Wednesday, March 10, 2010

KESIHATAN GIGI KANAK-KANAK


Saya bukan doktor gigi. Saya hanya seorang doctor perubatan. Namun saya ingin kongsikan sedikit pengetahuan yang saya dapat semasa membaca artikel mengenai gigi semasa saya menunggu giliran untuk menampal gigi di klinik tempohari. Mungkin info-info ini berguna untuk semua jua...:)

1. Gigi berlapis yang berlaku bukan disebabkan gigi susu lambat tercabut tetapi disebabkan saiz rahang yang tidak sesuai dengan saiz gigi iaitu rahang kecil tetapi saiz gigi besar-besar. Gigi berlapis juga boleh disebabkan oleh keturunan. Mmm…patut lah gigi saya berlapis, mungkin rahang saya kecil namun gigi agak besar berbanding kakak-kakak dan abang-abang saya yang lain. Mereka semua tiada yang gigi berlapis kecuali saya dan adik saya…huhu. Namun gigi ibubapa saya tidak berlapis. Anak-anak saya juga akan berkemungkinan akan mendapat gigi berlapis jika mereka mendapat genetik daripada saya; rahang kecil, gigi besar…huhu

2. Jika gigi susu dicabut lebih awal yakni sebelum ianya goyang tidak menjamin gigi tidak akan berlapis. Ayah Aiman amat takut gigi Aiman akan berlapis masa pertama kali gigi susunya goyang sebab masa itu gigi kekal sudah mahu tumbuh…

3. Gigi geraham ketiga (gigi geraham kekal) akan mula tumbuh pada usia 6 atau 7 tahun. Kebanyakkan ibubapa tidak sedar dan menyangka ianya gigi susu juga. Jadi kebanyakkan gigi geraham ketiga ini sudah rosak apabila dibawa berjumpa doktor gigi. Bila baca ini, balik tu saya terus periksa mulut Aiman, a’ah lar, dah ada gigi geraham ketiga atas bawah kiri kanan. Dah lama saya tak tengok gigi Aiman sejak dia pandai gosok gigi sendiri. Bila gigi ini tumbuh, saya pun tidak sedar…huhu..Nasib baik gigi Aiman masih okey.

4. Jika gigi susu rosak dan terpaksa dicabut lebih awal mungkin akan mengganggu pembentukan otak yang cergas di kalangan kanak-kanak. Pertama kerana saraf untuk mengunyah bersambung dengan saraf di otak. Kedua, jika gigi tiada, sukar kanak-kanak untuk mengunyah dengan baik dan proses penghadaman nutrisi tertentu mungkin akan terganggu. Nak kena jaga gigi Aqilah supaya tidak rosak awal. Setakat ini gigi Aqilah yang paling cantik antara kami berempat..huhu..namun, kena jaga-jaga kerana Aqilah suka makan aiskrim, muffin coklat yang ibu buat dan juga coklat…

5. Karies gigi boleh terjadi di kalangan bayi jika mereka tidur bersama-sama botol susu dan susu berkumpul di dalam mulut mereka. Ini kerana semasa tidur, air liur yang dihasilkan adalah kurang berbanding semasa sedar. Kes ini berlaku kepada anak saudara saya. Memang dia suka tidur dengan botol susu. Bila ditarik aje botol susu tengah dia tidur pasti dia akan terjaga dan menangis. Mahu tidak mahu, kakak saya biarkan saja botol itu dalam mulutnya samapi pagi. Natijahnya pada umur 4 tahun semua giginya terpaksa dicabut, kenalah makan bubur sahaja. …huhu..

Itu sahaja buat kali ini, semoga berguna untuk semua.

Jumpa lagi...Insya-Allah

Cerita pasal gigi sakit dan doktor gigi

Semalam saya ke dua klinik gigi yang berlainan dalam masa sehari…huhu

Sekali pergi tampal gigi saya (klinik panel).

