Monday, January 17, 2011

Awas! Dosa syirik tanpa sedar....


Dosa syirik yang merupakan salah satu dosa besar boleh berlaku tanpa sedar dalam kehidupan seharian kita...Nauzubillah, mintak dijauhkan oleh Allah sebab dosa syirik dan khurafat adalah dosa besar yang pertama yang tidak akan diampunkan oleh Allah tanpa taubat nasuha. Antara top five dosa besar:

1) Syirik kepada Allah
2) Derhaka kepada kedua ibubapa
3) Berzina
4) Minum arak
5) Berjudi

Mungkin kita rasa kita terlepas daripada dosa syirik kerana kita tidak menyembah berhala dan kita solat lima waktu sehari semalam. Namun, syirik kepada Allah bukan semata-mata penyembahan berhala tetapi jika hati kita percaya terdapat sebab atau punca masalah atau bencana atau penyakit disebabkan lain daripada kuasa Allah Taala kita sebenarnya terdedah kepada dosa syirik kepada Allah. Orang-orang Melayu masih tebal dengan kepercayaan tahyul yang menyebabkan dosa syirik. Di sini saya ingin menceritakan kepercayaan tahyul mengenai uri yang masih wujud di kalangan orang Melayu.

Kepercayaan tahyul mengenai uri

Saya mendengar cerita ini dengan telinga saya sendiri. Saya bukan mereka-reka. Ada seorang hamba Allah ini memberitahu saya bahawa punca anaknya menangis sewaktu kecil adalah disebabkan cara penanaman uri yang salah. Menurut beliau uri sepatutnya ditanam dengan membalikkan tempurung kelapa namun jika tersalah ditanam boleh menyebabkan bayi kembung perutnya kerana air hujan terkumpul di dalam tempurung kelapa tersebut sewaktu hujan turun. Bagi menguatkan kepercayaannya lagi, anaknya makin kuat menangis sewaktu hujan turun. Menurut beliau setelah dibetulkan tempurung kelapa berkenaan (setelah 2 bulan di tanam, waktu itu uri tersebut sudah pun reput) barulah anaknya berhenti menangis. Sewaktu mendengar perkara ini saya memberikan reaksi tidak percaya dan beliau berkata memanglah doktor tidak akan percaya tapi ini memang betul. Saya hanya mampu merasa simpati kepada dirinya yang jahil mengenai ilmu saintifik dan juga ilmu agama. Seperti yang saya katakana sebelum ini apa-apa pun di dalam dunia ini kita mesti ada ilmu baru hidup kita tidak tersesat dan tidak mudah ditipu oleh orang lain.

Kenapa kepercayaan ini dikatakan syirik

Cerita di atas adalah salah satu cerita kepercayaan tahyul yang masih wujud di kalangan orang-orang Melayu . Uri yang telah terpisah daripada bayi tidak akan memberi kesan lagi kepada bayi daripada sudut perubatan mahupun dari sudut agama. Apabila bayi dilahirkan, apa yang sepatutnya dilakukan oleh ibubapa adalah membersihkan uri tersebut daripada darah dan ditanam dan elakkan ianya dimakan oleh binatang seperti anjing dan sebagainya. Sebarang sebab perut kembung atau bayi menangis adalah atas kuasa Allah s.w.t dan bukannya berkaitan dengan uri yang salah ditanam atau sebagainya. Masya-Allah, mungkin bagi kita perkara ini tidak ada salahnya namun kepercayaan ini membawa kita kepada dosa syirik tanpa sedar kerana seolah-olah uri ini mempunyai kuasa kepada kesihatan anak kita. Wallahua’lam.


Penerangan bayi yang selalu menangis akibat abdominal colic dari sudut perubatan

Abdominal colic ataupun perut kembung boleh berlaku di kalangan bayi. Kejadian ini adalah lebih kerap berlaku di kalangan bayi yang menyusu menggunakan botol. Ini kerana sewaktu menyusu botol, terdapat ruang udara di bahagian puting yang akan terdedah dan udara ini akan masuk bersama-sama ke dalam perut bayi menyebabkan bayi akan mengalami abdominal colic. Selain daripada itu, pemberian makanan seperti nestum sebelum bayi mencapai umur 6 bulan juga akan mendedahkan mereka kepada abdominal colic. Ini kerana sistem penghadaman mereka masih belum bersedia untuk memproses makanan yang masuk ke dalam perut mereka. Apabila abdominal colic berlaku, bayi akan merasa sakit dan mereka akan kerap menangis. (Untuk kes di atas memang anak beliau sudah meminum susu botol sewaktu dalam pantang dan diberikan makanan seawal umur sebulan). Oleh itu, cara yang paling berkesan untuk mengelakkan bayi mengalami abdominal colic adalah dengan memberikan susu ibu sepenuhnya kepada bayi terutama semasa dalam proses berpantang. Juga elakkan daripada memberikan makanan kepada bayi sebelum umur 6 bulan.

Pohonlah kepada yang Allah Yang Maha Kuasa untuk hilangkan penyakit kembung perut anak anda. Yakinlah doa tulus seorang ibu kepada anaknya, Insya-Allah akan dimakbulkan oleh Allah s.w.t.

Wallahua'alam.

1 comment:

Anonymous said...

salam dr,
alhamdulillah, syukran atas info yg amat bermanfaat ini. maka benarlah bhw menyusukan anak itu adalah lbh baik dari memberi susu formula dgn botol susu. tujuannya utk mengelak dr masalah Abdominal colic itu. subhanallah, tidaklah Allah swt ciptakan sesuatu benda @ perkara itu sia2. mohon puan sediakan aplikasi share FB utk tujuan perkongsian (sebab saya tak ada blog he3). moga puan sentiasa dlm rahmat & berkahNya, Insya Allah amin 99x
p/s: jika ada Fb mohon add sy> nimila backwards. tqvm :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...