pengalaman peribadi penulis dengan perspektif yang berbeza mengenai ibadah haji. Ibadah haji yang saban tahun dilakukan oleh umat Islam termasuk umat Islam di Malaysia. Namun, penulis melihat ianya dari sudut berbeza bukan hanya sekadar menunaikan rukun Islam kelima sebagai umat Islam namun kesungguhan bagi mendapatkan haji mabrur, jika dapat haji mabrur seseorang itu seolah-olah seorang bayi yang baru lahir, bersih dari dosa. Jika ingin mendapat ganjaran seumpama itu semestinya perlu kepada usaha bukan sekadar cakap-cakap kosong sahaj, aku ingin mendapatkan haji mabrur. Sebagaimana kita ingin berjaya di dalam apa-apa bidang juga hendaklah berusaha bersungguh-sungguh barulah Allah akan mudah mengabulkan impina kita, begitu juga dengan ibadah haji. Apa yang menarik yang diutarakan oleh penulis adalah bagi mencapai haji mabrur persediaannya perlu dilakukan sejak di Malaysia lagi iaitu sebelum pergi lagi. Antara perkara yang dilakukan oleh penulis adalah:

(1) Bertaubat kepada Allah dengan taubat nasuha sebelum menunaikan ibadah haji. Apa yang menarik mengenai taubat nasuha adalah taubat yang dilakukan sehingga mengalir air mata taubat yang benar-benar susah untuk dicapai sewaktu kita berdoa kepada Allah.

(2) Berdoa kepada Allah untuk diterima sebagai TETAMU PALING ISTIMEWA, bukan istimewa sahaja tetapi tetamu paling istimewa di sana.

(3) Rajin solat malam

Penulis juga menceritakna kisah-kisah budaya rakyat Malaysia yang seharusnya dikikis untuk para bakal haji akan datang iaitu:

(1) Sikap malas untuk bertalbiah semasa telah niat ihram di dalam kapal terbang walaupun telah diingatkan oleh petugas semasa dalam kapal terbang. Sikap malas bertalbiah juga melarat sehingga waktu perjalanna ke padang Arafah untuk mengerjakan wukuf

(2) Sikap suka mementingkan waktu rehat daripada melebihkan beribadah semasa berada di tanah suci Mekah dan juga semasa di Madinah

(3) Sikap suka bershopping menyebabkan masa yang ada yang sepatutnya dihabiskan untuk beribadah di habiskan untuk window shopping dan bershopping. Hasilnya barang-barang yang di bawa balik adalah melebihi saudagar.

Itu antara cerita-cerita menarik dalam buku Travelog Haji ini. Jika nak tahu lebih lanjut, kawan-kawan boleh dapatkannya di website saya di http://www.kasihbuku.com/

Selepas membaca buku ini saya mempunyai pandangan yang berbeza mengenai ibadah haji dan akan bersungguh-sungguh untuk mencari haji mabrur...Wallahua'alam.

Selamat membaca....:)

Tuesday, March 1, 2011

Buku-buku terbaru di kasihbuku.com

Assalamualaikum kawan-kawan...

Kasihbuku.com ada koleksi buku-buku agama untuk dewasa dan kanak-kanak untuk kawan-kawan tengok, Insya-Allah semua buku-buku ini best-best dan ditulis oleh pengarang yang hebat-hebat belaka.


Antara buku-buku terbaru yang best:

1) Travelog Haji
2) Bagaikan Khadijah di Hati Rasulullah
3) Sultan Muhammad Al-fateh, Penakluk Konstantinople
4) Umar Al-Khattab
5) Abu Bakar As-Siddiq
6) Buku agama untuk kanak-kanak; glob untuk Raja Sicily, cerita mengenai sejarah saintis-saintis islam, boleh menaikkan semangat anak-anak untuk belajar lebih tekun.

Insya-Allah dengan membaca buku-buku agama ini akan menaikkan semangat kita untuk beribadah dan mendekatkan diri kepada Ilahi untuk persediaan hidup yang kekal abadi di sana nanti...

Yang lebih menarik semua buku diberikan diskaun 10% dan penghantaran hanya RM5 melalui pos express TERMASUK untuk mereka yang tinggal di SABAH dan SARAWAK.

Jom jenguk website saya di www.kasihbuku.com

Sokongan anda didahulukan dengan ucapan ribuan terima kasih.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...