Kedua, bawa Aiman pergi cabut gigi susu Aiman yang sudah goyang dan mebuatkan Aiman tidak dapat makan nasi dengan baik sebab sakit…huhu…sebab Aiman balik sekolah dan sampai ke rumah dalam jam 7.15 dan klinik panel sudah tutup jam 7.30 malam, terpaksa bawa Aiman ke klinik lain. Kesian untuk tangguhkan kerana esok Aiman belum habis exam, takut-takut sakit giginya mengganggu Aiman untuk menjawab soalan dengan baik.
Bila tiba di klinik gigi dalam jam 8.30 malam, saya dimaklumkan oleh kakitangan bertugas, mereka sudah mahu menutup klinik. Saya memujuk mereka untuk mencabut sebentar gigi Aiman. Alhamdulillah, mereka bersetuju. Doktor yang bertugas adalah doktor locum. Doktor tuan punya klinik hanya bertugas sehingga jam 6.00 petang sahaja.

Dalam keadaan cepat-cepat, saya uruskan urusan pendaftaran dan ayah Aiman menemani Aiman untuk masuk ke bilik rawatan.

Apabila siap mendaftar, saya menjenguk bilik rawatan sambil mendukung Aqilah.

Jika semasa mencabut gigi kali pertama dahulu (ini kali kedua gigi susu goyang), klinik panel hanya menyembur ubat kebas, kali ini doktor bertugas mencucuk ubat pelali setempat tersebut.

Seperti biasa, Alhamdulillah Aiman memang kuat dan tidak menangis apabila dicucuk (suami menyatakan macam dia masa kecil dulu-dulu tidak pernah sekali menangis jika dicucuk walaupun sakit).

Doktor : Sakit tak cucuk

Aiman : Sakit

Doktor : Bagus, tahan ye, tak nangis. Kenapa gigi atas ni hitam?(satu gigi atas Aiman hitam sejak Aiman umur 3 tahun lagi)

Aiman : Sebab makan gula-gula

Doktor : **Tak malu ke gigi hitam. Tengok gigi orang lain putih aje. Gosok gigi ke tak?

Aiman : Gosok

**Saya tidak berkenan cara pendekatan doktor ini guna ayat macam ini. Tidakkah kata-kata ini akan melukakan hati kanak-kanak dan juga ibubapa juga. Sepatutnya ayat yang lebih positif harus digunakan. Lagipun hanya satu gigi sahaja yang rosak, gigi lain tidak, masih putih dan cantik. Atau saya yang terlebih emo…

Dan Alhamdulillah, dengan sekali tarik sahaja, gigi Aiman sudah tercabut dan darah berhenti keluar dalam masa lebih kurang 15 minit (bila samapi di rumah, darah sudah berhenti)….Alhamdulillah….

Monday, March 8, 2010

Percaya bomoh

Di harian Metro hari ini terdapat berita satu pasangan telah ditipu oleh seorang bomoh. Disebabkan percaya kepada perkara khurafat, mahu mendapatkan pelaris bagi restorannya, mereka terjebak kepada dosa-dosa yang lain yang datang bagai rantaian. Dapat ubat pelaris (khurafat), isteri diurut oleh bomoh iaitu seorang lelaki tanpa berbaju, ketagih cinta dengan si bomoh akhirnya minta cerai dengan suami. Cerita-cerita sebegini memang menakutkan namun ini bukan kisah pertama yang dipaparkan mengenai penipuan oleh bomoh. Tetapi kenapa masyarakat masih lagi mempercayai mereka dan tidak mengambil pengajaran daripada apa yang telah berlaku sebelum ini?

Jadi, saya perpesan kepada semua agar:

1. Jangan sesekali mengamalkan kepercayaan khurafat seperti ubat pelaris, menaikkan seri dan lain-lain lagi. Perbuatan ini merupakan dosa besar dan harus dijauhi oleh sesiapa pun.

2. Jangan sesekali melakukan kejahatan atau berkawan dengan orang jahat kerana kejahatan yang akan dibuat nanti akan menjadi seperti rantaian, lepas satu, satu lagi dosa akan dilakukan tanpa dapat dielakkan lagi. Benar seperti kata pepatah “Buat jahat jangan sekali”.

Sunday, March 7, 2010

Selamat berjaya untuk anak ibu, Aiman

Hari ini Aiman akan menjalani ujian pertamanya dalam tahun satu.

Ibu doakan Aiman akan dapat menjawab semua soalan dengan baik.

Ibu doakan Aiman akan berjaya mendapat markah yang terbaik.

Ya Allah, Ya Tuhanku, Engkau mudahkanlah anakku Aiman untuk menjawab soalan peperiksaannya dengan baik.
Engkau bukakanlah hatinya.
Kurniakanlah idea kepadanya untuk menjawab segala soalan peperiksaan dengan baik.
KepadaMu lah Ya Allah tempat aku mengadu dan memohon pertolongan...

