Tuesday, June 7, 2011

Travelog Umrah bersama anak -Bab 4: Permulaan perjalanan mengerjakan umrah

Bab 4 – Permulaan perjalanan mengerjakan umrah

Pada akhir tahun 2010, saya mencari agensi yang menawarkan pakej-pakej umrah. Saya mencari pakej yang menawarkan harga yang berpatutan dan sasaran saya adalah pada musim cuti sekolah bulan 12. Namun, kebanyakan pakej musim cuti sekolah adalah lebih tinggi daripada bulan-bulan yang lain. Ada sesetengah syarikat juga tidak menawarkan pakej umrah pada bulan 12 kerana visa pada bulan tersebut adalah terhad dan ianya dikenali sebagai pakej umrah ziarah. Pada waktu itu, saya belum memahami apa yang dimaksudkan tentang pakej umrah ziarah. Disebabkan harga yang mahal dan tempat yang terhad, saya menyasarkan untuk menunaikan umrah pada tahun 2011. Saya tertarik dengan pakej yang ditawarkan oleh seorang ustaz di dalam blognya, harganya amat berpatutan walaupun pada musim cuti sekolah bulan 3. Namun, sedikit kesulitan pada diri saya mengenai pakej ini, ceramah mengenai umrah diadakan di Seremban, agak jauh untuk saya dan keluarga menghadiri sesi ceramah berkenaan. Jadi, saya membatalkan hasrat untuk mengambil pakej tersebut. Syarikat yang paling terkenal di Selangor dan Wilayah Persekutuan adalah Syarikat Andalausia. Seorang kawan saya menyarankan saya mengambil pakej Andalusia kerana isterinya pernah mengikuti pakej ini dan ternyata baik. Apabila saya melayari website Andalusia dan mencari pakej yang berpatutan, saya mendapati pakej musim cuti sekolah bulan 3 telah habis dijual dan pakej musim cuti sekolah bulan 6 ternyata agak tinggi. Tarikh yang masih available adalah bermula bulan 5. Ceramah syarikat ini juga mudah untuk kami hadiri iaitu hanya di Taman Maluri Cheras dan ianya diadakan pada setiap hujung minggu iaitu Sabtu dan Ajhad bermula 9.00 pagi hingga 1.00 tengahhari. Setelah berbincang dengan suami dan melihat kalendar, kami bersetuju untuk mengambil pakej umrah Andalusia bertarikh 1-12 Mei 2011 memandangkan terdapat cuti kelepasan am pada waktu tersebut dan suami tidak perlu mengambil cuti yang lama. Syarikat suami saya hanya memperuntukkan cuti sebanyak 15 hari setahun. Setelah bersetuju, saya booking tarikh tersebut melalui online. Daftar nama saya, suami, Aiman dan Aqilah. Setelah mendaftar secara online, saya menghubungi syarikat tersebut. Dinyatakan setiap seorang perlu membayar deposit sebanyak RM300 seorang. Suami saya membayar deposit tersebut secara online juga melalui Maybank2U. Alhamdulilah tahap pertama kami mendaftar telah selesai. Setelah beberapa minggu mendaftar, kami menerima resit bayaran daripada pihak Andalusia. Bag-bag pakaian untuk menunaikan umrah dan buku panduan mengerjakan umrah juga kami terima beberapa minggu selepas mendaftar. Hanya doa kami panjatkan kepad Ilahi supaya memudahkan urusan kami untuk mengerjakan umrah pada tahun ini.

Ulasan mengenai Kelab Isteri Taat

Pada mulanya saya terdengar sipi-sipi sahaja mengenai berita Kelab Isteri Taat, tak baca berita penuh. Tapi bila dapat tahu berita penuh mengenainya, saya rasa perlu membuat sedikit ulasan mengenai perkara ini. Kenyataan dari kumpulan ini ternyata telah memberi imej negative kepada umat Islam. Kenyataannya supaya para isteri melayan suami seperti pelacur kelas pertama jika ingin memastikan kebahagiaan rumahtangga dan supaya para isteri bersabar sahaja jika didera suami amatlah tidak munasabah dan terpesong. Kenyataan tersebut keluar dari orang yang kurang ilmu tentang ilmu Islam yang sebenar.

