Sunday, December 19, 2010

Filem wajib tonton:Shrek 4!


Dalam 2 minggu lepas, kami sama-sama lepak tengok DVD Shrek 4, walaupun mungkin bagi sesetengah kawan-kawan ianya dah basi tapi ini 1st time saya dan suami menonton filem ini dan Aiman dah pernah tengok kat rumah babysitter...Sepanjang tengok filem ini sibuk Aiman mahu bercerita sebab dia dah tengok sampai saya terpaksa cakap sshhh...sori ye Along Aiman, ibu nak feel sendiri filem ni...:)...


Saya dan suami bagi 5 bintang pada filem ini, menarik dan banyak pengajaran yang dapat kita ambil dari kisah Shrek 4. Bagi Aqilah, saya rasa Aqilah bagi 10 bintang kot sebabnya Aqilah tak puas-puas tengok cerita ini, pagi-pagi bangun tidur tengok shrek, petang ibu balik kerja pun nak tengok shrek...


Bagi sesiapa yang belum tengok filem ini wajib beli dan tengok dengan suami dan anak-anak sebab pengajarannya untuk sekeluarga. Shrek 4 menceritakan mengenai Shrek yang mulai merasa bosan dengan kehidupan rutinnya bersama keluarganya iaitu Fiona dan 3 anaknya. Setiap hari rutin kehidupan Shrek ialah bangun tidur yang dikejutkan oleh anak-anaknya kemudian menolong Fiona menguruskan urusan anak-anak, memberikan susu anak, menyalin lampin anak, membuang sampah lampin, menolong membetulkan sinki tersumbat, makan bersama keluarga yang diceritakan tentang cerita yang sama berulang-ulang. Kesibukan rutin harian ini juga menyebabkan aktiviti personal Shrek untuk mandi lumpur dan berehat-rehat sendirian juga terganggu. Kebosanan dan kemarahan yang terpendam dalam diri Shrek akhirnya dikeluarkan semasa sambutan Hari Jadi pertama anak kembar 3 Shrek. Shrek mengamuk dengan menghancurkan kek hari jadi anaknya. Fiona dengan sabar cuba menyedarkan Shrek tentang nikmat yang Shrek ada pada hari ini iaitu isteri yang menyayanginya, anak-anak yang comel dan rakan-rakan yang memuja dirinya. Namun, nasihat Fiona tidak dapat melembutkan hati Shrek yang marah dan ingin mendapat nikmat kehidupan sebelum dia berjumpa dengan Fiona. Pertengkaran Shrek dan Fiona didengari oleh Rumpelstilskin iaitu seorang ahli sihir yang jahat. Rumpelastilskin membuat rancangan untuk memusnahkan kehidupan Shrek dengan memujuk Shrek membuat satu perjanjian di mana Shrek akan dapat kehidupannya semula sebelum bertemu Fiona. Namun, perjanjian tersebut terdapat perkara yang tersembunyi di belakang perjanjian tersebut yang tidak disedari oleh Shrek. Apabila Shrek tersedar, ianya bagaikan sudah terlambat. Dalam kehidupan barunya, Fiona tidak pernah kenal dirinya dan Shrek tidak pernah menyelamatkan Fiona daripada menara yang dikawal oleh naga. Bagi menyelamatkan keadaan, Shrek cuba mendapatkan semua true love daripada Fiona. Adakah Shrek berjaya?Anda perlu menontonnya. Filem ini digarap dengan begitu baik dan memang rasa amat terhibur menontonnya. Aqilah paling suka dengan adegan Shrek, Fiona dan rakan-rakan Ogre yang menari dengan terpaksa akibat siulan seruling oleh Piper.


Lepas menonton filem ini, macam biasa saya akan bertanyakan Aiman apa pengajaran yang dapat diambil dari filem ini. Pengajarannya ialah kita harus bersyukur dengan apa yang kita ada pada hari ini, kena sayang apa yang kita ada, keluarga kita, suami kita, anak-anak kita. Jangan sesekali kita merasa susah dan bosan dengan kehadiran kita dalam kehidupan kita kerana sesungguhnya merekalah penyeri kehidupan yang mungkin kita telah melupakannya.....


Selamat menonton....

Thursday, December 9, 2010

APA YANG ANDA PERLU TAHU MENGENAI OMEGA 3



Info ini diadaptasi daripada Medscape dan diolah oleh saya

Adakah anda tahu apakah sebenarnya Omega 3?
Omega 3 sebenarnya adalah sejenis lemak yang baik yang boleh didapati daripada ikan, telur beromega 3, kekacang dan sayuran seperti bayam, brokoli.

