Showing posts with label perubatan. Show all posts
Showing posts with label perubatan. Show all posts

Tuesday, April 19, 2011

Ubat diet sebabkan kerosakan hati, buah pinggang dan pancreas


Suami saya antara mereka yang mengalami masalah berlebihan berat badan sejak berkahwin dengan saya. Antara penyebabnya adalah dia merupakan orang yang akan menghabiskan makanan yang saya masak atau ketika kami makan di luar kerana sayang makanan membazir...:)...Lagi satu puncanya adalah pekerjaannya sebagai computer programmer yang kurang bergerak, hanya duduk di atas kerusi sewaktu bekerja (sedentary lifestyle). Dalam mengatasi masalah berat badan, suami saya memang pantang untuk mengambil ubat-ubat diet walaupun isteri beliau seorang doktor. Beliau lebih suka kawal pemakanan dan bersukan iaitu bermain badminton dan tenis. Hari ini apabila saya terbaca di WebMD, saya merasa amat-amat bersyukur kerana suami tidak pernah terlintas untuk mengambil ubat-ubatan tersebut. Ubat diet tersebut iaitu Xenical dan Alli dikatakan boleh menyebabkan kerosakan organ penting manusia iaitu hati, buah pinggang dan pankreas. Mereka berusaha supaya FDA mengharamkan ubat tersebut dari pasaran. Berikut adalah berita penuh dari WebMD untuk bacaan semua...

Group Calls on FDA to Pull Alli, Xenical

Weight Loss Drugs Linked to Liver, Kidney, and Pancreas Damage
By Denise Mann
WebMD Health News
close up of woman measuring waist

April 15, 2011 -- The consumer advocacy group Public Citizen is urging the FDA to immediately pull two weight loss drugs, Xenical and Alli, from the market. The group says the drugs’ risk for liver, pancreas, and kidney damage greatly outweighs any potential weight loss benefits.

Xenical and Alli are different strengths of the drug orlistat. Prescription-strength Xenical is manufactured by Roche. Alli is available over the counter, and is one-half the strength of Xenical. These drugs block the absorption of fat in the gastrointestinal tract. Alli manufacturer GlaxoSmithKline announced plans to sell the rights to the over-the-counter drug Alli.

In May 2010, the FDA issued a warning based on post-marketing adverse events about risk of severe liver injury in people taking orlistat, citing 12 foreign reports of liver toxicity with Xenical and one case of liver toxicity in the U.S. associated with the use of Alli. Two of these patients died, and three needed liver transplants as a result of this damage.

Washington-D.C. based Public Citizen has now identified 73 cases of kidney stones linked to use of these drugs, 23 of which required hospitalization, along with 47 cases of acute pancreatitis from the FDA adverse event reports. This is Public Citizen’s second petition to have Xenical removed from the market. Their first petition was rejected. The FDA will now mull the new petition.

If you are taking these drugs, don’t wait for the FDA to act, says Public Citizen director Sidney Wolfe, MD.

“Stop taking them,” he says. “Unlike other drugs, which have a withdrawal syndrome that you would go through if you suddenly stop, there is no downside to stopping Xenical or Alli.

“The risks greatly outweigh the benefits,” he says. “The drug doesn’t add all that much to weight loss efforts. This has got to be the end of the drug. How much more danger do you need for a drug that doesn’t work very well?”

According to Public Citizen, the average additional weight loss after one year among people taking orlistat while dieting and exercising compared to those who just did diet and exercise was 5.6 additional pounds with the 60 mg dose and 7 additional pounds with the 120 mg dose. The drugs are also known to cause other mild side effects, including inability to control bowel movements, oily or fatty stools, and oily spotting.

Thursday, March 24, 2011

Info Mengenai Mengandung Luar Rahim (Ectopic Pregnancy)



Saya diminta menulis info mengenai ectopic pregnancy atau mengandung luar rahim oleh Zi. Insya-Allah saya akan memberikan sedikit maklumat yang penting mengenai mengandung luar rahim kepada anda semua. Semoga anda mendapat manfaat. Pengalaman bertugas di Jabatan Kecemasan Hospital Kuala Lumpur banyak mengajar saya untuk cepat dan tepat membuat diagnosis kejadian mengandung luar rahim ini. Ini merupakan diagnosis pertama yang harus ada dalam senarai seorang doktor jika seorang wanita muda dan dalam usia subur datang mengadu sakit perut. Satu peristiwa yang tidak pernah saya lupa walaupun ia telah berlalu hampir 6 tahun yang lalu iaitu pesakit saya yang pekak dan bisu (si suami pun juga pekak dan bisu) mengadu sakit perut dan muntah. Saya memang tidak belajar bahasa isyarat. Apabila bertanya di manakah tempat sakit, dia menunjukkan di bahagian ulu hati. Jadi, pada awalnya saya menyangka sakit perutnya disebabkan gastrik, setelah diberikan injection ranitide, sakitnya tetap tidak berkurangan, rupa-rupanya sakit perut si isteri disebabkan mengandung luar rahim. Alhamdulillah Allah membantu saya dan beliau. Si isteri dapat diselamatkan melalui pembedahan kecemasan.

Apakah dia mengandung luar rahim?

Sebagaimana namanya mengandung luar rahim, bermakna embrio yang sepatutnya menempel di dinding rahim tidak berada di dalam rahim tetapi berada di tempat lain iaitu tiub fallopian (tiub rahim) paling banyak kes atau ovari (kilang telur) atau boleh juga berada di dalam perut (amat jarang). Keadaan ini berlaku kerana kegagalan embrio untuk bergerak melalui tiub ke dinding uterus. Ini boleh berlaku akibat tiub yang tersumbat disebabkan banyak perkara antaranya jangkitan kuman pada tiub, kehadiran parut (scar) pada tiub disebabkan pembedahan yang lepas. Kehadiran IUCD pada rahim juga boleh menghalang penempelan embrio pada dinding rahim. Merokok juga dikatakan punca mengandung luar rahim. Bagi wanita yang telah mengikat salur fallopion mereka juga, mengandung luar rahim juga boleh berlaku.

Apakah mengandung luar rahim ini biasa berlaku kepada mana-mana wanita?

