Showing posts with label aiman. Show all posts
Showing posts with label aiman. Show all posts

Thursday, June 16, 2011

Tunjukkan kasih sayang anda kepada yang tersayang!!!


Saya akui saya masih lagi dalam usaha untuk belajar menjadi seorang ibu yang baik kepada anak-anak saya. Kadang-kadang ada hari yang saya baik dan ada waktu juga hilang kesabaran saya dengan memarahi anak. Namun, satu pelajaran yang saya ingin kongsi dengan kawan-kawan semua. Pelajaran yang mungkin orang lain telah tahu tetapi perkara ini saya pelajari setelah 8 tahun bergelar ibu. Menjadi ibu kepada anak-anak yang kecil dan juga anak-anak yang telah memasuki usia persekolahan memang ada bezanya. Sewaktu anak-anak kecil, kita memang senang sekali untuk memeluk dan mencium mereka. namun apabila mereka sudah bersekolah, mungkin peluk dan cium sudah jarang diberikan. Kita merasakan mereka sudah besar dan tidak perlu dipeluk atau dicium lagi. Namun, sebenarnya sangkaan itu salah. Walaupun anak sudah berusia 7,8 atau 12 tahun atau 18 tahun sekali pun, memeluknya, mengusap rambutnya atau memegang bahunya adalah perlu. Jika boleh setiap hari lakukan perkara ini. Belaian dan kemanjaan ini adalah satu ubat yang amat berkesan di hati anak-anak. Dengan kasih sayang yang ikhlas yang ditunjukkan ini maka kasih sayang antara anak dan kita akan terus dipupuk dan dibajai dan tidak akan layu. Dengan kasih sayang ini juga, akan lebih mudah bagi kita untuk menegur anak, untuk mendidik anak ke arah yang lebih baik. Jika kita marah, pasangkan niat di dalam hati kita bahawa kita marah bukan membenci bukan untuk menghukum namun niatkan dalam hati marah ini adalah untuk mendidik supaya anak kita menjadi anak yang berakhlak, bersopan yang menjadi anak penyejuk mata kita.

Ini bukan cerita rekaan. Saya telah alaminya sendiri. Jika saya bersikap marah-marah, Aiman seperti akan memberontak, akan marah-marah juga dan kurang kemesraan dengan saya. Segala nasihat yang baik juga sukar lagi untuk didengari olehnya. Tetapi sekarang saya mengambil langkah seperti di atas. Memeluknya sekali-sekala, mengusap rambutnya setiap hari selepas dia bersalaman dengan saya sebelum saya bekerja dan memeluk bahunya jika dia bersedih. Nampaknya Aiman lebih ceria dan lebih mudah untuk mendengar nasihat yang saya berikan. Bila anak ceria dan mendengar nasihat, hati kita sendiri pun turut akan merasa gembira dan ceria. Alhamdulillah....

Semoga saya dipermudahkan oleh Allah untuk terus mendidik anak-anak saya ke arah jalan yang diredhai oleh Allah dan semoga kami akan bersama-sama berkumpul kembali ke dalam syurga....Amin...

Wallahua’lam....

Tuesday, June 14, 2011

What a cute conversation!

Dialog ni berlaku petang semalam, 13 Jun 2011 (Lepas sebulan balik umrah)...rindu kami anak beranak yang tak pernah padam...:)

Aiman: Aiman nak pergi lagi Mekah, seronok sebab kat sana Aiman senang nak bangun subuh...

Aqilah : Aqilah nak tengok Kaabah

Ibu : Boleh, nanti 3 tahun kita pergi lagi, tunggu adik besar lagi sikit

Aqilah : Aqilah nak pergi lagi...(masih tak faham, macam boleh pergi esok lagi, sambil buat muka sedih)

Aiman : Boleh nak pergi lagi tapi kena kumpul duit dulu, duit dah habis pergi hari tu...

Aqilah : Aqilah nak tengok Kaabah...