Perkahwinan dalam Islam adalah sesuatu yang mulia. Jika lelaki Islam berkahwin hanya ingin memuaskan nafsu dan ingin memperhambakan wanita, lelaki tersebut adalah tidak layak untuk berkahwin sebenarnya. Perkahwinan dalam Islam adalah satu institusi yang dibina atas dasar sifat kasih sayang di antara suami dan isteri dan juga anak-anak. Suami adalah ketua keluarga yang wajib mendidik isteri dan anak-anak untuk mentaati Allah dan Rasul. Jika isteri hebat di ranjang tetapi perangai tidak berakhlak juga tidak menjamin kebahagiaan sesebuah keluarga. Poligami juga bukanlah jalan untuk memuaskan nafsu lelaki yang disalahertikan. Jika mereka yang memahami dan belajar mengenai sejarah Rasulullah s.a.w, Rasulullah bukan berpoligami untuk tujuan itu (Ya, Allah dijauhkan dari prasangka buruk terhadap junjungan mulia Rasulullah). Rasulullah berpoligami adalah untuk membela nasib janda-janda yang kehilangan suami akibat perang, untuk mengeratkan tali silaturrahim dengan ketua puak contohnya Rasulullah berkahwin dengan aanak Abu Sufian dan juga ketua puak seorang Yahudi di Madinah. Hanya seorang sahaja isteri Rasulullah yang bukan janda iaitu Siti Aisyah r.a. Rasulullah juga digambarkan orang yang paling baik dengan isterinya. Berlembah-lembut, tidak pernah memarahi isteri-isteri baginda dengan suara yang keras apatah lagi memukul isteri. Sejarah juga membuktikan bahawa waktu malam baginda dipenuhi dengan ibadah malam, bertahajjud dan berqiamulail sehingga bengkak kaki baginda dan bukan sejarah yang sebaliknya. Bagi mereka yang tidak pernah membaca khutbah terakhir Rasulullah, perkara kedua yang diingatkan di dalam khutbah terakhir baginda adalah baginda berpesan suami kaum lelaki melayan isteri mereka dengan kasih sayang. Saya menangis bila mengenangkan perkara ini. Betapa kasihnya Rasulullah s.a.w kepada kita kaum wanita sehingga perkara ini ditekankan oleh baginda sebagai sebelum baginda menyentuh mengenai rukun Islam, Masya-Allah....rindunya saya kepada insan yang mulia ini....Antara sabda Rasulullah juga adalah mereka yang paling baik antara kamu adalah mereka yang paling baik kepada ahli keluarganya.

Suami isteri adalah insan yang saling lengkap melengkapi antara satu sama lain. Jika salah seorang terlalai dari jalan yang lurus, salah seorang harus menegur dengan cara mendidik bukan cara mengasari. Suami juga harus memandang isteri sebagai pembantu dan ibu kepada anak-anaknya. Ibu yang bakal mendidik anak-anaknya. Kebajikan isteri tidak harus dipandang ringan. Isteri juga harus dijaga haknya. Tidak patut seorang suami memandang isteri sebagai alat untuk memuaskan nafsu semata....Nauzubillah...Jika seorang suami memberikan alas an dia mencari perempuan lain kerana untuk puaskan nafsunya, bagi saya lelaki tersebut sebenarnya tidak patut dihormati sebagai ketua keluarga...Sebagai seorang Islam yang cintakan Allah dan Rasul, sepatutnya seorang suami malu untuk berkata sedemikian.

Antara wasiat Imam As-Syafie pula, antara 3 perkara yang menumpulkan akal seorang manusia adalah kuat seks, kuat makan dan kuat tidur...Fikir-fikirkanlah, jika akal seoarng lelaki sudah tumpul bagaimana dia dapat mendidik isteri dana nak-anaknya dengan baik.

Wallahua’lam.

