Tuesday, December 29, 2009

BERKAT..SIHAT...AZAM TAHUN BARU

Roti telur (roti canai telur) dicicah dengan kuah dal memang antara makanan kegemaran Aiman. Setiap hujung minggu, boleh dikatakan kami sekeluarga akan bersarapan di kedai mamak untuk makan roti telur.

Namun, sempena kedatangan tahun baru 1431 ini, saya bertekad untuk bersarapan sama-sama di rumah. Saya bertekad untuk masak sendiri…:)
Jadi sebagai langkah pertama, hujung minggu baru ini saya telah mulakan projek membuat ROTI TELUR yang PERTAMA KALI dalam hidup saya…Demi kasih sayang saya terhadap suami dan anak-anak….:)

Setakat entry ini ditulis, sudah 5 kali saya buat roti canai ini. Alhamdulillah dari pertama kali hinggalah ke 4 kali, roti canai ini makin bertambah baik buatannya….Resepi roti canai telur ini saya ambil dari myresepi.com

Bagi sesiapa nak cuba, resepi kat bawah ini. Rupa-rupanya tidaklah sesusah mana nak buat roti canai ini sepertimana yang saya fikirkan selama ini….Cuba lar, rugi kalau tak cuba…

Resepi roti canai

550gm tepung gandum
250ml air suam
1 biji telur
3 sudu susu pekat
1 sudu marjerin
1 sudu garam

Cara-cara
1. Campurkan air, susu pekat, marjerin, telur dan garam, kacau rata
2. Kemudian campurkan bahan-bahan tadi ke dalam tepung gandum
3. Uli tepung selama 5 minit, kemudian rehatkan selama 10 minit. Pada uli kali pertama, kita akan dapati adunan agak melekat, jangan risau, jangan campurkan tambahan tepung kerana ini akan menyebabkan roti canai nanti akan jadi keras. (bagi sesiapa yang tidak tahu cara menguli, caranya macam kita membasuh baju cara manual, tolak dan tarik gitu-bab menguli, suami saya yang buat..hehe).
4. Ulang langkah 3 sebanyak 3 kali. Uli dan reha sebanyak 3 kali.
5. Bila sudah diulang uli sebanyak 3 kali, kita akan dapati adunan sudah tidak akan melekit di tangan lagi dan adunan lembut sekali. Jika dapati adunan lembik juga, tambahan tepung sebanyak 1-2 sudu boleh ditambah semasa uli kali kedua.
6. Bulat-bulatkan doh sebanyak 12 biji. Kemudian sapukan marjerin di atas doh yang telah dibulatkan.
7. Biarkan doh semalaman.
8. Apabila hendak dicanai, penyekkan doh sebesar tapak tangan
9. Boleh dicanai atau ditarik sahaja dan letakkan minyak masak sewaktu penyek dan tarik doh berkenaan (saya tarik sahaja, tak reti untuk tebar). kemudian pecahkan telur ke dalam adunan yang telah ditarik.
10. Kuali leper dipanaskan dan masak roti canai berkenaan
11. Siap untuk dimakan
12. bagi doh yangtidak dicanai, boleh disimpan selama seminggu.

Selamat mencuba….source:myresepi.com

Kebaikan makan di rumah versi ibuaiman…..

1. Berkat…Air tangan ibu. Boleh bentuk hati anak-anak supaya anak-anak mendengar kata dan tidak degil. Kadang-kadang saya terfikir juga tukang masak ini menjaga atau tidak sembahyang mereka? Sesungguhnya air tangan orang memasak boleh membentuk hati si pemakannya. Jadi, saya taknak hati anak-anak saya jadi keras sebab selalu makan kat kedai mamak ini. Nauzubillah…lagi satu, boleh buat suami makin sayang dekat kita gitu...:)

2. Bersih… Kadang-kadang terlintas juga di hati saya ini, mamak buat roti telur ni basuh atau tidak telurnya? Telur yang tidak di basuh bukan sahaja menyebabkan ianya tidak toyyiban(baik untuk dimakan) malahan boleh mendedahkan diri kepada jangkitan salmonella typhii (penyebab sakit thyphoid).

