Wednesday, August 25, 2010

Tazkirah bulan Ramadhan...Untuk ingatan diriku dan dirimu...

Hari ini masuk hari ke-16 kita umat Islam berpuasa. Bermakna tinggal separuh bulan lagi Ramadhan meninggalkan kita. Bersama-sama kita bermuhasabah diri bagaimana ibadah kita di bulan yang mulia ini. Adakah solat wajib kita terjaga waktunya?Berapa banyak solat sunat yang telah kita lakukan?Berapa mukasurat al-Quran yang telah kita baca. Jika ada perubahan yang baik Ramadhan ini berbanding Ramadhan yang lepas, Alhamdulillah. Namun jika tidak, fikir-fikirkanlah dimana letaknya diri kita di samping Allah s.w.t…..

Tuesday, August 24, 2010

Panduan asas: Pendarahan semasa bulan awal mengandung


Saya ingin memberikan panduan kepada pembaca mengikut ilmu perubatan apa yang harus anda buat jika terdapat pendarahan semasa mengandung, apa yang mungkin menyebabkannya, apa yang akan doktor akan lakukan kepada anda. Semoga panduan asas ini akan dapat membantu anda dan memahami apa yang terjadi kepada diri anda….


Apa yang harus saya lakukan jika saya dapati saya mengalami pendarahan semasa bulan awal (kebiasaannya 12 minggu) mengandung?

Perkara pertama yang harus anda lakukan adalah anda harus segera berjumpa dengan doktor. Jika anda telah mempunyai buku rawatan semasa mengandung (jika di klinik/hospital kerajaan di Malaysia, buku ini berwarna merah jambu) jangan lupa bawa buku ini sewaktu berjumpa doktor.


Apakah yang akan doktor lakukan kepada saya

1. Perkara pertama doktor akan bertanya mengenai maklumat kandungan anda iaitu:

i.Tarikh akhir period anda (hari pertama datang kotor) dan samada anda pasti tarikh
tersebut ataupun tidak

ii. Berapa banyak darah yang telah keluar

iii. Adakah anda mempunyai sakit perut ataupun tidak

iv. Adakah anda mempunyai demam

2. Doktor kemudiannya akan memeriksa perut anda untuk melihat tanda kesakitan atau tidak.

3. Doktor akan melakukan ultrasound untuk melihat IUGS (Intrauterine Gestational Sac) atau kata lain bayi yang berada didalam kantung di dalam perut anda samada ianya berada didalam uterus ataupun diluar uterus. Ini kerana bagi mereka yang mengandung di luar rahim juga, mereka kadang-kadang boleh mendapat pendarahan semasa mengandung di samping rasa sakit perut yang amat teruk. Jika terdapat IUGS dikesan di dalam rahim, maka doktor akan mengukur saiz IUGS tersebut untuk melihat adakah ianya bertepatan dengan tarikh atau tidak. Di samping mengukur, bentuk kantung juga dilihat samada masih normal atau tidak. Di samping itu juga doktor akan mengesan kehadiran jantung bayi semasa ultrasound dilakukan.
Apakah yang akan doktor lakukan jika tidak dapat mengesan kehadiran jantung bayi?
Jika kandungan anda masih awal iaitu dalam lingkungan 5-6 minggu kemungkinan jantung bayi tidak akan dapat dikesan dengan ultrasound melalui perut. Maka doktor akan melakukan ultrasound melalui vagina anda. Anda jangan merasa takut kerana imbasan ini tidak akan menyakitkan anda. Ultrasound tersebut bersaiz kecil (bukan sebesar ultrasound pada perut) dan ianya hanya diletakkan di muka pintu vagina sahaja. Tetapi rasa sedikit selesa mungkin ada.

Macamana saya akan tahu samada saya gugur atau tidak?

Keguguran bayi mengikut ilmu perubatan dibahagikan kepada 3 iaitu:

1. Threaten abortion
Bermakna ibu mengalami pendarahan vagina namun bayi masih sihat. Saiz dan bentuk kantung masih normal dan jantung bayi akan dapat dikesan.

