Monday, February 28, 2011

Hidupkan Istilah ‘Wang Pembayar Cukai’ Dalam Media : Minda Tajdid

Artikel ini saya baca di blog Ustaz Asri, agak menarik untuk dibincangkan dan membuka minda kita. Memang tanpa sedar kerajaan selalu gunakan istilah ini di negara kita berbeza dengan negara-negara maju. Selamat membaca....Hidupkan Istilah ‘Wang Pembayar Cukai’ Dalam Media : Minda Tajdid

Tuesday, February 22, 2011

Apa yang anda perlu tahu mengenai penyakit gastrik @ gastritis ?


Penyebab sakit perut yang biasa terjadi di kalangan orang dewasa adalah penyakit gastrik @ gastritis. Apakah gastritis? Bagaimana seseorang boleh mengidap sakit gastritis? Adakah penyakit ini berbahaya? Apakah langkah yang perlu di ambil bagi mengelakkan penyakit ini? Itu mungkin persoalan-persoalan yang bermain di fikiran seseorang apabila dimaklumkan oleh doktor punca sakit perut yang dihadapi olehnya adalah gastik.

Apakah gastritis?

Gastritis terjadi akibat dinding permukaan di dalam perut seseorang individu itu telah terhakis oleh asid gastric iaitu asid yang dikeluarkan oleh perut untuk mencernakan makanan. Hakisan pada permukaan dinding perut ini bukan berlaku dalam masa sehari malahan mungkin mengambil masa berbulan-bulan atau bertahun-tahun sebelum seseorang itu mengalami symptom/tanda-tanda sakit perut di bahagian ulu hati. Antara tanda-tanda penyakit gastric/gastritis:

(a) Sakit ulu hati
(b) Rasa mual
(c) Rasa perut kembung
(d) Kemungkinan pesakit juga akan muntah

Adakah penyakit ini berbahaya?

Penyakit gastrik / gastritis di peringkat awal tidak begitu berbahaya, namun jika pesakit tidak mengambil langkah-langkah pencegahan, keadaannya boleh menjadi semakin serius iaitu boleh menyebabkan muntah berdarah.

Apakah punca penyakit gastritis /penyakit gastrik

Antara punca penyakit gastritis adalah:
(a) Pesakit tidak menjaga waktu makan dengan betul atau skip meal
(b) Tekanan/stress
(c) Pengambilan ubat-ubat penahan sakit seperti ponstan dan voltaren dalam jangkamasa yang panjang
(d) Sejenis kuman iaitu Helicobacter Pylorii
(e) Merokok

Secara semulajadi, apabila badan memerlukan makanan, signal akan dihantar ke otak dan otak akan menghatar signal ke bahagian perut untuk merembeskan asid gastric. Jika tiada makanan di dalam perut maka asid gastrik tersebut akan menghakis permukaan dinding perut. Kejadian ini akan berulang-ulang, lama-kelamaan permukaan dinding perut akan menipis dan apabila sampai ke tahap itu pesakit akan mengalami sakit di bahagian ulu hati.

Selain daripada itu, merokok, pil penahan sakit dan Helicobacter Pylorii akan menghakis permukaan dinding perut secara sedikit demi sedikit. Ketiga-tiga bahan ini akan memberikan risiko kepada seseorang untuk mengidap penyakit gastritis.

Bagi tekanan/stress pula, apabila stress berlaku, asid gastric akan dirembeskan di dalam perut dan ianya boleh menyebabkan gastritis dalam jangka masa yang panjang.

Apakah langkah untuk mengelakkan penyakit gastrik @ gastritis

1. Mengambil makanan mengikut aturan waktu.

2. Elakkan mengambil ubat-ubatan penahan sakit bagi jangka masa yang panjang. Kebiasaan warga emas adalah terdedah bagi pengambilan ubat penahan sakit dalam jangka masa yang panjang kerana pada waktu itu mereka sering mengalami sakit lutut, sakit-sakit badan.