Apakah terdapat perbezaan di antara Omega 3 daripada ikan dan kekacang juga sayur-sayuran?
Memang terdapat perbezaan antara Omega 3 di dalam ikan dan kekacang juga sayur-sayuran. Jenis omega 3 yang terdapat pada ikan dikenali sebagai DHA dan EPA dan didalam sayuran dan kekacang dikenali sebagai ALA. DHA dan EPA didapati mempunyai manfaat yang lebih berbanding ALA. Namun begitu sebahagian kecil daripada ALA akan ditukarkan kepada EPA dan ALA oleh badan.

Apakah kebaikan Omega 3 ini?
Omega 3 dipercayai boleh mengurangkan risiko penyakit jantung, mengurangkan simptom kemurungan, sakit sendi dan juga mengurangkan risiko penyakit kanser.

Bagaimana Omega 3 dapat mengurangkan risiko penyakit-penyakit tersebut?
Omega 3 dipercayai dapat menghalang penyakit-penyakit tersebut dengan mengurangkan inflamasi di dalam salur darah, sendi dan semua tempat inflamasi yang ada di dalam badan. Omega 3 juga dipercayai mengurangkan risiko ritma jantung yang abnormal (abnormal heart rhythm), mengurangkan kadar lemak yang tidak sihat di dalam badan dan melambatkan kadar pembinaan plak-plak lemak di dalam salur darah atau dikenali sebagai arteriosklerosis (penyebab penyakit darah tinggi dan penyakit jantung).

Omega 3 dan Triglycerides (TG)
Omega 3 boleh mengurangkan kadar TG dalam darah (TG adalah sejenis lemak yang tidak baik dalam darah yang boleh menyebabkan penyakit jantung). Walau bagaimanapun, Omega 3 juga boleh meningkatkan kadar kolesterol dalam badan iaitu kedua-dua lemak baik (HDL) dan lemak jahat (LDL). Oleh itu bagi pesakit yang mempunyai kadar TG yang tinggi dalam badan hendaklah mendapatkan nasihat pakar perubatan sebelum mengambil Omega 3. Namun secara umumnya pengambilan ikan yang mempunyai kadar Omega 3 yang tinggi adalah selamat.

Omega 3 dan Stroke
Omega 3 menghalang pembinaan plak dalam salur darah ke otak yang boleh menghalang ischemic stroke (strok yang terjadi akibat saluran darah ke otak tersumbat). Omega 3 juga mempunyai kesan menghalang pembekuan darah. Oleh itu pada dos yang tinggi, supplement Omega 3 dipercayai boleh menyebabkan hemorrhagic stroke (strok yang terjadi akibat pendarahan dalam otak).

Omega 3 dan Rheumatoid Arthritis
Omega 3 boleh mengurangkan sakit sendi dan kekerasan sendi (joint stiffness) pada pesakit rheumatoid arthritis.

Omega 3 dan dementia
Omega 3 dipercayai mengurangkan risiko penyakit Alzheimer’s.

Omega 3 dan kanak-kanak
Berhati-hati dengan promosi iklan susu tepung kanak-kanak yang mendakwa Omega 3 adalah ”brain-boosting” power untuk kanak-kanak. American Academy of Pediatrics mengesyorkan kanak-kanak makan lebih banyak ikan bagi mendapatkan khasiat Omega 3 berbanding pengambilan supplement.

Omega 3 dan wanita mengandung
Satu kajian yang telah dijalankan oleh John Colombo, PhD mendapati bayi yang lahir daripada ibu yang mengambil kadar Omega 3 dan DHA yang mencukupi semasa mengandung didapati mempunyai daya tumpuan yang lebih semasa dua tahun awal mereka berbanding dengan bayi yang lahir daripada ibu yang kurang kadar Omega 3 dan DHA.

Berapa banyak Omega 3 dan DHA yang diperlukan oleh wanita mengandung?
Kajian Levine menyarankan keperluan DHA sebanyak 250mg semasa mengandung

DHA dan susu ibu
DHA secara semulajadi terkandung di dalam susu ibu yang mana amat bagus untuk kecerdasan otak bayi yang sedang membesar....alhamdulillah, anugerah Allah untuk ibu dan anak-anak kita.