2. Complete abortion
Bayi beserta kantung telah keluar bersama dengan lengkap semasa pendarahan berlaku. Bentuknya adalah seperti kandungan perut ikan di dalam kantung. Oleh itu, amatlah penting bagi anda membawa sesuatu yang keluar dari vagina anda sewaktu pendarahan berlaku untuk ditunjukkan kepada doctor kerana mungkin ianya janin anda yang telah keluar. Kebiasaan bagi complete abortion pesakit akan mengalami sakit perut sebelum janin keluar dan sakit perut terus hilang selepas janin keluar.

3. Incomplete abortion
Janin telah keluar tetapi tidak lengkap. Bagi kes seperti ini, pesakit akan merasa sakit perut sebelum dan juga selepas janin keluar.

4. Missed abortion
Semasa doktor melakukan imbasan, doktor akan dapati kantung bayi telah kosong (hanya tinggal kantung) atau jantung bayi tidak dapat dikesan.



Bagaimana doktor akan merawat saya?


Threaten abortion
Doktor akan membekalkan anda ubat Duphaston bagi menguatkan rahim anda dan akan memberikan anda cuti sakit untuk berehat di rumah selama beberapa hari.


Complete abortion
Selepas memeriksa janin yang anda bawa, doktor akan menjalankan pemeriksaan pada bahagian vagina anda bagi memeriksa samada pintu rahim sudah tertutup ataupun tidak dan melihat samada masih terdapat pendarahan yang banyak daripada pintu rahim dan terdapat sisa janin atau darah beku di pintu rahim. Jika tiada, doktor akan melakukan ultrasound untuk memastikan tiada sisa IUGS tertinggal di dalam rahim. Setelah pasti, anda boleh pulang ke rumah dan akan diberikan cuti rehat selama seminggu. Di samping itu, doktor akan membekalkan ubat antibiotik dan ubat ponstan kepada anda. Ubat antibiotic bagi mengelakkan adanya jangkitan di dalam rahim. Manakala ubat ponstan pula untuk mempercepatkan rahim untuk mengecut. Ubat antibiotik harus dihabiskan dan ubat ponstan hendaklah dimakan selama seminggu mengikut aturan.


Incomplete abortion
Sepertimana kes complete abortion, doctor akan memeriksa janin yang anda bawa, memeriksa pintu rahim dan melakukan ultrasound. Bagi kes incomplete abortion, pintu rahim masih akan terbuka dan kemungkinan terdapat sisa janin dan darah beku di pintu rahim. Ultrasound juga akan mendapati masih terdapat sisa IUGS di dalam rahim anda. Bagi kes seperti ini doktor akan melakukan D&C untuk mencuci sisa janin yang tertinggal. Sama seperti complete abortion, anda akan dibekalkan ubat antibiotic dan ubat ponstan semasa pulang ke rumah.


Missed abortion
Bagi kes seperti ini, pintu rahim adalah masih tertutup. Kebiasaannya doktor akan memberi masa untuk janin untuk keluar sendiri. Namun begitu, selepas tempoh beberapa lama, janin masih tidak juga keluar, para doctor akan melakukan samada D&C atau memasukkan ubat ke dalam vagina anda untuk merangsang pintu rahim untuk terbuka. Sama seperti complete dan incomplete abortion, anda akan dibekalkan ubat antibiotic dan ubat ponstan apabila keluar daripada wad.

Semoga info ini berguna untuk dijadikan panduan dan memahami apa yang berlaku kepada diri anda.

