Showing posts with label ulasan buku. Show all posts
Showing posts with label ulasan buku. Show all posts

Monday, April 11, 2011

Ulasan Buku Menjadi Ibu Bapa Genius Berdasarkan Wasiat Luqman al-Hakim


Dalam liku-liku kita menjalankan tugas sebagai ibubapa lebih-lebih lagi bagi mendidik anak-anak kita di zaman yang makin mencabar ini, kita WAJIB mempersiapkan diri kita dengan ilmu keibubapaan. Jika ingin menjadi seorang doktor, kita perlu menuntut ilmu kedoktoran selama 5 tahun dengan penat lelah sebelum meraih segulung ijazah dan mendapat gelaran doktor. Tiada siapa berani memberikan seorang pesakit kepada kita sebelum kita benar-benar layak untuk memegang tanggungjawab itu. Tetapi bagi kita semua yang telah berkahwin, tiada ilmu formal yang boleh meletakkan adalah kita sememangnya telah layak bergelar ibu atau bapa atau tidak. Tetapi ilmu inilah yang paling penting diketahui oleh semua tanpa mengenal miskin atau kaya, berpangkat ataupun tidak. Kegagalan kita menjalankan tanggungjawab ini akan disoal oleh Allah di hari akhirat kelak di padang mahsyar. Nauzubillah...semoga dijauhkan saya dan para pembaca semua dibakar oleh api neraka akibat kelalaian mendidik anak-anak kita yang merupakan amanah daripada Allah. Salah satu buku yang saya rasa bagus untuk menambahkan pengetahuan kita sebagai ibu bapa adalah Buku Menjadi Ibu Bapa Genius Berdasarkan Wasiat Luqman al-Hakim karangan Syarif Hade Masyah. Sesiapa yang berminat untuk memiliki buku ini boleh dapatkan di website saya di kasihbuku.com. Buku ini menceritakan serba sedikit siapa itu Luqman al-Hakim. Luqman al-Hakim adalah seorang individu yang sangat hebat. Beliau merupakan salah seorang pemimpin di syurga. Disebabkan kebijaksanaan beliau, maka Allah mengabdikan kisah beliau di dalam Al-Quran di dalam surah Luqman ayat 12-19. Ayat ini menjadi surah hafazan semasa kita berada di dalam tingkatan 5 dahulu. Bagi sesiapa yang telah lupa ayat ini, amat baik jika mula menghafaznya kembali beserta dengan makna dan lagi baik jika anak-anak juga diajar supaya menghafaz ayat 12-19 surah Luqman. Berikut adalah ayat-ayat dari surah Luqman beserta serba sedikit ulasan di dalam Buku Menjadi Ibu Bapa Genius Berdasarkan Wasiat Luqman al-Hakim

Surah Luqman

Ayat 12

Dan sesungguhnya telah Kami berikan hikmah kepada Luqman, iaitu, "Bersyukurlah kepada Allah. Dan barang siapa yang bersyukur (kepada Allah), maka sesungguhnya ia bersyukur untuk dirinya sendiri, dan barang siapa yang tidak bersyukur, maka sesungguhnya Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji”

Penerangan: Ayat ini menerangkan betapa kita bersyukur kepada Allah dengan melaksanakan apa yang diperintahkan oleh Allah dan meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah. Namun, jika ditakdirkan kesemua manusia tidak beriman dan bersyukur kepada Allah, Allah tidak rugi barang sedikit pun. Tetapi yang rugi adalah manusia itu sendiri yang akan diseksa di dalam neraka Allah di akhirat kelak. Namun jika manusia bersyukur, manfaatnya adalah diri sendiri juga yang akan dapat iaitu dengan dikurniakan nikmat syurga di akhirat kelak. Jika kita berdepan dengan keadaan mengikut kehendak nafsu sendiri atau melaksanakan perintah Allah, maka ingatlah ayat ini, Insya-Allah kita tidak akan tersesat.

Ayat 13

Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, di waktu ia memberi pelajaran kepadanya, "Hai anakku, janganlah kamu mempersekutukan (Allah) sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar."