Untuk pengetahuan anda, bagi kalangan wanita muda dalam usia yang subur (reproductive age), mengandung luar rahim merupakan diagnosis pertama yang harus ada di dalam fikiran semua doktor apabila seorang wanita muda datang mengadu mengalami sakit perut yang teramat sangat. Ini kerana jika mereka salah membuat diagnosis, keadaan ini boleh mengundang kematian. Oleh itu, anda jangan berasa marah kepada doktor jika anda mengalami sakit perut tetapi anda belum berkahwin, doktor tetap bertanyakan bila tarikh akhir haid anda dan adakah anda pernah melakukan hubungan dengan mana-mana lelaki. Semasa bertugas di Jabatan Kecemasan dahulu, ada kes dimana mereka menipu mengenai tarikh akhir haid dan menafikan hubungan dengan lelaki (samada mereka masih bujang atau ibu tunggal), namun disebabkan rasa prihatin doktor yang mahu menyelamatkan nyawa pesakit, pemeriksaan air kencing akan dilakukan dahulu untuk mengesahkan pesakit mengandung dan jika ianya positif , maka doktor selanjutnya akan menjalankan pemeriksaan ultrasound dan mendapati ianya kandungan luar rahim. Pesakit tidak menyedari sebenarnya jika mereka berbohong, mereka membahayakan diri mereka sendiri.
Tanda-tanda awal mengandung luar rahim

1. Anda tidak datang haid sebagaimana biasa (miss period) atau anda memang telah menyedari anda telah mengandung melalui ujian air kencing yang dilakukan.

2. Pada peringkat awal, anda mungkin akan mengalami tanda-tanda seperti wanita mengandung lain seperti loya dan mual.

3. Ada akan berasa sakit perut samada di sebelah kanan atau kiri. Kebiasaannya bagi orang lelaki, jika sakit perut pada bahagian kanan bawah (right iliac fossa), diagnosis utama adalah appendicitis tapi bagi perempuan muda dan dalam usia subur, diagnosis pertama adalah mengandung luar rahim. Pada mulanya sakit perut tersebut mungkin tidak berapa teruk tetapi apabila tiub fallopian pecah, maka akan akan mengalami sakit perut yang teramat sangat dan sakit perut ini akan merebak ke seluruh perut. Kebiasaannya tanda-tanda ini akan berlaku pada minggu ke-5 atau ke-6 mengandung kerana embrio sudah tidak dapat membesar di dalam tiub dan ia akan pecah.

4. Anda mungkin akan mengalami pendarahan yang sedikit melalui vagina sebab embrio telah tidak dapat membesar.


PERINGATAN: Anda harus SEGERA ke hospital apabila terdapat tanda-tanda berikut ada iaitu SAKIT PERUT DI BAHAGIAN KIRI ATAU KANAN PERUT DAN ANDA SEDANG MENGANDUNG MINGGU KE-4 ATAU KE-5 / HAID ANDA LAMBAT SELAMA 1-2 MINGGU.

Apakah rawatan untuk kes mengandung luar rahim

Kebiasaannya doktor akan melakukan pembedahan semada secara laparoscopic (guna alat robotic dan hanya tebukan kecil diperut, untuk kes yang belum pecah) atau laparotomy (pembedahan perut secara classic, untuk kes yang telah terpecah) untuk membuang kandungan luar rahim ini bagi menyelamatkan hanya ibu.

Apakah yang boleh menyebabkan kematian ibu

Bagi kes mengandung luar rahim yang tidak dikesan pada peringkat awal, ibu boleh meninggal disebabkan pendarahan dalaman.

Berita gembira untuk semua

Alhamdulillah dengan teknologi pada zaman kini, terdapat ultrasound yang dapat digunakan untuk mengenalpasti kejadian mengandung luar rahim. Kebanyakan hospital kerajaan yang berpakar dan mempunyai pakar perubatan kecemasan mempunyai alat ini di jabatan kecemasan masing-masing. Dengan kecanggihan teknologi masa kini, kejadian ibu mengandung meninggal disebabkan kes mengandung luar rahim telah dapat dikurangkan.

Semoga info di atas bermanafaat untuk anda semua...:)

Wallahua’lam

Tuesday, February 22, 2011

Apa yang anda perlu tahu mengenai penyakit gastrik @ gastritis ?


Penyebab sakit perut yang biasa terjadi di kalangan orang dewasa adalah penyakit gastrik @ gastritis. Apakah gastritis? Bagaimana seseorang boleh mengidap sakit gastritis? Adakah penyakit ini berbahaya? Apakah langkah yang perlu di ambil bagi mengelakkan penyakit ini? Itu mungkin persoalan-persoalan yang bermain di fikiran seseorang apabila dimaklumkan oleh doktor punca sakit perut yang dihadapi olehnya adalah gastik.

Apakah gastritis?

Gastritis terjadi akibat dinding permukaan di dalam perut seseorang individu itu telah terhakis oleh asid gastric iaitu asid yang dikeluarkan oleh perut untuk mencernakan makanan. Hakisan pada permukaan dinding perut ini bukan berlaku dalam masa sehari malahan mungkin mengambil masa berbulan-bulan atau bertahun-tahun sebelum seseorang itu mengalami symptom/tanda-tanda sakit perut di bahagian ulu hati. Antara tanda-tanda penyakit gastric/gastritis:

(a) Sakit ulu hati
(b) Rasa mual
(c) Rasa perut kembung
(d) Kemungkinan pesakit juga akan muntah

Adakah penyakit ini berbahaya?

Penyakit gastrik / gastritis di peringkat awal tidak begitu berbahaya, namun jika pesakit tidak mengambil langkah-langkah pencegahan, keadaannya boleh menjadi semakin serius iaitu boleh menyebabkan muntah berdarah.

Apakah punca penyakit gastritis /penyakit gastrik

Antara punca penyakit gastritis adalah:
(a) Pesakit tidak menjaga waktu makan dengan betul atau skip meal
(b) Tekanan/stress
(c) Pengambilan ubat-ubat penahan sakit seperti ponstan dan voltaren dalam jangkamasa yang panjang
(d) Sejenis kuman iaitu Helicobacter Pylorii
(e) Merokok

Secara semulajadi, apabila badan memerlukan makanan, signal akan dihantar ke otak dan otak akan menghatar signal ke bahagian perut untuk merembeskan asid gastric. Jika tiada makanan di dalam perut maka asid gastrik tersebut akan menghakis permukaan dinding perut. Kejadian ini akan berulang-ulang, lama-kelamaan permukaan dinding perut akan menipis dan apabila sampai ke tahap itu pesakit akan mengalami sakit di bahagian ulu hati.

Selain daripada itu, merokok, pil penahan sakit dan Helicobacter Pylorii akan menghakis permukaan dinding perut secara sedikit demi sedikit. Ketiga-tiga bahan ini akan memberikan risiko kepada seseorang untuk mengidap penyakit gastritis.

Bagi tekanan/stress pula, apabila stress berlaku, asid gastric akan dirembeskan di dalam perut dan ianya boleh menyebabkan gastritis dalam jangka masa yang panjang.