Wallahua’lam.

info mengenai keguguran (miscarriage)

Sepertimana yang telah kawan-kawan sedia maklum, baru-baru ini saya mengalami keguguran (miscarriage) kandungan. Ini merupakan pengalaman kedua saya mengalami keguguran (miscarriage). Kali pertama sewaktu kandungan kedua iaitu selepas Aiman. Saya menerima dengan redha apa yang telah ditentukan oleh Allah kepada saya. Saya percaya banyak hikmah yang tersembunyi yang telah ditentukan oleh Allah kepada saya. Hanya Allah sahaja Yang Maha Mengetahui atas segala sesuatu. Sebelum saya mengalami keguguran pada kali ini, saya telah mengalami pendarahan selama dua minggu. Pada mulanya setitik sahaja sehari selama seminggu dan kemudian ia bertambah. Namun begitu saya tiada langsung mengalami sakit perut. Waktu mengandung kali ini juga, paling banyak saya membuat ultrasound kerana ingin melihat keadaan bayi saya. Dalam pada itu, saya berserah diri kepada Allah. Semasa mengandung kali inilah, saya paling banyak membaca al-Quran. Mungkin ini satu jalan Allah menguji saya untuk mendekatkan diri saya kepada-Nya. Apabila membaca al-Quran beserta maknanya membuatkan hati saya tabah, kuat dan redha menerima segala ketentuan-Nya. Semasa saya mengalami pendarahan, saya panjatkan doa kepada Allah s.w.t agar Allah kurniakan bayi saya kesihatan yang sempurna dan semoga dia bakal menjadi seorang bakal penyambung lidah nabi. Namun, Allah lebih sayang kepada dirinya. Bayi saya meninggalkan saya sewaktu saya tidur. Saya tidak mengalami sebarang sakit perut semasa bayi saya keluar. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Berkuasa.


Firman Allah s.w.t Surah A-Li ‘Imraan ayat 6

Maksudnya : Dialah yang membentuk rupa kamu dalam rahim (ibu kamu) sebagaimana yang dikehendakiNya. Tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana.

Membaca ayat ini membuatkan saya merasa amat insaf. Betapa lemahnya saya insan yang tidak berupaya terhadap segala-galanya. Nyawa saya dan anak-anak yang ada bersama saya ini hanyalah pinjaman daripadanya dan kita harus bersyukur kepada Allah yang mengurniakannya kepada kita dengan melakukan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang. Sesungguhnya Ya Allah hambaMu ini amatlah lemah dan tidak berupaya Ya Allah.


Jika menurut ilmu perubatan juga sebenarnya tidak diketahui punca sebenar berlakunya keguguran bayi. Dan bagi sesetengah wanita kerap mengalaminya berbanding dengan yang lain namun wanita atau suami tidak mempunyai sebarang risiko. Di situ datangnya keyakinan kita terhadap kuasa Allah seperti ayat-ayat di atas, hanya Allah sahaja yang berkuasa di atas segala-galanya.

Sedikit info mengenai keguguran (miscarriage) mengikut ilmu perubatan (adaptasi daripada baby centre)

Apakah keguguran bayi (miscarriage)

Keguguran adalah kehilangan bayi sebelum minggu ke 24 mengandung. Jika berlaku sebelum 12 minggu ia dikenali sebagai keguguran awal dan selepas minggu ke-12 hingga ke-24, keguguran lewat. Kebiasaanya keguguran adalah berlaku di peringkat awal iaitu sebelum minggu ke-12 mengandung.

Apakah yang menyebabkan keguguran

Kebiasaanya keguguran berlaku adalah disebabkan embrio tidak dapat membesar sepertimana yang sepatutnya. Disebabkan itu para doktor mengandaikan kemungkinan berlaku masalah pada kromosom namun sebab sebenarnya tidaklah dapat diketahui. Punca sesetengah wanita mengalami keguguran lebih kerap berbanding wanita lain juga tidak juga diketahui.

Antara risiko mudah berlakunya keguguran bagi seseorang wanita

1. Umur
Semakin berusia seseorang wanita, semakin besar potensi dirinya untuk mengalami keguguran. Bagi wanita berusia 30-an, kejadian keguguran 1:5 dan bagi umur 42 ke atas 1:2.

