Showing posts with label keluarga. Show all posts
Showing posts with label keluarga. Show all posts

Monday, July 4, 2011

Puisi buat Puteriku Aqilah menjelang 3 tahun (6 Julai 2011)

Diam tak diam, puteriku sudah hampir 3 tahun usianya

Makin pandai tingkah lakumu

Makin petah percakapanmu

Ada sahaja yang ingin dibualkan denganku setiap hari

Bersifat penyayang dan pandai mengambil hati

"Sayang Ibu" selalu kau ucapkan

Jika diriku bermasam muka, geram dengan tingkahmu

Kau segera berkata "Senyum la Ibu", membuatkan marahku hilang

Jika diriku memarahi dirimu

Kau akan bertanyakan "Ibu marah?"

Jika jawapanku "Ya", maka tangismu dan sedu sedanmu akan kedengaran

Dengan suara sayu dikau akan berkata "Sorry Ibu, peluk lar Aqilah"

Segera mencairkan hatiku, mematikan marahku

Pandai memuji juga kepandaianmu

"Cantik la baju Ibu hari ini, pandai la Ibu masak"

Telatahmu mencuit hati Ibu

Amat pandai memilih pakaian yang digemari

Hanya ingin memakai pakaian kegemaranmu

Pakaian gaun tidak kau gemari

Baju berlengan panjang dengan karektor power puff girl dan princess paling kau gemari

Warna pink paling digemari

Pakaian tidak berlengan tidak digemari

Pandai cakap baju itu seksi dan tak malu, nampak ketiak...:)

Bertanya Ibu kenapa Ibu pakai stokin

Ibu menjawab, sebab perempuan kena tutup aurat

Aurat perempuan kena tutup kecuali muka dan tapak tangan

Walau pemahaman darimu pada usia ini tidak berapa Ibu harapkan

Namun Ibu tetap memberitahu perkara yang benar

Semoga ia meresap dalam dirimu, sayang

Pabila mendengar jawapan Ibu

Terus dirimu meminta dipakaikan stokin dan tudung

Dirimu berkata “Aqilah juga nak tutup aurat”

Kelakuanmu menyebut aurat di usia ini, kekadang mencuit hati Ibu dan Ayah

Walau dirimu memakainya hanya beberapa jam

Namun, kami doakan semoga apabila besar nanti dirimu akan lebih mudah mengamalkan cara hidup wanita Islam

Masih juga seperti kanak-kanak perempuan yang lain

Dirimu amat suka main masak-masak

Mandi berkali-kali dalam sehari amat disukai, sukakan kebersihan

Amat sensitif dengan bau busuk

Sebagai hadiah hari lahirnya yang ketiga kami belikan patung mainan yang boleh bergerak dan ketawa

Hadiah ini telah kau pinta bebarapa bulan sebelum hari lahirmu...:)

Kadang temper tantrummu menjadi juga

Boleh digigitnya Ibu atau Along Aiman jika tidak berpuas hati

Boleh ditamparnya Ayah jika dirimu sudah mengamuk

Mencabar kesabaran kami bertiga

Ujian Allah agaknya untuk mendidik kami menjadi insan yang lebih bersabar

Dirimu suka melihat awan sewaktu menaiki kereta

“Ibu, cantikkan awan, Ibu?”

“Ibu, siapa jadikan awan”bertanya diriku seperti seorang guru bertanyakan muridnya

“Allah”

“Allah” mengulang jawapanku untuk mengiakannya jawapanku

Sedari dulu ku ulang-ulang pertanyaan itu kepada dirimu

Sekarang gilirannya untuk bertanya kembali pada diriku..seolah menguji kepintaranku..:)

Ibu menyambung “Hebat tak Allah”

“Hebat” pantas jawapan diberikan

Di kala kegelapan malam

Terlihat bulan dan bintang di langit

“Cantikkan Ibu, bulan dan bintang”

“Cantik”

“Siapa jadikan bulan dan bintang”

