Thursday, June 2, 2011

Travelog Umrah bersama anak -Bab 1

Assalamualaikum...

Saya dalam usaha untuk membuat satu kompilasi umrah bersama anak, moga-moga ianya dapat dijadikan panduan untuk mereka yang bakal menunaikan umrah. Setakat ini alhamdulillah saya telah dapat menyiapkan sedikit sebanyak kompilasi tersebut. Dibawah dicoretkan serba sedikit pengalaman awal bagaimana tergeraknya hati saya untuk menunaikan umrah. Semoga ianya menjadi semangat untuk kawan-kawan juga...Insya-Allah...Saya mohon kepada Allah semoga ianya dapat jadi satu panduan yang berguna...Amin...

Travelog umrah bersama anak-anak

BAB 1 – Menunaikan haji sebelum umur 38 tahun

Saya telah menanamkan di dalam hati untuk mengerjakan haji pada usia yang muda iaitu sebelum melangkau umur 40 tahun. Itu antara misi saya. Ya, saya rasa dengan kerjaya dan gaji yang saya miliki sekarang, saya tidak patut kalah kepada ibu dan ayah saya yang dapat menunaikan haji pada usia yang agak muda iaitu pada umur 38 tahun bagi ibu saya dan 40 tahun bagi ayah saya walaupun ketika itu ayah saya hanya bekerja sebagai buruh Jabatan Kerja Raya dan ibu saya mempunyai sebuah kedai runcit di kampung. Dengan mempunyai anak seramai 8 orang, saya rasa kagum dengan ibu dan bapa yang bagi saya bijak menguruskan kewangan sehingga dapat mengerjakan haji pada usia yang muda, Alhamdulillah. Ibu dan ayah saya mendapat jemputan daripada Allah ke tanahsuci sewaktu saya berusia 3 tahun. Disebabkan keinginan untuk menunaikan haji pada usia yang awal, ibu bapa saya dan kami adik beradik hidup bersederhana. Bapa saya hanya mempunyai sebuah motor skuter. Jika ibu ingin ke bandar untuk membeli barang waktu ayah bekerja, ibu hanya menaiki bot penambang (di waktu itu bot penambang masih popular di tempat kami). Satu yang saya belajar dari situasi ibu dan bapa saya ialah, kita hendaklah tetapkan hasrat dan matlamat yang jelas bila kita akan pergi menunaikan haji. Dengan matlamat dan tekad yang jelas, kita akan berusaha ke arah itu. Dan yang lebih penting, niat hati kita akan lebih dimudahkan oleh Allah. Niat yang disertakan dengan doa, Insya-Allah dimudahkan oleh-Nya.

Apabila diri sudah mempunyai anak-anak, satu lagi tekad yang saya tanamkan adalah ingin membawa anak-anak saya untuk mengerjakan haji bersama-sama saya. Kasih sayang terhadap anak-anak menyebabkan saya rasa adalah lebih manis jika dapat bersama-sama ke tanahsuci bersama anak dan juga semestinya bersama suami tersayang. Berbekalkan tekad ini, saya telah mendaftar haji untuk diri saya, suami dan kedua anak saya iaitu Aiman dan Aqilah pada bulan Januari 2009. Pada waktu pendaftaran, saya dan suami berusia hampir 31 tahun, Aiman hampir 6 tahun dan Aqilah berusia 6 bulan. Untuk mendaftar, setiap akaun harus ada amaun minimum iaitu RM 1300 dan jumlah itu tidak boleh berkurang jika mahu pendaftaran kita masih lagi aktif. Tamat mendaftar di Tabung Haji, saya melihat kertas yang dicetak, Ya Allah! Tarikh untuk kami sekeluarga layak mengerjakan haji adalah pada tahun 2023! Bila dihitung-hitung di waktu itu usia saya dan suami sudah mencapai 45 tahun, Aiman 20 tahun dan Aqilah 15 tahun. Saya memberitahu petugas di kaunter, “Ya Allah, lambatnya lagi ye, kalau ikut tarikh ini saya lagi lambat pergi haji daripada ibu dan ayah saya”. Petugas itu tersenyum dan menjawab, “Takpe la Puan, kalau anak-anak dah besar lagi senang nak bawa.” Saya bertanya lagi, “Tak bolehkah pergi lagi awal dari tarikh ini?” Jawapannya adalah boleh tetapi kena buat surat rayuan terlebih dahulu beserta dengan alasan. Saya berfikir-fikir, apa alasan yang boleh saya berikan, sebenarnya jika difikir-fikirkan tiada alasan kukuh untuk kami sekeluarga untuk pergi lebih awal. Hanya kuasa Allah sahaja yang boleh mengubah takdir ini, Insya-Allah saya akan ke sana sekurang-kurangnya pada usia 38 tahun juga…

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...