Sunday, June 12, 2011

Aiman nak bela kucing atau arnab


Dalam 2-3 minggu ini, Aiman menyatakan keinginannya untuk membela kucing atau arnab. Dia nak jaga, belai dan sayang binatang-binatang ini. Memang nampaknya dia sayang dengan haiwan. Kalau balik rumah Tokwan dan Tokki kat Kemaman ada kucing. Seronok Aiman dan Aqilah main kucing. Gosok-gosok kucing. Bagi kucing makan. Kucing kat kampung pulak amat manja sekali. Jiran rumah pengasuh Aiman dan Aqilah pulak ada bela arnab. Kadang-kadang mereka pergi main-main dengan arnab ni. Mmmm....Nak bela kucing kat bandar ni agak mencabar. Tak seperti di kampung. Sebab kita bekerja. Siapa nak jaga kucing waktu kita pergi kerja. Macam saya yang tiada pembantu rumah ni memang masalah. Nak letak kucing dalam sangkar rasa macam menyeksa binatang pulak. Kesian kucing tiada kebebasan. Nanti berdosa pulak kan. Bagi ayahaiman pulak, dia tak gemar bela kucing sebab masalah bulu kucing. Bertambah lagi dengan keadaannya yang ada asthma. Lagi satu, kata ayahaiman, kadang-kadang kucing ini sakit perut, dia boleh muntah dan berak-berak. Kalau jadi macam tu, siapa yang akan bersihkan? Nak taknak nanti dia jugak yang jadi mangsa, macam ayah dia dulu-dulu...hehe...adik ayahaiman suka bela kucing tapi bila kucing berak-berak, mak dia tak sanggup nak basuh, jadi ayahnya yang jadi mangsa. Nak bela arnab pulak, kami takde pengalaman nak bela arnab. Kesian jugak kalau arnab dikurung dalam sangkar yang kecil. Rumah kami kecil sahaja tiada halaman, jadi kalau nak ada sangkar arnab pun yang sangkar kecil tu aje. Mmm...kesian jugak jadi budak bandar ni ye...sebenarnya bela binatang kesayangan ini ada faedahnya. Kanak-kanak seusia Aiman ini mungkin secara semulajadi, Allah anugerahkan ingin menyayangi sesuatu. Jadi, dengan membela binatang kesayangan ini, rasa kasih sayang mereka dapat disalurkan kepada binatang kesayangan tersebut. Di samping membela binatang kesayangan ini satu terapi untuk menghilangkan tekanan dalam diri mereka. Dengan membela binatang kesayangan juga boleh memupuk sifat berdisiplin dan bertanggungjawab kerana mereka ada tugas bagi memastikan binatang kesayangan mereka bersih dan sihat. Macamana nak buat ye nak selesaikan masalah ini. Kesian kat anak tapi banyak halangan. Kawan-kawan ada cadangan tak?

**Semalam kami ke Jusco, tengok ada satu akuriam yang ada ikan nemo, batu karang dan starfish, cantik. Harganya satu set dalam RM500+. Tapi Aiman tak nak pulak sebab dia cakap ikan tak boleh nak dipegang-pegang macam kucing atau arnab...Mmmm....

Monday, April 25, 2011

Ibu suke...:)

Tujuan post ini bukan untuk menunjuk-nunjuk (Ya Allah peliharalah hambaMu ini dari bersifat sedemikian).Sekadar perkongsian dengan semua agar kita sentiasa memandu anak-anak kita untuk berfikir tentang alam sekitar, tentang tingkah laku orang di sekeliling mereka dengan berpandukan acuan daripada al-Quran. Saya dan suami sentiasa berusaha memberi tazkirah kepada Aiman dengan perkataan yang mudah. Sebenarnya tazkirah ini bukan sahaja untuk Aiman namun sebagai peringatan kepada kami juga sebagai hamba Allah, supaya kami tidak terus lalai dari tanggungjawab sebagai hamba Allah dan tanggungjawab sebagai ibu bapa dalam mendidik anak-anak. Jika kita tersilap langkah, anak-anak juga boleh mengingatkan kita kembali. Semoga kita tidak akan jemu dalam usaha mendidik anak-anak kita menjadi anak-anak yang soleh/solehah. Usaha ini hendaklah berterusan...Insya-Allah.

Antara dialog Aiman yang Ibu suke...:)

Cerita 1 :
Pada hari Sabtu yang lepas, kami ke Pesta Buku di PWTC. Kami terjumpabeberapa buah buku yang sesuai untuk Aiman. Buku-buku sains berkenaan angkasa, alam sekitar dan bumi (Aiman memang sukakan sains). Apabila membelek buku tersebut, terdapat penerangan mengenai pencemaran dan bagaimana pencemaran berlaku. Suami saya menerangkan lebih lanjut mengenai perkara itu kepada Aiman. Dalam perjalanan pulang, Aiman berbisik kepada saya:

Aiman: Ibu, Aiman rasa kan kerajaan sekarang ni diorang tak sembahyang dan baca al-Quran.

Ibu : Kenapa Aiman fikir macam tu?

Aiman : Sebab kalau mereka sembahyang dan baca al-Quran tentu mereka tak musnahkan alam sekitar untuk pembangunan.

Cerita 2 :
Aiman : Ibu, bila Aiman rasa sedih, dan Ibu pegang dan tepuk bahu Aiman, Aiman rasa lembut aje...rasa best dan hilang rasa sedih.