Monday, June 6, 2011

Travelog Umrah bersama anak -Bab 3: Perniagaan buku agama secara online

Pada tahun 2010, saya dan suami memulakan perniagaan buku online secara kecil-kecilan sebagai menyambung minat kami membaca buku. Antara buku yang saya suka ialah Buku Biografi Muhammad bin Abdullah keluaran PTS dan buku Imam As-Syafie. Membaca buku-buku ini membuahkan rindu yang membuak-buak kepada Rasulullah s.a.w. Rindu kepada orang yang tidak pernah bertemu. Ianya sesuatu perasaan rindu yang amat ajaib. Hinggakan jika terbaca buku cerita kanak-kanak (yang dibaca oleh Aiman) mengenai kebaikan hati Rasulullah kepada kanak-kanak, kepada para sahabat, tutur kata Rasulullah, akhlak Rasulullah amat membuatkan hati ini tersentuh dan boleh membuat diri saya sebak dan menangis. Jika terdengar nasyid berkenaan Rasulullah juga boleh membuatkan saya menangis. Sejak menjual buku-buku agama secara online juga, makin banyak buku-buku agama yang dibaca oleh suami saya. Alhamdulillah, banyak perubahan ke arah kebaikan saya lihat berlaku pada diri suami saya. Jika sebelum ini, sembahyang berjemaah di surau kadang pergi dan kadang tidak, sekarang Alhamdulillah waktu Maghrib dan Isyak memang wajib pergi. Jika pada hari minggu kesemua 5 waktu sembahyang suami akan berjemaah ke surau. Melihat perubahan ini, saya menyatakan kembali hasrat untuk menunaikan umrah. Alhamdulillah kali ini suami bersetuju. Itulah kuasa Allah Taala. Hanya Dia Yang Maha Berkuasa dan dapat membolak-balik hati manusia. Suami juga tidak lupa mengajak kedua ibu bapa mertua saya untuk turut serta namun pelawaan ini di tolak atas sebab kesihatan juga.

Sunday, June 5, 2011

Travelog Umrah bersama Anak- Bab 2 : Rezeki tidak terduga

Salah satu isu diperingkat Kementerian Kesihatan Malaysia ialah banyak doktor meletakkan jawatan dan berhijrah ke hospital/klinik-klinik swasta. Ini merupakan kerugian kepada Kementerian Kesihatan Malaysia. Bagi menangani isu ini, Ketua Pengarah Kesihatan telah mengemukakan permohonan untuk menaikkan pangkat mengikut tahun perkhidmatan dan permohonan tersebut diterima oleh kerajaan. Saya salah seorang yang menerima rezeki tersebut pada tahun 2010. Alhamdulillah. Kenaikan pangkat daripada UD44 ke UD48 membawa tangga gaji yang amat berbeza. Sebagai mengucapkan syukur ke hadrat Ilahi, hati ini terdetik untuk menyatakan kesyukuran tersebut dengan cara yang lebih bermakna lagi iaitu ingin segera ke tanahsuci. Mengunjungi Baitullah dan menziarahi Rasulullah s.a.w, Rasul yang amat kita cintai dan rindui. Disebabkan tarikh kelayakan untuk mengerjakan haji adalah masih lambat dan dengan keadaan anak yang masih kecil, saya berpendapat adalah lebih elok untuk saya mengerjakan umrah terlebih dahulu. Kegembiraan anugerah kenaikan pangkat dikongsi dengan kedua ibu bapa saya. Saya menyatakan untuk membawa mereka bersama mengerjakan umrah. Namun, tawaran saya ditolak dengan baik oleh kedua ibu bapa saya. Mereka menolak kerana keadaan ibu saya yang uzur. Ibu telah diserang stroke sejak 10 tahun dahulu dan keadaannya masih tidak pulih sepenuhnya. Ibu masih perlu menggunakan kerusi roda.

Keinginan saya untuk mengerjakan umrah disampaikan kepada suami saya. Pada mulanya suami tidak bersetuju kerana katanya keadaan kewangan yang tidak berapa mengizinkan. Namun, saya cuba meyakinkan beliau bahawa masalah tersebut Insya-Allah dapat ditangani dengan menyimpan. Saya telah membuat perkiraan bahawa jika kami menyimpan dan tidak berboros, Insya-Allah wang memang teramatlah cukup untuk kami pergi mengerjakan umrah di samping membawa anak-anak. Namun, suami masih tidak memberikan persetujuan juga kerana beliau tidak yakin bahawa duit yang disimpan akan mencukupi.

Lagi gambar-gambar di tanah suci Kota Mekah






Assalamualaikum...

Seperti yang saya janjikan, ini gambar-gambar kami semasa menunaikan umrah baru-baru ini...tak blh nak upload byk2, tak tahu masalah internet atau blogger, tapi lembab sangat nak upload gambar-gamabar ni. Lagi gambar-gambar next entry ye...:)

Thursday, June 2, 2011

Travelog Umrah bersama anak -Bab 1

Assalamualaikum...