3. Elakkan tekanan. Belajar cara yang sepatutnya di ambil untuk mengawal stress. Bagi saya bagi mengelakkan stress perkara yang paling utama adalah kita kembali kepada fitrah dengan mendekatkan diri kepada Allah. Belajar untuk merasa redha dan sentiasa berdoa. Mencuba membuat yang terbaik tetapi kena yakin bahawa faktor yang menentukan kejayaan, rezeki dan sebenarnya adalah semuanya adalah daripada Allah jua. Namun, usaha perlu juga ada.

4. Jangan merokok. Jika anda seorang perokok, berhenti dari sekarang untuk kebaikan diri anda dan juga keluarga anda.

Jika saya telah mengidap penyakit gastric apa yang perlu saya buat?

1. Makan secara teratur
2. Elakkan makanan yang pedas dan masam
3. Elakkan minuman berkafein seperti kopi dan Nescafe
4. Mengawal stress dengan bijak
5. Elakkan minuman berkarbonat
6. Berhenti merokok

Apakah penyakit ini boleh dirawat

Penyakit gastrik @ gastritis boleh pulih sepenuhnya jika perkara-perkara yang dinyatakan di atas di jaga sepenuhnya. Namun, keberkesanannya bukan dalam masa sehari dua. Jika penyakit ini mengambil masa berbulan-bulan atau bertahun-tahun untuk terjadi, begitu juga fasa pemulihannya juga mengambil masa. Oleh itu, perkara yang paling UTAMA adalah berdisiplin untuk mengelakkan perkara-perkara yang boleh menerukkan lagi keadaan penyakit ini. Berita gembira untuk anda adalah penyakit ini boleh sembuh dan tidak perlu pergantungan kepada ubat tetapi dengan syarat langkah yang sepatutnya diambil adalah dipatuhi. Tetapi jika langkah penyembuhan tidak diambil, perkara yang sebaliknya akan berlaku, pesakit boleh tiba-tiba di suatu hari muntah berdarah dan perlu dibedah untuk mengikat semula dinding perut yang telah pecah. Keadaan ini biasanya amat serius dan boleh membawa maut. Oleh itu, langkah pencegahan adalah lebih baik dari merawat.

Semoga informasi ini bermanafaat untuk semua.

Jumpa lagi. Insya-Allah.

Sunday, February 20, 2011

Aiman selamat berkhatan

Alhamdulillah, Aiman sudah selamat berkhatan pada 31 Januari 2011 yang lepas di Hospital Putarajaya. Aiman masuk wad rawatan harian pada jam 11.00 pagi. Nama doktor yang khatankan Aiman, Doktor Zahari. Berkhatan di hospital, tak sama dengan klinik-klinik swasta. Peraturannya ketat. Walaupun biusnya hanya bius setempat (local anaesthetic), tapi Ibu dan Ayah tidak dibenarkan masuk ke dalam bilik bedah untuk temankan Aiman. Hanya doa dari Ibu dan Ayah panjatkan kepada Ilahi semoga doktor yang khatankan Aiman diberikan fokus semasa bekerja dan melakukan yang terbaik, tidak lalai semasa mengkhatankan Aiman supaya perkara yang tidak diingini tidak berlaku. Pesanan juga tidak lupa Ibu dan Ayah berikan kepada Aiman supaya berzikir dan berselawat sebelum dan semasa proses berkhatan dijalankan. Untuk menenangkan hati Aiman juga, Ayah bagitau rasa sakit dia macam masa kena cabut gigi aje, kalau cabut gigi tahan, maknanya sunat pun boleh. Setakat ini alhamdulillah waktu cabut gigi, Aiman tidak ada sebarang masalah. Doktor Zahari pula cakap kat Aiman rasa macam cubit aje sambil cubit sikit tangan Aiman..:)..