Jadi, jika anak anda sedang sedih, jangan berlengah untuk tenangkan mereka. Tindakan anda yang sedikit memberi kelegaan yang besar kepada mereka. Ini pengakuan ikhlas dari anak saya yang berumur 8 tahun...:)

Cerita 3 :
Ini reaksi Aiman bila tengok perempuan yang berpakaian seksi/tidak menutup aurat.

Aiman : Aiman rasa tentu orang ini tak sembahyang sebab kalau dia sembahyang tentu dia rasa malu dengan Allah untuk pakai macam itu.

Cerita 4:
Kami ke Jalan TAR untuk mencari tudung putih untuk Aqilah untuk dipakai sewaktu mengerjakan umrah nanti. Sewaktu tercari-cari tudung itu, terdapat seorang pondan yang menjaga salah sebuah kedai menjual tudung. Apabila mendengar suara pondan tersebut Aiman terus berlalu dari kedai tersebut dengan pantas.

Ibu : Macamana Aiman tahu dia lelaki?

Aiman : Dengar suara dia macam lelaki tetapi dia berlakon jadi perempuan. Tak baik kan macam tu kan Ibu. Allah marah kan Ibu.

Cerita 5:
Sewaktu berjalan di Jalan TAR kelihatan seorang buta menjual tisu. Aiman meminta wang daripada kami untuk bersedekah kepadanya (memang sejak dari kecil lagi, suami saya selalu mengajar Aiman bersedekah dengan menghulurkan wang apabila nampak mereka yang kurang upaya)

Aiman: Ibu, Aiman yang bagi duit pada mereka pun dapat pahala jugak kan Ibu (Aiman bertanya sebab dia sedar bahawa duit itu daripada kami bukan duit Aiman)

Ibu : Tentulah sayang, Aiman pun akan dapat pahala juga.

Aiman tersenyum gembira apabila mendengarnya...:)

Monday, April 18, 2011

It's your birthday and it's our anniversary!!!


16.4.2011: Anak bujang saya, Aiman genap 8 tahun. Tahun ini kami takde buat majlis. Biasanya sejak dari umur Aiman 3 tahun hingga 7 tahun, kami akan buat majlis kecil-kecilan untuk birthday boy. Tahun ini sebab ibu sibuk untuk persediaan mengerjakan umrah, jadi kami sambut birthday Aiman berempat. Pagi-pagi lepas breakfast, kami ke Alamanda bawa Aiman ke Toy r Us, bagi peluang kat Aiman untuk pilih sendiri hadiah yang dia suka. Pilihan hadiah Aiman adalah Monopoly World. Seronok sangat nak main monopoly sekarang ni, sampai malam pun nak main monopoly lagi...kat internet dan android pun search game online monopoly. Lepas pilih hadiah, kami singgah sekejap makan aiskrim kat Baskin n Robin..Alamak, teramatlah manisnya aiskrimnya. Akhirnya, ayah jugak yang terpaksa habiskan aiskrim Aiman dan Aqilah, ibu tak larat habiskan sebab terlampau MANIS!!!...Petangnya kami berempat ke Secret Recipe, beli sepotong kek Chocolate Indulgence untuk Aiman tiup lilin dan potong. Pastu orderlah makanan yang lain untuk makan; ayah makan fish and chips, Aiman makan spaghetti meatball dan ibu rice and grilled beef dan satu set popia, Aqilah kongsi makan sama-sama. Rupanya kalau makan RM40 dan ke atas dapat satu potong lagi kek percuma, so dapatlah satu kek percuma balik rumah. Gambar-gambar masih dalam kamera, belum dapat upload. Kesimpulannya, walaupun tak ada majlis tahun ini, sambutan birthday Aiman tetap BEST!!!

19.4.2011 ; Hari ini genap ulangtahun perkahwinan kami yang ke-9. Sedar tak sedar dah hampir satu dekad kami hidup bersama. Banyak asam garam yang dilalui sepanjang tempoh itu. Ada masa pernah bergaduh juga, merajuk pun pernah, bermasam muka pun pernah. Kenangan paling tak lupa, masa saya houseman dan on-call dan still breastfeeding Aiman, angkut sekali Aiman masa on-call. Saya bertuah kerana ada seorang suami yang memahami dan sanggup berkorban, sama-sama jaga anak. Ada kelebihan dan juga kekurangan masing-masing. Namun, semua itu mematangkan diri kami masing-masing dalam melayari alam perkahwinan. Saya sentiasa berdoa agar perkahwinan kami sentiasa diberkati Allah dan berkekalan hingga ke syurga....Insya-Allah

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...