Sebulan persediaan serba serbi untuk mengerjakan umrah dirasakan begitu cepat berlalu. Sebelum saya, terdapat 2 orang rakan saya telah pergi menunaikan umrah pada waktu yang terdekat iaitu pada bulan Mac dan bulan April. Pengalaman mereka di sana saya jadikan sebagai panduan untuk diri saya di sana nanti. Saya dengan gigih menyediakan tentative jadual kami semasa berada di sana berpandukan maklumat waktu solat daripada rakan saya. Maklumat awal rakan saya, satu jam sebelum masuk waktu solat kita harus berada di masjid kerana tempat solat biasanya akan penuh dan sukar untuk masuk ke masjid. Daripada tentative yang saya sediakan, saya mensasarkan setiap hari untuk kami membuat umrah dan banyak masa akan dihabiskan hanya di masjid. Apabila melihat tentative tersebut, suami saya berkata, ianya terlampau padat, dibimbangi jika anak-anak tidak larat untuk mengikuti jadual tersebut. Saya berkata, Insya-Allah ianya akan dimudahkan oleh Allah. Disebabkan tarikh peperiksaan Aiman adalah beberapa hari selepas kami pulang daripada mengerjakan umrah, maka saya telah bersiap sedia membelikan buku-buku latihan untuk Aiman membuat latihan semasa berada di sana. Namun, benarlah kata orang, kita hanya mampu merancang namun Allah sahaja yang menentukan segala-galanya.
Blog ini memfokuskan mengenai isu-isu perubatan, keibubapaan dan isu-isu semasa yang berkaitan dengan perubatan. Diharapkan para pembaca dapat memberi komen atau reaksi bagi mengetahui kualiti entry saya, semoga apa yang dipaparkan dapat memberikan manfaat kepada pembaca...Terima kasih
Thursday, June 9, 2011
Wednesday, June 8, 2011
Travelog Umrah bersama anak -Bab 5: Persediaan mengerjakan umrah; rohani, ilmu, emosi dan fizikal
Bab 5 – Persediaan mengerjakan umrah; rohani, ilmu, emosi dan fizikal
Persediaan ilmu
Surat daripada pihak Andalusia menyatakan bahawa tarikh untuk menghadiri kursus umrah adalah satu bulan sebelum bertolak. Saya menelefon bertanyakan bolehkah hadir lebih awal, jawapannya boleh, cuma pihak agen bimbang jika hadir terlalu awal, bimbang ilmu yang dapat akan lupa. Berapa kali harus hadir kursus umrah? Beberapa kali pun boleh kerana setiap sesi, pengisian yang diberikan adalah sama sahaja. Sebelum menghadiri kursus, saya dan suamai telah terlebih dahulu membaca buku panduan yang dibekalkan oleh pihak Andalusia. Saya kira saya terlebih advance daripada suami kerana telah hadir kursus haji dan umrah yang dianjurkan oleh kerajaan tempohari. Secara kesimpulan, mengerjakan ibadah umrah adalah amat mudah kerana ianya terdiri daripada 5 rukun iaitu, niat, tawaf, saie, bercukur (tahallul) dan juga tertib. Ibadah haji adalah lebih rumit kerana terdapat tambahan wukuf di arafah dan juga melontar di 3 Jamrah. Ihram haji juga adalah lebih panjang daripada ihram umrah. Seorang yang mengerjakan ibadat umrah hanya berada dalam ihram dalam beberapa jam sahaja manakala ibadah haji memakan masa berhari-hari, dan ada yang memakan masa berminggu-minggu (bergantung kepada jenis haji yang dijalankan. Adalah dinasihatkan supaya kita membaca buku panduan terlebih dahulu sebelum mengikuti kursus kerana ianya memberi gambaran awal kepada kita bagaimana ibadah umrah dijalankan. Semasa mengikuti kursus hanya tambahan ilmu yang tiada dalam buku dan penerangan lebih lanjut. Jika kita langsung tidak membaca buku panduan kemudian menghadiri kursus, soalan-soalan yang telah terjawab di dalam buku,kita akan bertanyakan lagi kepada penceramah dan mengambil masa peserta lain bagi penceramah untuk terangkan lagi lanjut kepada kita. Keadaan ini sepatutnya tidak berlaku. Ini kerana ianya akan menimbulkan rasa tidak puas hati peserta lain.