Apakah langkah untuk mengelakkan penyakit gastrik @ gastritis

1. Mengambil makanan mengikut aturan waktu.

2. Elakkan mengambil ubat-ubatan penahan sakit bagi jangka masa yang panjang. Kebiasaan warga emas adalah terdedah bagi pengambilan ubat penahan sakit dalam jangka masa yang panjang kerana pada waktu itu mereka sering mengalami sakit lutut, sakit-sakit badan.

3. Elakkan tekanan. Belajar cara yang sepatutnya di ambil untuk mengawal stress. Bagi saya bagi mengelakkan stress perkara yang paling utama adalah kita kembali kepada fitrah dengan mendekatkan diri kepada Allah. Belajar untuk merasa redha dan sentiasa berdoa. Mencuba membuat yang terbaik tetapi kena yakin bahawa faktor yang menentukan kejayaan, rezeki dan sebenarnya adalah semuanya adalah daripada Allah jua. Namun, usaha perlu juga ada.

4. Jangan merokok. Jika anda seorang perokok, berhenti dari sekarang untuk kebaikan diri anda dan juga keluarga anda.

Jika saya telah mengidap penyakit gastric apa yang perlu saya buat?

1. Makan secara teratur
2. Elakkan makanan yang pedas dan masam
3. Elakkan minuman berkafein seperti kopi dan Nescafe
4. Mengawal stress dengan bijak
5. Elakkan minuman berkarbonat
6. Berhenti merokok

Apakah penyakit ini boleh dirawat

Penyakit gastrik @ gastritis boleh pulih sepenuhnya jika perkara-perkara yang dinyatakan di atas di jaga sepenuhnya. Namun, keberkesanannya bukan dalam masa sehari dua. Jika penyakit ini mengambil masa berbulan-bulan atau bertahun-tahun untuk terjadi, begitu juga fasa pemulihannya juga mengambil masa. Oleh itu, perkara yang paling UTAMA adalah berdisiplin untuk mengelakkan perkara-perkara yang boleh menerukkan lagi keadaan penyakit ini. Berita gembira untuk anda adalah penyakit ini boleh sembuh dan tidak perlu pergantungan kepada ubat tetapi dengan syarat langkah yang sepatutnya diambil adalah dipatuhi. Tetapi jika langkah penyembuhan tidak diambil, perkara yang sebaliknya akan berlaku, pesakit boleh tiba-tiba di suatu hari muntah berdarah dan perlu dibedah untuk mengikat semula dinding perut yang telah pecah. Keadaan ini biasanya amat serius dan boleh membawa maut. Oleh itu, langkah pencegahan adalah lebih baik dari merawat.

Semoga informasi ini bermanafaat untuk semua.

Jumpa lagi. Insya-Allah.

Tuesday, November 23, 2010

Panduan asas pengambilan ubat semasa mengandung




Pengambilan ubat semasa mengandung terutama semasa 3 bulan pertama seharusnya dielakkan oleh ibu-ibu mengandung kerana sewaktu 3 bulan pertama janin dalam proses membesar dan menghasilkan organ-organ penting di dalam badan mereka. Namun masih terdapat ubat yang selamat diambil oleh ibu-ibu walaupun semasa 3 bulan pertama mengandung. Bagi merungkai persoalan ibu-ibu mengandung, di sini terdapat panduan apakah ubat yang boleh dan tidak boleh diambil semasa mengandung bagi sakit-sakit yang biasa dialami.

1. Jika demam atau sakit-sakit badan:

Ubat yang selamat dimakan adalah paracetamol (PCM)

Elakkan mengambil ponstan dan ubat tahan sakit yang lain seperti voltaren

Jika demam perpanjangan melebihi 3 hari segera berjumpa dengan doktor berdekatan untuk pemeriksaan lebih lanjut.

2. Jika selsema:

Elakkan mengambil semua jenis ubat selsema seperti actifed, piriton

Apa yang boleh dilakukan oleh ibu-ibu mengandung adalah mengambil vitamin C dan makan banyak buah-buahan dan sayur-sayuran dan banyakkan minum air suam.

3. Jika batuk

Elakkan minum semua jenis ubat batuk

4. Jika cirit-birit

Elakkan mengambil ubat cirit birit (lomotil) dan ubat sakit perut yang memulas akibat cirit birit (buscopan)

Ibu-ibu boleh mengambil ubat garam (ORS-oral rehydration salt) untuk menggantikan garam galian yang hilang daripada badan dan pastikan banyak minum air suam.

Antibiotik selamat?

Terdapat antibiotik yang selamat digunakan semasa mengandung. Di sini saya senaraikan antibiotik yang biasa diberikan oleh doktor-doktor di Malaysia untuk jangkitan yang pelbagai dan ianya selamat digunakan semasa mengandung

-amoxycillin
-erythromycin
-augmentin
-cephalexin

Semoga panduan asas ini membantu anda menentukan ubat yang selamat semasa mengandung. Paling penting jaga kesihatan anda semasa mengandung. Elakkan mengunjungi tempat-tempat kunjungan orang ramai bagi mengelakkan terkena jangkitan terutamanya selsema dan batuk (jangkitan salur pernafasan atas-upper respiratory tract infection) kerana semasa mengandung imuniti ibu-ibu sedikit lemah dengan kehadiran bayi di dalam kandungan. Bagi mengelakkan jangkitan kuman pada salur kencing pula, elakkan menahan diri daripada buang air kecil dan minum banyak air. Semoga anda dan bayi anda sihat dalam proses mengandung, jangan lupa banyak berdoa dan berserah diri kepada Yang Maha Esa, Insya-Allah dimudahkan.

Semoga jumpa lagi.

Tuesday, October 26, 2010

Saya diuji lagi - Ovarian cyst

Alhamdulillah saya selamat menjalani pembedahan laparoscopic cystectomy baru-baru ini tanpa sebarang komplikasi. Syukur ke hadrat Ilahi dan terima kasih di atas semua doa daripada suami, ibu ayah saya , saudara mara dan rakan-rakan yang mendoakan kejayaan pembedahan ini. Laporan ujikaji tisu cyst juga telah saya terima dan alhamdulillah sekali lagi dipanjatkan kesyukuran kepada Allah kerana cyst saya buka sejenis kanser ianya sejenis teratoma, syukur pada-Mu Ya Allah kerana sesungguhnya Engkaulah Tuhan Yang Berkuasa di atas segala-galanya.