Penerangan: Mempersekutukan Allah atau syirik kepada Allah merupakan dosa besar yang paling utama. Sesiapa yang syirik tidak ada peluang untuk masuk syurga. Bagi kita umat Islam, perlu juga berhati-hati dengan syirik yang tidak kita sedari contohnya adalah sifat riak, berbuat kebaikan semata-mata untuk mendapat pujian dan sanjungan dari manusia. Di kalangan orang Melayu juga masih terdapat perkara kepercayaan khurafat yang harus kita tinggalkan kerana ia merupakan cabang dosa syirik.

Ayat 14

Dan Kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua orang ibu-bapanya, ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyusukannya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada dua orang ibu bapamu, hanya kepada-Kulah kembalimu.

Penerangan: Selepas Allah dan Rasul, kewajipan kita adalah untuk taat dan menggembirakan hati kedua ibu bapa. Ayat ini menceritakan kesusahan ibu mengandung dan menyusukan anak dalam tempoh 2 tahun. Hati saya merasa sebak bila suami saya menceritakan ayat ini kepada Aiman. Suami saya memberitahu Aiman yang saya menyusukan dia selama 4 tahun. Selain sebak, hati ini juga merasa bersyukur kerana dapat melaksanakan tanggungjawab menyusukan Aiman dan Aqilah sebagaimana yang disarankan oleh al-Quran. Alhamdulillah. Bagi mereka yang ragu-ragu samada ingin menyusukan anak ataupun tidak, ayat al-Quran ini boleh menjadi perangsang motivasi anda. Nanti kalau hendak menerangkan ayat ini kepada anak-anak, boleh masukkan sekali bahawa kita telah membuat pengorbanan sebagaimana yang dituntut ole agama dan tidak adalah lagi persoalan daripada anak-anak kita kenapa kita tidak menyusukan mereka. Tiada agama lain yang menerangkan mengenai keperluan menyusukan anak selama 2 tahun selain daripada Islam dan secara saintifik memang ianya adalah benar. Wallahua’lam.

Ayat 15

Dan jika keduanya memaksamu untuk mempersekutukan dengan Aku sesuatu yang tidak ada pengetahuanmu tentang itu, maka janganlah kamu mengikuti keduanya, dan pergaulilah keduanya di dunia dengan baik, dan ikutilah jalan orang yang kembali kepada-Ku, kemudian hanya kepada-Kulah kembalimu, maka Ku-beritakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.

Penerangan: Hanya satu perkara sahaja yang kita boleh ingkar dengan arahan ibu bapa kita iaitu jika mereka memaksa kita mempersekutukan Allah. Walaupun begitu, masih perlu bergaul dengan baik dengan mereka kecuali jika kita takuti mereka mempengaruhi kita untuk mempersekutukan Allah barulah mereka boleh dijauhi. Renung-renungkan diri kita, apakah kita telah sedaya upaya menggembirakan hati kedua ibu bapa kita atau ada perlakuan kita yang telah mengguris hati mereka. di dalam banyak-banyak perkara, sebenarnya menjaga hati kedua orang tua kita adalah lebih penting daripada menjaga hati-hati orang lain terutamanya bagi seorang lelaki.

Ayat 16

(Luqman berkata), "Hai anakku, sesungguhnya jika ada (sesuatu perbuatan) seberat biji sawi, dan berada dalam batu atau di langit atau di dalam bumi, niscaya Allah akan mendatangkannya (membalasinya). Sesungguhnya Allah Maha Halus lagi Maha Mengetahui.

Penerangan : Janji Allah itu benar, jika ada sebarang kebaikan yang kita buat,ikhlas semata-mata kerana Allah, maka Allah akan membalasinya dengan kebaikan.

Ayat 17

Hai anakku, dirikanlah salat dan suruhlah (manusia) mengerjakan yang baik dan cegahlah (mereka) dari perbuatan yang mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu. Sesungguhnya yang demikian itu termasuk hal-hal yang diwajibkan (oleh Allah).