Amin Ya Rabbal Alamin....

Friday, March 5, 2010

Berniaga sunnah Rasulullah s.a.w.


Saya tertarik dengan satu artikel dalam utusan Malaysia kelmarin. Cerita mengenai seorang wanita dan suaminya berhenti kerja makan gaji dan mengusahakan tanaman cili disebabkan minat dalam bidang pertanian. Usaha mereka membuahkan hasil yang amat lumayan, RM11k sebulan, wah!!! Namun, bukan mudah usaha mereka ini membanting tulang. Kerja seawal 7.00 pagi hingga 6.30 petang.... Saya kagum pada semangat, kerajinan dan usaha mereka ini. Ini adalah kejayaan hasil minat bertepatan macam entry saya sebelum ini love your work….

Macam yang selalu kita dengar sejak dulu-dulu lagi, Rasulullah s.a.w sendiri pernah bersabda bahawa 9/10 punca rezeki adalah daripada perniagaan.

Berniaga….

Kalau diperhatikan orang Melayu tidak ramai yang menceburi bidang ini berbanding orang Cina.
Di mana-mana kita tengok, kalau rumah-rumah kedai yang ada samada yang lama atau yang baru dibuka dipelopori oleh orang bukan Melayu. Kadang-kadang terfikir di fikiran saya, banyak betul duit mereka ini ye. Kelihatan mereka ini amat yakin dalam bidang ini. Di mana sebenarnya kekuatan yang didapati oleh diri mereka untuk memulakan perniagaan? Adakah betul terdapat persatuan di kalangan mereka yang membantu mereka? Begitu kuat semangat dan silaturrahim di antara mereka sehinggakan dapat membantu di antara mereka. Sepatutnya kita orang Islam lagi-lagi perlu bersatu berdasarkan semangat keislaman yang diajar oleh junjungan mulia Rasulullah s.a.w.

Orang Melayu kebanyakkannya lebih suka bekerja makan gaji.

Orang melayu lebih suka berada dalam zon selesa (comfort zone) atau makan gaji dan takut menghadapi risiko.

Jadi, adakah kita tidak yakin dengan sabda Rasulullah s.a.w?

Yang ada banyak orang melayu yang suka melibatkan diri dalam MLM, kurang risiko dan boleh dapat untung berlipat ganda katanya dalam masa yang singkat. Segala janji-janji manis yang ditaburkan oleh syarikat-syarikat MLM ini telah mengaburi ramai orang Melayu. Ramai yang telah terjebak. Ada yang berjaya dan ada yang gigit jari. Tapi apa hukumnya? Tauke-tauke besar MLM ini pula kebanyakkannya orang Cina dan mempergunakan orang Melayu yang dijanjikan kekayaan dalam sekelip mata. Kalau mahu keterangan lanjut mengenai hukum MLM boleh tengok laman web Ustaz Zaharuddin.

Kalau ada pun orang melayu yang berani menceburi bidang perniagaan, kebanyakkan mereka saya perhatikan tidak mengikut ajaran Rasullah, cara bagaimana Rasullah berniaga. Rasullah s.a.w berniaga yang mengamalkan sikap jujur dan tidak mengambil keuntungan yang melampau. Sikap kebanyakkan orang melayu yang berniaga pula sebaliknya:

1. Mahu cepat kaya dan keuntungan yang melampau.

Cerita saya: satu hari saya ke café tempat kerja saya. Saya membungkus lauk sup cendawan kelabu sebanyak untuk seorang makan. Bila nak membayar, tahu berapa harga sup itu? RM4…saya amat terperanjat. Mahalnyer, tuan punya café tu boleh cakap, cendawan ini mahal dik, saya. Saya pernah membeli cendawan ini kat GIANT yang RM5 blh dua kali masak, dan setiap kali masak boleh dapat seperiuk…jadi saya tidak segan membatalkan membeli sup itu.

