Tuesday, July 12, 2011

Hari lahirku yang ke 33 (13 Julai 2011)

Alhamdulillah, syukur kepadamu Ya Ilahi

Kerana masih memanjangkan umurku hingga ke hari ini.

Memberikan nikmat yang tidak terhingga kepada diriku

Nikmat kesihatan

Nikmat keluarga

Nikmat kasih sayang

Nikmat kesenangan hidup

Kepada ibuku

Terima kasih Cik kerana mengandungkan, melahirkan dan berkorban penat dan lelah dalam membesarkan diri ini dengan penuh kasih sayang

Kepada Ayahku

Terima kasih Ku kerana berkorban, bekerja keras untuk membesarkanku dan memberikan pelajaran yang terbaik kepada diriku sehingga kejayaan hari ini menjadi milikku

Kepada Suamiku

Terima kasih Abang kerana memberikan kasih dan sayang Abang kepada diriku.

Terima kasih kerana berkongsi kasih dan bersama-sama membesarkan anak-anak kita

Kepada anak-anakku

Terima kasih kerana Aiman dan Aqilah menjadi anak-anak yang baik

Terima kasih kerana memberikan kasih dan peluang kepada Ibu untuk menikmati gelaran sebagai Ibu

Kepada adik-beradikku dan sahabat-sahabatku

Terima kasih kerana mendoakanku di hari lahirku ini

Kepada Cik, Ku, Abang, Aiman, Aqilah, kakak, abang dan sahabat-sahabatku

Tiada nikmat yang paling besar yang paling kupinta

Selain daripada kita semua dapat berkumpul bersama-sama di dalam syurga di hari yang dijanjikan....AMIN...Ya Allah aku mohon padaMu Ya Allah

Di hari lahirku yang ke-33 ini

Merenung kembali pada diriku

Merenung kepada skala kehidupan

Hampir separuh usiaku telah berlalu (jika mengikut purata usia perempuan di Malaysia 76 tahun)

Adakah banyak digunakan untuk kebaikan

Atau sebaliknya

Lagi berbaki separuh masa untuk menuju kematian (Insya-Allah jika Allah memanjangkan usiaku)

Apa yang aku pohon dariMu Ya Allah

Semoga Engkau ampunkanlah dosaku Ya Allah

Dosaku yang telah berlalu, dosaku yang akan datang

Dosaku yang aku tahu, dosaku yang tidak aku tahu

Engkau ampunkanlah Ya Allah dosa suamiku

Engkau ampunkanlah Ya Allah dosa kedua ibubapaku, doa kedua ibubapa mertuaku

Engkau ampunkanlah Ya Allah dosa adik beradikku, dosa sahabat-sahabatku, dosa muslimin dan muslimat samada yang yang masih hidup atau yang telah mati

Ya Allah

Janganlah Engkau pesongkan hatiku setelah Engkau memberikan petunjukMu

Semoga Engkau akhiri hayatku dengan Husnul Khotimah, Ya Allah

Semoga Engkau bantulah hambaMu ini Ya Allah untuk sentiasa mengingatiMu, untuk sentiasa bersyukur dengan nikmatMu dan untuk sentiasa beribadah kepadaMu dengan baik

Sesungguhnya aku tahu Ya Allah, aku tidak layak untuk syurgaMu

Namun Ya Allah aku tidak sanggup menanggung siksa api nerakaMu walaupun hanya sesaat

Janganlah Engkau golongkan aku di dalam hambaMu yang rugi, hambaMu yang Engkau murkai dan Engkau sesatkan Ya Allah, jauhkan aku Ya Allah

KepadaMu kepohon Ya Allah

Amin...amin...Ya Rabbal Alamin

Monday, July 4, 2011

Bakal penulis berjaya?

Alhamdulillah, 3 hasil karya saya diterbitkan di website iluvislam.com...:)

Ini 3 artikel yang terpilih dan telah diterbitkan di website iluvislam...

http://www.iluvislam.com/tazkirah/nasihat/2865-mata-kasar-mata-nafsu-mata-iman.html

http://www.iluvislam.com/gaya-hidup/kesihatan/2892-anak-anda-demam-jangan-panik.html

http://www.iluvislam.com/tazkirah/nasihat/2903-bunuh-diri.html

Insya-Allah saya akan terus menulis dengan tujuan dakwah dan supaya orang lain akan mendapat manfaat daripada apa yang ditulis. Bukan populariti yang dikejar, saya hanya mengharapkan agar ilmu-ilmu bermanafaat yang disampaikan hasil penulisan saya dapat dijadikan salah satu amalan yang dapat menerangkan kubur saya di alam barzakh. AMIN...