3. Sihat… Bahan-bahan yang disediakan oleh kita semestinya yang terbaik kita sediakan. Makan diluar sememangnya tidak sihat.

4. Jimat...Sememangnya amat jimat. Bayangkan dengan 550gm gandum boleh buat 12 keping roti canai. tepung sekilo baru berharga RM2+..kalau makan kat kedai mamak sekarang, sebiji roti telur harganya sudah rm1.70....memang tersangat lah jimat kan. Kalau tak larat nak makan banyak dan hari-hari makan roti canai, boleh sedekhakan pada jiran-jiran pula...pahala dapat lagi...alhamdulillah...

Saya dengan bangganya mengisytiharkan SELAMAT TINGGAL kepada kedai mamak....:)



Cikedis...

Masa kecik-kecik dulu, kat kampung saya,makanan rapu dipanggil cikedis. Sebab masa tu makanan rapu yang popular jenama Chickendees. Saya masih ingat lagi plastiknya warna hijau, ada tulisan warna merah Chickendees. Memang tidak dinafikan kanak-kanak memang sangat suka makan makanan rapu. Tak payah diajar-ajar, bila makan jer terus ajer suka…Tapi saya tak lar berapa suka sangat (hehe..puji diri sendiri). Sebabnya saya dah terbiasa. Terbiasa kerana Ibu saya ada kedai runcit sebelum saya lahir lagi. Dah hari-hari pandang makanan ni kat kedai ibu saya. Jadi takde lar excited sangat makan cikedis ni…

Untuk Aiman, saya tidak ajar dia makan makanan rapu ni. Dia terbelajar jugak makan makanan ni bila balik kampung…(tak dapat nak elak, sepupu-sepupu Aiman suka makan ni).

Aqilah pula dah kenal makanan rapu ni (ehem…ni tak best ni), diperkenalkan oleh anak pengasuh lar pulak. Saya terperasan sebab dia bagi makan makanan rapu yang berwarna oren tu. Warna tu kebetulan lekat kat baju Aqilah…Pastu saya cakap baik-baik dengan kakak tu, taknak lagi bagi makanan rapu tu kat anak saya…

Sebenarnya saya nak cerita pasal makanan rapu ni sebab baru-baru ini saya pergi satu kenduri kahwin, bila bersalaman dengan ibu pengantin, diberikan satu beg cantik. Bila dibuka rupanya berisi dengan makanan rapu!!! Terkejut...

Jika masa zaman kakak-kakak saya kahwin dulu, keluarga pengantin biasanya bagi telur rebus sahaja dibungkus cantik di dalam bunga telur atau kertas kilat yang warna warni kepada para tetamu. Masa zaman saya kahwin pula, di samping telur rebus yang diletakkan di dalam bekas telur, ada tambahan gula-gula untuk kanak-kanak. Zaman sekarang pula, nampaknya mereka bagi makanan rapu pula. Fenomena ini amat-amat lar tidak sihat….Bagi diri saya, budaya ini tidak seharusnya diteruskan….

Makanan rapu yang kami terima tu masih lagi tidak terusik di dalam kabinet makanan Aiman…Saya masih terfikir-fikir kepada siapa saya nak bagi? Kalau dibuang, nanti berdosa pula sebab membazir….Jadi, apa yang harus saya buat?

Nasihat saya kepada semua, kepada bakal-bakal pengantin, bakal-bakal ibu bapa pengantin, jangan masukkan makanan rapu sebagai senarai makanan untuk para tetamu anda. Nanti niat anda untuk gembirakan tetamu boleh mengundang masalah kepada tetamu anda terutama orang seperti saya yang BOIKOT makanan rapu.

Semoga jumpa lagi....

Friday, December 18, 2009

Gigi dah cabut!!!

