Tuesday, July 14, 2009

sedih....buih di lautan

Saya tidak dapat menahan air mata saya dari mengalir pabila melihat video penderaan orang-orang Islam di Iraq oleh Tentera Britain di Bulaten Utama malam tadi. Ditambah lagi berita etnik minoriti di cina yang ditembak mati oleh askar kerajaan di dalam pertelingkahan di negara mereka...sedih, tersangat sedih...umat Islam diperlakukan sebegitu rupa tanpa sebarang pembelaan...

Ini bertepatan dengan hadis Rasulullah S.A.W...

"Umat lain akan meratah kamu dengan rakus sebagaimanaanjing-anjing yang mengelilingi hidangan makanan."

Sahabat bertanya adakah kerana bilangan umat Islam yang sedikit?

Baginda menjawab "Tidak, bahkan jumlah kamu masa itu banyak sebagaimana banyaknya buih di lautan. Allah mengikis perasaan gerun didalam hati musuh terhadap kamu dan Allah mencampakkan dalam hati kamu 'al-wahan'. "

Sahabat bertanya apa dia al-wahan itu ya Rasulullah.

Jawab Baginda 'cintakan dunia dan bencikan akhirat."

Monday, July 13, 2009

31 TAHUN

Hari ini 13 Julai 2009, genap umur saya 31 tahun...dah tua rupanya saya, kalau semasa zaman-sekolah-sekolah dulu, cikgu yang berumur 30 tahun ke atas dikelaskan cikgu yang dah tua...

Hari kelahiran saya 13 Julai 1978

Mengimbau kenangan 31 tahun yang lalu semasa saya dilahirkan. Cerita ini saya diceritakan oleh kakak ke-3 saya sewaktu zaman kanak-kanak saya. Saya anak ke-7. Jarak saya dengan kakak ke-6 saya agak jauh iaitu 5 tahun, sama seperti jarak umur Aiman dan Aqilah. Saya dilahirkan di rumah saya di sebuah daerah di Negeri Terengganu. Pada zaman 1978, masih ramai lagi ibu-ibu lebih selesa bersalin di rumah masing-masing ditemani mak bidan kampung. Saya tidak dapat bayangkan macamana kesakitan yang dilalui oleh ibu saya tanpa sebarang ubat penahan sakit di waktu itu. Tentunya amat sakit (saya sendiri telah melaluinya, itu pun dapat bantuan epidural, sebelum epidural diberikan, Ya Allah, Tuhan saja yang tahu kesakitannya, kesakitannya tidak dapat diceritakan). Kalau mengikut kajian perubatan, jika jarak kelahiran 5 tahun ke atas pesakit akan melalui kelahiran seperti anak pertama. Terima kasih cik (panggilan saya kepada ibu saya) kerana sanggup menahan kesakitan demi melahirkan saya ke dunia ini. Jasa cik tidak dapat saya balas dengan segala harta di dunia ini...Sewaktu saya lahir, saya ada tanda lahir pada mata saya. Tanda lahir saya ialah pada mata putih saya sebelah kanan ada tanda kesan darah. Semasa baru-baru lahir, memang kesan darah itu berwarna merah namun lama kelamaan semasa saya kanak-kanak ia bertukar menjadi warna coklat. Sewaktu kecil, saya selalu tertanya-tanya kenapa ada kesan darah dalam mata saya. Kakak saya membuat kesimpulan menyatakan sewaktu saya lahir, darah ibu saya menitik ke dalam mata saya, saya mempercayai dan mengiyakan kata-katanya. Rupanya-rupanya di dalam bidang perubatan ianya di panggil subconjuctival haemorrhage. Alhamdulillah ianya tidak menggangu langsung penglihatan saya.
Menurut cerita daripada kakak ke-3 saya (waktu itu beliau berusia 13 tahun), sewaktu cik dan ku (ayah ) saya berbincang-bincang untuk memberikan nama kepada saya, beliau juga mempunyai cadangan untuk memberikan nama kepada saya iaitu Nor Hidayah kerana beliau sangat gembira dapat adik baru tetapi beliau takut untuk memberitahu ibu bapa saya. Antara cadangan nama saya daripada ibu bapa saya ialah Azean dan Bahiyah. Nama Azean kerana pada waktu itu Azean Irdawaty adalah salah seorang pelakon yang terkenal dan kalau tidak silap memenangi anugerah pelakon wanita popular pada zaman itu. Bahiyah pula kerana pada waktu itu Sultanah Bahiyah, Permaisuri Raja Kedah menjadi Raja permaisuri Agong pada zaman saya dilahirkan. Setelah perbincangan, nama yang dipersetujui adalah Bahiyah yang bermaksud yang gemilang...alhamdulillah nama saya mempunyai makna...