Saya mengambil gaya penulisan Dr.Aidh Al-Qarni dan juga John C.Maxwell sebagai idola gaya penulisan saya. Semoga Allah terus membantu saya untuk menghasilkan penulisan-penulisan yang bermanafaat.

Tokoh-tokoh islam di masa lampau juga banyak menghabiskan masa mereka dengan menulis ilmu yang bermanafaat.

Seorang tokoh Islam di zaman lampau, Imam Abu Faroj Abdurrahman bin Ali bin Muhammad bin Al-Jauzi berkata "Dengan tanganku ini, aku telah menulis sebanyak 2,000 jilid buku, menjadikan 100,000 orang bertaubat dan mengislamkan 20,000 orang Yahudi dan Nasrani". Begitulah hebatnya ulamak-ulamak di zaman lampau.

Semoga langkah-langkah yang positif ini juga bakal diikuti oleh kita semua...Insya-Allah.

Wallahua'lam

Puisi buat Puteriku Aqilah menjelang 3 tahun (6 Julai 2011)

Diam tak diam, puteriku sudah hampir 3 tahun usianya

Makin pandai tingkah lakumu

Makin petah percakapanmu

Ada sahaja yang ingin dibualkan denganku setiap hari

Bersifat penyayang dan pandai mengambil hati

"Sayang Ibu" selalu kau ucapkan

Jika diriku bermasam muka, geram dengan tingkahmu

Kau segera berkata "Senyum la Ibu", membuatkan marahku hilang

Jika diriku memarahi dirimu

Kau akan bertanyakan "Ibu marah?"

Jika jawapanku "Ya", maka tangismu dan sedu sedanmu akan kedengaran

Dengan suara sayu dikau akan berkata "Sorry Ibu, peluk lar Aqilah"

Segera mencairkan hatiku, mematikan marahku

Pandai memuji juga kepandaianmu

"Cantik la baju Ibu hari ini, pandai la Ibu masak"

Telatahmu mencuit hati Ibu

Amat pandai memilih pakaian yang digemari

Hanya ingin memakai pakaian kegemaranmu

Pakaian gaun tidak kau gemari

Baju berlengan panjang dengan karektor power puff girl dan princess paling kau gemari

Warna pink paling digemari

Pakaian tidak berlengan tidak digemari

Pandai cakap baju itu seksi dan tak malu, nampak ketiak...:)

Bertanya Ibu kenapa Ibu pakai stokin

Ibu menjawab, sebab perempuan kena tutup aurat

Aurat perempuan kena tutup kecuali muka dan tapak tangan

Walau pemahaman darimu pada usia ini tidak berapa Ibu harapkan

Namun Ibu tetap memberitahu perkara yang benar

Semoga ia meresap dalam dirimu, sayang

Pabila mendengar jawapan Ibu

Terus dirimu meminta dipakaikan stokin dan tudung

Dirimu berkata “Aqilah juga nak tutup aurat”

Kelakuanmu menyebut aurat di usia ini, kekadang mencuit hati Ibu dan Ayah

Walau dirimu memakainya hanya beberapa jam

Namun, kami doakan semoga apabila besar nanti dirimu akan lebih mudah mengamalkan cara hidup wanita Islam

Masih juga seperti kanak-kanak perempuan yang lain

Dirimu amat suka main masak-masak

Mandi berkali-kali dalam sehari amat disukai, sukakan kebersihan

Amat sensitif dengan bau busuk

Sebagai hadiah hari lahirnya yang ketiga kami belikan patung mainan yang boleh bergerak dan ketawa

Hadiah ini telah kau pinta bebarapa bulan sebelum hari lahirmu...:)

Kadang temper tantrummu menjadi juga

Boleh digigitnya Ibu atau Along Aiman jika tidak berpuas hati

Boleh ditamparnya Ayah jika dirimu sudah mengamuk

Mencabar kesabaran kami bertiga

Ujian Allah agaknya untuk mendidik kami menjadi insan yang lebih bersabar

Dirimu suka melihat awan sewaktu menaiki kereta

“Ibu, cantikkan awan, Ibu?”