Jam 1.00 tengahari Aiman di panggil masuk ke bilik bedah. Aiman diberikan baju putih yang ada tali ikat ke belakang dan memakai topi putih sebelum masuk ke bilik bedah. Ibu dibenarkan menemani Aiman hingga ke bilik bedah kemudian diarahkan untuk menunggu di luar di bilik menunggu. Sebelum meninggalkan Aiman, ibu cium pipi Aiman. Aiman nampaknya tenang dan tidak menangis. Mulut Aiman tidak henti-henti membaca zikir dan membaca ayat-ayat al-quran yang Aiman hafal.

Ibu dan Ayah menunggu di bilik menunggu sebelah bilik bedah. Kami tidak henti-henti berdoa dan terus berdoa supaya segala proses berkhatan Aiman akan berjalan dengan lancar. Jam 1.45 petang, Aiman belum siap lagi, Ayah ke surau terlebih dahulu untuk menunaikan solat zohor. jam 2.00 petang, ibu dimaklumkan oleh jururawat bertugas, Aiman sudah selamat dikhatankan dan meminta ibu balik ke Wad Rawatan Harian. Bila Ibu sampai ke wad, Aiman sudah berada di atas katil. Ibu bertanya macamana, sakit tak? Aiman cakap 6 kali sakit, mungkin sewaktu doktor cucuk ubat bius. Doktor suruh Aiman baca al-fatihah masa doktor nak cucuk ubat bius. Aiman baca al-fatihah walaupun dalam kesakitan. Bila Ayah datang, Ibu pula turun untuk solat. Aiman dan Ayah ke tandas kerana Aiman rasa mahu buang air kecil. Sebenarnya semasa doktor khatankan Aiman lagi Aiman terasa nak buang air kecil, jadi doktor cepat-cepat siapkan khatankan Aiman. Kalau terkencing kan bahaya pula, infection nanti.

Alhamdulilah selepas hampir 2 minggu, luka khatan Aiman baik sepenuhnya. Memang dalam masa dua minggu terdapat adegan-adegan pujuk memujuk sewaktu nak mencuci waktu pagi-pagi, jenuh juga nak pujuk, sampai kadang-kadang ambil masa 1 jam untuk adegan pujuk dan mencuci. Kalau ikut zaman sekarang, tak perlu lagi sapu antibiotik atau makan antibiotik atau basuh luka dengan flavin. cuma basuh bersih-bersih guna air paip biasa sahaja. Kami basuh luka Aiman dengan guna air suam. Untuk makan, memang Ibu jaga makan Aiman ikut pantang orang Melayu, bukan apa takut betul-betul bernanah, haru nanti. Kalau diri Ibu tidak berapa pantang selepas bersalin Ibu tidak kisah tapi kalau tiba bab anak, Ibu ikut betul-betul sebab kesian takut anak tidak tahan sakit nanti. Untuk ubat, Ibu bagi Aiman makan Gamogen. Ubat paracetamol pula hanya 2 kali sekali Ibu bagi makan, sekali waktu pagi-pagi, kedua waktu sebelum tidur sebab sepanjang seharian di rumah sambil layan main game PS2, Aiman tidak mengadu sakit, jadi kalau tidak sakit tidak perlu bagi paracetamol. Ibu bercuti seminggu untuk jaga Aiman. Lagi seminggu Aiman tinggal di rumah pengasuh, luka sudah agak baik namun tidak betul-betul kering jadi menghalang Aiman untuk pakai seluar, lagipun kelas Aiman di tingkat tiga, jadi Ibu risau kalau tidak baik sepenuhnya, takut-takut ia boleh jadi bengkak kembali. Alhamdulillah, lepas 2 minggu, Aiman sudah dapat pergi ke sekolah seperti biasa. Ibu dan Ayah merasa amat lega kerana salah satu tanggungjawab kami kepada Aiman sudah lepas...:)...