Mengimbau kembali ketika saya diberitahu terdapat cyst di ovari sebelah kiri saya baru-baru ini. Saya sebenarnya agak terkejut kerana tiba-tiba dimaklumkan terdapat cyst yang agak besar bersaiz 4x3 cm pada ovari sebelah kiri saya. Sebelum itu saya kerap menjalani ultrasound sewaktu mengalami pendarahan sebelum keguguran tempohari namun di waktu itu tiada sebarang cyst yang kelihatan. Di samping itu juga saya tidak pernah mengalami sengugut atau pendarahan yang melampau sejak saya akil baligh sehingga sekarang. Cyst ini langsung tidak memberi sebarang simptom. Sewaktu dimaklumkan saya seolah-olah bermimpi. Bukannya saya tidak percaya dan redha di atas ujian ini namun kehadirannya yang terlalu cepat membuatkan diri saya terfikir adakah ianya perkara yang paling menakutkan iaitu kanser…Nauzubillah…namun dengan ilmu perubatan yang saya ada memang agak menakutkan kerana pengesananan yang secara tiba-tiba. Kata-kata perangsang dan nasihat suami menenangkan hati saya. Allah sebenarnya sayangkan saya kerana diberikan ujian ini supaya saya sabar menghadapinya. Dengan sifat sabar dan redha saya akan mendapat ganjaran, Insya-Allah. Di samping itu juga cyst ini dapat dikesan sebelum berlaku komplikasi yang memungkinkan salah satu ovari saya terpaksa dibuang. Ya Allah aku hamba-Mu yang hina ini bersyukur ke hadrat-Mu Ya Allah.

Setelah dua minggu selepas pembedahan, saya telah sihat untuk kembali bertugas seperti biasa. Ini kerana pada zaman kini, pembedahan laparoscopic dapat dijalankan berbanding pembedahan biasa pada zaman dahulu. Pembedahan laparoscopic ialah satu pembedahan menggunakan tangan robot untuk membantu para doctor menjalankan pembedahan. Oleh itu luka di bahagian perut hanya berukuran lebih kurang 1cm sebanyak 3 lubang ditebuk pada bahagian perut. Dengan luka yang lebih sedikit pada bahagian perut maka proses penyembuhan adalah lebih cepat.


Sedikit info mengenai ovarian cyst

1. Ovarian cyst ialah pembengkakan cecair yang berlaku pada salah satu telur (ovum) di kilang telur (ovari).

2. Ovarian cyst memang boleh terjadi di kalangan wanita pada peringkat umur reproduktif (umur sewaktu wanita subur dan boleh melahirkan anak). Ini kerana bagi wanita yang subur, pada setiap bulan ovari akan menerima rangsangan daripada hormon untuk mengeluarkan satu telur (ovum). Ovum ini akan keluar dan jika tidak disenyawakan ianya akan mati dan wanita akan mengalami haid selepas itu dengan perubahan hormon yang berlaku juga.

3. Antara jenis ovarian cyst:

a. Dermoid cyst/teratoma (seperti yang dialami oleh saya)
Cyst ini tidak akan mengganggu kitaran haid. Pesakit biasanya tidak akan merasa senggugut dengan kehadiran cyst ini. Cyst ini akan terus membesar jika tidak dibuang melalui kaedah pembedahan. Kandungan di dalam cyst ini boleh terdiri daripada sel-sel lemak, sel-sel rambut dan juga sel-sel gigi, sel-sel tulang dan sel-sel rawan. Apabila cyst ini membesar risiko untuk cyst ini terpusing (twisted ovarian cyst) dan juga terpecah (ruptured) adalah tinggi. Jika ovari terpusing atau pecah maka ovari perlu dibuang kerana ovari telah mati disebabkan gangguan bekalan darah ke ovari tersebut.

b. Functional cyst
Cyst ini boleh terbentuk apabila ovulasi tidak berlaku dan ovum yang sepatutnya keluar tiba-tiba mati. Kebiasaannya cyst ini akan boleh hilang dengan sendiri (regress) selepas beberapa bulan.

c. Endometrial cyst
Pada cyst ini terdapat tisu-tisu rahim (uterus) di dalam cyst ini. Oleh itu, pesakit berkemungkinan tinggi akan merasa senggugut setiap kali datang haid dan cyst ini kemungkinan juga akan mengganggu kesuburan wanita.

d. Corpus luteum cyst
Cyst ini terbentuk semasa wanita hamil. Cyst ini akan membantu bayi dengan kehadiran hormon-hormon yang tertentu pada peringkat awal kehamilan agar bayi tidak gugur.

Tuesday, August 24, 2010

Panduan asas: Pendarahan semasa bulan awal mengandung


Saya ingin memberikan panduan kepada pembaca mengikut ilmu perubatan apa yang harus anda buat jika terdapat pendarahan semasa mengandung, apa yang mungkin menyebabkannya, apa yang akan doktor akan lakukan kepada anda. Semoga panduan asas ini akan dapat membantu anda dan memahami apa yang terjadi kepada diri anda….


Apa yang harus saya lakukan jika saya dapati saya mengalami pendarahan semasa bulan awal (kebiasaannya 12 minggu) mengandung?

Perkara pertama yang harus anda lakukan adalah anda harus segera berjumpa dengan doktor. Jika anda telah mempunyai buku rawatan semasa mengandung (jika di klinik/hospital kerajaan di Malaysia, buku ini berwarna merah jambu) jangan lupa bawa buku ini sewaktu berjumpa doktor.


Apakah yang akan doktor lakukan kepada saya

1. Perkara pertama doktor akan bertanya mengenai maklumat kandungan anda iaitu:

i.Tarikh akhir period anda (hari pertama datang kotor) dan samada anda pasti tarikh
tersebut ataupun tidak

ii. Berapa banyak darah yang telah keluar

iii. Adakah anda mempunyai sakit perut ataupun tidak

iv. Adakah anda mempunyai demam

2. Doktor kemudiannya akan memeriksa perut anda untuk melihat tanda kesakitan atau tidak.

3. Doktor akan melakukan ultrasound untuk melihat IUGS (Intrauterine Gestational Sac) atau kata lain bayi yang berada didalam kantung di dalam perut anda samada ianya berada didalam uterus ataupun diluar uterus. Ini kerana bagi mereka yang mengandung di luar rahim juga, mereka kadang-kadang boleh mendapat pendarahan semasa mengandung di samping rasa sakit perut yang amat teruk. Jika terdapat IUGS dikesan di dalam rahim, maka doktor akan mengukur saiz IUGS tersebut untuk melihat adakah ianya bertepatan dengan tarikh atau tidak. Di samping mengukur, bentuk kantung juga dilihat samada masih normal atau tidak. Di samping itu juga doktor akan mengesan kehadiran jantung bayi semasa ultrasound dilakukan.
Apakah yang akan doktor lakukan jika tidak dapat mengesan kehadiran jantung bayi?
Jika kandungan anda masih awal iaitu dalam lingkungan 5-6 minggu kemungkinan jantung bayi tidak akan dapat dikesan dengan ultrasound melalui perut. Maka doktor akan melakukan ultrasound melalui vagina anda. Anda jangan merasa takut kerana imbasan ini tidak akan menyakitkan anda. Ultrasound tersebut bersaiz kecil (bukan sebesar ultrasound pada perut) dan ianya hanya diletakkan di muka pintu vagina sahaja. Tetapi rasa sedikit selesa mungkin ada.