“Ibu, siapa jadikan awan”bertanya diriku seperti seorang guru bertanyakan muridnya

“Allah”

“Allah” mengulang jawapanku untuk mengiakannya jawapanku

Sedari dulu ku ulang-ulang pertanyaan itu kepada dirimu

Sekarang gilirannya untuk bertanya kembali pada diriku..seolah menguji kepintaranku..:)

Ibu menyambung “Hebat tak Allah”

“Hebat” pantas jawapan diberikan

Di kala kegelapan malam

Terlihat bulan dan bintang di langit

“Cantikkan Ibu, bulan dan bintang”

“Cantik”

“Siapa jadikan bulan dan bintang”

“Allah” balasmu

Kadang-kadang sewaktu diriku berwuduk sebelum bersolat

Dirimu juga akan sama-sama berwuduk

Sudah pandai berwuduk membasuh muka, lengan, rambut dan kaki

Dan bersolat bersamaku walaupun lebih cepat habisnya, hanya satu rakaat...:)

Takbir, rukuk dan sujud dan duduk tahiyat

Meniru diriku yang mengangkat jari telunjuk sewaktu syahadah sewaktu tahiyat

Sambil mulut terkumat kamit seolah-olah membaca apa yang aku baca

Selang 5 hari sebelum hari lahirmu yang ketiga

Sewaktu kita duduk bersantai di dalam kereta

Dirimu tiba-tiba berkata

“Allah nampakkan Aqilah kat sini”

“Ya, sayang”

“Allah Nampak Ibu juga kan”

“Ya, sayang”

“Allah sayang Aqilah kan”

“Ya, sayang”

“Allah sayang Ibu kan”

“Ya, sayang”

Dirinya tersenyum bila jawapan tersebut diberikan

Seolah-olah puas bila dirimu dan diriku disayangi oleh Allah

Kadang-kadang tidak terfikir olehku, soalan itu dilontarkan oleh dirimu yang baru melangkah ke usia 3 tahun

Ibu bertanya padamu, "Aqilah sayang Allah"

"Sayang"

"Aqilah sayang Ibu"

"Sayang"

"Sayang Ibu, Ayah, Abang"

Tampak ikhlas dirimu memberikan jawapan

Setiap hari Ibu dan Ayah berdoa

Semoga Along dan Aqilah menjadi anak-anak yang soleh dan solehah

Menjadi penyejuk mata kami

"Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan kami dan anak-anak kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa” (surah al-Furqaan ayat 74)

Selamat hari lahir ke-3 sayang...

Semoga Allah memudahkan diriku untuk mendidik dirimu

Untuk menjadi wanita solehah

Hiasan dunia yang paling cantik ..... AMIN...

Wednesday, June 29, 2011

Hargai orang yang kita sayang

Semalam saya melayari WebMD. Saya memang suka baca artikel-artikel perubatan di sini kerana ia dapat mengemaskini (update) pengetahuan saya di dalam bidang perubatan. Bidang perubatan sepertimana bidang-bidang yang lain juga berkembang setiap hari. Jadi, amat malang jika kita masih lagi berada di takuk lama dan tidak memperbaharui pengetahuan kita...

Ok, semalam saya melihat satu tajuk yang menarik perhatian saya di WebMD “The best age to be have a baby”. Mengikut pengetahuan saya yang lalu, umur yang terbaik untuk hamil bagi wanita adalah sebelum umur 35 tahun. Banyak sebab mengapa pakar-pakar perubatan menyarankan perkara ini. Namun saya tidak menolak fakta bahawa terdapat wanitayang boleh lagi mengandung selepas umur 35 tahun namun mengandung di usia tersebut mempunyai risiko kesihatan kepada ibu dan juga bayi yang dikandung. Mungkin, ada yang mencebik mengatakan bahawa ada juga orang yang mengandung selepas umur 35 tahun namun tiada masalah. Saya tidak membangkang. Itu semua memang kuasa Allah Yang Maha Esa, namun banyak kajian dijalankan oleh pakar perubatan bahawa ibu yang mengandung selepas umur 35 tahun mempunyai risiko kesihatan seperti darah tinggi dan kencing manis berbanding mereka yang lebih muda.