Bahaya ikan yang dicemari
Salah satu perhatian yang perlu diberi perhatian semasa pengambilan ikan adalah pencemaran ikan oleh merkuri akibat laut yang tercemar. Kehadiran merkuri di dalam ikan adalah berbahaya bagi wanita mengandung, wanita menyusukan anak dan kanak-kanak. Oleh itu sebagai langkah berjaga-jaga elakkan memakan ikan pemangsa seperti shark, sworkfish, king mackerel dan buang kulit, lemak-lemak ikan sebelum memakan ikan.


Kesimpulan

Terdapat banyak kebaikan yang boleh didapati dengan pengambilan Omega 3 terutamanya bagi mengelakkan penyakit kronik seperti darah tinggi, sakit jantung dan strok. Bahkan ianya amat bagus untuk bayi dan kanak-kanak yang sedang membesar untuk kecerdasan otak dan daya tumpuan yang tinggi. Namun, badan kita tidak dapat menghasilkan Omega 3 dengan sendiri. Sumber terbaik bagi mendapatkan Omega 3 adalah daripada ikan. Ini bertepatan dengan hadis Rasulullah yang menggalakkan kita umat Islam memakan ikan dan mengurangkan pengambiln daging sekali seminggu sahaja. Dan bayi bayi pula sumber yang terbaik semestinya daripada susu ibu, anugerah daripada Allah Taala. Oleh itu, langkah terbaik sebagai seorang ibubapa, kita pastikan diet keluarga kita lebih kerapkan pengambilan ikan dalam masa seminggu sebagai sumber protein berbanding ayam atau daging. dan bagi bakal-bakal ibu pastikan anda menyusu anak-anak anda.

Semoga mendapat manfaat.

Wallahua’alam.

Tuesday, November 23, 2010

Panduan asas pengambilan ubat semasa mengandung




Pengambilan ubat semasa mengandung terutama semasa 3 bulan pertama seharusnya dielakkan oleh ibu-ibu mengandung kerana sewaktu 3 bulan pertama janin dalam proses membesar dan menghasilkan organ-organ penting di dalam badan mereka. Namun masih terdapat ubat yang selamat diambil oleh ibu-ibu walaupun semasa 3 bulan pertama mengandung. Bagi merungkai persoalan ibu-ibu mengandung, di sini terdapat panduan apakah ubat yang boleh dan tidak boleh diambil semasa mengandung bagi sakit-sakit yang biasa dialami.

1. Jika demam atau sakit-sakit badan:

Ubat yang selamat dimakan adalah paracetamol (PCM)

Elakkan mengambil ponstan dan ubat tahan sakit yang lain seperti voltaren

Jika demam perpanjangan melebihi 3 hari segera berjumpa dengan doktor berdekatan untuk pemeriksaan lebih lanjut.

2. Jika selsema:

Elakkan mengambil semua jenis ubat selsema seperti actifed, piriton

Apa yang boleh dilakukan oleh ibu-ibu mengandung adalah mengambil vitamin C dan makan banyak buah-buahan dan sayur-sayuran dan banyakkan minum air suam.

3. Jika batuk

Elakkan minum semua jenis ubat batuk

4. Jika cirit-birit

Elakkan mengambil ubat cirit birit (lomotil) dan ubat sakit perut yang memulas akibat cirit birit (buscopan)

Ibu-ibu boleh mengambil ubat garam (ORS-oral rehydration salt) untuk menggantikan garam galian yang hilang daripada badan dan pastikan banyak minum air suam.

Antibiotik selamat?

Terdapat antibiotik yang selamat digunakan semasa mengandung. Di sini saya senaraikan antibiotik yang biasa diberikan oleh doktor-doktor di Malaysia untuk jangkitan yang pelbagai dan ianya selamat digunakan semasa mengandung

-amoxycillin
-erythromycin
-augmentin
-cephalexin

Semoga panduan asas ini membantu anda menentukan ubat yang selamat semasa mengandung. Paling penting jaga kesihatan anda semasa mengandung. Elakkan mengunjungi tempat-tempat kunjungan orang ramai bagi mengelakkan terkena jangkitan terutamanya selsema dan batuk (jangkitan salur pernafasan atas-upper respiratory tract infection) kerana semasa mengandung imuniti ibu-ibu sedikit lemah dengan kehadiran bayi di dalam kandungan. Bagi mengelakkan jangkitan kuman pada salur kencing pula, elakkan menahan diri daripada buang air kecil dan minum banyak air. Semoga anda dan bayi anda sihat dalam proses mengandung, jangan lupa banyak berdoa dan berserah diri kepada Yang Maha Esa, Insya-Allah dimudahkan.