Saya dalam usaha untuk membuat satu kompilasi umrah bersama anak, moga-moga ianya dapat dijadikan panduan untuk mereka yang bakal menunaikan umrah. Setakat ini alhamdulillah saya telah dapat menyiapkan sedikit sebanyak kompilasi tersebut. Dibawah dicoretkan serba sedikit pengalaman awal bagaimana tergeraknya hati saya untuk menunaikan umrah. Semoga ianya menjadi semangat untuk kawan-kawan juga...Insya-Allah...Saya mohon kepada Allah semoga ianya dapat jadi satu panduan yang berguna...Amin...

Travelog umrah bersama anak-anak

BAB 1 – Menunaikan haji sebelum umur 38 tahun

Saya telah menanamkan di dalam hati untuk mengerjakan haji pada usia yang muda iaitu sebelum melangkau umur 40 tahun. Itu antara misi saya. Ya, saya rasa dengan kerjaya dan gaji yang saya miliki sekarang, saya tidak patut kalah kepada ibu dan ayah saya yang dapat menunaikan haji pada usia yang agak muda iaitu pada umur 38 tahun bagi ibu saya dan 40 tahun bagi ayah saya walaupun ketika itu ayah saya hanya bekerja sebagai buruh Jabatan Kerja Raya dan ibu saya mempunyai sebuah kedai runcit di kampung. Dengan mempunyai anak seramai 8 orang, saya rasa kagum dengan ibu dan bapa yang bagi saya bijak menguruskan kewangan sehingga dapat mengerjakan haji pada usia yang muda, Alhamdulillah. Ibu dan ayah saya mendapat jemputan daripada Allah ke tanahsuci sewaktu saya berusia 3 tahun. Disebabkan keinginan untuk menunaikan haji pada usia yang awal, ibu bapa saya dan kami adik beradik hidup bersederhana. Bapa saya hanya mempunyai sebuah motor skuter. Jika ibu ingin ke bandar untuk membeli barang waktu ayah bekerja, ibu hanya menaiki bot penambang (di waktu itu bot penambang masih popular di tempat kami). Satu yang saya belajar dari situasi ibu dan bapa saya ialah, kita hendaklah tetapkan hasrat dan matlamat yang jelas bila kita akan pergi menunaikan haji. Dengan matlamat dan tekad yang jelas, kita akan berusaha ke arah itu. Dan yang lebih penting, niat hati kita akan lebih dimudahkan oleh Allah. Niat yang disertakan dengan doa, Insya-Allah dimudahkan oleh-Nya.

Apabila diri sudah mempunyai anak-anak, satu lagi tekad yang saya tanamkan adalah ingin membawa anak-anak saya untuk mengerjakan haji bersama-sama saya. Kasih sayang terhadap anak-anak menyebabkan saya rasa adalah lebih manis jika dapat bersama-sama ke tanahsuci bersama anak dan juga semestinya bersama suami tersayang. Berbekalkan tekad ini, saya telah mendaftar haji untuk diri saya, suami dan kedua anak saya iaitu Aiman dan Aqilah pada bulan Januari 2009. Pada waktu pendaftaran, saya dan suami berusia hampir 31 tahun, Aiman hampir 6 tahun dan Aqilah berusia 6 bulan. Untuk mendaftar, setiap akaun harus ada amaun minimum iaitu RM 1300 dan jumlah itu tidak boleh berkurang jika mahu pendaftaran kita masih lagi aktif. Tamat mendaftar di Tabung Haji, saya melihat kertas yang dicetak, Ya Allah! Tarikh untuk kami sekeluarga layak mengerjakan haji adalah pada tahun 2023! Bila dihitung-hitung di waktu itu usia saya dan suami sudah mencapai 45 tahun, Aiman 20 tahun dan Aqilah 15 tahun. Saya memberitahu petugas di kaunter, “Ya Allah, lambatnya lagi ye, kalau ikut tarikh ini saya lagi lambat pergi haji daripada ibu dan ayah saya”. Petugas itu tersenyum dan menjawab, “Takpe la Puan, kalau anak-anak dah besar lagi senang nak bawa.” Saya bertanya lagi, “Tak bolehkah pergi lagi awal dari tarikh ini?” Jawapannya adalah boleh tetapi kena buat surat rayuan terlebih dahulu beserta dengan alasan. Saya berfikir-fikir, apa alasan yang boleh saya berikan, sebenarnya jika difikir-fikirkan tiada alasan kukuh untuk kami sekeluarga untuk pergi lebih awal. Hanya kuasa Allah sahaja yang boleh mengubah takdir ini, Insya-Allah saya akan ke sana sekurang-kurangnya pada usia 38 tahun juga…

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...