2. Masalah kesihatan
i. Obesiti, pesakit diabetes, pesakit thyroid, antiphospholipid syndrome, SLE
ii. Uterus yang tidak normal
iii. Jangkitan toxoplasmosis

3. Cara hidup
Merokok, minum arak dan mengambil dadah.


Tanda-tanda anda mengalami keguguran
1. Pendarahan semasa mengandung
2. Ultrasound mendapati kantung yang kosong
3. Tanda-tanda mengandung semakin hari semakin hilang


Keguguran merupakan satu peristiwa yang akan memberikan kesan emosi kepada ibu yang mengandung terutama kepada mereaka yang kerap mengalami keguguran. Dapatkan sokongan daripada suami, keluarga dan kawan-kawan semasa saat ini. Dan sebagai orang Islam tempat mengadu yang paling baik adalah kepada Allah s.w.t. Berdoalah kepada yang Esa semoga diberikan ketenangan dan ketabahan kepada hati kita bagi menghadapinya. Bacalah ayat-ayat Al-Quran semoga ianya menjadi penawar yang paling mujarab untuk hati kita. Insya-Allah. Wallahua’alam.



Thursday, August 19, 2010

Cerita puasa Aiman 7 tahun

Hari ini dah masuk 10 hari berpuasa. Macam-macam ragam dan cerita yang say abaca di blog kawan-kawan mengenai pengalaman anak masing-masing dalam menjalankan ibadah puasa tahun ini. Namun, bagi saya latihan berpuasa bagi kanak-kanak boleh mengikut kesesuaian masing-masing. Ikut tahap kanak-kanak tersebut. Ada kanak-kanak yang kuat dan dapat menahan lapar waktu puasa selama sebulan dan ada yang tidak. Bagi saya, jikalau anak sudah nampak terlampau letih atau membawa komplikasi kesihatan tidak ada salahnya untuk kita sebagai ibu bapa mengajar mereka belajar berpuasa secara perlahan-lahan bukan secara drastic. Mungkin mula-mula puasa separuh hari. Bila dah ok, mungkin puasa makanan sahaja, air boleh minum dan kalau larat tahan boleh terus sampai berbuka. Pendekatan boleh diambil mengikut kesesuaian masing-masing. Jadi, di sini saya ingin mencoretkan pengalaman anak sulung saya Muhammad Aiman dalam usia 7 tahun berpuasa tahun ini.

Ramadhan kali ini agak berbeza sikit buat Aiman. Tahun lepas masa 6 tahun, saya lewatkan sikit sahurnya dalam pukul 8 pagi sebelum pergi ke sekolah. Tahun ini, dah sekolah betul-betul, jadi saya dan suami cuba untuk ajar Aiman untuk bangun sahur waktu betul-betul sahur. Tetapi tak berapa berjaya sebab bila terlalu awal bangun sahur, Aiman tak selera untuk jamah nasi, hanya makan roti dan milo untuk sahur. Jadi 2-3 hari, tenaganya tak banyak untuk tahan lapar, ada juga lar puasa yang bocor. Dengan persetujuan bersama kami dan Aiman kami lewatkan sedikit sahurnya ke jam 6.30 pagi, selepas ayah balik sembahyang subuh berjemaah di surau. Cerita terperinci tentang puasa Aiman kat bawah:

Hari pertama : Aiman demam, jadi tak pergi sekolah. Waktu sahur dah siap-siap bagi makan ubat. Hari ini Aiman sahur sebelum subuh. Alhamdulillah demam Aiman tak teruk. Jadi, Aiman dapat puasa penuh. Bila duduk kat rumah tak berapa sedar masa berjalan kerana sibuk main computer games atau tengok tv.

Hari kedua : Demam Aiman dah baik. Jadi, Aiman pergi sekolah. Kat sekolah, Aiman tak tahan tengok kawan makan kat kantin waktu rehat. Aiman beli makanan dan makan dalam pukul 3.30 petang. Bila balik rumah, cakap kat ibu, respons ibu, alahai sayangnya lagi 4 jam aje nak berbuka. Aiman cakap nanti Aiman akan ganti puasa yang tertinggal ni. Alahai, sweetnya anak ibu.