Semoga jumpa lagi.

Monday, November 15, 2010

Tahniah Aiman sayang:)

Alhamdulillah dalam exam akhir tahun satu baru-baru ini Aiman mencatatkan keputusan yang amat membanggakan. Terdapat peningkatan berbanding exam-exam yang terdahulu, alhamdulillah, syukur kepada Allah. Markah-markah Aiman banyak yang sipi-sipi saja lagi nak dapat 100%; Bahasa Arab:98%, Bahasa Melayu:99%, Matematik:99%, Sains:98%. Kedudukan dalam kelas, Aiman mendapat tempat kedua, tempat pertama daripada keseluruhan budak lelaki dalam kelas Aiman..:)...Tahniah daripada ibu dan ayah. Semoga Aiman tidak akan berhenti berusaha kerana ini hanya satu permulaan. Permulaan yang memberangsangkan untuk kejayaan-kejayaan yang akan datang, Insya-Allah. Tahun depan Aiman akan pindah ke kelas pertama dan persaingan semestinya semakin hebat...Apa-apa pun, ibu doakan Aiman akan tidak akan berhenti berusaha kerana setiap kejayaan tidak akan datang secara bergolek...Untuk dapat kejayaan samada kejayaan di dunia dan kejayaan di akhirat semua harus berusaha. Jadi, Aiman jangan lupa juga untuk solat, jangan cuai dan malas untuk sembahyang ya nak...:)...Tahun depan juga Aiman dilantik menjadi pengawas perpustakaan. Semoga ini adalah satu jalan untuk mengasah bakat kepimpinan dan tanggungjawab melaksanakan tugas di dalam diri Aiman....:)...Dan sebagai menghargai usaha Aiman dalam exam kali ini ayah menghadiahkan helicopter control untuk Aiman dan ibu Insya-Allah akan belikan buku untuk Aiman untuk tambahkan koleksi buku-buku Aiman. Semoga kejayaan Aiman akan menjadi contoh juga untuk adik-adik Aiman nanti, Insya-Allah...Selamat berjaya anakku...ibu sentiasa dan tidak putus berdoa untuk kejayaan Aiman di dunia dan juga akhirat....Amin.....


Hadiah dari Ayah



Hadiah dari Ibu

Thursday, November 11, 2010

ANDAI DIRIMU TIDAK DIHARGAI.....

Saya ingin berkongsi satu ingatan yang ringkas tapi significant yang saya dengar daripada ceramah motivasi di IKIM baru-baru ini.

“Janganlah ditangisi jika diri kita tidak dihargai tetapi menangislah jika diri kita sudah tidak berharga lagi”

Kata-kata ringkas di atas mempunyai pelajaran yang amat besar di sebaliknya. Tidak dinafikan dalam menjalani kehidupan kita seharian kadang-kadang seringkali kita berdepan dengan situasi suami/isteri, anak-anak kita, bos kita/orang bawahan kita, ibubapa kita , adik beradik kita tidak menghargai segala kebaikan yang kita berikan kepada mereka. Kerana sememangnya sifat manusia itu jarang suka menghargai kebaikan orang lain. Sudah semestinya kita akan merasa teramat sedih jika menghadapi situasi tersebut, bukan. Tetapi sebenarnya kita tidak perlu menangis kerana sesungguhnya jika kebaikan itu kita lakukan dengan ikhlas semata-mata kerana Allah maka sudah pasti Allah akan memberikan ganjaran kepada hamba-Nya. Sebab itu jika ditanya siapakah yang lebih sayangkan pasangan masing-masing, samada suami lebih sayang kepada isteri atau isteri lebih sayang kepada suami, jawapannya ialah suami/isteri yang sayangkan Allah akan lebih sayang kepada pasangannya....

Namun kita seharusnya menangis jika diri kita sudah tidak berharga. Nilai harga diri seseorang manusia itu terletak pada 3 perkara yang utama:

1. Iman
2. Ilmu
3. Akhlak

Oleh itu, jika kita tiada kesemua perkara yang tercatat di atas atau kita hilang salah satu perkara yang di catatkan di atas, kita seharusnya menangis kerana diri kita seolah-olah tidak berharga lagi di mata manusia mahupun di mata Allah s.w.t. Fikir-fikirkanlah.....

