Alhamdulillah, Aiman sudah selamat berkhatan pada 31 Januari 2011 yang lepas di Hospital Putarajaya. Aiman masuk wad rawatan harian pada jam 11.00 pagi. Nama doktor yang khatankan Aiman, Doktor Zahari. Berkhatan di hospital, tak sama dengan klinik-klinik swasta. Peraturannya ketat. Walaupun biusnya hanya bius setempat (local anaesthetic), tapi Ibu dan Ayah tidak dibenarkan masuk ke dalam bilik bedah untuk temankan Aiman. Hanya doa dari Ibu dan Ayah panjatkan kepada Ilahi semoga doktor yang khatankan Aiman diberikan fokus semasa bekerja dan melakukan yang terbaik, tidak lalai semasa mengkhatankan Aiman supaya perkara yang tidak diingini tidak berlaku. Pesanan juga tidak lupa Ibu dan Ayah berikan kepada Aiman supaya berzikir dan berselawat sebelum dan semasa proses berkhatan dijalankan. Untuk menenangkan hati Aiman juga, Ayah bagitau rasa sakit dia macam masa kena cabut gigi aje, kalau cabut gigi tahan, maknanya sunat pun boleh. Setakat ini alhamdulillah waktu cabut gigi, Aiman tidak ada sebarang masalah. Doktor Zahari pula cakap kat Aiman rasa macam cubit aje sambil cubit sikit tangan Aiman..:)..
Jam 1.00 tengahari Aiman di panggil masuk ke bilik bedah. Aiman diberikan baju putih yang ada tali ikat ke belakang dan memakai topi putih sebelum masuk ke bilik bedah. Ibu dibenarkan menemani Aiman hingga ke bilik bedah kemudian diarahkan untuk menunggu di luar di bilik menunggu. Sebelum meninggalkan Aiman, ibu cium pipi Aiman. Aiman nampaknya tenang dan tidak menangis. Mulut Aiman tidak henti-henti membaca zikir dan membaca ayat-ayat al-quran yang Aiman hafal.
Ibu dan Ayah menunggu di bilik menunggu sebelah bilik bedah. Kami tidak henti-henti berdoa dan terus berdoa supaya segala proses berkhatan Aiman akan berjalan dengan lancar. Jam 1.45 petang, Aiman belum siap lagi, Ayah ke surau terlebih dahulu untuk menunaikan solat zohor. jam 2.00 petang, ibu dimaklumkan oleh jururawat bertugas, Aiman sudah selamat dikhatankan dan meminta ibu balik ke Wad Rawatan Harian. Bila Ibu sampai ke wad, Aiman sudah berada di atas katil. Ibu bertanya macamana, sakit tak? Aiman cakap 6 kali sakit, mungkin sewaktu doktor cucuk ubat bius. Doktor suruh Aiman baca al-fatihah masa doktor nak cucuk ubat bius. Aiman baca al-fatihah walaupun dalam kesakitan. Bila Ayah datang, Ibu pula turun untuk solat. Aiman dan Ayah ke tandas kerana Aiman rasa mahu buang air kecil. Sebenarnya semasa doktor khatankan Aiman lagi Aiman terasa nak buang air kecil, jadi doktor cepat-cepat siapkan khatankan Aiman. Kalau terkencing kan bahaya pula, infection nanti.
Alhamdulilah selepas hampir 2 minggu, luka khatan Aiman baik sepenuhnya. Memang dalam masa dua minggu terdapat adegan-adegan pujuk memujuk sewaktu nak mencuci waktu pagi-pagi, jenuh juga nak pujuk, sampai kadang-kadang ambil masa 1 jam untuk adegan pujuk dan mencuci. Kalau ikut zaman sekarang, tak perlu lagi sapu antibiotik atau makan antibiotik atau basuh luka dengan flavin. cuma basuh bersih-bersih guna air paip biasa sahaja. Kami basuh luka Aiman dengan guna air suam. Untuk makan, memang Ibu jaga makan Aiman ikut pantang orang Melayu, bukan apa takut betul-betul bernanah, haru nanti. Kalau diri Ibu tidak berapa pantang selepas bersalin Ibu tidak kisah tapi kalau tiba bab anak, Ibu ikut betul-betul sebab kesian takut anak tidak tahan sakit nanti. Untuk ubat, Ibu bagi Aiman makan Gamogen. Ubat paracetamol pula hanya 2 kali sekali Ibu bagi makan, sekali waktu pagi-pagi, kedua waktu sebelum tidur sebab sepanjang seharian di rumah sambil layan main game PS2, Aiman tidak mengadu sakit, jadi kalau tidak sakit tidak perlu bagi paracetamol. Ibu bercuti seminggu untuk jaga Aiman. Lagi seminggu Aiman tinggal di rumah pengasuh, luka sudah agak baik namun tidak betul-betul kering jadi menghalang Aiman untuk pakai seluar, lagipun kelas Aiman di tingkat tiga, jadi Ibu risau kalau tidak baik sepenuhnya, takut-takut ia boleh jadi bengkak kembali. Alhamdulillah, lepas 2 minggu, Aiman sudah dapat pergi ke sekolah seperti biasa. Ibu dan Ayah merasa amat lega kerana salah satu tanggungjawab kami kepada Aiman sudah lepas...:)...
Sebenarnya Ibu dan Ayah tidak merancang untuk khatankan Aiman begitu awal, mengikut perancangan kami, kami akan khatankan Aiman pada hujung tahun 2012, sebelum Aiman masuk darjah 4. Namun, rupanya perancangan Allah adalah sebaliknya. Kami sekeluarga akan menunaikan umrah pada bulan Mei akan datang. Jadi, tokki menasihatkan untuk khatankan Aiman supaya memudahkan proses ibadah kami di tanah suci. Alhamdulillah sekarang ini semuanya sudah selamat. Alhamdulillah...:)...
1 comment:
ank puan sunat cara clamp ke?bole share cara nk cuci clamp
Post a Comment