Penerangan : Perkara yang paling penting dalam mendidik anak-anak adalah pastikan mereka mendirikan solat. Bukan sahaja bersembahyang, tetapi memahami apa erti mereka solat, lagi bagus kalau mereka memahami makna-makna di dalam sembahyang supaya penghayatan solat, penghayatan kebesaran Allah dapat dilatih dari kecil lagi. Seperti kata pepatah melayu, melentur buluh biar daripad rebungnya. Selain daripada solat, kewajiban seorang insan adalah amar makruf, nahi mungkar. Sememangnya berdakwah itu amat pahit, namun ia sebenarnya keperluan. Kita lihat sekarang keadaan, keadaan yang terhasil akibat daripada tiada kesedaran bahawa amar makruf dan nahi mungkar itu wajib dijalankan bukan hanya tugasan pegawai-pegawai agama dan pejabat-pejabat agama sahaja. Gejala sosial amat parah sedang berleluasa pada zaman ini.

Ayat 18

Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia (karena sombong) dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri.

Ayat 19

Dan sederhanalah kamu dalam berjalan dan lunakkanlah suaramu. Sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keledai.

Penerangan : Tentang kepentingan sifat tawaduk di dalam diri seorang manusia. Walaupun sudah berpangkat tinggi namun tiada sifat sombong beraja di hati.

** penerangan di atas adalah daripada buku Buku Menjadi Ibu Bapa Genius Berdasarkan Wasiat Luqman al-Hakim dan juga analisis saya sendiri...:)

Saya dan suami sedang berusaha menghafaz semula ayat-ayat ini beserta maknanya dan kami telah terangkan ayat-ayat ini juga kepada Aiman, semoga manfaat ini dapat dikongsi bersama dan kawan-kawan juga boleh memulakan ayat-ayat ini didalam keluarga masing-masing dan merealisasikan sebagaimana yang disarankan...:)...

Wallahua’lam

Thursday, April 7, 2011

Sambungan ulasan buku Aisyah Keanggunan Sejati

Sambungan ulasan buku Aisyah Keanggunan Sejati Terdapat kisah di mana berlaku fitnah terhadap Aisyah yang dilakukan oleh orang munafik. Fitnah tersebut menyebabkan kesucian dan kehormatan Aisyah diragui. Malah Rasulullah sendiri mengasingkan Aisyah akibat peristiwa tersebut. Aisyah amat sedih kerana dirinya difitnah sehingga beliau jatuh sakit. Kesucian Aisyah akhirnya terjawab dengan turunnya wahyu daripada Allah. Aisyah juga merajuk dengan Rasulullah akibat peristiwa ini. Sewaktu Rasulullah sakit kepala yang teramat sangat (sebelum baginda wafat), setiap hari baginda asyik bertanyakan hari tersebut baginda sepatutnya berada di rumah isteri mana dan berikutnya ke rumah isteri yang mana. Isteri-isteri baginda amat memahami bahawa Rasulullah s.a.w ingin segera berada di rumah Aisyah. Dengan itu,dengan rasa kasih sayang, bersetuju supaya Rasulullah s.a.w terus berada di rumah Aisyah sewaktu baginda sakit tanpa perlu pergiliran. Rasulullahs.a.w akhirnya wafat di atas pangkuan Aisyah.

Antara kelebihan Aisyah yang tidak dapat ditandingi oleh mana-mana wanita adalah:

1. Beliau merupakan isteri yang paling dicintai oleh Rasulullah s.a.w selain Khadijah.

2. Rasulullah s.a.w mengahwini Aisyah berdasarkan wahyu daripada Allah. Sebelum berkahwin dengan Aisyah, Rasulullah bermimpi dua kali Malaikat Jibril membawa kain sutera kepada Rasulullah s.a.w. Apabila dibuka kain sutera tersebut, Rasulullah melihat wajah Aisyah pada kain sutera tersebut dan Malaikat Jibril berkata itulah gambaran bakal isteri Rasulullah s.a.w.

3. Wahyu pernah diturunkan kepada Rasulullah sewaktu baginda bersama dengan Aisyah tidak ketika baginda bersama dengan isteri yang lain.