Sambutan hari lahir...

Ibubapa saya tidak pernah membuat majlis harijadi saya. Saya tahu kami daripada keluarga yang tidak mampu...Bagi keluarga yang tidak mampu banyak perkara yang lebih penting harus difikirkan, duit harus berjimat. Dengan bilangan anak yang ramai, memang selalu kena beringat untuk pelajaran dan keperluan asas anak-anak. Lagipun, bagi ayah saya, sambut harijadi dengan meniup lilin bukanlah budaya orang Melayu, itu budaya orang putih. Seingat saya sambutan hari lahir saya pertama kali dibuat oleh cikgu saya, Cikgu Norilah sewaktu saya berumur 12 tahun. Waktu itu saya dan 2 orang kawan saya berkampung di rumah bujang cikgu Norilah bagi kelas intensif UPSR. Cikgu Norilah membelikan sebiji kek semasa harijadi saya dan kami menyambutnya bersama sama...Terima kasih cikgu...:). Sewaktu bersekolah di asrama penuh pula, kawan-kawan satu dorm akan buat sedikit sambutan kecil-kecilan..dan saya akan belanja mereka makan MAGGI..itu sahaja yang mampu dibeli oleh saya waktu itu...

Hadiah hari lahir...

Saya mendapat hadiah pertama dari teman-teman ofis saya hari jumaat yang lalu. Seorang teman saya bertanya apa hadiah yang dibelikan oleh suami saya dan adakah saya mengimpikan suami saya membelikan bunga untuk saya. Jawapannya, suami saya belum memberikan apa-apa hadiah untuk saya pada hari ini tetapi dia tidak lupa bahawa hari ini hari kelahiran saya, Insya-Allah petang ini kami akan menyambutnya secara ala kadar, makan di pizza barangkali.
Tentang jawapan adakah saya suka diberikan hadiah bungan oleh suami saya atau apakah hadiah yang saya inginkan daripada suami saya...

Hadiah bunga...

Saya pernah menerima hadiah bunga daripada suami saya sekali sahaja. Waktu itu hari konvokesyen saya di UKM. Waktu itu kami baru berkahwin 3 bulan. Suami saya memberikan 50 kuntum bunga ros merah kepada saya. Bunga itulah saya pegang setiap kali bergambar semasa hari konvo berkenaan. Akhirnya bunga itu layu dan kering di dalam bilik stor rumah kami. Harga 50 kuntum tersebut RM 120.00. Pada pendapat saya, pemberian bunga adalah membazir kerana akhirnya akan layu.

Hadiah yang saya inginkan dari suami saya...

Hadiah yang saya rasa paling berharga yang saya inginkan dari suami saya adalah REDHA suami saya pada masa sekarang hinggalah saya meninggal dunia nanti. Saya harap saya selamanya akan menjadi "Qurratu 'Ain " iaitu penyejuk mata suami saya. Semoga dengan keredhaan suami saya juga kami akan bertemu kembali di dalam SYURGA...AMIN.

Hadis daripada Rasulallah S.A.W.

"Mana-mana wanita yang meninggal-dunia sedang suaminya redha kepadanya pasti akan masuk ke dalam Syurga."

Itulah hadiah yang paling berharga yang saya impikan....