Macamana saya akan tahu samada saya gugur atau tidak?

Keguguran bayi mengikut ilmu perubatan dibahagikan kepada 3 iaitu:

1. Threaten abortion
Bermakna ibu mengalami pendarahan vagina namun bayi masih sihat. Saiz dan bentuk kantung masih normal dan jantung bayi akan dapat dikesan.

2. Complete abortion
Bayi beserta kantung telah keluar bersama dengan lengkap semasa pendarahan berlaku. Bentuknya adalah seperti kandungan perut ikan di dalam kantung. Oleh itu, amatlah penting bagi anda membawa sesuatu yang keluar dari vagina anda sewaktu pendarahan berlaku untuk ditunjukkan kepada doctor kerana mungkin ianya janin anda yang telah keluar. Kebiasaan bagi complete abortion pesakit akan mengalami sakit perut sebelum janin keluar dan sakit perut terus hilang selepas janin keluar.

3. Incomplete abortion
Janin telah keluar tetapi tidak lengkap. Bagi kes seperti ini, pesakit akan merasa sakit perut sebelum dan juga selepas janin keluar.

4. Missed abortion
Semasa doktor melakukan imbasan, doktor akan dapati kantung bayi telah kosong (hanya tinggal kantung) atau jantung bayi tidak dapat dikesan.



Bagaimana doktor akan merawat saya?


Threaten abortion
Doktor akan membekalkan anda ubat Duphaston bagi menguatkan rahim anda dan akan memberikan anda cuti sakit untuk berehat di rumah selama beberapa hari.


Complete abortion
Selepas memeriksa janin yang anda bawa, doktor akan menjalankan pemeriksaan pada bahagian vagina anda bagi memeriksa samada pintu rahim sudah tertutup ataupun tidak dan melihat samada masih terdapat pendarahan yang banyak daripada pintu rahim dan terdapat sisa janin atau darah beku di pintu rahim. Jika tiada, doktor akan melakukan ultrasound untuk memastikan tiada sisa IUGS tertinggal di dalam rahim. Setelah pasti, anda boleh pulang ke rumah dan akan diberikan cuti rehat selama seminggu. Di samping itu, doktor akan membekalkan ubat antibiotik dan ubat ponstan kepada anda. Ubat antibiotic bagi mengelakkan adanya jangkitan di dalam rahim. Manakala ubat ponstan pula untuk mempercepatkan rahim untuk mengecut. Ubat antibiotik harus dihabiskan dan ubat ponstan hendaklah dimakan selama seminggu mengikut aturan.


Incomplete abortion
Sepertimana kes complete abortion, doctor akan memeriksa janin yang anda bawa, memeriksa pintu rahim dan melakukan ultrasound. Bagi kes incomplete abortion, pintu rahim masih akan terbuka dan kemungkinan terdapat sisa janin dan darah beku di pintu rahim. Ultrasound juga akan mendapati masih terdapat sisa IUGS di dalam rahim anda. Bagi kes seperti ini doktor akan melakukan D&C untuk mencuci sisa janin yang tertinggal. Sama seperti complete abortion, anda akan dibekalkan ubat antibiotic dan ubat ponstan semasa pulang ke rumah.


Missed abortion
Bagi kes seperti ini, pintu rahim adalah masih tertutup. Kebiasaannya doktor akan memberi masa untuk janin untuk keluar sendiri. Namun begitu, selepas tempoh beberapa lama, janin masih tidak juga keluar, para doctor akan melakukan samada D&C atau memasukkan ubat ke dalam vagina anda untuk merangsang pintu rahim untuk terbuka. Sama seperti complete dan incomplete abortion, anda akan dibekalkan ubat antibiotic dan ubat ponstan apabila keluar daripada wad.

Semoga info ini berguna untuk dijadikan panduan dan memahami apa yang berlaku kepada diri anda.

Wallahua’lam.

Thursday, July 8, 2010

Adakah selamat memberikan ubat selsema dan ubat batuk kepada kanak-kanak?



Masalah selsema dan batuk disebabkan jangkitan viral mungkin adalah perkara biasa jika dihadapi oleh orang dewasa namun bagi ibu-ibu yang mempunyai bayi, serangan selsema dan batuk kepada bayi mereka boleh memberikan kesan yang besar kepada ibu-ibu. Ketidakselesaan bayi sewaktu menyusu dan ketika bayi tidur boleh meruntun hati ibu melihat anak-anak yang tidak selesa.

Jika ibubapa membawa anak mereka berjumpa dengan para doktor adalah dinasihati mereka menyemak kembali label ubat yang diberikan oleh doktor terutama bagi bayi yang berumur 2 tahun ke bawah. Ini kerana terdapat ubat selsema yang BERBAHAYA kepada bayi yang mana boleh menyebabkan bayi mengalami masalah pernafasan. Disebabkan implikasi yang mungkin timbul kesan ubat selsema tersebut, Drug Control Authority Malaysia (DCA) telah bersepakat mengeluarkan AMARAN dilabel ubat-ubat selsema yang dikenalpasti bagi mengelakkan implikasi yang bakal timbul. Amaran yang dikeluarkan adalah;

(a) Not to be used in children less than 2 years of age (Jangan diberikan kepada kanak-kanak kurang daripada usia 2 tahun) dan
(b) To be used with caution and on doctor’s or pharmacist’s advice in children 2 to 6 years of age (Digunakan dibawah pemantauan dan nasihat oleh doktor atau ahli farmasi bagi kanak-kanak berusia di antara 2 hingga 6 tahun).