Gigi pertama Aiman dah tercabut....:),. Perasan gigi tu memang nak tercabut bila Aiman bagitau sakit bila makan. Saya dan suami suruh dia goyangkan gigi tu. Ambil dari pengalaman, bila dah goyang banyak baru senang nak cabut. Dah seminggu tapi tak tercabut-cabut jugak. Suami cuba ambil benang konon nak cabut sendiri (macam dia kecik-kecik dulu, ayahnya ajer yang tolong cabutkan mana pernah jumapa dentist..hehe). tapi, Aiman tak tahan sakit...Gigi kekal dah mula nampak. Nak tak nak, kami bawak dia jumpa dentist. Cerita lengkap masa jumpa dentist, tgk video kat bawah....:)

Temubual exclusif bersama Aiman

Swimming

Ini pertama kali kami ambil video masa berenang. Tengok lar, Aiman dah pandai berenang sekarang ni, dah boleh kalahkan ayah..huhu...
Kalau nak tengok di sini

Thursday, December 17, 2009

ILMU YANG TIDAK DIAJAR


Sejak akhir-akhir ini saya sering marah dan hilang sabar dengan perangai Aiman.

Perangainya yang sengaja suka mengusik adiknya dan membuatkan adiknya menangis.

Perangainya yang tiada tumpuan bila mengaji. Mengaji 10 minit sudah resah gelisah, menangis, mahu cepat-cepat habis mengaji kerana ingatkan TV atau main computer game.

Perangai suka merajuk.

Suatu hari, suami saya menegur saya supaya jangan terlalu marahkan Aiman. Kalau ingin tegur katanya biarlah secara toleransi dan berhikmah. Katanya takut-takut membantutkan perkembangan emosi dan jiwanya. Teguran suami membuatkan saya tersentak dan tersedar.

Memang benar, saya melihatnya dari pengalaman saya sendiri. Di kalangan anak kakak-kakak dan abang-abang saya malah di sebelah keluarga suami juga, biasanya anak sulung selalu kena marah dengan teruk dengan mak dan ayah mereka. Kadang-kadang tanpa sebarang sebab yang munasabah mereka dimarahi dan dirotan. Saya melihat sendiri, anak-anak ini di awal usia mereka, mereka kelihatan sangat cerdik dan petah bercakap namun akhirnya potensi diri mereka seakan terbantut. Terbantut akibat selalu dimarahi dengan emosi oleh ibu atau bapa. Dulu, saya bertekad tidak mahu perkara yang sama berlaku kepada anak-anak saya. Dan kini, seolah-olah saya sudah mulai lupa tekad saya bila emosi menguasai diri. Astagfirullahalazim….

Saya mula muhasabah diri.

Memang benar, sudah lama saya kurang memberikan tumpuan kepada Aiman. Sejak Aqilah lahir sudah jarang saya memeluknya. Sedangkan dahulu, Aiman tidak akan dapat tidur sebelum saya memeluknya sehinggalah dia terlena. Jika sedang menonton TV juga dia kadang-kadang mengada-ngada baring disebelah saya minta dipeluk. Ya, sudah lama saya tidak memeluknya. Sedangkan, di usia sepertinya masih perlukan ciuman sayang dan pelukan dari ibu sekali-sekala.
Saya rasa amat bersalah. Memang saya bersalah pada Aiman.

Di suatu petang hujung minggu

Aqilah sudah nyenyak tidur di dalam buai selepas kenyang menyusu dan didodoikan.
Aiman pula sedang khusyuk menonton TV, duduk di atas sofa.
Saya mengambil sebiji bantal dan berbaring di sofa yang sama.

“Aiman, marilah baring sebelah ibu, lama dah ibu tak peluk Aiman”

Aiman menolak sambil menggeleng kepala.
Saya tidak memaksa.
Kemudian, dia datang dan berbaring di sebelah saya.
“Dulu, ibu selalu peluk Aiman kan” sambil saya memeluknya.

Aiman mengangguk.