4. Terdapat ayat al-Quran yang menceritakan kisah Aisyah yang difitnah oleh orang-orang munafik. Ayat al-Quran tersebut membersihkan nama Aisyah kembali. 5. Rasulullah dimaqamkan di rumah Aisyah.

Ciri-ciri sifat Aisyah yang patut menjadi contoh semua wanita:


(1) Aisyah bersifat qanaah iaitu sifat redha dengan apa yang ada. Sifat qanaah dan wanita sebenarnya ibarat air dan minyak iaitu amat sukar untuk bercampur. Ini kerana naluri semulajadi wanita memang sukakan kecantikan dan kemewahan. Jikalau memakai baju, mahu memakai baju yang tercantik dan jikalau boleh menjadi perhatian semua orang. Begitu juga dengan perhiasan rumah, wanita suka menghias rumah dengan kadar yang berlebih-lebihan. Tetapi Aisyah tidak bersifat begitu. Sepertimana yang dinyatakan sebelum ini, rumah Aisyah dan Rasulullah hanyalah sebesar bilik sahaja dan tiada tilam empuk sebagai lapik tidur mereka berdua. Namun, Aisyah tidak pernah meminta-minta daripada Rasulullah untuk kehidupan yang mewah.

(2) Aisyah merupakan seorang wanita yang amat bijak. Beliau dapat menghafal ayat-ayat al-Quran dengan cepat dan juga mengingati hadis-hadis Rasulullah s.a.w. Hanya Aisyah seorang sahaja wanita di kalangan perawi-perawi hadis. Ini juga adalah hikmah di mana Allah mewahyukan Rasululah mengahwini Aisyah sewaktu Aisyah masih kecil iaitu 6 tahun dan Aisyah duduk bersama Rasullullah sejak dari umur 9 tahun. Sebagaimana yang kita maklum, keinginan untuk belajar dan akal yang cerdas adalah lebih di kalangan mereka yang masih muda berbanding orang yang sudah berusia. Oleh sebab itu, dibandingkan dengan isteri-isteri Rasulullah yang lain, Aisyah adalah yang palik bijak dan banyak menghafal hadis-hadis Nabi. Selepas kewafatan Rasulullah s.a.w, Aisyah menjadi sumber rujukan untuk penjelasan hadis-hadis Nabi dan al-Quran juga.

(3) Aisyah merupakan seorang wanita yang amat rajin bersedekah.

(4) Aisyah juga amat suka berpuasa.

(5) Aisyah juga seorang wanita yang bersemangat waja. Beliau boleh mengetuai pasukan semasa Perang Jamal berlaku.

Hikmah Rasulullah mengahwini Aisyah

1. Aisyah menjadi isteri Rasulullah sejak dari usia 9 tahun hingga 18 tahun. Oleh itu, segala akhlak dan tingkahlaku Aisyah adalah hasil didikan daripada Rasulullah s.a.w.

2. Aisyah yang berusia muda dan mempunyai akal yang cerdas dapat menghafal hadis-hadis Rasulullah.

3. Banyak akhlak Rasululah bersama keluarga diceritakan oleh Aisyah.

4. Aisyah meninggal pada usia 57 tahun, oleh itu masa 40 tahun digunakan oleh Aisyah untuk memperturunkan segala ilmu yang diajar oleh Rasulullah kepada beliau. Beliau menjadi rujukan jika terdapat kekeliruan yang berlaku pada hadis nabi malah ayat-ayat al-Quran juga.

5. Aisyah menjadi rujukan utama untuk para wanita menuntut ilmu pada zaman tersebut. Di kalangan lelaki banyak para ilmuwan yang dihasilkan namun bagi pihak perempuan Aisyah adalah yang paling hebat.