Sunday, July 12, 2009

Generasi muda, dera, rempit

Suami saya memang suka berkongsi cerita mengenai khutbah Jumaat yang beliau ikuti. Dua minggu lepas, khutbah Jumaat yang disampaikan oleh Imam yang bertugas memang menarik. Antara kandungan khutbah tersebut adalah betapa pentingnya membangunkan golongan orang muda bagi sesebuah negara. Kehebatan sesebuah negara itu bukan terletak kepada berapa banyak buah bangunan tinggi yang dibina, berapa nilai aset yang dimiliki oleh negara berkenaan tetapi ianya terletak pada golongan orang muda yang beriman dan berilmu. Namun, Imam tersebut menyatakan kesedihan terhadap apa yang berlaku kepada pemuda-pemudi Islam kita pada hari ini. Daripada statistik didapati kes kelahiran bayi luar nikah adalah paling tinggi di kalangan orang Islam, kes dadah dan pemuda yang memenuhi pusat-pusat serenti juga, angka paling tinggi adalah di kalangan orang Melayu. Kes-kes mat rempit yang tidak mempunyai haluan hidup juga adalah di kalangan pemuda-pemuda Melayu. Inilah senario sebenar yang berlaku yang terpaksa kita telan walaupun pahit. Apakah langkah yang patut kita ambil sebagai ibu bapa pada zaman ini bagi mendidik anak-anak kita agar menjadi pemuda-pemudi yang hebat pada zaman akan datang????

Pada minggu lepas, saya ada mengikuti satu mesyuarat mengenai isu penderaan kanak-kanak dan isu-isu berkaitan dengannya. Telah banyak duit yang yang dikeluarkan oleh kerajaan bagi menangani masalah kanak-kanak yang didera dimana implikasinya amat besar. Melalui mesyuarat tersebut, semua ahli bersetuju bahawa aktiviti pencegahan adalah paling UTAMA harus diambil berbanding dengan soal pemulihan iaitu selepas penderaan kanak-kanak berlaku. Isu penderaan kanak-kanak, broken family (ibubapa bercerai), remaja hamil luar nikah, remaja bermasalah dadah, remaja rempit, kemiskinan keluarga sebenarnya ibarat cerita ayam dan telur. Tidak dapat dinyatakan siapa yang dahulu, siapa yang kemudian. Kemiskinan boleh menyebabkan pasangan bercerai, anak-anak terabai, mendera anak-anak, anak remaja hamil luar nikah, rempit, dadah. Penglibatan dengan dadah juga boleh menyebabkan si penagih menjadi pendera, penceraian berlaku, anak-anak terabai. Statistik mendapati kebanyakkan anak-anak yang bermasalah adalah daripada broken family.

Memang bertepatanlah di dalam agama Islam satu perkara yang dihalalkan namun adalah yang paling dibenci oleh ALLAH adalah perceraian di antara suami isteri.

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda, Maksudnya : “ Perkara yang halal yang paling dibenci Allah ialah talak [perceraian]”. Riwayat Al-Imam Abu Daud dan Ibnu Majah.