Sunday, November 7, 2010

IMAM AS-SYAFIE, SAYA KAGUM KEPADA ANDA!!!

Adakah anda pengikut ahli Sunnah wal Jamaah? Jika ya, mazhab mana yang menjadi ikutan anda? Secara umumnya mengikut pengetahuan saya, rakyat Malaysia yang beragama Islam adalah pengikut ahli Sunnah Wal Jamaah dan mengamalkan mazhab as-Syafie. Jadi, adakah anda tahu siapa Imam As-Syafie, imam mazhab anda? Jika tidak, saya merasakan anda perlu mengenali siapa dia Imam As-Syafie kerana anda mengamalkan mazhab yang disarankan oleh beliau. Dengan mengenali Imam ikutan kita, kita akan lebih sayang dan kagum kepada beliau. Kata orang apabila kenal barulah benar-benar cinta.

Saya telah membaca buku yang menceritakan sejarah hidup Imam As-Syafie. Buku bertajuk Imam As-Syafie Pejuang Kebenaran hasil tulisan Abdul Latip Talib amat menarik jika anda tercari-cari buku mengenai Imam As-Syafie. Anda boleh dapatkan buku ini di website saya http://www.kasihbuku.com/title-Imam-Syafie-pejuang-kebenaran/isbnno-9789833892518.aspx Cara penulisannya benar-benar memberi kesan, apabila membacanya kita terasa amat rugi untuk berhenti membacanya dan terasa rindu dan teringat-ingat untuk membacanya kembali apabila sudah berhenti.

Setelah membaca buku ini satu perasan yang amat kagum terhadap Imam As-Syafie terlekat di jiwa saya. Banyak sifat positif yang patut menjadi ikutan kita semua sebagai umat Islam dan sebagai pengamal mazhabnya. Sifat Imam As-Syafie yang paling saya kagum adalah KECINTAANnya yang amat tinggi terhadap ILMU. Beliau menuntut ilmu bukan untuk menjadi masyur, menjadi kaya tetapi beliau menuntut ilmu kerana beliau amat cintakan ilmu. Kecintaan terhadap ilmu sebenarnya amat penting dipupuk kepada diri kita sendiri dan keluarga kita juga. Salah satu perkara yang akan membuat diri seseorang adalah berharga baik di dunia mahupun akhirat ialah orang yang berilmu. Imam As-Syafie amat cintakan ilmu sejak kecil lagi. Kemiskinan hidupnya tidak menjadi penghalangnya untuk menuntut ilmu. Pada umur 9 tahun beliau sudah menghafal al-Quran. Ibunya menjadi guru pertama beliau di dalam bacaan al-Quran. Beliau suka mendengar apa sahaja ilmu yang disampaikan oleh imam-imam di Masjidil Haram waktu itu tanpa jemu. Akhirnya beliau dapat menjadi murid kepada kebanyakkan imam-imam yang terkenal di dalam bidang al-Quran, ilmu hadis, ilmu tafsir dan bermacam-macam ilmu lagi termasuk ilmu bersyair. Guru Imam As-Syafie yang paling terkenal ialah Imam Malik pengasas mazhab Maliki. Terasa amat kagum sekali saya terhadap Imam As-Syafie kerana sebelum beliau menuntut ilmu dengan Imam Malik, beliau telah menghafal kitab karangan Imam Malik iaitu kitab Al-Muwatta’. Sehingga Imam Malik sendiri kagum dengan kebolehan Imam As-Syafie (cerita lanjut tentang pertemuan Imam As-Syafie dan Imam Malik boleh di baca di dalam buku ini, pertemuan mereka mungkin agak tragis, jadi jika nak tahu kena beli dan baca sendiri buku ini..:)). Satu kelebihan yang Allah kurniakan kepada Imam As-Syafie ialah beliau mempunyai akal yang amat bijak. Beliau mudah untuk menghafal dan memahami apa jua ilmu yang dipelajari dalam waktu yang singkat. Sepanjang hidupnya dia tidak jemu mengembara demi menuntut ilmu. Beberapa perkara yang positif yang diamalkan oleh Imam As-Syafie boleh kita amalkan dan saya ingin terapkan juga kepada anak-anak saya dalam proses menuntut ilmu iaitu:

Membaca terlebih dahulu buku, dokumen yang berkaitan dengan ilmu yang bakal kita pelajari sebelum kita masuk kelas/bilik kuliah/ seminar yang berkaitan. Dengan membaca terlebih dahulu akan membuatkan kita lebih faham apabila belajar. Di samping itu jika terdapat bahagian yang kita tidak faham semasa pembacaan kita dapat bertanya lebih lanjut dengan guru/ pensyarah/ penceramah yang berkenaan.

