Dalam liku-liku kita menjalankan tugas sebagai ibubapa lebih-lebih lagi bagi mendidik anak-anak kita di zaman yang makin mencabar ini, kita WAJIB mempersiapkan diri kita dengan ilmu keibubapaan. Jika ingin menjadi seorang doktor, kita perlu menuntut ilmu kedoktoran selama 5 tahun dengan penat lelah sebelum meraih segulung ijazah dan mendapat gelaran doktor. Tiada siapa berani memberikan seorang pesakit kepada kita sebelum kita benar-benar layak untuk memegang tanggungjawab itu. Tetapi bagi kita semua yang telah berkahwin, tiada ilmu formal yang boleh meletakkan adalah kita sememangnya telah layak bergelar ibu atau bapa atau tidak. Tetapi ilmu inilah yang paling penting diketahui oleh semua tanpa mengenal miskin atau kaya, berpangkat ataupun tidak. Kegagalan kita menjalankan tanggungjawab ini akan disoal oleh Allah di hari akhirat kelak di padang mahsyar. Nauzubillah...semoga dijauhkan saya dan para pembaca semua dibakar oleh api neraka akibat kelalaian mendidik anak-anak kita yang merupakan amanah daripada Allah. Salah satu buku yang saya rasa bagus untuk menambahkan pengetahuan kita sebagai ibu bapa adalah Buku Menjadi Ibu Bapa Genius Berdasarkan Wasiat Luqman al-Hakim karangan Syarif Hade Masyah. Sesiapa yang berminat untuk memiliki buku ini boleh dapatkan di website saya di kasihbuku.com. Buku ini menceritakan serba sedikit siapa itu Luqman al-Hakim. Luqman al-Hakim adalah seorang individu yang sangat hebat. Beliau merupakan salah seorang pemimpin di syurga. Disebabkan kebijaksanaan beliau, maka Allah mengabdikan kisah beliau di dalam Al-Quran di dalam surah Luqman ayat 12-19. Ayat ini menjadi surah hafazan semasa kita berada di dalam tingkatan 5 dahulu. Bagi sesiapa yang telah lupa ayat ini, amat baik jika mula menghafaznya kembali beserta dengan makna dan lagi baik jika anak-anak juga diajar supaya menghafaz ayat 12-19 surah Luqman. Berikut adalah ayat-ayat dari surah Luqman beserta serba sedikit ulasan di dalam Buku Menjadi Ibu Bapa Genius Berdasarkan Wasiat Luqman al-Hakim
Surah Luqman
Ayat 12
Dan sesungguhnya telah Kami berikan hikmah kepada Luqman, iaitu, "Bersyukurlah kepada Allah. Dan barang siapa yang bersyukur (kepada Allah), maka sesungguhnya ia bersyukur untuk dirinya sendiri, dan barang siapa yang tidak bersyukur, maka sesungguhnya Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji”
Penerangan: Ayat ini menerangkan betapa kita bersyukur kepada Allah dengan melaksanakan apa yang diperintahkan oleh Allah dan meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah. Namun, jika ditakdirkan kesemua manusia tidak beriman dan bersyukur kepada Allah, Allah tidak rugi barang sedikit pun. Tetapi yang rugi adalah manusia itu sendiri yang akan diseksa di dalam neraka Allah di akhirat kelak. Namun jika manusia bersyukur, manfaatnya adalah diri sendiri juga yang akan dapat iaitu dengan dikurniakan nikmat syurga di akhirat kelak. Jika kita berdepan dengan keadaan mengikut kehendak nafsu sendiri atau melaksanakan perintah Allah, maka ingatlah ayat ini, Insya-Allah kita tidak akan tersesat.
Ayat 13
Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, di waktu ia memberi pelajaran kepadanya, "Hai anakku, janganlah kamu mempersekutukan (Allah) sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar."
Penerangan: Mempersekutukan Allah atau syirik kepada Allah merupakan dosa besar yang paling utama. Sesiapa yang syirik tidak ada peluang untuk masuk syurga. Bagi kita umat Islam, perlu juga berhati-hati dengan syirik yang tidak kita sedari contohnya adalah sifat riak, berbuat kebaikan semata-mata untuk mendapat pujian dan sanjungan dari manusia. Di kalangan orang Melayu juga masih terdapat perkara kepercayaan khurafat yang harus kita tinggalkan kerana ia merupakan cabang dosa syirik.
Ayat 14
Dan Kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua orang ibu-bapanya, ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyusukannya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada dua orang ibu bapamu, hanya kepada-Kulah kembalimu.