Hari ketiga – hari keenam : Aiman berjaya puasa penuh. Tetapi waktu hari keenam, kaki dan tangan Aiman sakit, lemah dan cramp waktu dah hampir nak berbuka puasa. Bila dah habis makan pun kaki masih sakit. Ibu bimbang takut-takut potassium kurang dalam badan Aiman sebab dalam masa puasa penuh ini Aiman tidak selera makan waktu sahur dan juga waktu berbuka makan sedikit. Ibu bagi Aiman minum air garam (ORS) yang ada dalam simpanan ubat dan ayah urut-urut kaki Aiman bagi hilang rasa sakit. Lepas dalam 10 minit urut, Aiman dah rasa lega, Alhamdulillah.

Hari ketujuh – kelapan : Bila sampai waktu tengahari, Aiman mengadu kat ibu rasa lapar. Ibu bagi suruh Aiman sabar. Ibu cakap anak ibu kuat. Ibu cakap waktu kecik-kecik berlatih puasa nanti bila besar senang puasa. Kalau tak latih dari kecik, nanti dah besar susah nak puasa. Ibu cerita pasal ada kawan Pak Long yang tak puasa. Waktu bulan puasa dia suruh kawan India belikan makanan dan makan bawah meja. Tak malu kan!...Tapi nasihat ibu tak jalan jugak…huhu…Aiman tetap tak tahan lapar. Dia cakap rasa perut kena gigit-gigit. Dalam kelas pun masa puasa penuh, Aiman amat lemah dalam kelas. Hati ibu tak tahan tengok Aiman merayu, jadi ibu bagi Aiman milo sahaja untuk alas perut. Makan tak boleh. Aiman setuju. Jadi dua hari itu, Aiman minum segelas milo sahaja sebelum pergi ke sekolah. Waktu di sekolah Aiman tidak makan pun masa rehat. Aiman pergi library.

Hari kesembilan : Ibu dah habis MC. Jadi, Aiman duduk rumah pengasuh (Auntie Gee) selepas balik mengaji dan sebelum pergi sekolah. Duduk rumah pengasuh, Aiman malulah nak minta minum milo jadi Aiman berjaya puasa penuh. Ibu puji dan peluk Aiman hari ini sebab Aiman dapat puasa penuh. Syukur…

Hari kesepuluh : Hari ini. Ibu doakan semoga Allah kurniakan Aiman kekuatan, kesabaran dan dapat menahan lapar. Nak tahu berjaya atau tidak kena tunggu Aiman balik sekolah hari ini.
Memang sebagai ibu saya tidak nafikan memang terdapat cabaran dalam kita mengasuh anak-anak dalam menjalani ibadah ini. Namun, jika dikenang-kenang kenangan ini akan menjadi kenangan terindah buat diri kita dan anak kita di masa akan datang, Insya-Allah. Di samping itu, sentiasa panjatkan doa kepada Allah s.w.t supaya diberikan kekuatan, kesabaran kepada anak-anak kita dalam menjalani latihan ibadah ini. Sepertimana yang kita semua yakin bahawa doa seorang ibu itu amatlah mudah dimakbulkan oleh Allah dan lebih-lebih lagi di bulan Ramadhan yang penuh berkat ini. Akhir kata, selamat berpuasa untuk semua para ibu dan anak-anak semua...

Thursday, August 12, 2010

Baby dah takde...

Assalamualaikum...

Untuk pengetahuan rakan-rakan semua, saya telah mengalami keguguran (miscarriage) pada 10 Ogos 2010. Sebelum keguguran saya mengalami pendarahan selama 2 minggu. Saya redha dengan ketentuan Ilahi. Sesungguhnya hanya Allah yang Maha Berkuasa mematikan dan menghidupkan hamba-hambaNya....

Wallahua'alam...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...