“Ibu sayang Aiman tau”

“Tak” jawab Aiman dengan mukanya yang masam.

“Betul, ibu sayang sangat Aiman. Ibu marah-marah tu sebab ibu sayang lar. Kalau orang tu buat jahat, tapi ibu dia tak tegur dia, itu sebenarnya lagi tak sayang. Dia tak marah, nanti lama-lama anak dia jadi lagi jahat”

Aiman diam tanpa menunjukkan sebarang reaksi samada setuju atau tidak.

“Aiman ingat tak drama yang kita tengok kat Singapore dulu tu”

Aiman mengangguk. Ternyata drama itu memberi kesan pada jiwanya.

“Kan, dalam drama tu, ada kakak yang jahat, pastu ibu dia tak tegur dia, jadi dia jadi lagi jahat”

“A’ah…Dia marah nenek dia kan, sian nenek dia. Nenek kan tak sihat. Pastu dia bawak balik kawan lelaki, nenek suruh mak dia tegur, mak dia tak nak, takut dia lari. Pastu mak dia tutup pintu, terhantuk kepala nenek, sian nenek tu”

“Ha…itu baru betul tandanya tak sayang…Sebab bila buat jahat, kemudian jadi makin jahat sebab tak ditegur, nanti masa hari Akhirat, Allah masukkan dia dalam api Neraka…Ibu tak nak macam tu…Ibu nak,Aiman, Adik Aqilah, ayah dan ibu masuk syurga sama-sama nanti”

“Macam cerita hari tu kan ibu (yang dimaksudkan cerita Gladiator-cerita ini buat saya menangis di akhir cerita…mmg sedih…). Orang jahat bunuh mak dia (maksud Aiman, isteri pelakon utama) dan anak dia. Pastu dia jumpa balik dalam syurga kan ibu….”

“Macam tu lah ibu nak…Kita sama-sama nanti jumpa balik dalam syurga….”

Aiman menunjukkan wajah ceria kembali….

“Ibu nak Aiman ingat sampai bila-bila ibu sayang sangat kat Aiman tau. Kalau ada apa-apa masalah bagitau ibu yer..”

Aiman mengangguk.




Di suatu pagi di dalam kereta

Hari ini Aiman ingin mengikut saya pergi kerja. Boring katanya duduk di rumah pengasuh. Saya tidak membantah.

Dalam perjalanan ke tempat kerja, Aiman membuka dashboard dan mengambil muqaddam di dalamnya. Aiman mengambil dan membelek muqaddam.

Sebenarnya sudah lama saya membeli muqaddam ini untuk Aiman, namun asyik lupa ajer mahu membawanya masuk. Saya mahu mencuba pendekatan menggunakan muqaddam pula untuk membantu Aiman pandai mengaji. Saya diberitahu oleh seorang penceramah (beliau seorang mualaf),kebanyakkan mualaf lebih cepat pandai membaca Al-Quran menggunakan muqaddam berbanding dengan menggunakan Iqra’. Mungkin ada benarnya kerana seingat saya (ingat-ingat lupa), saya belajar muqaddam semasa umur 6 tahun. Umur 7 tahun sudah baca Al-Quran besar. Aiman pula belajar membaca Iqra’ seawal umurnya 4 tahun lagi. Sekarang berada di tahap Iqra’ 5. Saya dan suami target, darjah satu kalau boleh sudah start Al-Quran besar. Jadi, saya ingin mencuba muqaddam, tengok-tengok kalau lebih bagus.

“Kenapa ibu beli ini (Muqaddam)?”Aiman bertanya semasa saya memandu kereta.

“Sebab Aiman asyik tertukar-tukar jer huruf masa baca Iqra’”

Sambil membelek muqaddam, Aiman cuba membacanya. Namun ternyata beliau masih tertukar-tukar di antara huruf jim, ha, kho: di antara huruf ain dan ya: di antara sod dan tho: di antara dho dan zho.