“Allah” balasmu

Kadang-kadang sewaktu diriku berwuduk sebelum bersolat

Dirimu juga akan sama-sama berwuduk

Sudah pandai berwuduk membasuh muka, lengan, rambut dan kaki

Dan bersolat bersamaku walaupun lebih cepat habisnya, hanya satu rakaat...:)

Takbir, rukuk dan sujud dan duduk tahiyat

Meniru diriku yang mengangkat jari telunjuk sewaktu syahadah sewaktu tahiyat

Sambil mulut terkumat kamit seolah-olah membaca apa yang aku baca

Selang 5 hari sebelum hari lahirmu yang ketiga

Sewaktu kita duduk bersantai di dalam kereta

Dirimu tiba-tiba berkata

“Allah nampakkan Aqilah kat sini”

“Ya, sayang”

“Allah Nampak Ibu juga kan”

“Ya, sayang”

“Allah sayang Aqilah kan”

“Ya, sayang”

“Allah sayang Ibu kan”

“Ya, sayang”

Dirinya tersenyum bila jawapan tersebut diberikan

Seolah-olah puas bila dirimu dan diriku disayangi oleh Allah

Kadang-kadang tidak terfikir olehku, soalan itu dilontarkan oleh dirimu yang baru melangkah ke usia 3 tahun

Ibu bertanya padamu, "Aqilah sayang Allah"

"Sayang"

"Aqilah sayang Ibu"

"Sayang"

"Sayang Ibu, Ayah, Abang"

Tampak ikhlas dirimu memberikan jawapan

Setiap hari Ibu dan Ayah berdoa

Semoga Along dan Aqilah menjadi anak-anak yang soleh dan solehah

Menjadi penyejuk mata kami

"Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan kami dan anak-anak kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa” (surah al-Furqaan ayat 74)

Selamat hari lahir ke-3 sayang...

Semoga Allah memudahkan diriku untuk mendidik dirimu

Untuk menjadi wanita solehah

Hiasan dunia yang paling cantik ..... AMIN...

Wednesday, June 29, 2011

Hargai orang yang kita sayang

Semalam saya melayari WebMD. Saya memang suka baca artikel-artikel perubatan di sini kerana ia dapat mengemaskini (update) pengetahuan saya di dalam bidang perubatan. Bidang perubatan sepertimana bidang-bidang yang lain juga berkembang setiap hari. Jadi, amat malang jika kita masih lagi berada di takuk lama dan tidak memperbaharui pengetahuan kita...

Ok, semalam saya melihat satu tajuk yang menarik perhatian saya di WebMD “The best age to be have a baby”. Mengikut pengetahuan saya yang lalu, umur yang terbaik untuk hamil bagi wanita adalah sebelum umur 35 tahun. Banyak sebab mengapa pakar-pakar perubatan menyarankan perkara ini. Namun saya tidak menolak fakta bahawa terdapat wanitayang boleh lagi mengandung selepas umur 35 tahun namun mengandung di usia tersebut mempunyai risiko kesihatan kepada ibu dan juga bayi yang dikandung. Mungkin, ada yang mencebik mengatakan bahawa ada juga orang yang mengandung selepas umur 35 tahun namun tiada masalah. Saya tidak membangkang. Itu semua memang kuasa Allah Yang Maha Esa, namun banyak kajian dijalankan oleh pakar perubatan bahawa ibu yang mengandung selepas umur 35 tahun mempunyai risiko kesihatan seperti darah tinggi dan kencing manis berbanding mereka yang lebih muda.

Berbalik kepada apa yang saya baca di WebMD semalam. Saya menyangka ada ilmu yang baru berkenaan perkara ini. Mana tahu terdapat kajian baru mengenai umur terbaik untuk mengandung. Namun apa yang di paparkan adalah mengenai pengalaman beberapa orang ibu di negara barat menceritakan kisah kali pertama mereka hamil. Umur mereka sewaktu mereka pertama kali hamil dan pandangan mereka bilakah umur yang paling sesuai untuk hamil. Apabila membaca kisah-kisah mereka, saya merasakan betapa bertuahnya diri saya kini...Masya-Allah...kisah-kisah hidup mereka benar-benar menginsafkan diri ini. Diri ini telah dikurniakan nikmat yang paling agung iaitu nikmat Iman dan Islam. Diri ini menganut agama yang benar dan dapat dijadikan panduan hidup. Tidak tersasar sebagaimana orang-orang barat yang kebanyakkannya tidak lagi beragama. Mereka hidup secara sekular iaitu memisahkan agama dari kehidupan seharian kerana agama mereka yang tidak benar itu tidak lagi dapat menyelesaikan masalah mereka.