Beliau mencatatkan apa jua ilmu yang diajarkan kepada beliau. Disebabkan kemiskinan beliau, beliau tidak dapat membeli kertas untuk menulis. Oleh itu beliau menulis ilmu di atas tulang-tulang, kulit-kulit binatang. Pernah satu ketika beliau hanya menulis ilmu di atas tapak tangan beliau semasa kuliah Imam Malik. Kelakuan beliau menyebabkan Imam Malik marah kerana sangkaannya Imam As-Syafie bermain-main dan tidak menumpukan perhatian. Namun setelah diuji, barulah Imam Malik tahu kebenarannya. Cerita lanjut kena dapatkan buku ini.

Di dalam buku ini juga menceritakan mengenai ketegasan Imam As-Syafie di dalam menangani salahlaku pemimpin/gabenor yang lalai. Beliau sangat tegas di dalam perkara ini. Sehinggakan beliau difitnah disebabkan ketegasan beliau. Jika diperhatikan sikap pemimpin yang lalai amat berleluasa di kalangan pemimpin hari ini. Sikap bermewah-mewah di kalangan pemimpin amat ketara. Jika pada zaman Imam As-Syafie beliau akan menegur sikap pemimpin yang lalai tanpa menghiraukan periuk nasi beliau. Saya amat rindukan kehadiran ulama seperti beliau. Banyak ulama masa kini tidak mengamalkan sikap seperti Imam As-Syafie. Membaca kisah-kisah Imam As-Syafie membuatkan diri saya amat insaf dan saya menangis ketika membaca kisah sewaktu diri beliau difitnah.

Imam As-Syafie juga tidak pernah putus berzikir dan membaca al-Quran. Sembahyang tahajud sentiasa diamalkan. Beliau meninggal disebabkan pendarahan yang terlalu banyak disebabkan buasir. Buasir beliau terjadi kerana beliau waktu siangnya beliau banyak duduk semasa mengajar ilmu-ilmu agama dan waktu malam beliau banyak berdiri menghidupkan solat malam. Membaca kisah beliau membuatkan diri terasa amat kerdil kerana amat culas sekali diri ini untuk bangun sembahyang tahajud di waktu malam. Imam as-Syafie juga tidak pernah menyakiti hati sesiapa termasuk orang yang menyakiti hatinya jua beliau tidak membalas. Jika beliau ingin menegur beliau menegur dengan lembut namun tegas. Saya bercadang untuk memberikan Aiman dan Aqilah membaca buku ini apabila Aiman dan Aqilah sudah mencapai 9 atau 10 tahun kerana banyak sifat positif yang boleh diambil daripada tokoh ini. Semoga Imam As-Syafie juga menjadi idola anak saya Aiman dan Aqilah sebagaimana diri saya menjadikan Imam As-Syafie sebagai idola hidup saya selain daripada Nabi Muhammad s.a.w. Sekali lagi, jika anda berminat untuk dapatkan buku ini anda boleh dapatkan di website saya di http://www.kasihbuku.com/title-Imam-Syafie-pejuang-kebenaran/isbnno-9789833892518.aspx

Tuesday, October 26, 2010

Saya diuji lagi - Ovarian cyst

Alhamdulillah saya selamat menjalani pembedahan laparoscopic cystectomy baru-baru ini tanpa sebarang komplikasi. Syukur ke hadrat Ilahi dan terima kasih di atas semua doa daripada suami, ibu ayah saya , saudara mara dan rakan-rakan yang mendoakan kejayaan pembedahan ini. Laporan ujikaji tisu cyst juga telah saya terima dan alhamdulillah sekali lagi dipanjatkan kesyukuran kepada Allah kerana cyst saya buka sejenis kanser ianya sejenis teratoma, syukur pada-Mu Ya Allah kerana sesungguhnya Engkaulah Tuhan Yang Berkuasa di atas segala-galanya.