“Kan, betul Aiman masih lagi tertukar-tukar”

Teguran saya membuatkannya merajuk. Tak mahu lagi meneruskan pembacaan.

“Ibu sedih lar macam ni. Nanti kalau kat hari akhirat, Allah tanya ibu kenapa ibu tak ajar betul-betul Aiman baca Quran, apa ibu nak jawab? Nanti Allah rotan ibu, hancur badan ibu. Ayah pun kena rotan juga. Aiman pun sama. Kan, Aiman sendiri cakap Aiman cepat tangkap (pick-up). Dialog cerita Upin dan Ipin Aiman boleh hafal kenapa tidak Al-Quran?(Aiman boleh hafal boleh katakan setiap dialog dalam cerita GENG-Upin Ipin). Ibu betul-betul sedih lar macam ni….betul-betul sedih”

Aiman membatu. Kemudian, dia cuba mengambil hati saya semula dengan cuba membaca dengan betul. Namun, saya tidak dapat memberikan perhatian penuh kerana sedang memandu dan kejar punch card…

Di waktu petang, balik dari rumah pengasuh, kami bertiga lepak di dalam kereta sebelum masuk ke rumah. Aqilah tunjukkan isyarat mahu berbaring di atas kerusi kereta. Lalu kami berbaring bersama-sama di dalam kereta sambil gelak-gelak…Aiman mencapai Muqaddam. Cuba membaca dengan betul. Dan kali ini tiada kesilapan lagi. Tiada lagi tertukar-tukar.
“Haa…macam tu lar, baru betul”

Aiman tersenyum

“Aiman rasa seronok lar ibu. Kenapa yer rasa seronok yer ibu bila dapat baca dengan betul?”

“Memang lar rasa seronok kalau kita pandai. “

“Malam ini, Aiman nak baca Muqaddam lar ibu”

Malam itu, tanpa di suruh, selepas azan maghrib, Aiman mandi dan bersiap-siap untuk mengaji tanpa disuruh atau dipaksa….Alhamdulillah, ibu harap keadaan ini akan berterusan...aku bersyukur kepada-Mu Ya Allah….

Ya Allah, Aku bersyukur dengan nikmat yang Engkau berikan kepadaku Ya Allah.
Sesungguhnya aku hamba-Mu yang lemah.
Berilah petunjuk kepadaku dan juga suamiku di dalam usaha kami mendidik anak-anak kami.
Semoga anak-anak kami Muhammad Aiman dan Nur Alisha Aqilah akan menjadi anak-anak yang soleh dan solehah….
Sesungguhnya ilmu ini tidak pernah kami pelajari di mana-mana Ya Allah. Petunjuk dari-Mu Ya Allah kami pinta, semoga Engkau dengarlah rintihan kami Ya Allah, rintihan dari hambaMu yang lemah dan hina ini, Ya Allah…..Amin…Ya Robbal Alamin

Wednesday, December 2, 2009

Graduation day Aiman


Ini gambar Aiman masa graduation day hari tu..Baru sempat upload....Ibu doakan Aiman akan terus berjaya, dapat graduate betul-betul nanti...:)...Tak lamer lagi, anak teruna saya ini dah nak melangkah ke darjah satu, dah besar dah anak ibu, rasa macam sekejap ajer. Masih teringat masa Aiman umur 2 bulan dulu, ibu bawak samer masa ibu on-call kat HKL, ayah jaga Aiman, bila Aiman lapar, ayah tepon ibu datang menyusu sebab Aiman memang tak boh susu botol...