Memang ALLAH sebagai PENCIPTA MAHA MENGETAHUI akan natijah yang akan berlaku apabila perceraian berlaku. Ia bukan sekadar merosakkan hubungan suami isteri yang terlibat namun boleh melarat hingga ke beberapa generasi. Cerai, kemudian anak-anak terabai, kurang kasih sayang, anak-anak didera, anak-anak terlibat dadah, rempit, hamil luar nikah. Anak-anak yang didera juga akan terdorong menjadi pendera. Anak-anak yang dilahir luar nikah akan dibuang atau terabai atau dibesarkan di rumah anak-anak yatim, kurang kasih sayang kemudian cycle ini akan berulang kembali...anak-anak ini juga kemungkinan akan terlibat dalam gejala-gejala yang tidak sihat...Oleh itu, saya menasihatkan kepada para suami dan bakal-bakal suami di luar sana, jangan sekali-kali mudah untuk melafazkan perkataan cerai walaupun golongan anda mempunyai kuasa kerana implikasinya amatlah besar. Kaum lelaki juga harus ingat bahawa mereka akan disoal oleh ALLAH di hari akhirat tentang tanggungjawab mereka. Balasan yang dahsyat akan diterima nanti jika kesilapan mereka ini membawa kerosakan. Maka fikir-fikirkanlah. Satu perkara yang memeranjatkan saya juga adalah sewaktu mesyuarat tersebut, wakil daripada JAKIM menceritakan bahawa terdapat sebahagian besar orang ISLAM yang mengikuti kursus kahwin yang diwajibkan sebelum kahwin mengambil ringan terhadap pengajaran dan ceramah yang disampaikan sewaktu kursus tersebut. Mereka lebih suka keluar masuk sewaktu ceramah, pergi ke tandas, menghisap rokok, merayau-rayau. Bagi mereka yang penting hanyalah mendapatkan sijil...Sedih saya mendengar keadaan ini. Macamana mereka mahu mendidik anak-anak mereka nanti jika inilah sikap mereka di peringkat permulaan lagi???


Saya ingin berkongsi pengalaman semasa saya bertugas di Jabatan Kecemasan HKL. Kisah di bawah adalah kisah benar yang berlaku....

Waktu itu saya bertugas shif petang. Seorang pesakit dalam usia 18 tahun masuk untuk mendapatkan rawatan.

"Apa masalah adik "

"Saya sakit perut lah doktor, rasa perut ni tak sedap, kadang-kadang rasa macam nak muntah"

"Ada demam, cirit birit?"

"Takde"

"Bila kali terakhir adik datang bulan?"

"Empat bulan lepas"

"Dah kahwin ke belum?"

"Belum"

"Selalu period tak teratur ker"

"Sebelum ini ok je"

"Ini dr nak tanya soalan peribadi sikit, harap adik jawab dengan jujur, adik pernah bersama @ buat hubungan dengan mana-mana lelaki tak sebelum ini"

"Tidak"

"Ok, sekarang adik baring atas katil tu, dr nak periksa perut adik"

Pesakit itu pun bangun dan berbaring untuk diperiksa.
Bila beliau baring, barulah saya terperasan sesuatu. Ya ALLAH...

"Adik, kamu ni mengandung , tengok perut kamu ini dah nak masuk 4 bulan ni"

Namun pesakit tersebut tetap tidak mahu mengaku bahawa beliau pernah melakukan hubungan dengan mana-mana lelaki.

"Ok, macam ni lah, dr akan buat ultrasound, kita lihat sendiri baby dalam perut kamu"

Dia kelihatan serba salah, namun masih lagi tidak mengaku, beliau masih berada dalam keadaan denial.

Saya pun melakukan ultrasound. Dan memang sudah nampak janin dengan denyutan jantung di dalam perutnya. Namun, yang paling memeranjatkan dia masih juga belum mengaku...

Ibu bapa pesakit dipanggil untuk diberikan kaunseling. Pesakit juga diberikan kaunseling. Pesanan terakhir saya kepada beliau ialah agar beliau jangan gugurkan kandungan berkenaan dan jika bayi sudah lahir, jangan pula dibuang bayi berkenaan. Saya nasihatkan beliau jangan gandakan kesilapan yang telah beliau lakukan. Saya doakan agar terbuka hatinya untuk mendengar nasihat saya.

Wednesday, July 8, 2009

Harijadi pertama

Suami saya mencadangkan untuk membawa setiap anak ke zoo pada harijadi pertama mereka untuk dijadikan tradisi keluarga, sebagaimana Aiman dahulu...:)... Saya tidak membantah walaupun ada rasa sedikit takut dengan wabak H1N1 sekarang.

