Sunday, November 7, 2010

IMAM AS-SYAFIE, SAYA KAGUM KEPADA ANDA!!!

Adakah anda pengikut ahli Sunnah wal Jamaah? Jika ya, mazhab mana yang menjadi ikutan anda? Secara umumnya mengikut pengetahuan saya, rakyat Malaysia yang beragama Islam adalah pengikut ahli Sunnah Wal Jamaah dan mengamalkan mazhab as-Syafie. Jadi, adakah anda tahu siapa Imam As-Syafie, imam mazhab anda? Jika tidak, saya merasakan anda perlu mengenali siapa dia Imam As-Syafie kerana anda mengamalkan mazhab yang disarankan oleh beliau. Dengan mengenali Imam ikutan kita, kita akan lebih sayang dan kagum kepada beliau. Kata orang apabila kenal barulah benar-benar cinta.

Saya telah membaca buku yang menceritakan sejarah hidup Imam As-Syafie. Buku bertajuk Imam As-Syafie Pejuang Kebenaran hasil tulisan Abdul Latip Talib amat menarik jika anda tercari-cari buku mengenai Imam As-Syafie. Anda boleh dapatkan buku ini di website saya http://www.kasihbuku.com/title-Imam-Syafie-pejuang-kebenaran/isbnno-9789833892518.aspx Cara penulisannya benar-benar memberi kesan, apabila membacanya kita terasa amat rugi untuk berhenti membacanya dan terasa rindu dan teringat-ingat untuk membacanya kembali apabila sudah berhenti.

Setelah membaca buku ini satu perasan yang amat kagum terhadap Imam As-Syafie terlekat di jiwa saya. Banyak sifat positif yang patut menjadi ikutan kita semua sebagai umat Islam dan sebagai pengamal mazhabnya. Sifat Imam As-Syafie yang paling saya kagum adalah KECINTAANnya yang amat tinggi terhadap ILMU. Beliau menuntut ilmu bukan untuk menjadi masyur, menjadi kaya tetapi beliau menuntut ilmu kerana beliau amat cintakan ilmu. Kecintaan terhadap ilmu sebenarnya amat penting dipupuk kepada diri kita sendiri dan keluarga kita juga. Salah satu perkara yang akan membuat diri seseorang adalah berharga baik di dunia mahupun akhirat ialah orang yang berilmu. Imam As-Syafie amat cintakan ilmu sejak kecil lagi. Kemiskinan hidupnya tidak menjadi penghalangnya untuk menuntut ilmu. Pada umur 9 tahun beliau sudah menghafal al-Quran. Ibunya menjadi guru pertama beliau di dalam bacaan al-Quran. Beliau suka mendengar apa sahaja ilmu yang disampaikan oleh imam-imam di Masjidil Haram waktu itu tanpa jemu. Akhirnya beliau dapat menjadi murid kepada kebanyakkan imam-imam yang terkenal di dalam bidang al-Quran, ilmu hadis, ilmu tafsir dan bermacam-macam ilmu lagi termasuk ilmu bersyair. Guru Imam As-Syafie yang paling terkenal ialah Imam Malik pengasas mazhab Maliki. Terasa amat kagum sekali saya terhadap Imam As-Syafie kerana sebelum beliau menuntut ilmu dengan Imam Malik, beliau telah menghafal kitab karangan Imam Malik iaitu kitab Al-Muwatta’. Sehingga Imam Malik sendiri kagum dengan kebolehan Imam As-Syafie (cerita lanjut tentang pertemuan Imam As-Syafie dan Imam Malik boleh di baca di dalam buku ini, pertemuan mereka mungkin agak tragis, jadi jika nak tahu kena beli dan baca sendiri buku ini..:)). Satu kelebihan yang Allah kurniakan kepada Imam As-Syafie ialah beliau mempunyai akal yang amat bijak. Beliau mudah untuk menghafal dan memahami apa jua ilmu yang dipelajari dalam waktu yang singkat. Sepanjang hidupnya dia tidak jemu mengembara demi menuntut ilmu. Beberapa perkara yang positif yang diamalkan oleh Imam As-Syafie boleh kita amalkan dan saya ingin terapkan juga kepada anak-anak saya dalam proses menuntut ilmu iaitu:

Membaca terlebih dahulu buku, dokumen yang berkaitan dengan ilmu yang bakal kita pelajari sebelum kita masuk kelas/bilik kuliah/ seminar yang berkaitan. Dengan membaca terlebih dahulu akan membuatkan kita lebih faham apabila belajar. Di samping itu jika terdapat bahagian yang kita tidak faham semasa pembacaan kita dapat bertanya lebih lanjut dengan guru/ pensyarah/ penceramah yang berkenaan.

Beliau mencatatkan apa jua ilmu yang diajarkan kepada beliau. Disebabkan kemiskinan beliau, beliau tidak dapat membeli kertas untuk menulis. Oleh itu beliau menulis ilmu di atas tulang-tulang, kulit-kulit binatang. Pernah satu ketika beliau hanya menulis ilmu di atas tapak tangan beliau semasa kuliah Imam Malik. Kelakuan beliau menyebabkan Imam Malik marah kerana sangkaannya Imam As-Syafie bermain-main dan tidak menumpukan perhatian. Namun setelah diuji, barulah Imam Malik tahu kebenarannya. Cerita lanjut kena dapatkan buku ini.

Di dalam buku ini juga menceritakan mengenai ketegasan Imam As-Syafie di dalam menangani salahlaku pemimpin/gabenor yang lalai. Beliau sangat tegas di dalam perkara ini. Sehinggakan beliau difitnah disebabkan ketegasan beliau. Jika diperhatikan sikap pemimpin yang lalai amat berleluasa di kalangan pemimpin hari ini. Sikap bermewah-mewah di kalangan pemimpin amat ketara. Jika pada zaman Imam As-Syafie beliau akan menegur sikap pemimpin yang lalai tanpa menghiraukan periuk nasi beliau. Saya amat rindukan kehadiran ulama seperti beliau. Banyak ulama masa kini tidak mengamalkan sikap seperti Imam As-Syafie. Membaca kisah-kisah Imam As-Syafie membuatkan diri saya amat insaf dan saya menangis ketika membaca kisah sewaktu diri beliau difitnah.

Imam As-Syafie juga tidak pernah putus berzikir dan membaca al-Quran. Sembahyang tahajud sentiasa diamalkan. Beliau meninggal disebabkan pendarahan yang terlalu banyak disebabkan buasir. Buasir beliau terjadi kerana beliau waktu siangnya beliau banyak duduk semasa mengajar ilmu-ilmu agama dan waktu malam beliau banyak berdiri menghidupkan solat malam. Membaca kisah beliau membuatkan diri terasa amat kerdil kerana amat culas sekali diri ini untuk bangun sembahyang tahajud di waktu malam. Imam as-Syafie juga tidak pernah menyakiti hati sesiapa termasuk orang yang menyakiti hatinya jua beliau tidak membalas. Jika beliau ingin menegur beliau menegur dengan lembut namun tegas. Saya bercadang untuk memberikan Aiman dan Aqilah membaca buku ini apabila Aiman dan Aqilah sudah mencapai 9 atau 10 tahun kerana banyak sifat positif yang boleh diambil daripada tokoh ini. Semoga Imam As-Syafie juga menjadi idola anak saya Aiman dan Aqilah sebagaimana diri saya menjadikan Imam As-Syafie sebagai idola hidup saya selain daripada Nabi Muhammad s.a.w. Sekali lagi, jika anda berminat untuk dapatkan buku ini anda boleh dapatkan di website saya di http://www.kasihbuku.com/title-Imam-Syafie-pejuang-kebenaran/isbnno-9789833892518.aspx

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...