Tuesday, September 1, 2009

BERSEDEKAHLAH.....

Rasulullah s.a.w bersabda "Bersedekahlah walaupun separuh biji tamar"
Ini antara kandungan khutbah Jumaat yang dihadiri oleh suami saya baru-baru ini...

"Maknanya, orang miskin pun boleh bersedekah"
"Bukan bermakna tunggu apabila kita dah kaya, dah banyak duit baru kita nak mula bersedekah"
"Sedekah ini merupakan amalan yang perlu disemai"
"Bulan yang paling berkat untuk bersedekah adalah Bulan Ramadhan, ganjaran pahala yang dijanjikan oleh Allah s.w.t adalah berlipat ganda"
Itu antara ungkapan suami saya dan saya bersependapat dengannya...

Suami saya menceritakan bahawa beliau dilatih oleh ayahnya untuk bersedekah sejak kecil lagi. Setiap kali menghadiri sembahyang Jumaat, ayahnya akan bersedekah walaupun hanya 20sen nilainya...amalan ini terlekat dijiwa suami saya sehingga hari ini. Kami juga cuba melatih Aiman untuk suka bersedekah. Jika singgah di masjid, kami bagi duit kepada Aiman untuk dimasukkan ke tabung masjid sedari dia berumur 2-3 tahun lagi.

Saya berpendapat amalan bersedekah ini memang perlu dilatih kepada anak-anak kita sejak kecil lagi. Islam juga telah melatih umatnya untuk bersedekah seperti sabda Rasulullah s.a.w dan juga ditawarkan ganjaran yang besar di bulan Ramadhan. Sememangnya sifat manusia tidak suka berkongsi apa yang ada pada diri mereka sedangkan secara hakikatnya semua rezeki itu datang daripada Allah s.w.t. Oleh itu bagi mengikis sifat kedekut dan mementingkan diri sendiri, Islam menganjurkan amalan bersedekah.

Sewaktu Rasulullah s.a.w mengalami Israk dan Mikraj juga, Baginda ditunjukkan dengan tamsilan (bayangan) orang yang sedang memotong tanaman, apabila dipotong, tanaman itu tumbuh lagi, dipotong, tumbuh lagi dan begitulah seterusnya. Apabila baginda bertanyakan kepada Jibril apa maksud tamsilan tersebut, Jibril menjawab itulah dia manusia yang semasa hidupnya suka bersedekah, apabila mereka bersedekah, Allah tambahkan lagi rezeki kepada mereka tanpa mereka duga. Betapa tingginya nikmat yang Allah kurniakan kepada kita hambanya, rezeki diberikan kepada kita, kemudian disedekahkan dengan ikhlas, dapat ganjaran pahala dan ditambahkan lagi rezeki kepada kita dan ganjaran yang paling hebat akan diberikan kepada kita tentulah Syurga yang diidamkan oleh semua manusia...Masya-Allah

Oleh itu, marilah kita mengambil kesempatan di bulan Ramadhan ini untuk bersama-sama bersedekah, menanam dan menyemai amalan ini di dalam hati kita dan Insya-Allah diteruskan lagi di bulan-bulan yang lain....Jangan bagi alasan kita pun susah dan tidak mampu bersedekah. Bukan perlu bersedekah ribuan ringgit, bersedekahlah mengikut kemampuan kita....Insya-Allah ada keberkatan dari amalan kita yang ikhlas...

Wallahu'alam....

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...