2. Tidak berdisiplin dan tidak pandai menjaga pelanggan.

Cerita saya; saya pernah menempah pintu besi untuk bahagian dapur. Dia berjanji boleh siap dalam masa dua hari. Apabila ditunggu-tunggu pada hari berkenaan, tidak juga sampai-sampai. Kami pula yang menelefon. Dia cakap sebab cat belum kering jadi kena tangguhkan pasang pintu itu. Sepatutnya jika seorang peniaga yang baik, mereka seharusnya menghubungi pelanggan untuk memberitahu sebab kelewatan bukannya pelanggan pula yang telefon dan tertunggu-tunggu.

3. Sikap dengki mendengki dengan rakan sesama perniagaan yang dilihat lebih berjaya dari diri mereka sehingga sanggup membuat perkara-perkara yang dilarang oleh Allah.

Memang tidak dinafikan terdapat orang Melayu yang bagus dalam perniagaan. Namun ditenggelami oleh mereka-mereka yang tidak mengikut sikap sebenar yang seharusnya diamalkan oleh orang Islam. Sikap mereka ini menyebabkan sesetengah daripada kita serik untuk berurusan dengan peniaga Melayu. Kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Bak kata sahabat cyber saya Nashwa (syanasHwa’s notes), baik kita tolong diri kita dulu sebelum fikir untuk menolong orang lain yang tidak memikirkan untuk menolong diri mereka sendiri.
Saya pun berniat untuk memulakan perniagaan pada suatu masa nanti kerana ingin meneruskan sunnah Rasulullah dan menunjukkan keyakinan kepada sabda Rasulullah s.a.w. yang kita sanjungi dan kasihi.

Sebenarnya banyak sangat kelebihan berniaga ini dan memang bertepatan dengan hadis Rasulullah jua. Bila berniaga menjadi satu sumber rezeki kita, kita pasti akan berusaha bersungguh-sungguh untuk menjayakannya. Berbeza dengan kerja makan gaji. Jika kerja bersungguh atau tidak, hujung bulan sudah pasti gaji akan masuk. Jika kerja sambil lewa, di situ keberkatan sudah hilang. Dengan berniaga juga, masa kita dengan keluarga akan jadi lebih flexible, tidak terikat dengan undang-undang ciptaan manusia seperti punch card atau sebagainya. Bila masa lebih flexible hati pun rasa tenang. Ketenangan adalah punca kesihatan. Percaya atau tidak kebanyakan masalah kesihatan yang ada pada masa kini adalah berpunca daripada tekanan. Jadi dengan masa yang berkualiti bersama keluarga, anak-anak tidak merasa diri mereka diabaikan maka hati kita pun merasa tenang. Anak-anak juga akan menjadi anak-anak yang berkualiti. Namun, dalam perniagaan yang baik dan berkat, sikap jujur, mementingkan pelanggan haruslah diamalkan. Jika amalan mengaut keuntungan yang melampau dan tidak jujur diamalkan, rezeki yang dapat tidak berkat dan akan melahirkan anak-anak yang degil. Semuanya ini bagai rantaian dalam kehidupan.

Saya sentiasa berangan untuk mencapai impian saya.

1. Membuka sebuah klinik. Bukan kekayaan yang dikejar namun mungkin ianya boleh menjadi jalan untuk saya berbakti kepada masyarakat dan membawa bekal di akhirat sana. Di samping tidak mengabaikan keluarga. Dua-dua dapat. Bahagia dunia dan juga Insya-Allah bahagia di akhirat.

2. Membuat kebajikan dengan membantu orang-orang miskin dan anak-anak yatim mendapatkan perkhidmatan perubatan dengan bayaran berpatutan. Jika pembaca pernah terbaca atau lihat di television, banyak orang-oarang kaya Eropah, artis-artis mereka dan juga ahli-ahli sukan mereka yang terkenal dan kaya raya membuat kebajikan dengan membantu orang-orang miskin. Sepatutnya kita orang-orang Islam lagi patut harus lebih bersemangat kerana kita yakin dengan balasan Allah di hari akhirat dan janji Allah bahawa sesiapa yang rajin bersedekah, Allah akan lipatgandakan lagi rezeki kepadanya.

3. Jika saya telah mempunyai duit yang banyak, saya akan mewujudkan sistem pinjaman yang dapat membantu para doktor lain membuka klinik sendiri. Untuk pengetahuan semua, orang-orang Yahudi berjaya di dalam bidang perniagaan kerana mereka saling membantu di antara satu lain. Jika ada orang muda yang mahu membuka perniagaan dan ideanya amat bagus sekali mereka akan membantu dengan pemberian modal tanpa faedah. Hebat bukan? Itu lah kejayaan perniagaan yang ditanggung oleh kesatuan mereka ini seperti Dell dan banyak lagi. Saya amat berharap suatu hari nanti saya dapat membantu orang-orang Islam pula dengan cara sedemikian.