Sesampainya di zoo lebih kurang pukul 10.30 pagi, alhamdulillah cuaca baik berbeza dengan semasa ulangtahun kelahiran Aiman 5 tahun dahulu, kami sampai ke zoo, hari hujan...Tapi alamak...ramai la pulak pelancong hari ini, ingatkan tiada banyak orang waktu hari bekerja rupanya sangkaan kami meleset...Namun kami teruskan juga niat kami untuk membawa Aqilah ke zoo. Bayaran masuk dewasa RM 15, kanak-kanak RM 6, jika membawa video camera bayaran tambahan sebanyak RM 15 dikenakan. Suami saya menyuruh kami membaca doa tolak bala...Bismillahillazi la yadurrumaasmihi syaiunfilardiwalafissamai wahuassamiulalim....moga-moga dijauhkan daripada penyakit H1N1..Insya-Allah

Aqilah begitu excited melihat haiwan-haiwan. Namun sedikit gerun apabila melihat gajah yang seolah-olah mahu mendekatinya. Aiman pula sibuk mahu memberi makan tebu kepada gajah tetapi pada hari bekerja tiada orang yang menjual tebu untuk diberikan kepada gajah, Aiman terkilan...

Penat jugak berjalan...saya dan suami bertukar giliran mendukung Aqilah...Selepas penat berjalan, kami naik pula train dalam zoo. Dulu perkhidmatan ini percuma namun mulai tahun ini sudah dikenakan bayaran, RM 3 untuk dewasa dan RM 2 untuk kanak-kanak 2 tahun ke atas.

Kami bertolak pulang ke rumah pada pukul 2.00 petang. Kami singgah makan di Bandar Tun Razak...memang makan kat luar sangat tidak puas hati... mahal dan tidak sedap...

"Ibu, Aiman berhingus"...."Haa..."saya bersuara dengan nada mengusik...Aiman lekas-lekas menjawab .."Tapi bukan selsema babi lar ibu"...Saya hanya mampu ketawa...

Monday, July 6, 2009

happy birthday aqilah

happy birthday to you, happy birthday to you, happy birthday to Aqilah, happy birthday to you...hari ini genap setahun umur anak kedua saya Aqilah...

Ya Allah Ya Tuhanku, mudahkan kami dalam usaha mendidik dan membesar anak-anakku, semoga anakku akan menjadi anak yang soleh dan solehah, kuat jiwanya, cerdik akal fikirannya, mempunyai akhlak yang mulia dan kesihatan yang sempurna, jauhilah diri mereka daripada perkara-perkara yang tidak diingini, hanya padaMu tempat kami berserah dan meminta pertolongan...AMIN YA RABBAL ALAMIN...

Wednesday, July 1, 2009

H1N1 VS DENGGI

H1N1... penyakit ini memanglah menggerunkan ... penyakit yang boleh bawa MAUT...Di sana-sini, orang bercakap mengenainya malah di media-media massa setiap hari memaparkannya...Bagi pendapat peribadi saya, kita memang perlu berwaspada mengenai penyakit ini. Nasihat Kementerian Kesihatan supaya jangan melawat hospital-hospital terutama bagi anak-anak kecil (disebabkan imuniti mereka yang rendah) hendaklah dipatuhi...lebih baik lagi jika kita mengelakkan membawa anak-anak kecil ke tempat-tempat yang sesak seperti pasar malam, pusat membeli belah dan juga kawasan-kawasan yang selalu dilawati oleh para pelancong, langkah yang proaktif perlu kita ambil untuk mengelakkan penyakit ini terus tersebar dari sehari ke sehari...Ya, jika dibandingkan dengan 1 Jun 2009 sewaktu saya bertugas di bilik Gerakan KKM dengan hari ini 2 Julai 2009, pertambahan kes amatlah mendadak...dari 2 KES kepada 196 KES!!! GERUN!!!

DEMAM DENGGI, mencatatkan bilangan KES DAN KEMATIAN yang lebih tinggi berbanding H1N1. Namun ianya seolah-olah tidak ditakuti atau tidak dihiraukan oleh masyarakat kita...Di mana silapnya???Adakah masyarakat kita telah lali dengan keadaan ini? ATAU adakah kurang penekanan oleh pihak media massa? ATAU adakah masyarakat kita terdiri daripada orang-orang yang tidak peduli? pentingkan diri sendiri? malas menjaga kebersihan? atau apa? Hakikatnya, Kementerian Kesihatan melalui Ketua Pengarah Kesihatannya telah MENGAKU KALAH disebabkan kegagalan membasmi penyakit ini walaupun pelbagai usaha telah dijalankan oleh Kementerian. Sadis betul....