Gambar Aiman masa 2 bulan dan Ibu di Asrama doktor pelatih HKL, ibu masa ni lepas on-call, pagi-pagi datang jenguk Aiman yang dijaga oleh ayah....sayang, anak ibu, muaahh

cerita hari raya haji-part 4

Hari raya haji ketiga

Kami ke pasar borong Selangor untuk mencari bahan-bahan untuk dibuat rendang. Ini merupakan pengalaman pertama Aqilah ke pasar borong..Memang sudah lama saya tidak ke pasar borong...hampir dua tahun..sejak mengandungkan Aqilah, saya tidak lagi ke pasar ini kerana masalah alahan semasa mengandung dan sejak akhir-akhir ini, kami lebih senang membeli bahan basah di kedai runcit berhampiran rumah keran bahan basah segar setiap hari, ianya lagi mudah bagi saya kerana tidak perlu difrost bahan untuk masak bila pulang dari tempat kerja..jimat masa...
Berbalik pasal masak rendang daging aqiqah, Alhamdulillah semua bahan untuk masak rendang ada di pasar kecuali daun kunyit...macaman nak masak ni..suami memujuk mungkin ada di kedai runcit berhampiran rumah...Allah mudahkan jua untuk kami, ada rupanya daun kunyit di situ...

Maka bermulalah tugasan saya memasak rendang daging. Sebelum ini saya pernah beberapa kali masak rendang ayam semasa raya tetapi tidak pernah rendang daging, harap-harapnya menjadi lar...semasa memasak, saya tidak putus-putus membaca bismillah dan selawat setiap kali mahu meletakkan bahan-bahan...berdoa kepad Allah dimudahkan untuk saya...

Sementara tunggu rendang masak, saya menggoreng ketupat...meletup-letup ketupat, terkena minyak panas di dahi dan juga bibir saya, tapi nasib baik sikit ajer...:)

Dan hasilnya, Alhamdulilah sedap kata suami saya...rendang terpaksa di masak dua kali kerana kuali tidak cukup besar....

Daging banyak tetapi ketupat sedikit, jadi saya membuat keputusan untuk buat pulut kuning...Secara jujur saya tak pernah buat pulut kuning..ibu saya pun tak pernah...suami saya cakap ibunya pun tak pernah buat...so, saya menggoogle resepi pulut kuning di internet. Tetapi resepi di internet tak berapa detail pulak..tak dinyatakan berapa lama pulut akan jadi separuh masak sebelum dicampurkan santan dan berapa lama masa diambil untuk pulut betul-betul masak selepas dimasukkan santan...Jadi, saya menelefon pengasuh anak saya...dia pun rupanya tidak berapa pasti sebab dia pun main agak-agak...so kaatanya separuh masak dalam 15 minit, masak betul-betul dalam lagi 30minit....saya memang perlu cuba kerana beras pulut sudah direndam....

Hasilnya, jeng,jeng,jeng....menjadi , syukur....nak tahu apa pengasuh Aqilah sms saya lepas saya hantar pulut tu kat dia..sms pengasuh Aqilah: Ok sedap pulutnya...lulus 100%...

Inilah hasil masakan saya.....:)

cerita hari raya haji -part 3

Hari raya kedua - 11 Zulhijjah 1430 bersamaan 28 November 2009

Pagi-pagi lagi, dalam jam 8.00 pagi, suami saya, ayah saya dan Aiman sudah bertolak ke masjid baru untuk upacara korban dan aqiqah. Saya dan Aqilah menunggu di rumah. Tahun ini kami mengaqiqahkan lembu satu bahagian untuk Aqilah dan kakak saya mengaqiqahkan 2 bahagian untuk anak lelakinya, Adib. Disebabkan keadaan ibu yang uzur, saya dan kakak bercadang memasak rendang daging dan diagihkan kepada jiran-jiran bersama-sama ketupat palas. Kami merancang, Allah jualah yang menentukan...

Dalam pukul 12.00 tengahari, baru mereka sampai beserta daging aqiqah. Kakak menelefon saya, dia akan siang daging aqiqahnya di rumahnya dan mengarahkan saya memotong siap-siap daging aqiqah Aqilah sebelum ke rumahnya untuk memasak bersama...Kakak tidak sangka 2 bahagian lembu itu terlampau banyak dan amat risau kerana bahan untuk dijadikan rendang tidak cukup...Saya bersetuju...Abang saya menolong memotong daging dan tulang aqiqah tersebut....Tulang saya jerang untuk dijadikan sup....Dalam duduk berfikir-fikir, macamana nak settlekan daging ini di samping suami pula perlu pergi ke bandar untuk membeli bateri baru...so, dalam duk berfikir-fikir, saya membuat keputusan untuk memasak sendiri rendang daging, tak perlu memasak bersama kakak kerana lambat jika mahu menunggu saya datang selepas tukar bateri kereta...