Di samping nikmat iman dan Islam yang Allah kurniakan kepada diri saya, Allah juga telah mengurniakan nikmat hidup berkeluarga kepada diri saya. Mempunyai anak dan suami. Tidak dinafikan kadangkala terdapat perselisihan faham dalam hidup berkeluarga. Namun, saya masih ada tempat bergantung iaitu suami yang baik dan juga tempat untuk menumpahkan kasih sayang kepada suami dan anak-anak. Fitrah sebagai manusia ini telah Allah kurniakan kepada diri saya, Alhamdulillah...bila membaca kisah-kisah mereka yang tidak bernasib baik, tidak mendapat nikmat yang memenuhi fitrah manusia, kita akan insaf dan tersedar kembali. Betapa kadang-kadang kita terlupa untuk mengucapkan terima kasih kepada orang-orang yang kita sayang yang berada di sekeliling kita.

Saya juga merasa amat bersyukur di samping mempunyai keluarga, saya juga mempunyai pekerjaan yang baik. Walaupun saya bekerja namun saya masih boleh lagi berbakti kepada keluarga dan masyarakat secara serentak. Ya Allah betapa besarnya nikmat yang Engkau kurniakan kepada hambaMu ini yang kadang-kadang terlalai dan terleka. Ampunkan hambaMu ini, Ya Allah...

Di sini saya paparkan kisah-kisah mereka, moga-moga ianya menjadi teladan buat diri kita. Benarlah kata-kata bahawa jika kita ingin menghargai nikmat yang Allah kurniakan kepada kita, kita lihat orang yang tidak bernasib baik berbanding dengan kita...

Cerita 1

Shannon, seorang peguam berusia 38 tahun. Beliau telah berkahwin namun perkahwinannya hanya bertahan selama 4 bulan. Selepas setahun hidup sendirian, naluri inginkan seorang anak sebagai penyeri hidup telah membuak-buak dalam dirinya. Jadi dia mengambil keputusan untuk mengandung menggunakan IVF . Teknik IVF ini akan menggunakan ovum daripada Shannon dan sperma dari lelaki yang tidak dikenali. Sperma ini beliau akan dapat dari bank sperma. Beliau menghabiskan wang sebanyak $50,000 untuk merealisasikan kehendaknya untuk mempunayi seorang anak. Beliau sedar cabaran yang akan beliau akan hadapi iaitu membesarkan anak secara bersendirian dan anak ini akan membesar tanpa mengetahui siapa sebenarnya ayahnya.

Masya-Allah, betapa rosaknya sudah system kekeluargaan di Negara barat. Mereka membenarkan seorang wanita mengandung dengan mengambil sperma hanya dari bank sperma. Natijahnya kesian terhadap anak yang akan dilahirkan. Satu kerana tiada bapa. Kedua, langsung tidak mengetahui siapa bapanya. Ketiga, membesar tanpa kasih sayang bapa. Keempat ada kemungkinan akan berkahwin dengan adik beradiknya sendiri apabila telah dewasa...bagi si ibu pula membesarkan anak tanpa suami di sisi juga merupakan satu cabaran yang besar...

Cerita 2

Leslie, seorang editor sebuah syarikat akhbar berusia 40 tahun. Berkahwin sewaktu umur 36 tahun tahun. Sewaktu mula-mula kahwin mereka merasakan tidak mahu mempunyai anak namun lama kelamaan fitrah kemanusiaan datang juga mengetuk hati mereka. maka, dalam usia 40 tahun, barulah Leslie mengandung. Beliau berfikir bahawa di usianya mencecah umur 60 tahun pun dia masih perlu bekerja bagi menyara kos pembelajaran anaknya. Pada waktu yang sama kawan-kawannya sudah menikmati hidup persaraan

Semoga cerita-cerita ini mengingatkan diri kita tentang nikmat yang kita ada sekarang...