4. Mahu mewujudkan sistem biasiswa bagi membantu orang-orang miskin melanjutkan pelajaran macam Syed Al-Bukhari buat sekarang.


Terlalu tinggi bukan cita-cita saya..:)….namun, saya akur bahawa impian ini harus datang dengan usaha dan perancangan rapi. Setiap kejayaan tidak akan datang dengan bergolek…..

Monday, March 1, 2010

Hikmah tidur sebentar ditengahari..sunnah Rasulullah mengikut kajian sains

Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Rasulullah s.a.w

Hari ini saya terbaca mengenai kajian yang dijalankan oleh seorang pakar sains Matthew Walker, PhD, an assistant professor of psychology at University of California, Berkeley. Kajian yang dijalankan mendapati jika seseorang tidur sebentar di waktu tengahari, kebolehan otaknya untuk menjadi lebih bijak dan cekap adalah lebih baik berbanding dengan mereka yang tidak mengamalkannya...


Subhanallah...ini amat bertepatan dengan sunnah Rasulullah s.a.w yang menyarankan agar kita tidur sebentar sebelum masuk waktu solat zohor. Sunnah ini telah saya dengar sedari bangku sekolah lagi namun tiada penjelasan yang jelas mengenai kebaikannya.
Sekarang telah terbukti kebaikannya melalui kajian sains untuk membuka minda bagi mereka yang mahu berfikir....


Jom sama-sama kita mengamalkan sunnah Rasulullah s.a.w. ini . Saya amat yakin setiap amalan baginda mempunyai kebaikan dari pelbagai aspek samada aspek fizikal dan juga spiritual.


Mana kita tahu, mungkin juga para saintis ini juga mengkaji hadis Rasullullah dan membuktikannya melalui kajian sains...jika benar, semoga Allah membuka pintu hati mereka untuk menerima hidayah daripada-Nya...

Monolog diri...Mengenang Rasulullah

Selawat dan Salam ke atas junjungan mulia Rasulullah s.a.w…

Duhai Rasulullah....
Diri ini sentiasa teringin untuk melihat wajahmu yang digambarkan seindah bulan
Melihat akhlakmu yang amat terpuji
Terasa getaran didalam diri ini apabila mendengar kisah-kisahmu
Selalu teringin untuk sampai menziarahi makammu
Diriku sentiasa berdoa agar dapat bersama-sama berkumpul bersamamu di syurga di hari akhirat nanti

Namun, mengenangkan diri ini yang penuh dengan dosa
Membuatkan diri ini malu dan terfikir
Adakah layak untuk diri ini bertemu dan berkumpul denganmu di akhirat nanti?

Diri ini tahu bahawa orang paling dikasihi oleh dirimu adalah umatmu yang selalu berselawat ke atas dirimu dan mengamalkan sunnahmu

Namun, kelalaian diri ini kepada perkara dunia membuatkan jarang berselawat ke atas dirimu
Sunnahmu jua culas untuk diamalkan

Ya Allah Ya Tuhanku, Engkau kurniakanlah kekuatan untukku untuk melawan bisikan nafsu mazmumah yang bersarang di dalam diriku ini. Berikanlah kekuatan pada diriku Ya Allah untuk melawan bisikan syaitan yang terkutuk. Tunjukanlah jalan yang lurus kepadaku Ya Alah. Ya Allah semoga aku dan keluargaku akan dapat berkumpul bersama-sama Rasulullah s.a.w di dalam syurga di akhirat nanti. KepadaMu lah jua tempat hambaMu ini memohon pertolongan…Amin Ya Rabbal Alamin….

Ulasan mengenai kes adik Shafiah

Saya tidak membaca suratkhabar mahupun menonton berita cuti hujung minggu baru-baru ini…huhu

Pagi-pagi bila melayari internet hari ini, baru lah terbaca mengenai kes adik Shafiah di blog Fid dan Ummuammar. Kemudian saya juga membaca berita di Harian Metro dan Utusan Melayu Online.