Banyak lagi kisah-kisah best…buku ini amat tebal sekali. Berbaloi beli sebab harganya amat berpatutan dan ceritanya best dan dapat merangsang jiwa kita berfikir. Anda boleh dapatkan buku ini di website saya http://www.kasihbuku.com/

Wallahua’lam

Wednesday, March 30, 2011

Ulasan Buku Aisyah Keanggunan Sejati


Alhamdulillah saya sudah membaca buku ni 1/3 dalam masa 3 jam malam tadi, memang best! Jika anda berminat boleh dapatkan diwebsite saya di kasihbuku.com .Banyak cerita-cerita best pasal Aisyah bersama Rasulullah s.a.w dimuatkan dalam buku ini. Memang amat bertuah Aisyah yang menjadi isteri yang paling dicintai oleh Rasulullah s.a.w selain Khadijah.
Banyak adegan yang saya rasa amat romantik antara Rasulullah dan Aisyah dimuatkan dalam buku ini. Contohnya masa hari perkahwinan mereka, Rasulullah dihidangkan segelas susu selepas akad nikah, kemudian Rasulullah memberikan lebihan susu yang diminum kepada Aisyah yang sudah sah menjadi isteri baginda. Aisyah dengan rasa malu-malu menerima gelas tersebut dan meminum susu tersebut. Sewaktu makan juga, daging yang mereka makan digigit oleh Aisyah kemudian Rasulullah menggigit daging tersebut di tempat yang sama, sewaktu Rasulullah beriktikaf di masjid Nabawi juga Aisyah akan datang menyikat rambut Rasulullah.....alahai...sungguh romantik, bertuahnya Aisyah menjadi suri insan teragung. Namun, banyak dugaan menjadi suri insan teragung ini, iaitu dalam hidup Aisyah tiada kemewahan. Kadang-kadang tiada makanan dan rumah bergelap kerana tiada pelita. Saiz rumah Aisyah dan Rasulullah s.a.w amat kecik, sebesar bilik sahaja dan tiada hiasan kemewahan. Namun mereka dijanjikan istana di syurga nanti, kita bagaimana...Masya-Allah minta dijauhkan rumah di dunia besar namun di akhirat .... Dalam buku ini juga dimuat cerita Aisyah sewaktu kecil, sewaktu menjadi isteri Rasulullah dan selepas kematian Rasulullah. Aisyah merupakan seorang yang bijak, sebab itulah beliau amat di sayangi oleh Rasulullah disamping sifatnya yang manja dan agak nakal. Terdapat satu kisah yang saya rasa kenakalan Aisyah ialah di mana setelah Rasulullah bersumpah tidak akan mendatangi isteri-isteri Baginda selama sebulan kerana mereka menginginkan kemewahan. Mereka diberi pilihan memilih Rasulullah atau kemewahan dunia. Setelah tamat tempoh sebulan, rumah yang pertama Rasulullah pergi ialah rumah Aisyah. Dengan sifat kenakalananya, Aisyah bertanya, mengikut perkiraannya hari itu baru hari ke-29, kenapa Rasulullah sudah datang? Rasulullah menjawab, bulan itu hanya ada 29 hari sahaja. Nakalkan Aisyah ni..:)....

Saya akan cuba tamatkan lagi 2/3 buku ini. Kalau kawan-kawan nak juga alami keseronokan membaca buku ini boleh dapatkan di kasihbuku.com .Link

Semoga jumpa lagi...

Wednesday, March 16, 2011

Ulasan buku Sultan Muhammad al-Fateh, Penakluk Konstantinople


Akhirnya saya sudah habis membaca buku Sultan Muhammad al-Fateh, Penakluk Konstantinople hari ahad yang lepas. Ceritanya memang best!Tak jemu membaca buku ini. Bagi sesiapa yang tidak tahu siapa sultan ini, apa hebatnya diri beliau, kenapa penaklukan Konstantinople ni penting, saya akan ceritakan serba sedikit ringkasan buku ini..:)...Sultan Muhammad al-Fateh atau nama sebenarnya Muhammad dan al-Fateh pula bermaksud penakluk adalah seorang yang hebat kerana kedatangan beliau telah disabdakan oleh baginda Rasulullah s.a.w kira-kira 1000 tahun sebelum penaklukan itu. Ini bermakna Rasulullah telah mendapat wahyu daripada Allah tentang kedatangan Sultan Muhammad al-Fateh. Ini bermakna Sultan Muhammad al-Fateh bukan calang-calang orang, beliau dipilih oleh Allah untuk menjadi penakluk Kota Konstantinople yang dikenali sebagai Istanbul sekarang ini.