Sebenarnya Ibu dan Ayah tidak merancang untuk khatankan Aiman begitu awal, mengikut perancangan kami, kami akan khatankan Aiman pada hujung tahun 2012, sebelum Aiman masuk darjah 4. Namun, rupanya perancangan Allah adalah sebaliknya. Kami sekeluarga akan menunaikan umrah pada bulan Mei akan datang. Jadi, tokki menasihatkan untuk khatankan Aiman supaya memudahkan proses ibadah kami di tanah suci. Alhamdulillah sekarang ini semuanya sudah selamat. Alhamdulillah...:)...

Tuesday, February 8, 2011

Merenung wajah-wajah tua dengan mata IMAN

Merenung wajah-wajah tua yang sudah berkedut, kudrat yang sudah uzur memberikan perspektif yang berbeza pada mata yang melihat. Ianya boleh dilihat dengan mata kasar, mata nafsu atau mata iman.

Mata kasar ; tidak memberi makna apa-apa sekadar melihat sambil lalu.

Mata nafsu ; tidak mahu menjadi tua seperti itu. Tidak mahu berkedut, tidak mahu sakit dan jikalau boleh mahu kekal muda buat selama-lamanya. Lalu pelbagai cara digunakan untuk menegangkan kulit muka seperti botox,cucuk vitamin c , pembedahan plastic dan sebagainya. Pelbagai ubat-ubatan digunakan kononnya untuk mengekalkan keremajaan kulit. Segala produk kecantikan dan ubat-ubatan untuk melambatkan penuaan akan dicuba dan dimakan. Bagi mereka yang pernah melihat cerita-cerita kuno dinasti cina, pasti teringat tentang kisah dimana seorang raja yang mempunyai ubat yang boleh menjadikannya hidup selama-lamanya dan menjadi rebutan semua orang.

Mata iman ; melihat wajah-wajah tua dan kusam, penuh dengan kedut di muka dengan kudrat yang sudah uzur akan memberikan keinsafan di hati insan yang melihat dengan mata iman. Melihat wajah-wajah tua akan menyebabkan mereka menangis. Mereka menangis bukan kerana takutnya menjadi tua. Mereka menangis kerana sedar dan insaf bahawa apa yang ada di dunia ini semuanya tiada yang kekal abadi. Semuanya adalah sementara. Kecantikan akan hilang, kekuatan akan hilang, kekayaan akan ditinggalkan, kuasa dan pangkat akan ditinggalkan, muda akan tua. Lalu apakah yang lebih utama di dalam kehidupan sementara di muka bumi ini? Mata iman akan menjawab ialah mencari keredhaan Allah dan menjadi hamba Allah yang bertaqwa. Kerana apa? Kerana apa yang dijanjikan Allah iaitu hari akhirat yang kekal abadi adalah pasti, syurga dan neraka adalah pasti. Jika tiada cukup bekalan yang baik yang dibawa dari hidup yang sementara ini balasan neraka adalah pasti dan kekal abadi...Nauzubillah...Lalu apakah gunanya melebih-lebihkan kehidupan dunia yang sementara daripada kehidupan akhirat yang abadi. Bukanlah bermakna melebihkan akhirat dengan meninggalkan seluruh urusan di dunia dan hanya duduk di tikar sejadah semata-mata. Lalu, bagaimanakah cara kita boleh mencapai kejayaan di alam yang kekal abadi itu? Apa yang patut kita buat semasa kehidupan yang sementara di dunia ini?

Jawapannya semua ada di dalam al-Quran, manual hidup seorang muslim yang harus dibaca dan dihayati setiap hari, iaitu:

-Jika dia seorang anak, dia akan menjadi anak yang terbaik, yang sentiasa membahagiakan hati kedua ibu bapanya. Tidak lupa sentiasa berdoa untuk ibubapa samada ibubapa masih hidup ataupun sudah meninggal dunia.