Sememangnya kisah ini pilu dan sadis. Semua orang merasa marah terhadap si pembunuh malah kepada ibu Safiah berikutan insidens ini. Macam-macam pendapat dikeluarkan malah di pejabat saya juga agak panas dengan berita ini. Setelah membaca kesemua cerita, ini ulasan daripada saya yang merupakan seorang Islam, seorang ibu, isteri dan juga seorang anak. Punca segala masalah ini berlaku adalah kerana KEJAHILAN ibu Safiah, si pembunuh malahan datuk dan nenek Safiah sendiri terhadap ilmu samada ilmu dunia dan juga ilmu akhirat.

Kenapa saya berpendapat sedemikian?

Jahil ilmu agama:

1. Ibu mangsa dan teman lelakinya bersekedudukan tanpa ikatan perkahwinan dan melahirkan anak luar nikah. Maknanya mereka hidup dalam keadaan berzina dalam beberapa tahun tanpa rasa bersalah malah mereka mengaku mereka adalah suami isteri (berbohong).

2. Datuk dan nenek mangsa tidak menegur perbuatan bersekedudukan anaknya walaupun mengetahuinya.

3. Ibu mangsa memberitahu bahawa suaminya yang berada di penjara tidak mahu menceraikannya sebab itu beliau bersekedudukan. Jika benar inilah sebabnya bermakna beliau dan orang yang rapat dengan beliau amat jahil mengenai ilmu agama. Ini kerana jika suaminya dipenjara dan menjalani hukuman penjara yang lama, beliau sememangnya layak untuk menuntut fasakh. Kenapa beliau tidak bertindak sedemikian?

4. Ibu mangsa yang jahil telah bersekedudukan dengan orang yang jahil yang malahan seorang penagih dadah. Apa yang boleh diharapkan daripada seorang penagih dadah dalam mendidik diri sendiri, isteri dan anak-anak?


Kejadian ini memang amat memilukan hati-hati kita semua. Tidak dapat kita bayangkan bagaimana seorang anak kecil yang tidak berdosa didera hingga mati. Kemungkinan juga sewaktu kejadian, si pembunuh berada dalam keadaan khayal kerana semasa dia ditangkap, ujian air kencing menunjukkan positif dadah.

Namun begitu, ayuh kita mengambil sudut positif daripada kejadian ini.

1. Alhamdulillah, sebagaimana yang kita orang ISLAM percaya, adik Shafiah sememangnya telah dijanjikan SYURGA, damailah adik di sana.

2. Dapatkah kita bayangkan Safiah yang akan dibesarkan oleh sebuah keluarga yang rosak (broken family) yang sebegini, apa yang kita harapkan? Ibu ayah yang berzina. Ayah seorang penagih. Apa yang boleh kita harapkan?

3. Kejadian ini membuka kisah perzinaan ibu mangsa dan suspek yang telah sekian lama bergelumang dengan dosa. Mungkin ini hikmahnya ALLAH mahu menyedarkan ibu mangsa dan si pembunuh mengenai dosa besar yang beliau lakukan selama ini. Semoga beliau akan insaf dan kembali ke pangkal jalan.

4. Kejadian seperti ini maksud saya kes perzinaan, penderaan kanak-kanak sememangnya telah berleluasa di Negara kita. Ini merupakan salah satu kisah daripada puluhan kisah-kisah lain lagi yang telah berlaku. Ini menjadi cabaran untuk:
a. Para pemimpin untuk mencari jalan terbaik bagi membendung perkara ini.
b. Para ilmuwan agama
c. Para pendidik
d. Malahan ibu bapa
e. Masyarakat juga

5. Kita boleh mengutuk perbuatan ini namun apa langkah yang sepatutnya kita ambil untuk mengelakkannya daripada berulang?Atau kita tidak tahu atau tidak mahu berbuat apa-apa kerana kita fikir kita dan keluarga kita tidak terlibat dalam masalah demikian.

6. Punca segala masalah ini adalah tiada pendidikan agama yang kukuh di kalangan masyarakat. Seks luar nikah, dadah, penderaan kanak-kanak dan segala macam penyakit masyarakat inilah puncanya.

7. Mungkin pendidikan sekarang yang terlampau menekankan sistem peperiksaan semata-mata perlu dikaji semula.

fikir-fikirkan....
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...