Berbalik kepada apa yang saya baca di WebMD semalam. Saya menyangka ada ilmu yang baru berkenaan perkara ini. Mana tahu terdapat kajian baru mengenai umur terbaik untuk mengandung. Namun apa yang di paparkan adalah mengenai pengalaman beberapa orang ibu di negara barat menceritakan kisah kali pertama mereka hamil. Umur mereka sewaktu mereka pertama kali hamil dan pandangan mereka bilakah umur yang paling sesuai untuk hamil. Apabila membaca kisah-kisah mereka, saya merasakan betapa bertuahnya diri saya kini...Masya-Allah...kisah-kisah hidup mereka benar-benar menginsafkan diri ini. Diri ini telah dikurniakan nikmat yang paling agung iaitu nikmat Iman dan Islam. Diri ini menganut agama yang benar dan dapat dijadikan panduan hidup. Tidak tersasar sebagaimana orang-orang barat yang kebanyakkannya tidak lagi beragama. Mereka hidup secara sekular iaitu memisahkan agama dari kehidupan seharian kerana agama mereka yang tidak benar itu tidak lagi dapat menyelesaikan masalah mereka.

Di samping nikmat iman dan Islam yang Allah kurniakan kepada diri saya, Allah juga telah mengurniakan nikmat hidup berkeluarga kepada diri saya. Mempunyai anak dan suami. Tidak dinafikan kadangkala terdapat perselisihan faham dalam hidup berkeluarga. Namun, saya masih ada tempat bergantung iaitu suami yang baik dan juga tempat untuk menumpahkan kasih sayang kepada suami dan anak-anak. Fitrah sebagai manusia ini telah Allah kurniakan kepada diri saya, Alhamdulillah...bila membaca kisah-kisah mereka yang tidak bernasib baik, tidak mendapat nikmat yang memenuhi fitrah manusia, kita akan insaf dan tersedar kembali. Betapa kadang-kadang kita terlupa untuk mengucapkan terima kasih kepada orang-orang yang kita sayang yang berada di sekeliling kita.

Saya juga merasa amat bersyukur di samping mempunyai keluarga, saya juga mempunyai pekerjaan yang baik. Walaupun saya bekerja namun saya masih boleh lagi berbakti kepada keluarga dan masyarakat secara serentak. Ya Allah betapa besarnya nikmat yang Engkau kurniakan kepada hambaMu ini yang kadang-kadang terlalai dan terleka. Ampunkan hambaMu ini, Ya Allah...

Di sini saya paparkan kisah-kisah mereka, moga-moga ianya menjadi teladan buat diri kita. Benarlah kata-kata bahawa jika kita ingin menghargai nikmat yang Allah kurniakan kepada kita, kita lihat orang yang tidak bernasib baik berbanding dengan kita...

Cerita 1

Shannon, seorang peguam berusia 38 tahun. Beliau telah berkahwin namun perkahwinannya hanya bertahan selama 4 bulan. Selepas setahun hidup sendirian, naluri inginkan seorang anak sebagai penyeri hidup telah membuak-buak dalam dirinya. Jadi dia mengambil keputusan untuk mengandung menggunakan IVF . Teknik IVF ini akan menggunakan ovum daripada Shannon dan sperma dari lelaki yang tidak dikenali. Sperma ini beliau akan dapat dari bank sperma. Beliau menghabiskan wang sebanyak $50,000 untuk merealisasikan kehendaknya untuk mempunayi seorang anak. Beliau sedar cabaran yang akan beliau akan hadapi iaitu membesarkan anak secara bersendirian dan anak ini akan membesar tanpa mengetahui siapa sebenarnya ayahnya.

Masya-Allah, betapa rosaknya sudah system kekeluargaan di Negara barat. Mereka membenarkan seorang wanita mengandung dengan mengambil sperma hanya dari bank sperma. Natijahnya kesian terhadap anak yang akan dilahirkan. Satu kerana tiada bapa. Kedua, langsung tidak mengetahui siapa bapanya. Ketiga, membesar tanpa kasih sayang bapa. Keempat ada kemungkinan akan berkahwin dengan adik beradiknya sendiri apabila telah dewasa...bagi si ibu pula membesarkan anak tanpa suami di sisi juga merupakan satu cabaran yang besar...