Antara ubat selsema dan batuk yang terlibat adalah:

Actifed (Tripolidine)
Phenergan (Promethazine) - juga digunakan untuk menahan muntah
Diphenhydramine (Benadryl)
Brompheramine
Chlorpheramine
Clemastine
Dexbrompheniramine
Pheniramine
Dextromethorpan

Antara ubat titis hidung yang terlibat:

Ephedrine
Phenylephrine
Pseudoephedrine

Adalah dinasihatkan ibubapa mengambil berat mengenai perkara ini. Jika klinik yang dilawati tidak melabelkan nama ubat yang sebenar di botol ubat, hanya menandakan ubat selsema/ ubat batuk/ ubat titis hidung, para ibu bapa hendaklah meminta mereka menulis nama sebenar ubat di botol berkenaan supaya kita akan dapat mengetahui apa sebenarnya ubat yang diberikan oleh mereka. Selain dapat melindungi diri anak kita daripada perkara yang tidak sepatutnya (Nauzubillah), ianya juga boleh ditunjukkan kepada pihak hospital jika sesuatu perkara yang tidak diingini berlaku dan tindakan sepatutnya akan dapat diambil.

Antara langkah yang boleh diambil semasa bayi anda mengalami selsema adalah memberikan air suam yang kerap kepada bayi dan berikan rehat yang secukupnya kepada bayi selain memberikan makanan yang berkhasiat seperti sayur-sayuran kepada bayi. Kepada ibu-ibu yang menyusu, terdapat BONUS yang terdapat kepada bayi anda kerana antibodi daripada susu ibu dapat membantu bayi dalam menyembuhkan masalah selsema. Jadi, teruskan menyusu bayi anda dengan selesa dan gembira.

Saya menasihati ibu bapa diluar sana mengambil berat akan hal ini dan sebarkan pengetahuan ini kepada rakan-rakan dan juga keluarga anda. Seperti yang selalu saya tekankan selama ini ILMU adalah amat penting dalam menjalani kehidupan ini. Dengan ILMU kita akan dapat membezakan antara yang benar dan salah samada dalam ilmu dunia mahupun ilmu akhirat. Wallahua’alam.

Tuesday, May 4, 2010

MAKLUMAT PENTING JIKA ANAK CIRIT-BIRIT


Saya kerap menerima soalan-soalan daripada ahli keluarga dan kawan-kawan apabila anak-anak mereka mengalami cirit-birit. Jadi saya mengambil kesempatan ini untuk mencoretkan maklumat asas yang perlu diketahui oleh ibu bapa jika anak-anak mereka mengalami cirit-birit. Cirit-birit perlu ditangani dengan bijak oleh semua ibu bapa agar komplikasi yang buruk tidak akan terjadi kepada kanak-kanak terlibat. Antara sebab-sebab berlakunya cirit-birit adalah makanan yang diambil oleh kanak-kanak telah tercemar oleh kuman-kuman samada semasa penyediaan makanan tersebut atau kerana makanan tersebut telah dihinggapi lalat. Namun terdapat juga faktor-faktor lain yang boleh menyebabkan cirit-birit.

1. Antara faktor-faktor cirit-birit

a. Makanan tercemar
b. Puting dan botol susu yang tidak bersih
c. Ibu yang menyusu bayi makan jamu
d. Paranteral diarrhea

2. Apakah parentral diarrhea?

Parentral diarrhea adalah satu simptom cirit-birit yang berlaku semasa kanak-kanak mengalami demam viral beserta dengan batuk berkahak. Kebiasaannya kanak-kanak tidak pandai untuk mengeluarkan kahak daripada kerongkong/mulut apabila batuk. Apabila kanak-kanak batuk dan kahak terkeluar daripada kerongkong ke dalam mulut, kanak-kanak biasanya akan menelan kahak tersebut. Disebabkan kahak mengandungi virus/kuman maka virus/kuman ini boleh menyebabkan cirit-birit apabila ia masuk ke dalam saluran penghadaman.

3. Apakah yang perlu saya lakukan jika anak saya mengalami cirit birit?

Perkara UTAMA yang perlu diambil perhatian jika seseorang kanak-kanak mengalami cirit-birit adalah tahap hidrasi/ kandungan air dalam badan kanak-kanak berkenaan, adakah ianya telah berkurangan atau tidak. Jika kadar kandungan air di dalam badan mereka berkurang atau mereka mengalami dehidrasi, keadaan ini amat berbahaya. Kanak-kanak memang amat terdedah mengalami dehidrasi berbanding dengan orang dewasa kerana saiz badan mereka yang kecil.

4. Bagaimana saya ingin mengetahui samada anak saya yang mengalami cirit-birit mengalami dehidrasi atau tidak?

Tanda-tanda dehidrasi adalah seperti berikut:

4.1 Bagi bayi:

a. Ibu-ibu boleh merasa bahagian ubun-ubun bayi mereka. Jika ubun-ubun terasa lekuk, ini menandakan bayi telah mengalami dehidrasi/kekurangan air.

b. Bayi lemah dan tidak aktif seperti biasa.

c. Bibir kering, lidah kering

4.2 Bagi kanak-kanak yang telah tertutup ubun-ubun mereka:

a. Bibir kering dan berkeruping

b. Lidah kering (nampak warna keputihan pada lidah dan air liur yang kurang)

c. Kanak-kanak kelihatan lemah, tidak aktif seperti biasa. Mereka tidak akan berminat untuk bermain seperti biasa.

JIKA TERDAPAT TANDA-TANDA SEPERTI DI ATAS, ANDA HARUS MEMBAWA ANAK ANDA SEGERA KE JABATAN KECEMASAN HOSPITAL UNTUK RAWATAN SUSULAN IAITU MEMASUKKAN AIR BANTUAN MELALUI SALUR DARAH.

5. Adakah terdapat ubat yang boleh menghentikan cirit-birit?

Rawatan cirit-birit bagi kanak-kanak adalah sangat berbeza daripada orang dewasa. Jika bagi orang dewasa, apabila mereka mengalami cirit-birit, para doktor akan memberikan ubat kepada mereka untuk menghentikan simptom tersebut. Namun, bagi kanak-kanak, amat berbahaya jika diberikan ubat untuk menghentikan cirit birit tersebut. Ini kerana jika ubat diberikan kepada kanak-kanak untuk menghentikan cirit-birit, kuman-kuman di dalam usus mereka akan meresap ke dalam salur darah. Ini akan lebih memudaratkan keadaan kanak-kanak tersebut. Jadi, para ibu bapa dikehendaki amat berhati-hati di dalam perkara ini.

6. Apakah perkara yang paling penting untuk diberi perhatian jika anak saya cirit-birit?

Perkara yang paling penting adalah memastikan kanak-kanak tidak mengalami dehidrasi/kekurangan air dalam badan. Pastikan anak anda kerap minum air dan minum air garam yang dibekalkan oleh doktor. Jika anak anda tidak gemar minum air garam yang dibekalkan oleh doktor memadai dengan memberikannya minum air masak dengan kerap bagi mengelakkan anak anda mengalami dehidrasi.