-Jika dia seorang ibu/ayah, dia akan cuba menjadi ibu yang terbaik untuk anak-anaknya dengan mendidik mereka tentang ilmu, mendidik anak menjadi anak soleh dan solehah. Melaksanakan tanggungjawab sebagai ibubapa tanpa rasa keluh kesah. Memasak, menjaga rumahtangga dengan hati yang ikhlas dan tenang.

-Jika dia seorang suami, dia tidak akan berlaku zalim kepada isterinya dan mendidik isterinya dengan baik dan penuh kasih sayang. Melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang suami dengan cara yang terbaik.

-Jika dia seorang isteri, dia akan menjadi seorang isteri yang terbaik untuk suami yang tercinta, taat dan menghormati suami. Melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang isteri dengan cara yang terbaik.

-Jika dia seorang pekerja, dia akan berusaha untuk melakukan yang terbaik di dalam usaha kerjanya tanpa seberang kebencian dan rasa tidak puas hati kepada orang atasan.

-Jika dia seorang kawan, dia akan selalu bercakap bersopan dengan kawan-kawannya tanpa cuba menyakiti hati kawan, tidak akan menabur fitnah dan mengumpat kawannya tanpa jemu. Dia akan menegur rakannya jika rakannya menyimpang dari jalan yang benar. Hasratnya adalah supaya dia dan rakannya akan bersama-sama terselamat daripada seksaan neraka di alam yang kekal abadi.

- dan yang paling UTAMA, dia akan menjadi seorang hamba yang sentiasa bersyukur, mengharapkan rahmat dan kasih sayang daripada ALLAH Yang Maha Esa dengan melakukan ibadah yang diperintahkan oleh Allah dengan rasa khusyuk, ikhlas kerana apa yang paling penting dalam hidup insan ini adalah mendapat kasih sayang, rahmat dan redha daripada Allah. Sesungguhnya tanpa rahmat dan kasih sayang daripada Tuhan Yang Maha Esa sesungguhnya jadilah kita tergolong dalam hamba-hamba yang rugi. Setiap perlakuannya sentiasa merasa diperhatikan oleh Allah dan dengan itu merasa takut untuk melakukan dosa. Mementingkan Allah daripada segala-galanya. Tidak culas untuk bersolat di awal waktu, bersolat sunat, berqiamulail dan sebagainya.

Namun, memang sifatnya manusia kekadang terlupa dan terdengar pujukan dan rayuan nafsu dan syaitan. Jika sudah tersedar dari kesilapan maka beristighfarlah kepada yang Maha Esa untuk mengampuni dosa-dosa kita. Insya-Allah, jika kita memohon ampun dengan hati yang tulus ikhlas, Allah yang pengasih dan penyayang akan mengampuni dosa-dosa kita. Rasullah s.a.w manusia yang maksum juga beristighfar paling kurang 100 kali sehari jadi kita sepatutnya lebih kerap lagi beristighfar. kerana jika kita lalai daripada beristighafar dan memohon ampun daripada Yang Maha Esa, hati kita yang berbuat dosa akan dipenuhi dengan titik-titik hitam. Jika titik hitam sudah memenuhi hati kita, hati kita menjadi buta. Hati yang buta teramat bahaya kerana sinar kebaikan dan sinar hidayah akan susah menembusi hati kita yang sudah hitam. lalu, jika orang mengajak kita membuat kebaikan, memberi nasihat, hati kita akan mencemuh dan membenci perkara kebaikan lagi. Nauzubillah.....

Dunia ini sementara adalah pasti.

Hidup kita di dunia sudah pasti akan mati.

Akhirat itu pasti.

Syurga dan neraka itu pasti.

Lalu adakah kita mengambil langkah yang sepatutnya untuk perkara yang pasti itu?


p/s :5 perkara yang harus digunakan sepenuhnya sebelum tiba 5 perkara iaitu

Kaya sebelum miskin

Muda sebelum tua

Sihat sebelum sakit

Lapang sebelum sibuk

Hidup sebelum mati



Fikir-fikirkanlah.....Wallahua'alam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...