Cerita 2

Leslie, seorang editor sebuah syarikat akhbar berusia 40 tahun. Berkahwin sewaktu umur 36 tahun tahun. Sewaktu mula-mula kahwin mereka merasakan tidak mahu mempunyai anak namun lama kelamaan fitrah kemanusiaan datang juga mengetuk hati mereka. maka, dalam usia 40 tahun, barulah Leslie mengandung. Beliau berfikir bahawa di usianya mencecah umur 60 tahun pun dia masih perlu bekerja bagi menyara kos pembelajaran anaknya. Pada waktu yang sama kawan-kawannya sudah menikmati hidup persaraan

Semoga cerita-cerita ini mengingatkan diri kita tentang nikmat yang kita ada sekarang...

Wallahua’lam...

Monday, June 27, 2011

Kejayaan Hakiki


Hujung minggu baru-baru ini, kami ke PTS untuk membeli buku-buku tambahan bagi kedai online kami. Dalam membelek-belek buku untuk dibeli, mencari buku-buku yang bagus untuk dibaca oleh kami dan juga sahabat-sahabat pelanggan kami, suami saya terjumpa buku motivasi yang best, tajuk buku “A day Count” ditulis oleh John Maxwell. Balik dari PTS, suami saya terus membaca buku tersebut. Memang selalunya apabila membaca buku, beliau akan kongsikan bersama saya dan juga Aiman manfaat yang boleh diambil daripada pembacaannya.

“Aiman, apa maksud kejayaan bagi Aiman? Macam sesetengah orang, berjaya ertinya ada harta banyak, kereta besar, rumah besar, Aiman rasa berjaya tu apa?”

“Berjaya ertinya dapat masuk syurga” jawab Aiman

“Betul tu, itu kejayaan tahap yang paling tinggi. Jadi, untuk dapat kejayaan tu kena usaha, betul tak?”

“Betul”

Alhamdulillah, jawapan Aiman benar-benar menggembirakan hati saya. Semoga Aiman benar-benar menjawab soalan tersebut tulus dari hatinya.

Apakah kita akan berjaya di sana?

Semalam di blog tazkirah membicarakan soal solat. Dan sebagaimana yang kita tahu, solat adalah perkara pertama yang akan dihisab oleh Allah di hari akhirat nanti.

Nabi bersabda, Sesungguhnya amalan pertama yang akan dihisab bagi seseorang hamba di hari kiamat ialah SOLAT, jikalau solatnya baik maka dia termasuk orang yang bahagia lagi beruntung dan jika solatnya rosak maka dia termasuk orang yang rugi dan tidak beruntung." (HR Imam al-Tirmidzi)

Jika amalan solat kita diterima oleh Allah, Insya-Allah amalan-amalan yang baik yang lain juga akan diterima. Justeru, sebelum hari hisab yang sebenarnya di hari akhirat nanti, kita hisab dahulu diri kita di sini. Agak-agak bagaimana solat kita. Agak-agak dengan solat yang kita lakukan sekarang Allah terima tak solat kita. Khusyuk tak solat kita? Masya-Allah, bagi diri saya sendiri amat takut bila teringatkan solat sendiri. Bagi diri saya yang lemah ini, memang tidak saya nafikan amat sukar mencapai kekhusyukkan 100% ketika solat. Ada-ada saja perkara-perkara yang mencelah di fikiran ini ketika solat. Walaupun diri ini sudah cuba bersembahyang di awal waktu, memahami setiap bacaan solat. Cuba menghayatinya, namun kekadang datang juga rasa leka seketika sewaktu sembahyang, Masya-Allah amat sukar sekali mencapai kekhusyukkan ini. Saya mencuba untuk mencapai kekhusyukkan dengan memahami makna, terbayang bahaya solat yang didirikan adalah solat yang terakhir, membuang segala perkara dunia dalam fikiran di waktu ingin solat dan juga berdoa kepada Allah setiap kali sebelum solat dengan doa ini iaitu:

Ya Allah, Engkau bantulah hambaMu ini untuk sentiasa mengingati diri-Mu, Ya Allah Engkau bantulah hambaMu ini untuk sentiasa bersyukur dengan nikmatMu, Ya Allah Engkau bantulah hambaMu ini untuk beribadah dengan baik, Ya Allah, Engkau bantulah hambaMu ini untuk solat dengan khusyuk