7. Bolehkah saya meneruskan pemberian susu kepada anak saya semasa dia mengalami cirit-birit?

Jika anda menyusukan bayi anda (breastfeeding), anda boleh meneruskan penyusuan seperti biasa dan dikerapkan penyusuan jika boleh.
Jika anak anda menyusu susu formula, dinasihatkan anda mencairkan sedikit kepekatan susu formula tersebut kerana susu formula boleh memburukkan keadaan cirit birit. Tambah keperluan air anak anda dengan air masak atau air garam yang dibekalkan oleh doktor.

8. Apa yang perlu saya lakukan jika laluan najis (anus) anak saya melecet?

Cirit-birit memang boleh menyebabkan anus melecet kerana najis semasa cirit birit adalah lebih berasid daripada biasa. Pastikan anda segera membasuh najis selepas anak anda membuang air besar dan sapukan ubat (boleh didapati daripada klinik/farmasi) pada anusnya yang melecet.

Semoga maklumat di atas boleh dijadikan panduan yang berguna untuk anda semua....:)

Tuesday, April 13, 2010

Makanan yang boleh kuatkan tulang


Adakah anda tahu berapa banyak calcium yang diperlukan oleh tubuh seorang dewasa setiap hari?

Secara purata keperluan sehari kalsium bagi seorang dewasa adalah:
- berumur kurang daripada 50 tahun adalah sebanyak 1000mg sehari
- berumur lebih daripada 50 tahun adalah sebanyak 1200mg sehari

Apakah makanan yang mengandungi banyak kalsium?

Susu segar, susu skim, susu rendah lemak dan bukan susu pekat manis.
Yogurt, keju
Ikan sardin bersama tulang
Sayur-sayuran hijau
Cereal
Makanan berasaskan kacang soya
Ikan salmon
Kekacang

Berapa banyak calcium dalam makanan kita?

-Segelas susu segar, susu skim atau susu rendah lemak (dalam 8 oz) mengandungi kira-kira 300mg kalsium. Oleh itu kita perlu minum 3-4 gelas susu sehari jika kita tidak mengambil sumber kalsium yang lain untuk mencukupkan keperluan kalsium kita sehari

-kadar kalsium dalam satu cawan yogurt atau satu aun cheese juga sama dgn segelas susu

-ikan sardin tapi kena makan bersama tulangnya, tulang jgn buang ye juga merupakan sumber kalsium. 3 aun ikan sardine mengandungi kadar kalsium yang lebih tinggi dari segelas susu.

-Sayur-sayuran hijau. Satu cawan sayuran hijau mengandungi lebih kurang 200mg calcium

-Cereal seperti cococrunch dan yang seangkatan dengannya. Satu cawan cereal blh mengandungi sehingga 1000mg calcium. Perisa label nutrisi pada kotak cereal tersebut.

-Makanan yang berasaskan kacang soya seperti tauhu, tempe. Setengah cawan tauhu mempunyai 258mg calcium. Di samping kalsium, tauhu juga mengandungi isoflavone yang juga boleh menguatkan tulang. Isoflavone juga mempunyai tindakan seperti estrogen (estrogen like-effect). Oleh itu ia amat sesuai untuk wanita menopause untuk menguatkan tulang mereka.

-Jika anda alergik dengan makanan-makanan yang dinyatakan di atas, anda boleh mengambil supplement calcium untuk membantu mendapatkan nutrisi kalsium setiap hari

Perkara-perkara lain yang perlu dilakukan untuk menguatkan tulang

1. Senaman (weight bearing exercise) seperti berjalan laju, menari, bermain tenis. Senaman-senaman ini akan membantu menambahkan kekuatan tulang kita.

2. Menghindarkan garam. Semakin banyak garam diambil, semakin banyak calcium akan dikeluarkan semula daripada badan melalui air kencing.

3. Perlukan cahaya matahari. Badan menghasilkan vitamin D apabila mendapat rangsangan daripada cahaya matahari. Tanpa bantuan vitamin D, kalsium yang diambil oleh kita tidak dapat diserap oleh tulang.

sumber WebMD. Telah diolah oleh penulis supaya difahami oleh para pembaca...

Semoga bermanafaat untuk semua

Semoga kita terhindar daripada osteoporosis dengan mengamalkan pemakanan yang sihat dan senaman....Insya-Allah

Monday, April 12, 2010

Adakah anda berisiko untuk mengalami OSTEOPOROSIS?

Apabila membaca kesemua risiko-risikonya, saya boleh dikatakan mempunyai kesemua risikonya…:(….jadi saya tidak boleh mengambil ringan tentang masalah osteoporosis ini…Gerun mengingatkan kalau dah tua-tua nanti tiba-tiba tulang terpatah dengan kecederaan ringan (minor injury) seperti terjatuh di dalam bilik air…Nauzubillah….Jadi, jikalau tidak mahu mengalaminya, kita harus berwaspada dan selalu amalkan minum susu dan makanan yang mengandungi kalsium yang tinggi (nanti saya tulis kat entry akan datang). Kalau nak tahu anda telah mengalami osteoporosis atau tidak pada waktu sekarang, cuba ukur tinggi anda, jika ianya berkurang dari tahun-tahun sebelum ini bermakna anda telah mengalaminya sedikit demi sedikit. Jadi, jangan ambil ringan masalah ini, langkah-langkah pncegahan harus diambil sebelum terlambat….

Risiko untuk mengalami osteoporosis:

1. Umur
Kekuatan dan ketumpatan tulang akan mencapai peringkat maksimum pada umur 30 tahun. Selepas umur 30 tahun, kekuatan tulang akan mula berkurang mengikut usia.
Saya ada risiko ini memandangkan usia saya sudah hampir 32 tahun.


2. Jantina
Perempuan berisiko empat kali ganda berbanding lelaki untuk mengalami osteoporosis terutama selepas mengalami menopause. Ini disebabkan perempuan lebih ringan dan mempunyai struktur tulang yang lebih kecil berbanding lelaki.
Sememangnya ada risiko ini.


3. Bangsa
Kajian menunjukkan bahawa bangsa Asia dan Caucasian berisiko 2 kali ganda mengalami osteoporosis berbanding bangsa Afrika.
Sememangnya ada risiko ini.