Mengikut statistik Kementerian Kesihatan, negeri yang mencatatkan kes yang paling tinggi pada tahun 2008 adalah negeri Johor, manakala pada 2009 sehingga bulan Jun, negeri Selangor mencatatkan bilangan kes yang tertinggi...(sumber: laman web MOH)

Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa jika seseorang pesakit didapati mengidap demam denggi, mereka dapat masuk hospital kerajaan (wad kelas 3) secara PERCUMA termasuk juga warganegara asing berbeza dengan penyakit-penyakit lain kerana demam DENGGI ini diakui adalah berpunca daripada NEGARA kita sendiri...

Apakah beza demam DENGGI dengan demam biasa?

1. Pada peringkat awal,tanda demam denggi adalah sama dengan mana-mana demam viral yang lain iaitu demam, batuk, selsema dan mungkin sakit tekak.

2. Perbezaan DENGGI dengan demam virus biasa adalah, bagi demam virus biasa keadaan pesakit semakin hari akan bertambah pulih/baik namun sebaliknya bagi demam DENGGI, semakin hari keadaan pesakit akan bertambah teruk.

3.Tanda-tanda tambahan DENGGI :
1) berdarah gusi secara tiba-tiba atau semasa memberus gigi,
2)berdarah hidung
3)sakit perut,
4)muntah
5)cirit-birit
6)susah bernafas atau sakit dada.

4. Namun pada peringkat awal demam DENGGI, iaitu pada hari pertama, kedua biasanya ianya tidak dapat dikesan dalam ujikaji darah. Oleh itu, jangan merasa marah atau tidak berpuas hati dengan doktor jika doktor tidak mahu menjalankan ujian darah pada hari pertama dan kedua anda demam.

5. Bagi ujikaji darah DENGGI, doktor akan melihat bilangan platelet (platelet count) dan HCV (kepekatan darah) dan juga nilai sel darah putih. Bilangan platelet yang normal adalah 150,000 - 400,000. Kepekatan darah yang normal pula adalah 3 kali nilai hemoglobin. Bagi demam denggi, semakin berkurang bilangan platelet, kepekatan darah bertambah dan nilai sel darah putih yang berkurang, semakin teruk keadaan pesakit berkenaan.

6. Oleh itu, jika hari ke-3 atau ke-4 masih lagi demam dan keadaan makin bertambah teruk dengan tanda-tanda seperti di atas, SEGERA berjumpa dengan doktor untuk melakukan ujian darah. Lebih baik jika pesakit dibawa ke klinik/hospital kerajaan kerana biasanya ujikaji darah di klinik swasta tidak akan dapat keputusan serta merta pada waktu itu. Kebiasaannya hari berikutnya baru keputusan darah diterima. Oleh itu, jika keadaannya teruk kemungkinan akan melambatkan rawatan dan membahayakan nyawa pesakit.


Sebagai rumusan, kedua-dua penyakit ini iaitu H1N1 dan DENGGI adalah BERBAHAYA dan tidak harus dipandang mudah oleh kita.

Berbalik kepada sikap mementingkan diri, kisah yang dialami oleh saya pagi ini membuatkan saya mengiyakan sikap ini wujud di kalangan masyarakat kita. Walaupun pagi ini hujan namun ianya tidak menyejukkan hati saya yang panas dengan mereka yang memotong barisan sewaktu di simpang lampu isyarat. Jalan yang sudah jem bertambah jem disebabkan sikap mereka yang tidak bertanggungjawab ini. Sikap mereka ini betul-betul menyakitkan hati saya.