Namun kadang-kadang diri ini tertewas jua. Benarlah ayat al-Quran dalam Surah Al-Baqarah Ayat 45

Jadikanlah sabar dan shalat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyu',

Cerita solat orang yang soleh

Cerita ini saya dapat dekat blog kawan saya http://wfaiziah.blogspot.com/ . Moga cerita ini dapat dijadikan panduan untuk kita untuk mencapai kekhusyukkan dalam solat. Semoga dengan itu, kita semua akan berjaya di akhirat nanti, Insya-Allah

Seorang ahli ibadah bernama Isam Bin Yusuf, sangat warak dan khusyuk solatnya. Namun, dia selalu khuatir kalau-kalau ibadahnya kurang khusyuk dan selalu bertanya kepada orang yang dianggapnya lebih ibadahnya, demi untuk memperbaiki dirinya yang selalu dirasainya kurang khusyuk.

Pada suatu hari, Isam menghadiri majlis seorang abid bernama Hatim Al-Assam dan bertanya, "Wahai Aba Abdurrahman, bagaimanakah caranya tuan solat?". Hatim berkata, "Apabila masuk waktu solat, aku berwuduk zahir dan batin." Isam bertanya, "Bagaimana wuduk zahir dan batin itu?" Hatim berkata, "Wuduk zahir sebagaimana biasa iaitu membasuh semua anggota wudhuk dengan air.

Sementara wuduk batin ialah membasuh anggota dengan tujuh perkara :

1. Bertaubat

2. Menyesali dosa yang telah dilakukan

3. Tidak tergila-gilakan dunia

4. Tidak mencari/mengharap pujian orang (riya')

5. Tinggalkan sifat berbangga

6. Tinggalkan sifat khianat dan menipu

7. Meninggalkan sifat dengki.

" Seterusnya Hatim berkata, "Kemudian aku pergi ke masjid, aku kemaskan semua anggotaku dan menghadap kiblat. Aku berdiri dengan penuh kewaspadaan dan aku rasakan aku sedang berhadapan dengan Allah, Syurga di sebelah kananku, Neraka di sebelah kiriku, Malaikat Maut berada di belakangku, dan aku bayangkan pula aku seolah-olah berdiri di atas titian 'Siratal mustaqim' dan menganggap bahawa solatku kali ini adalah solat terakhir bagiku, kemudian aku berniat dan bertakbir dengan baik." "Setiap bacaan dan doa dalam solat, aku faham maknanya, kemudian aku rukuk dan sujud dengan tawadhuk, aku bertasyahud dengan penuh pengharapan dan aku memberi salam dengan ikhlas. Beginilah aku bersolat selama 30 tahun." Apabila Isam mendengar menangislah dia kerana membayangkan ibadahnya yang kurang baik bila dibandingkan dengan Hatim. "

Semoga cerita ini memberi inspirasi kepada kita untuk melakukan solat dengan yang lebih baik dan khusyuk. Semoga segala usaha kita untuk mendapat ibadah yang terbaik dan berlumba-lumba untuk mencapai yang terbaik akan dinilai oleh Allah. Dan semoga dengan itu kita akan mendapat kebahagiaan yang hakiki dengan bertemu Rasulullah di syurga nanti dan semestinya bertemu dengan Allah Pencipta kita Yang Agung....Masya-Allah...


Cerita sedih...

Hari yang sama kami ke PTS, kami singgah makan di Ikan Bakar di Jalan Bellamy. Banyak orang yang datang makan di situ, habis laku semua ikan, sotong dan kerang bakar yang dijual. Bersesak-sesak manusia hingga terpaksa menunggu meja kosong dahulu. Namun, amat yang sedih bila kami singgah sembahyang zohor berjemaah di surau sebelah tempat makan, surau ini betul-betul sebelah kawasan Istana Negara (saya suka surau ini kerana ianya dibuat dari kayu dan suasana amat nyaman, terbayang rumah di kampung). Jumlah orang lelaki yang berjemaah boleh dibilang dengan jari dan orang perempuan yang berjemaah hanya diri saya seorang sahaja. Sangat sedih...Rakyat Malaysia (terutama bagi kaum lelaki) rata-rata masih belum mengutamakan solat berjemaah.

Wallahua'lam...


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...