4. Struktur tulang dan berat badan
Wanita yang berbadan kecil dan kurus berisiko lebih tinggi berbanding wanita yang berbadan besar. Ini kerana wanita yang berbadan besar mempunyai rangka yang besar (tulang besar). Lelaki yang rangka kecil dan kurus juga berisiko untuk mengalami osteoporosis berbanding lelaki yang berbadan besar dan rangka besar.
Badan saya memang kecil dan kurus. Satu kelebihan orang cakap nampak lebih muda dari usia sebenar namun ada risiko osteoporosis pula …huhu


5. Sejarah keluarga
Jika terdapat ibubapa atau datuk/nenek yang pernah mempunyai sejarah mengalami patah tulang paha selepas jatuh (minor fall), anda adalah berisiko tinggi untuk mengalami masalah yang sama.
Alhamdulillah, belum ada lagi sejarah ibubapa atau datuk/nenek saya patah tulang apabila jatuh.

6. Sejarah tulang patah selepas jatuh (diri sendiri).
Alhamdulillah saya tidak pernah mengalaminya. Semoga dijauhkan oleh Allah.


7. Ubat-ubatan
Sesetengah ubat seperti prednisolone jika digunakan secara berpanjangan akan menyebabkan osteoporosis.
Ubat prednisolone merupakan sejenis ubat alahan. Biasanya doctor akan memberikan ubat ini kepada pesakit asthma yang kronik dan juga kepada pesakit autoimmune seperti SLE. Semasa bertugas di Hospital Kuala Lumpur, selalu pesakit asthma akan minta ubat ini daripada saya kerana sememangnya ubat ini amat berkesan untuk menghilangkan serangan asthma mereka. Namun, kadang-kadang saya tidak akan memberikan ubat ini secara mudah kepada mereka dan menerangkan kesan buruk yang akan mereka alami jika selalu mengamalkannya.

Semoga bermanafaat kepada semua....:)



Tuesday, October 13, 2009

Diabetes and breastfeeding

Almaklumlah saya baru balik konferens diabetes, jadi banyak info saya ingin kongsikan dengan para pembaca..kalau boleh sumer nak kongsi tapi sebab ada tu lebih kepada untuk pengetahuan para doktor jadi saya kongsikan apa-apa yang saya rasa ok untuk pengetahuan umum....

Macam yang saya bagitau kat entri sebelum ini, bayi yang lahir dari ibu yang mengidap diabetes semasa mengandung adalah berisiko tinggi untuk menjadi pengidap diabetes di kemudian hari. Namun ada berita baik juga untuk para ibu yang menyusu bayi. Mengikut kajian, bayi-bayi yang lahir oleh diabetic mother kemudian disusukan oleh ibu mereka selepas mereka lahir akan menurunkan risiko mereka untuk mengidap diabetes di masa akan datang...Masya-Allah begitulah hebatnya kuasa Allah s.w.t dan begitu indahnya Islam...perkara Allah menyuruh para ibu supaya menyusukan bayi sehingga umur 2 tahun bagi mereka yang ingin menyempurnakannya telah tertulis di dalam Al-Quran, surah Al-Baqarah ayat 233. Selama ini telah banyak kajian yang dijalankan akan kebaikan susu ibu ini..Nah, ini yang terbaru, susu ibu boleh mengelakkan anak-anak kita dari mengidap kencing manis di kemudian hari...Jadi, apa tunggu lagi..Bagi bakal-bakal ibu, jangan ragu-ragu lagi untuk menyusukan bayi anda, bagi yang sedang menyusu, teruskan sekurang-kurangnya sampai 2 tahun, kalau lebih lagi bagus, sampaikan berita ini kepada orang lain juga supaya mereka teruja untuk menyusukan bayi mereka!!!!

Itu sahaja buat kali ini

Semoga jumpa lagi, Insya-Allah

BABY GIANT, Diabetic mother

Mataku terpaku pada tajuk akhbar, bayi lahir 8.7kg di Indonesia...MasyaAllah, besarnya...lebih kurang sama besar dengan Aqilah, anakku yang umurnya sudah setahun. Berat Aqilah sekarang dalam 9+kg...Memang tepat telahanku ibu bayi besar ini mengalami penyakit kencing manis aka diabetes semasa mengandung....Apa reaksi anda semua bila baca berita ini? Nak lahirkan baby yang lebih besar dari inikah sebab nak catat rekod bayi terbesar di Malaysia? Jika anda terfikir sedemikian, baik anda lupakan hasrat anda....Kerana apa?Jawapannya di bawah...

Pada minggu lepas, saya berpeluang mengikuti konferens perubatan berkaitan Diabetes di Sunway Piramid Convension Centre. Antara tajuk yang disentuh adalah berkaitan Diabetes amd pregnancy. Tajuk ini amat menarik dan saya ingin kongsikan pengetahuan ini dengan para pembaca...

Perkara utama yang ditekankan adalah sebelum kita mengandung, kita hendaklah memastikan berat kita ok, maksudnya BMI (Body Mass Index) dalam linkungan 18 hingga 24. Bagi sesiapa yang tidak tahu cara bagaimana untuk mengukur BMI, begini caranya, kita bagikan berat kita dengan tinggi kita dalam meter yang dikuasakan dua seperti di bawah:

BMI = Berat
-------
(Tinggi dalam meter kuasa dua)

Obesiti sebelum mengandung dan semasa mengandung amat-amat harus dielakkan kerana banyak keburukan yang akan berlaku kepada ibu dan bayi semasa dalam kandungan.
Antaranya ibu yang obes akan terdedah mendapat diabetes semasa mengandung, tekanan darah tinggi, risiko untuk melahirkan bayi melalui cara pembedahan adalah tinggi, jika lahir melalui pembedahan, pembedahan akan mengambil masa yang panjang disebabkan kulit perut yang tebal menyukarkan dr melakukan pembedahan, bayi lahir besar, bayi tersangkut bahu semasa lahir yang mana mendedahkan kecederaan kepada bayi (sepertimana yang sering dilaporkan di akhbar).

Selain daripada itu, mengikut kajian yang dijalankan, bayi yang lahir daripada ibu yang mengidap diabetes semasa mengandung adalah berisiko lebih tinggi untuk mengidap diabetes semasa kanak-kanak atau setelah menjadi dewasa. Ini kerana genetic insulin resistant telah diperturunkan daripada ibu kepada anak semasa dalam kandungan. Kita sebagai ibu atau bakal ibu tentu tidak mahu anak-anak kita menderita di masa akan datang disebabkan kesilapan kita. Jadi, dinasihatkan kepada semua pembaca sebelum mengandung, pastikan berat badan anda ok supaya perkara-perkara yang tidak diingini akan dapat dielakkan...

Itu sahaja buat kali ini.

Semoga jumpa lagi

Insya-Allah
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...