Pada kali pertama menghadiri kursus, kami pergi pada hari Ahad, ceramah disampaikan oleh Ustaz Daud Che Ngah. Pada minggu seterusnya, kami pergi pada hari Sabtu pula, ceramah disampaikan oleh abang kepada Ustaz Daud. Jadi, ada sedikit perbezaan penyampaian dan ilmu yang tiada dalam buku yang disampaikan juga ada tambahan. Pada kali ketiga, kami hadir pada hari Ahad, dan ternyata pengisiannya memang sama dengan hari Ahad yang lepas. Jadi, memang benar apa yang disampaikan oleh kakitangannya bahawa setiap minggu akan diulang ilmu yang sama. Jadi, pada kali ketiga kami tidak mengikuti kursus sehingga akhir.
Satu perkara yang mungkin tidak dinyatakan di dalam buku-buku panduan namun harus diberikan perhatian adalah berkaitan dengan hutang. Bukan sahaja hutang dengan manusia perlu diselesaikan malah hutang dengan Allah juga harus diselesaikan seperti hutang meninggalkan sembahyang atau puasa samada puasa wajib atau puasa nazar. Perkara ini saya dapat tahu semasa menghadiri ceramah. Disebabkan tidak punay waktu yang banyak, saya terpaksa mengganti puasa setiap hari sebelum saya bertolak mengerjakan umrah. Walaupun dirasakan berat, namun saya kuatkan hati untuk menggantikannya supaya diri saya tiada lagi hutang dengan Allah sewaktu menjadi tetamu Allah. Semoga dengan itu, ibadah umrah saya akan dinilai dan diberikan pahala oleh Allah s.w.t.
Di samping menjelaskan hutang, solat diawal waktu juga harus dijaga. Banyakkan solat sunat sebelum dan selepas sembahyang fardhu. Sembahyang tahajud juga jika boleh diamalkan. Ini adalah persediaan awal yang perlu kita buat supaya hati kita lebih bersih sebelum berangkat menunaikan umrah dan mudah-mudahan ibadah umrah kita diterima oleh Allah, Insya-Allah.
Persediaan emosi
Cabaran pertama saya bermula apabila membawa anak-anak bersama menghadiri kursus umrah. Saya memang tidak mempunyai pembantu rumah. Pengasuh anak saya pula setiap hujung minggu akan pulang ke rumah ibunya di Gombak. Mahu tidak mahu kami terpaksa membawa anak bersama-sama menghadiri kursus. Sebagaimana kanak-kanak lain, Aiman dan Aqilah resah dan agak membuat perangai dalam masa 2-3 jam program kursus tersebut. Bagi diri Aqilah, dia akan mengajak kami meninggalkan kursus untuk diajak berjalan-jalan. Bagi Aiman pula, bosan menunggu, kadang-kala bermain game di telefon suami. Kadang-kadang mengacau adik apabila dirinya sudah bosan. Memang mereka tidak boleh disalahkan. Anak-anak tidak faham apa yang disampaikan. Lagi pula masa yang diambil berjam-jam. Jadi, mahu tidak mahu kami hanya bersabar dan melayan karenah mereka semampunya. Aiman juga diingatkan oleh ayahnya bahawa ini adalah salah satu latihan sebelum pergi Mekah. Satu latihan untuk Aiman belajar untuk tidak bosan.
Namun, saya yakin Allah pasti menolong saya. Setiap kali selesai solat, saya akan panjatkan doa supaya Allah kurniaan kekuatan rohani, emosi dan fizikal kepada saya, suami dan anak-anak sewaktu kami mengerjakan umrah. Doa juga saya panjatkan supaya anak-anak saya diberikan kegembiraan dan rasa seronok sewaktu berada di Mekah dan juga Madinah. Setiap hari saya panjatkan doa tersebut.