Wallahua’lam...

Sunday, June 19, 2011

Sambutan hari bapa di Planetarium...


Semalam kami ke Planetarium. Ayahaiman ajak anak jalan-jalan dan makan-makan sempena Hari Bapa. Ayahaiman, Aiman dan Aqilah pertama kali ke Planetarium. Ibuaiman, kali kedua ke sini, pertama kali dulu-dulu masa zaman sekolah-sekolah dulu masa form2 rasenye...kira-kira 19 tahun yang lalu...kenangan ingat-ingat lupa, yang paling ingat yang tengok movie kat sini kalau tak silap mengenai haiwan...betul ke?

Paling best di Planetarium tengok movienya. Semalam kami tengok movie, Passport to the universe. bayaran kami bertiga hanya RM8 (dua dewasa, satu kanak-kanak). Tayangan lebih kurang 30 minit. Masya-Allah, Subhanallah...banyaknya bintang-bintang ciptaan Allah di alam cakarewala. Bintang-bintang ini bukan beribu-ribu, bukan berjuta-juta tetapi berbilion...Subhanallah. Daripada berbilion-bilion bintang yang dijadikan Allah s.w.t, bumi adalah salah satu daripadanya. Bayangkan bila bumi berada di antara berbilion bintang, bumi hanyalah satu planet yang kecil. Jadi, bayangkan betapa kerdil dan kecilnya diri anda sebagai hamba di bumi ini, sekecil yang berada di atas salah satu planet yang kecil, imagine how tiny you are in a tiny planet....Subhanallah....Melihatkan ini benar-benar menginsafkan diri ini...betapa kerdilnya diri ini, betapa hebatnya kuasa Allah s.w.t....lantas sebab itulah diceritakan di dalam al-Quran tatkala Allah memperlihatkan diriNya menghala ke arah sebuah gunung sewaktu Nabi Musa memohon melihat Allah, gunung tersebut hancur luluh dan Nabi Musa pengsan sewaktu kejadian tersebut....Allah, Ya Allah betapa lemahnya hambaMu ini Ya Allah...Tidak layak untuk hamba-hambaMu ini merasa sombong dan takbur walau sekelumit pun di dalam hati mereka kerana sesungguhnya hambaMu ini hanyalah insan yang lemah, Ya Allah...Tidaklah layak hambaMu ini meninggalkan perintahMu dan membuat apa sahaja yang menjadi laranganMu, Ya Allah...tidaklah layak untuk hambaMu ini mempersoalkan segala apa sahaja undang-undangMu Ya Allah....

"Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan silih bergantinya siang dan malam terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal. (Iaitu) orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka banyak berfikir tentang penciptaan langit dan bumi seraya berkata, “Wahai Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa api neraka.”
(Surah al-Imran ayat 190-191)

Bagus untuk membawa anak-anak ke sini. Di samping menginsafkan diri kita yang kadang-kadang lalai dan lupa, boleh juga menjadi tazkirah untuk mendidik anak-anak kita supaya mengagungkan Allah dan memperkuatkan tauhid di dalam hati mereka. Anak-anak yang mempunyai asas tauhid yang kuat di dalam hati mereka akan memunyai asas yang kukuh mengenai Islam dan tidak akan mudah goyah dengan godaan yang mendatang..Insya-Allah...Awal-awal agama mengenal Allah...

Wallahua'lam...

Thursday, June 16, 2011

Tunjukkan kasih sayang anda kepada yang tersayang!!!