Kami ke bandar kemaman untuk membeli bateri. Selepas mencari di dua buah kedai, tiada satu pun kedai ada spesifikasi bateri kereta kami. Ini lar pertama kali saya tahu, ada bateri saiz 40, 44,50,55. Untuk kereta kami, jenama yang disyorkan langsung tidak dijual, malahan saiz yang dicadangkan didalam spesifikasi iaitu 40 atau 44 pun tiada..Kami tiada pilihan lain terpaksa memilih saiz 55 dengan jenama yang lain juga, kalau tak ditukar, macamana kami mahu pulang ke Kuala Lumpur? Selesai menukar bateri dalam masa satu jam juga masa diambil, kami ke kedai untuk mencari bahan bagi dijadikan rendang...malang sungguh untuk kami, bawang merah pun sudah habis di jual di pasaraya...macamana nak masak ni? Setelah berbincang dengan suami, kami membuat keputusan balik ke KL malam itu, masak kat KL dan bahagikan daging rendang kat jiran-jiran di KL....Malam itu, selepas Isyak kami bertolak pulang ke KL.....sungguh bagai di kata, kita hanya mampu merancang Tuhan juga yang menentukan...

cerita raya haji-part 2

"Ibu, masa dulu, kat mana tempat ibu duduk masa mengaji..."Aiman bertanya

Susunan tempat duduk sekarang agak berubah. Kalau dulu, ada penghadang bagi memisahkan pelajar muqadam dan surat besar (al-Quran), sekarang tiada lagi penghadang itu..jadi memang sukar untuk saya bagitau mana tempat duduk saya yang sebenarnya kepada Aiman...

Sambil Aiman menyapu, saya menjenguk kubur di tepi masjid...

"Kat sini lar kubur onyang (moyang) Aiman"saya memberitahu...

"Nak pergi kubur onyang ibu"

"Nanti kita bagitau ayah dulu yer"

Suami saya masih lagi dalam proses memahamkan sambungan jumper.

Suami menyuruh saya hidupkan enjin kereta kami sementara beliau menekan minyak kereta ayah.

Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim saya menghidupkan enjin...Alhamdulillah, enjin kereta kami dapat dihidupkan tanpa sebarang masalah. Suami saya memberitahu, perlu beberapa minit sebelum jumper ditanggalkan. Saya meminta izin untuk membawa anak-anak menziarahi kubur onyang mereka...

"Bila masuk kawasan kubur bagi salam kat mereka, cakap ; Assalamualaikum Ya Ahli Kubur"saya berpesan kepada Aiman. Aiman mengangguk dan melakukan apa yang saya pesan.

"Ini, batu yang kecil ni maknanya yang meninggal ni baby, Man, yang sebelah ni pula ibu dia"saya bagi info kat Aiman semasa dalam perjalanan ke kubur nenek saya....

Bila sampai di kubur saya dan Aiman bersama-sama membacakan Al-Fatihah.

"Ibu, boleh Aiman cabut pokok-pokok kat sini"

"Boleh, mana Aiman tahu waktu pergi kubur kena cabut rumput?"

"Aiman tengok dalam cerita Upin dan Ipin. Bila hari ibu, pergi kubur cabut pokok kat kubur"

"Oh, ye ker..patut lar Aiman tahu"

Bagus jugak pengaruh kartun Upin dan Ipin ni yer...memang favorite Aiman termasuk Aqilah yang kecil ni pun teruja bila tengok Upin dan Ipin...