Persediaan fizikal
Kami membeli keperluan umrah sebulan sebelum berangkat. Setiap minggu saya siapkan senarai barang-barang yng perlu dibeli. Setiap hujung minggu kami penuh dengan aktiviti menghadiri kursus dan membeli barang-barang keperluan umrah. Dalam membeli barang-barang keperluan umrah, saya sedaya mungkin membeli secara bijak. Berbelanja mengikut kemampuan diri. Bagi saya jika kita mampu membeli telekung sembahyang berharga RM500, silakan namun jika berlebih-lebihan dibimbangi membazir dan mungkin juga takut-takut timbul riak kerana memakai telekung sembahyang yang mahal dan cantik berbanding orang yang lain. Jadi, kami membeli seadanya. Baju-baju juga kami membawa baju-baju kami dan baju-baju anak yang sedia ada. Hanya tambahan sehelai dua baju baru untuk di bawa ke sana. Begitu juga bagi kain ihram, telekung sembahyang, stoking, sarung tangan, selipar/kasut baru yang dibeli, kami membeli yang pada harga mampu milik dan berpatutan. Satu bahan yang saya rasa penting juga untk dibawa adalah losyen untuk kaki yang tidak berbau (kerana semasa dalam ihram dilarang menggunakan bahan-bahan yang berbau). Ianya dipakai untuk mengelakkan tumit kaki pecah atau memulihkan tumit kaki pecah. Terdapat satu losyen kaki jenis tidak berbau dijual oleh Andalusia. Ianya ternyata bagus untuk memulihkan tumit kaki yang pecah.
Tuesday, June 7, 2011
Travelog Umrah bersama anak -Bab 4: Permulaan perjalanan mengerjakan umrah
Bab 4 – Permulaan perjalanan mengerjakan umrah
Pada akhir tahun 2010, saya mencari agensi yang menawarkan pakej-pakej umrah. Saya mencari pakej yang menawarkan harga yang berpatutan dan sasaran saya adalah pada musim cuti sekolah bulan 12. Namun, kebanyakan pakej musim cuti sekolah adalah lebih tinggi daripada bulan-bulan yang lain. Ada sesetengah syarikat juga tidak menawarkan pakej umrah pada bulan 12 kerana visa pada bulan tersebut adalah terhad dan ianya dikenali sebagai pakej umrah ziarah. Pada waktu itu, saya belum memahami apa yang dimaksudkan tentang pakej umrah ziarah. Disebabkan harga yang mahal dan tempat yang terhad, saya menyasarkan untuk menunaikan umrah pada tahun 2011. Saya tertarik dengan pakej yang ditawarkan oleh seorang ustaz di dalam blognya, harganya amat berpatutan walaupun pada musim cuti sekolah bulan 3. Namun, sedikit kesulitan pada diri saya mengenai pakej ini, ceramah mengenai umrah diadakan di Seremban, agak jauh untuk saya dan keluarga menghadiri sesi ceramah berkenaan. Jadi, saya membatalkan hasrat untuk mengambil pakej tersebut. Syarikat yang paling terkenal di Selangor dan Wilayah Persekutuan adalah Syarikat Andalausia. Seorang kawan saya menyarankan saya mengambil pakej Andalusia kerana isterinya pernah mengikuti pakej ini dan ternyata baik. Apabila saya melayari website Andalusia dan mencari pakej yang berpatutan, saya mendapati pakej musim cuti sekolah bulan 3 telah habis dijual dan pakej musim cuti sekolah bulan 6 ternyata agak tinggi. Tarikh yang masih available adalah bermula bulan 5. Ceramah syarikat ini juga mudah untuk kami hadiri iaitu hanya di Taman Maluri Cheras dan ianya diadakan pada setiap hujung minggu iaitu Sabtu dan Ajhad bermula 9.00 pagi hingga 1.00 tengahhari. Setelah berbincang dengan suami dan melihat kalendar, kami bersetuju untuk mengambil pakej umrah Andalusia bertarikh 1-12 Mei 2011 memandangkan terdapat cuti kelepasan am pada waktu tersebut dan suami tidak perlu mengambil cuti yang lama. Syarikat suami saya hanya memperuntukkan cuti sebanyak 15 hari setahun. Setelah bersetuju, saya booking tarikh tersebut melalui online. Daftar nama saya, suami, Aiman dan Aqilah. Setelah mendaftar secara online, saya menghubungi syarikat tersebut. Dinyatakan setiap seorang perlu membayar deposit sebanyak RM300 seorang. Suami saya membayar deposit tersebut secara online juga melalui Maybank2U. Alhamdulilah tahap pertama kami mendaftar telah selesai. Setelah beberapa minggu mendaftar, kami menerima resit bayaran daripada pihak Andalusia. Bag-bag pakaian untuk menunaikan umrah dan buku panduan mengerjakan umrah juga kami terima beberapa minggu selepas mendaftar. Hanya doa kami panjatkan kepad Ilahi supaya memudahkan urusan kami untuk mengerjakan umrah pada tahun ini.