Penerangan: Selepas Allah dan Rasul, kewajipan kita adalah untuk taat dan menggembirakan hati kedua ibu bapa. Ayat ini menceritakan kesusahan ibu mengandung dan menyusukan anak dalam tempoh 2 tahun. Hati saya merasa sebak bila suami saya menceritakan ayat ini kepada Aiman. Suami saya memberitahu Aiman yang saya menyusukan dia selama 4 tahun. Selain sebak, hati ini juga merasa bersyukur kerana dapat melaksanakan tanggungjawab menyusukan Aiman dan Aqilah sebagaimana yang disarankan oleh al-Quran. Alhamdulillah. Bagi mereka yang ragu-ragu samada ingin menyusukan anak ataupun tidak, ayat al-Quran ini boleh menjadi perangsang motivasi anda. Nanti kalau hendak menerangkan ayat ini kepada anak-anak, boleh masukkan sekali bahawa kita telah membuat pengorbanan sebagaimana yang dituntut ole agama dan tidak adalah lagi persoalan daripada anak-anak kita kenapa kita tidak menyusukan mereka. Tiada agama lain yang menerangkan mengenai keperluan menyusukan anak selama 2 tahun selain daripada Islam dan secara saintifik memang ianya adalah benar. Wallahua’lam.
Ayat 15
Dan jika keduanya memaksamu untuk mempersekutukan dengan Aku sesuatu yang tidak ada pengetahuanmu tentang itu, maka janganlah kamu mengikuti keduanya, dan pergaulilah keduanya di dunia dengan baik, dan ikutilah jalan orang yang kembali kepada-Ku, kemudian hanya kepada-Kulah kembalimu, maka Ku-beritakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.
Penerangan: Hanya satu perkara sahaja yang kita boleh ingkar dengan arahan ibu bapa kita iaitu jika mereka memaksa kita mempersekutukan Allah. Walaupun begitu, masih perlu bergaul dengan baik dengan mereka kecuali jika kita takuti mereka mempengaruhi kita untuk mempersekutukan Allah barulah mereka boleh dijauhi. Renung-renungkan diri kita, apakah kita telah sedaya upaya menggembirakan hati kedua ibu bapa kita atau ada perlakuan kita yang telah mengguris hati mereka. di dalam banyak-banyak perkara, sebenarnya menjaga hati kedua orang tua kita adalah lebih penting daripada menjaga hati-hati orang lain terutamanya bagi seorang lelaki.
Ayat 16
(Luqman berkata), "Hai anakku, sesungguhnya jika ada (sesuatu perbuatan) seberat biji sawi, dan berada dalam batu atau di langit atau di dalam bumi, niscaya Allah akan mendatangkannya (membalasinya). Sesungguhnya Allah Maha Halus lagi Maha Mengetahui.
Penerangan : Janji Allah itu benar, jika ada sebarang kebaikan yang kita buat,ikhlas semata-mata kerana Allah, maka Allah akan membalasinya dengan kebaikan.
Ayat 17
Hai anakku, dirikanlah salat dan suruhlah (manusia) mengerjakan yang baik dan cegahlah (mereka) dari perbuatan yang mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu. Sesungguhnya yang demikian itu termasuk hal-hal yang diwajibkan (oleh Allah).
Penerangan : Perkara yang paling penting dalam mendidik anak-anak adalah pastikan mereka mendirikan solat. Bukan sahaja bersembahyang, tetapi memahami apa erti mereka solat, lagi bagus kalau mereka memahami makna-makna di dalam sembahyang supaya penghayatan solat, penghayatan kebesaran Allah dapat dilatih dari kecil lagi. Seperti kata pepatah melayu, melentur buluh biar daripad rebungnya. Selain daripada solat, kewajiban seorang insan adalah amar makruf, nahi mungkar. Sememangnya berdakwah itu amat pahit, namun ia sebenarnya keperluan. Kita lihat sekarang keadaan, keadaan yang terhasil akibat daripada tiada kesedaran bahawa amar makruf dan nahi mungkar itu wajib dijalankan bukan hanya tugasan pegawai-pegawai agama dan pejabat-pejabat agama sahaja. Gejala sosial amat parah sedang berleluasa pada zaman ini.
Ayat 18
Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia (karena sombong) dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri.
Ayat 19
Dan sederhanalah kamu dalam berjalan dan lunakkanlah suaramu. Sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keledai.
Penerangan : Tentang kepentingan sifat tawaduk di dalam diri seorang manusia. Walaupun sudah berpangkat tinggi namun tiada sifat sombong beraja di hati.
** penerangan di atas adalah daripada buku Buku Menjadi Ibu Bapa Genius Berdasarkan Wasiat Luqman al-Hakim dan juga analisis saya sendiri...:)
Saya dan suami sedang berusaha menghafaz semula ayat-ayat ini beserta maknanya dan kami telah terangkan ayat-ayat ini juga kepada Aiman, semoga manfaat ini dapat dikongsi bersama dan kawan-kawan juga boleh memulakan ayat-ayat ini didalam keluarga masing-masing dan merealisasikan sebagaimana yang disarankan...:)...
Wallahua’lam
No comments:
Post a Comment