Apakah sabda Rasulullah tersebut?

Kota Konstantinople akan ditawan oleh seorang raja yang terbaik yang memimpin askar yang terbaik dan rakyat yang terbaik.


Kenapa penaklukan Konstantinole sangat penting?
Konstantinople merupakan pusat Kerajaan Rom yang hebat dan sukar ditakluk sejak zaman para sahabat lagi kerana berada di kawasan yang sangat strategik. Sejak dari zaman Saidina Ali, zaman kerajaan Muawiyah, zaman kerajaan Abasiah semasa pimpinan Sultan Harun ar-Rasyid dan ayahanda Sultan Muhamamad sendiri iaitu Sultan Murad cuba menawan kota ini namun kesemuanya gagal.


Apakah kehebatan Sultan Muhammad al-Fateh?
1. Sultan Muhammad al-Fateh mempunyai seorang ayah yang alim iaitu Sultad Murad. Beliau adalah salah seorang raja yang cuba menakluk Kota Konstantinople namun gagal. Disebabkan Sultan Murad merupakan seorang raja yang alim, walaupun sorang raja boleh hidup dalam serba kemewahan namun beliau tidak membesarkan anaknya dengan kemewahan. Tetapi naluri keanak-anakkan pada Sultan Muhammad menyebabkan beliau suka bermain bersama rakan-rakannya sehinggalah pada suatu hari sewaktu beliau berusia 5 tahun, seorang guru agama yang tegas yang ditugaskan untuk mengajar beliau telah merotan Sultan Muhammad yang lebih suka bermain daripada belajar. Beliau tidak menyangka guru tersebut akan merotannya kerana beliau anak sultan. Apabila diadukan kepada ayahnya, apa jawapan Sultan Murad? Sultan Murad berkata beliau akan tugaskan guru yang lebih garang daripada guru yang memukulnya. Sejak hari itu Sultan Muhammad insaf dan belajar bersungguh-sungguh ilmu agama daripada ulama yang terhebat pada zaman itu.

2. Sultan Muhammad telah dilantik menjadi sultan pada usia yang sangat muda iaitu ketika usia 20 tahun selepas ayahandanya mangkat. Namun, usia yang muda tidak bermakna Sultan Muhammad tidak bijak memerintah.

3. Beliau adalah seorang yang amat alim, beliau tidak pernah meninggalkan tahajud sejak daripada usia baligh.

4. Beliau sentiasa meninjau keadaan rakyat dengan menyamar pada waktu malam. Sewaktu menyamar beliau mendapat tahu adakah rakyatnya adalah rakyat yang beriman atau sebaliknya.

5. Sewaktu menentang Rom bagi menawan Konstantinople beliau menggunakan taktik perang yang didatangkan oleh Allah ke dalam mimpinya.

6. Beliau berjaya menawan Konstantinople setelah hampir 2 bulan mengepung kota tersebut.

7. Setelah beliau menawan Kota Konstantinople, beliau tidak berlaku zalim kepada rakyat kota itu yang beragama Kristian.

Untuk mengetahui kisah lanjut mengenai tokoh Islam yang tersohor dan hebat ini, anda boleh dapatkan buku ini di website saya di http://www.kasihbuku.com/title-Sultan-Muhammad-Al-Fateh-Penakluk-Konstantinopel/isbnno-9789675136115.aspx


Membaca buku ini akan menimbulkan rasa kecintaan kepada agama Islam kerana tokoh yang berjaya dan hebat ini ternyata amat kuat iman dan amat dekat dengan yang Maha Esa. Ini menolak sangkaan sesetengah orang yang berfikiran liberal bahawa jika kita mahu jadi hebat kita harus mengikut barat. Ternyata sangkaan itu amat TIDAK BENAR SEKALI. Membaca buku-buku tokoh Islam yang hebat juga memberikan motivasi kepada kita untuk menjadi umat Islam yang TERBAIK. Insya-Allah....
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...