Tuesday, August 24, 2010

info mengenai keguguran (miscarriage)

Sepertimana yang telah kawan-kawan sedia maklum, baru-baru ini saya mengalami keguguran (miscarriage) kandungan. Ini merupakan pengalaman kedua saya mengalami keguguran (miscarriage). Kali pertama sewaktu kandungan kedua iaitu selepas Aiman. Saya menerima dengan redha apa yang telah ditentukan oleh Allah kepada saya. Saya percaya banyak hikmah yang tersembunyi yang telah ditentukan oleh Allah kepada saya. Hanya Allah sahaja Yang Maha Mengetahui atas segala sesuatu. Sebelum saya mengalami keguguran pada kali ini, saya telah mengalami pendarahan selama dua minggu. Pada mulanya setitik sahaja sehari selama seminggu dan kemudian ia bertambah. Namun begitu saya tiada langsung mengalami sakit perut. Waktu mengandung kali ini juga, paling banyak saya membuat ultrasound kerana ingin melihat keadaan bayi saya. Dalam pada itu, saya berserah diri kepada Allah. Semasa mengandung kali inilah, saya paling banyak membaca al-Quran. Mungkin ini satu jalan Allah menguji saya untuk mendekatkan diri saya kepada-Nya. Apabila membaca al-Quran beserta maknanya membuatkan hati saya tabah, kuat dan redha menerima segala ketentuan-Nya. Semasa saya mengalami pendarahan, saya panjatkan doa kepada Allah s.w.t agar Allah kurniakan bayi saya kesihatan yang sempurna dan semoga dia bakal menjadi seorang bakal penyambung lidah nabi. Namun, Allah lebih sayang kepada dirinya. Bayi saya meninggalkan saya sewaktu saya tidur. Saya tidak mengalami sebarang sakit perut semasa bayi saya keluar. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Berkuasa.


Firman Allah s.w.t Surah A-Li ‘Imraan ayat 6

Maksudnya : Dialah yang membentuk rupa kamu dalam rahim (ibu kamu) sebagaimana yang dikehendakiNya. Tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana.

Membaca ayat ini membuatkan saya merasa amat insaf. Betapa lemahnya saya insan yang tidak berupaya terhadap segala-galanya. Nyawa saya dan anak-anak yang ada bersama saya ini hanyalah pinjaman daripadanya dan kita harus bersyukur kepada Allah yang mengurniakannya kepada kita dengan melakukan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang. Sesungguhnya Ya Allah hambaMu ini amatlah lemah dan tidak berupaya Ya Allah.


Jika menurut ilmu perubatan juga sebenarnya tidak diketahui punca sebenar berlakunya keguguran bayi. Dan bagi sesetengah wanita kerap mengalaminya berbanding dengan yang lain namun wanita atau suami tidak mempunyai sebarang risiko. Di situ datangnya keyakinan kita terhadap kuasa Allah seperti ayat-ayat di atas, hanya Allah sahaja yang berkuasa di atas segala-galanya.

Sedikit info mengenai keguguran (miscarriage) mengikut ilmu perubatan (adaptasi daripada baby centre)

Apakah keguguran bayi (miscarriage)

Keguguran adalah kehilangan bayi sebelum minggu ke 24 mengandung. Jika berlaku sebelum 12 minggu ia dikenali sebagai keguguran awal dan selepas minggu ke-12 hingga ke-24, keguguran lewat. Kebiasaanya keguguran adalah berlaku di peringkat awal iaitu sebelum minggu ke-12 mengandung.

Apakah yang menyebabkan keguguran

Kebiasaanya keguguran berlaku adalah disebabkan embrio tidak dapat membesar sepertimana yang sepatutnya. Disebabkan itu para doktor mengandaikan kemungkinan berlaku masalah pada kromosom namun sebab sebenarnya tidaklah dapat diketahui. Punca sesetengah wanita mengalami keguguran lebih kerap berbanding wanita lain juga tidak juga diketahui.

Antara risiko mudah berlakunya keguguran bagi seseorang wanita

1. Umur
Semakin berusia seseorang wanita, semakin besar potensi dirinya untuk mengalami keguguran. Bagi wanita berusia 30-an, kejadian keguguran 1:5 dan bagi umur 42 ke atas 1:2.

2. Masalah kesihatan
i. Obesiti, pesakit diabetes, pesakit thyroid, antiphospholipid syndrome, SLE
ii. Uterus yang tidak normal
iii. Jangkitan toxoplasmosis

3. Cara hidup
Merokok, minum arak dan mengambil dadah.


Tanda-tanda anda mengalami keguguran
1. Pendarahan semasa mengandung
2. Ultrasound mendapati kantung yang kosong
3. Tanda-tanda mengandung semakin hari semakin hilang


Keguguran merupakan satu peristiwa yang akan memberikan kesan emosi kepada ibu yang mengandung terutama kepada mereaka yang kerap mengalami keguguran. Dapatkan sokongan daripada suami, keluarga dan kawan-kawan semasa saat ini. Dan sebagai orang Islam tempat mengadu yang paling baik adalah kepada Allah s.w.t. Berdoalah kepada yang Esa semoga diberikan ketenangan dan ketabahan kepada hati kita bagi menghadapinya. Bacalah ayat-ayat Al-Quran semoga ianya menjadi penawar yang paling mujarab untuk hati kita. Insya-Allah. Wallahua’alam.



3 comments:

Azni said...

Salam Doc,

saya sudah 2 kali mengalami pendarahan yang sedikit (1st selepas bersama suami, dan 2nd selepas mengangkat bebanan 7kg). ujian upt menunjukkan result +ve. tetapi ultrasound mendapati kantung kosong. doc di klinik seperti memberi harapan maybe kandungan is too early sbb tu tk nmpk pape dlm kantung, so kene tunggu selepas 2 minggu. tapi tanda2 keguguran tu macam sgt tepat dengan ape yg saya alami. ape pendapat doc? pernah ke ade kes kantung nmpk kosong pd mulanye tapi kemudian ade baby? atau bile dah scan kosong tu maknenye jgnlah menaruh harapan, means memang kosonglah, takde baby pon. sbb saya masih berharap yg saya hamil even tanda2 keguguran itu jelas. harap bagi pendapat.

tq doc.

ibuaiman said...

Salam Azni,

Sorry sbb lmbt rply...pd pengalaman saya, jika kantung kosong, ada pendarahan dan tanda2 mengandung makin hilang, kemungkinan besar bb sudah xde...jika nmpk janin tp jtg tak nmpk tp tanda mengandung masih ada, mgkn blh letak harapan kerana klu 4-6 mggu pregnant, jtg bb mgkn tak brp nmpk....

Serahkan kpd Allah, setiap apa yg berlaku, pasti ada hikmahnya namun kadang2 akal kita yg terbatas tidak memahaminya.

Wallahua'lam....

Anonymous said...

info yg bermanfaat,,, ini ada 6 hal utama penyebab ibu hamil keguguran,, bisa dibuka di http://udoctor.co.id/tips-gaya-hidup-sehat/6-hal-utama-penyebab-keguguran-ibu-hamil--read-142.html

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...