Tuesday, December 1, 2009

Cerita Hari Raya Pertama Aidiladha

Cabaran di hari pertama Raya Korban (Jumaat, 27 Nov 2009 bersamaan 10 Zulhijjah 1430H)

Hari raya haji tahun ini jatuh pada hari Jumaat. Saya berusaha juga untuk hadir sembahyang sunat Aidiladha kali ini. Ini kerana sejak tahun, saya gagal untuk hadir sembahyang raya sejak Aqilah lahir. Semasa sembahyang raya Aidilfitri baru ini pula, saya ke masjid untuk sembahyang, namun Aqilah tertidur semasa bertakbir, bila saya meletakkannya untuk bersembahyang, dia terjaga dan mengamuk menangis. Bagi mengelakkan tangisan Aqilah mengganggu jemaah yang lain, jadi saya tidak bersembahyang. Saya memangku Aqilah sambil dia tertidur semasa jemaah lain menunaikan sembahyang dan juga semasa kutbah dibacakan oleh Imam. Kali ini saya berjaya menunaikan solat sunat Aidiladha...Alhamdulillah...walaupun Aqilah menangis juga semasa di rakaat kedua...Oleh sebab itu, Allah menggandakan pahala sembahyang orang yang telah berumahtangga berbanding orang bujang kerana banyak cabarannya.

Pada waktu tengahari, suami dan ayah saya pergi menunaikan sembahyang jumaat pula. Aiman tidak ikut, tertidur kepenatan. Jam menunjukkan pukul 2.00 petang, suami dan ayah masih belum pulang. Ada orang sudah datang menjemput ayah untuk hadir ke majlis tahlil mereka sepertimana yang dijanjikan. Namun, kelibat ayah dan suami belum nampak. Dalam jam 2.15 tengahari..

"Ibu, ayah balik berjalan"

Terdetik dalam hati saya, kereta accident ker?

"Abang berjalan kaki ni. Kereta tak dapat start. Bateri weak agaknya, kereta masih ada kat kawasan masjid sana...."

Selepas saya menunaikan solat, kami bergegas ke tempat kereta kami menaiki kereta kancil ayah.

Selepas saya mencuba tidak juga dapat dihidupkan enjinnya. Suami menghubungi pusat servis Ford namun dia tidak dapat membantu untuk menyelesaikan masalah kerana technical person sedang bercuti. Lalu, suami menghubungi rakannya yang juga memiliki kereta Ford Focus untuk bertanyakan apakah masalahnya. Rupanya dia juga pernah mengalami masalah yang sama dan sememangnya memang betul, puncanya adalah bateri weak. Disebabkan hari raya, kedai bateri semua masih tutup. Kami pula tertinggal jumper di rumah. Nasib baik, The Store Kemaman dibuka walaupun hari raya. Dapatlah kami membeli jumper di situ dan menghidupkan enjin kereta.

Suami saya tak pernah menggunakan jumper sebelum ini. Dalam dia sibuk menelaah manual bagaimana cara nak menggunakannya, saya membawa Aiman dan Aqilah masuk ke kawasan masjid.

Sudah lama saya tidak ke masjid lama ini. Pagi tadi kami bersembahyang di masjid baru di kampung kami. Masih tegak berdiri tempat saya mengaji di waktu kecil dahulu. Masih seperti dulu, tapi keadaannya amat usang, kotor dan tidak terurus. Kami menapak mem=naiki tempat mengaji. Mulanya saya menyangka sudah tidak ada lagi kelas mengaji di situ. Tapi sangkaan saya meleset kerana masih ada kesan tulisan di papan hitam bertarikhkan November 2009. Maknanya masih ada kelas di situ. Tetapi keadaannya amat menyedihkan. Seperti biasa, Aiman memang rajin bab-bab mengemas. Dia mengambil penyapu dan menyapu tempat itu. Aqilah pun sama menyibuk menyapu bersama abang.

Banyak lagi saya cerita, nanti saya sambung lagi.....
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...