Bagi bab menjaga kebersihan juga, negara kita memang TERUK. Terpaksa telan hakikat itu. Kadang-kadang sewaktu memandu, dengan selambanya mereka membuang sampah melalui tingkap mereka langsung tidak memikirkan orang lain....

Secara peribadi, saya berpendapat, adalah menjadi tanggungjawab setiap ibubapa menanamkan sikap menjaga kebersihan dan sikap kekitaan, tidak mementingkan diri sendiri sedari kecil lagi.


Itu sahaja buat kali ini.

Semoga jumpa lagi.

Insya-Allah

THE WORLD IS CHANGING

Saya baru melihat satu video yang dikirimkan melalui e-mail oleh seorang kawan. MENARIK!!!Menurut kawan saya, video tersebut dihasilkan oleh para mubaligh kristian. Saya tidak tahu samada betul-betul video tersebut dihasilkan oleh mereka atau hanya propanganda pihak kristian, namun saya mengambil sudut positif daripada kandungannya. Video tersebut bertajuk THE WORLD IS CHANGING: menceritakan bahawa DUNIA ini akan dikuasai oleh orang ISLAM pada tahun 2050, dan bagi sesetengah negara Eropah seperti Perancis akan lebih awal penguasaannya seawal tahun 2017. Menariknya, pengusaan ini berlaku bukan melalui perang dan bukan juga melalui pengebom berani mati, TETAPI disebabkan oleh kegagalan orang-orang KRISTIAN EROPAH sendiri iaitu kegagalan melahirkan banyak anak berbanding dengan ORANG-ORANG ISLAM. Menurut video tersebut, kajian mendapati jika kadar fertiliti (kadar mendapatkan anak) sesebuah negara tidak mencapai 2.11 setahun, maka bangsa tersebut akan pupus, dan tidak dapat dibetulkan. Kajian pada tahun 2007, negara Eropah secara keseluruhannya kadar fertiliti adalah 1.38 sahaja. Bagi mencapai kembali kewujudan sesuatu bangsa itu ia akan mengambil masa selama 80-100 TAHUN untuk kembali ke asal........MEMANG MENARIK...

Selepas menonton video tersebut, membuatkan saya terfikir dan menginsafi diri...SEMUA YANG BERLAKU ADALAH DALAM PERANCANGAN ALLAH S.W.T JUA. DIALAH YANG MAHA BERKUASA. Kita manusia hanyalah makhluk yang lemah dan tidak berupaya. Sepertimana yang kita semua sebagai umat ISLAM percaya dan dijanjikan melalui hadis RASULULLAH s.a.w, bahawa pada suatu hari nanti, ISLAM akan kembali gemilang di DUNIA ini dengan kedatangan Imam Mahdi dan kemudiannya Nabi Isa a.s. Itulah yang kita paling tunggu-tunggu.

Teringat perbualan saya dengan seorang cina di sebuah kedai sewaktu ingin membuat awning di hadapan rumah kami..."Wah... you dah ada dua anak yer, satu lelaki dan satu perempuan, dah cukup lor" ...."Saya mahu tambah lagi 2"jawab saya sambil tersenyum."Memang betul, orang Melayu suka anak ramai"tambahnya. Tetapi saya tidak dapat nafikan bahawa pada zaman moden ini tidak ramai yang suka ada anak yang ramai. Kita fikir macamana untuk dapatkan duit yang cukup bagi membesarkan anak dan untuk pelajaran mereka. Pemikiran kita tidak lagi seperti ibubapa kita di zaman dahulu; Setiap anak yang dilahirkan telah ada rezeki yang ditetapkan oleh ALLAH. Jadi selepas melihat video ini, jadi fikir-fikirkanlah kembali. Jika fertility rate kita makin berkurang dan tidak mencapai sekurang-kurangnya 3 anak setiap keluarga, mungkin bangsa kita juga akan tergolong dalam bangsa yang akan PUPUS juga pada suatu hari nanti, fikir-fikirkanlah....

Itu sahaja buat kali ini...

Semoga jumpa lagi.

Insya-Allah
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...