Mengimbau kembali ketika saya diberitahu terdapat cyst di ovari sebelah kiri saya baru-baru ini. Saya sebenarnya agak terkejut kerana tiba-tiba dimaklumkan terdapat cyst yang agak besar bersaiz 4x3 cm pada ovari sebelah kiri saya. Sebelum itu saya kerap menjalani ultrasound sewaktu mengalami pendarahan sebelum keguguran tempohari namun di waktu itu tiada sebarang cyst yang kelihatan. Di samping itu juga saya tidak pernah mengalami sengugut atau pendarahan yang melampau sejak saya akil baligh sehingga sekarang. Cyst ini langsung tidak memberi sebarang simptom. Sewaktu dimaklumkan saya seolah-olah bermimpi. Bukannya saya tidak percaya dan redha di atas ujian ini namun kehadirannya yang terlalu cepat membuatkan diri saya terfikir adakah ianya perkara yang paling menakutkan iaitu kanser…Nauzubillah…namun dengan ilmu perubatan yang saya ada memang agak menakutkan kerana pengesananan yang secara tiba-tiba. Kata-kata perangsang dan nasihat suami menenangkan hati saya. Allah sebenarnya sayangkan saya kerana diberikan ujian ini supaya saya sabar menghadapinya. Dengan sifat sabar dan redha saya akan mendapat ganjaran, Insya-Allah. Di samping itu juga cyst ini dapat dikesan sebelum berlaku komplikasi yang memungkinkan salah satu ovari saya terpaksa dibuang. Ya Allah aku hamba-Mu yang hina ini bersyukur ke hadrat-Mu Ya Allah.

Setelah dua minggu selepas pembedahan, saya telah sihat untuk kembali bertugas seperti biasa. Ini kerana pada zaman kini, pembedahan laparoscopic dapat dijalankan berbanding pembedahan biasa pada zaman dahulu. Pembedahan laparoscopic ialah satu pembedahan menggunakan tangan robot untuk membantu para doctor menjalankan pembedahan. Oleh itu luka di bahagian perut hanya berukuran lebih kurang 1cm sebanyak 3 lubang ditebuk pada bahagian perut. Dengan luka yang lebih sedikit pada bahagian perut maka proses penyembuhan adalah lebih cepat.


Sedikit info mengenai ovarian cyst

1. Ovarian cyst ialah pembengkakan cecair yang berlaku pada salah satu telur (ovum) di kilang telur (ovari).

2. Ovarian cyst memang boleh terjadi di kalangan wanita pada peringkat umur reproduktif (umur sewaktu wanita subur dan boleh melahirkan anak). Ini kerana bagi wanita yang subur, pada setiap bulan ovari akan menerima rangsangan daripada hormon untuk mengeluarkan satu telur (ovum). Ovum ini akan keluar dan jika tidak disenyawakan ianya akan mati dan wanita akan mengalami haid selepas itu dengan perubahan hormon yang berlaku juga.

3. Antara jenis ovarian cyst:

a. Dermoid cyst/teratoma (seperti yang dialami oleh saya)
Cyst ini tidak akan mengganggu kitaran haid. Pesakit biasanya tidak akan merasa senggugut dengan kehadiran cyst ini. Cyst ini akan terus membesar jika tidak dibuang melalui kaedah pembedahan. Kandungan di dalam cyst ini boleh terdiri daripada sel-sel lemak, sel-sel rambut dan juga sel-sel gigi, sel-sel tulang dan sel-sel rawan. Apabila cyst ini membesar risiko untuk cyst ini terpusing (twisted ovarian cyst) dan juga terpecah (ruptured) adalah tinggi. Jika ovari terpusing atau pecah maka ovari perlu dibuang kerana ovari telah mati disebabkan gangguan bekalan darah ke ovari tersebut.

b. Functional cyst
Cyst ini boleh terbentuk apabila ovulasi tidak berlaku dan ovum yang sepatutnya keluar tiba-tiba mati. Kebiasaannya cyst ini akan boleh hilang dengan sendiri (regress) selepas beberapa bulan.

c. Endometrial cyst
Pada cyst ini terdapat tisu-tisu rahim (uterus) di dalam cyst ini. Oleh itu, pesakit berkemungkinan tinggi akan merasa senggugut setiap kali datang haid dan cyst ini kemungkinan juga akan mengganggu kesuburan wanita.

d. Corpus luteum cyst
Cyst ini terbentuk semasa wanita hamil. Cyst ini akan membantu bayi dengan kehadiran hormon-hormon yang tertentu pada peringkat awal kehamilan agar bayi tidak gugur.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...