Saya akui saya masih lagi dalam usaha untuk belajar menjadi seorang ibu yang baik kepada anak-anak saya. Kadang-kadang ada hari yang saya baik dan ada waktu juga hilang kesabaran saya dengan memarahi anak. Namun, satu pelajaran yang saya ingin kongsi dengan kawan-kawan semua. Pelajaran yang mungkin orang lain telah tahu tetapi perkara ini saya pelajari setelah 8 tahun bergelar ibu. Menjadi ibu kepada anak-anak yang kecil dan juga anak-anak yang telah memasuki usia persekolahan memang ada bezanya. Sewaktu anak-anak kecil, kita memang senang sekali untuk memeluk dan mencium mereka. namun apabila mereka sudah bersekolah, mungkin peluk dan cium sudah jarang diberikan. Kita merasakan mereka sudah besar dan tidak perlu dipeluk atau dicium lagi. Namun, sebenarnya sangkaan itu salah. Walaupun anak sudah berusia 7,8 atau 12 tahun atau 18 tahun sekali pun, memeluknya, mengusap rambutnya atau memegang bahunya adalah perlu. Jika boleh setiap hari lakukan perkara ini. Belaian dan kemanjaan ini adalah satu ubat yang amat berkesan di hati anak-anak. Dengan kasih sayang yang ikhlas yang ditunjukkan ini maka kasih sayang antara anak dan kita akan terus dipupuk dan dibajai dan tidak akan layu. Dengan kasih sayang ini juga, akan lebih mudah bagi kita untuk menegur anak, untuk mendidik anak ke arah yang lebih baik. Jika kita marah, pasangkan niat di dalam hati kita bahawa kita marah bukan membenci bukan untuk menghukum namun niatkan dalam hati marah ini adalah untuk mendidik supaya anak kita menjadi anak yang berakhlak, bersopan yang menjadi anak penyejuk mata kita.

Ini bukan cerita rekaan. Saya telah alaminya sendiri. Jika saya bersikap marah-marah, Aiman seperti akan memberontak, akan marah-marah juga dan kurang kemesraan dengan saya. Segala nasihat yang baik juga sukar lagi untuk didengari olehnya. Tetapi sekarang saya mengambil langkah seperti di atas. Memeluknya sekali-sekala, mengusap rambutnya setiap hari selepas dia bersalaman dengan saya sebelum saya bekerja dan memeluk bahunya jika dia bersedih. Nampaknya Aiman lebih ceria dan lebih mudah untuk mendengar nasihat yang saya berikan. Bila anak ceria dan mendengar nasihat, hati kita sendiri pun turut akan merasa gembira dan ceria. Alhamdulillah....

Semoga saya dipermudahkan oleh Allah untuk terus mendidik anak-anak saya ke arah jalan yang diredhai oleh Allah dan semoga kami akan bersama-sama berkumpul kembali ke dalam syurga....Amin...

Wallahua’lam....

Wednesday, June 15, 2011

Mana Aqilah?

Kadang-kadang Aqilah suka membelek-belek album lama. Album zaman saya di university, album perkahwinan dan album aiman semasa kecil.

Dan satu pertanyaan yang dia sering tanya : “Ibu, mana Aqilah”

Jikalau saya menjawab begini, “Aqilah belum ada, sayang”

Jawapan itu tidak memuaskan hatinya, dia akan bertanya lagi, “Aqilah kat mana?”(sambil menunjukkan muka yang sedih kerana dia tiada di samping saya di dalam gambar”

Berputar-putar fikiran saya ingin menjawab...Jika menjawab Aqilah masih berada di alam roh, berada di Luh Mahfuz, manalah si kecil ini akan faham. Kalau jawab berada di atas langit, lagilah akan bertambah keliru pula, namun bagi si kecil saya ini, setiap soalannya harus diberi jawapan, dia akan bertanya dan terus bertanya sampai saya berikan jawapan.

Lalu saya menjawab, “Ada ada dalam perut” (bohong sunat)

“Kenapa ada dalam perut, Aqilah tak nak” (sambil tunjuk muka tak puas hati dan merengek kesedihan)

Apa yang patut kita jawab ye kalau anak-anak tanya macam ni?Ada cadangan/pendapat?

Susah betul nak jawab...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...