Monday, June 6, 2011
Travelog Umrah bersama anak -Bab 3: Perniagaan buku agama secara online
Pada tahun 2010, saya dan suami memulakan perniagaan buku online secara kecil-kecilan sebagai menyambung minat kami membaca buku. Antara buku yang saya suka ialah Buku Biografi Muhammad bin Abdullah keluaran PTS dan buku Imam As-Syafie. Membaca buku-buku ini membuahkan rindu yang membuak-buak kepada Rasulullah s.a.w. Rindu kepada orang yang tidak pernah bertemu. Ianya sesuatu perasaan rindu yang amat ajaib. Hinggakan jika terbaca buku cerita kanak-kanak (yang dibaca oleh Aiman) mengenai kebaikan hati Rasulullah kepada kanak-kanak, kepada para sahabat, tutur kata Rasulullah, akhlak Rasulullah amat membuatkan hati ini tersentuh dan boleh membuat diri saya sebak dan menangis. Jika terdengar nasyid berkenaan Rasulullah juga boleh membuatkan saya menangis. Sejak menjual buku-buku agama secara online juga, makin banyak buku-buku agama yang dibaca oleh suami saya. Alhamdulillah, banyak perubahan ke arah kebaikan saya lihat berlaku pada diri suami saya. Jika sebelum ini, sembahyang berjemaah di surau kadang pergi dan kadang tidak, sekarang Alhamdulillah waktu Maghrib dan Isyak memang wajib pergi. Jika pada hari minggu kesemua 5 waktu sembahyang suami akan berjemaah ke surau. Melihat perubahan ini, saya menyatakan kembali hasrat untuk menunaikan umrah. Alhamdulillah kali ini suami bersetuju. Itulah kuasa Allah Taala. Hanya Dia Yang Maha Berkuasa dan dapat membolak-balik hati manusia. Suami juga tidak lupa mengajak kedua ibu bapa mertua saya untuk turut serta namun pelawaan ini di tolak atas sebab kesihatan juga.
Sunday, June 5, 2011
Travelog Umrah bersama Anak- Bab 2 : Rezeki tidak terduga
Salah satu isu diperingkat Kementerian Kesihatan Malaysia ialah banyak doktor meletakkan jawatan dan berhijrah ke hospital/klinik-klinik swasta. Ini merupakan kerugian kepada Kementerian Kesihatan Malaysia. Bagi menangani isu ini, Ketua Pengarah Kesihatan telah mengemukakan permohonan untuk menaikkan pangkat mengikut tahun perkhidmatan dan permohonan tersebut diterima oleh kerajaan. Saya salah seorang yang menerima rezeki tersebut pada tahun 2010. Alhamdulillah. Kenaikan pangkat daripada UD44 ke UD48 membawa tangga gaji yang amat berbeza. Sebagai mengucapkan syukur ke hadrat Ilahi, hati ini terdetik untuk menyatakan kesyukuran tersebut dengan cara yang lebih bermakna lagi iaitu ingin segera ke tanahsuci. Mengunjungi Baitullah dan menziarahi Rasulullah s.a.w, Rasul yang amat kita cintai dan rindui. Disebabkan tarikh kelayakan untuk mengerjakan haji adalah masih lambat dan dengan keadaan anak yang masih kecil, saya berpendapat adalah lebih elok untuk saya mengerjakan umrah terlebih dahulu. Kegembiraan anugerah kenaikan pangkat dikongsi dengan kedua ibu bapa saya. Saya menyatakan untuk membawa mereka bersama mengerjakan umrah. Namun, tawaran saya ditolak dengan baik oleh kedua ibu bapa saya. Mereka menolak kerana keadaan ibu saya yang uzur. Ibu telah diserang stroke sejak 10 tahun dahulu dan keadaannya masih tidak pulih sepenuhnya. Ibu masih perlu menggunakan kerusi roda.
Keinginan saya untuk mengerjakan umrah disampaikan kepada suami saya. Pada mulanya suami tidak bersetuju kerana katanya keadaan kewangan yang tidak berapa mengizinkan. Namun, saya cuba meyakinkan beliau bahawa masalah tersebut Insya-Allah dapat ditangani dengan menyimpan. Saya telah membuat perkiraan bahawa jika kami menyimpan dan tidak berboros, Insya-Allah wang memang teramatlah cukup untuk kami pergi mengerjakan umrah di samping membawa anak-anak. Namun, suami masih tidak memberikan persetujuan juga kerana beliau tidak yakin bahawa duit yang disimpan akan mencukupi.