Wednesday, January 5, 2011

PETUA MELAHIRKAN ANAK YANG HEBAT


Semua ibubapa tentunya inginkan anak-anak mereka menjadi anak-anak yang hebat termasuklah diri saya sendiri. Namun, bagaimanakah cara melahirkan anak-anak yang hebat dari aspek intelektual dan juga spiritual?

Jika semasa mengandung, kita memastikan memakan makan vitamin dan makanan yang sihat. Semasa membesarkan anak-anak kita sentiasa teliti dengan pemakanan anak-anak kita, sedari kecil diberikan susu ibu sehingga sekurang-kurangnya 2 tahun. Kemudian kita sanggup bersusah payah memasak masakan yang berkhasiat dan berkualiti untuk anak-anak tanpa sebarang campuran msg. Jika membeli bahan-bahan mentah juga kita pastikan mencari yang segar untuk disuapkan ke mulut anak-anak kita. Langkah itu sememangnya amat baik namun itu masih belum cukup untuk menjadikan anak-anak kita anak yang hebat.

Saya suka mengulas perkara ini setelah menganalisis pembacaan saya terhadap tokoh-tokoh Islam yang hebat seperti Imam As-Syafie, Sultan Muhammad al-Fateh dan juga Sheikh Kadir al-Jailani. Mereka merupakan orang yang hebat di zaman masing-masing dan terkenal hingga ke hari ini. Mereka yang hebat ini semua lahir dari ibubapa yang hebat hubungannya dengan Allah s.w.t.

Jawapan untuk melahirkan anak-anak yang hebat sebenarnya harus bermula daripada diri kita sendiri. Kita harus menjadi hebat sebelum kita mengharapkan anak-anak kita menjadi hebat. Hebat dari segi yang mana? Hebat yang saya maksudkan di sini adalah hebat dari segi hubungan dengan Allah s.w.t. Antara checklist untuk melahirkan anak-anak yang hebat yang bermula dari kandungan:

1. Adakah kita rajin untuk membaca al-Quran?
2. Adakah kita ada rasa cinta kepada al-Quran?
3. Adakah sembahyang fardhu kita cukup?
4. Adakah kita suka sembahyang berjemaah?
5. Adakah kita suka mengawalkan waktu solat dengan tidak menangguh-nangguhnya disebabkan urusan dunia?
6. Adakah kita suka melakukan perkara-perkara sunat seperti sembahyang sunat sebelum dan selepas sembahyang fardhu?
7. Adakah kita selalu bangun malam untuk bertahajud, solat taubat dan solat hajat?
8. Adakah kita tidak kedekut untuk bersedekah untuk membantu orang-orang miskin?
9. Adakah kita sudah membahagiakan hati kedua ibubapa kita dengan member khidmat kepada mereka?
10. Adakah hati kita ikhlas dan jujur dalam melakukan amanah?
11. Adakah kita sudah memberikan pergantungan hidup kita adalah semata-mata hanya kepada Allah?
12. Adakah rezeki yang kita cari setiap hari adalah dari sumber yang halal?
13. Adakah kita selalu berdoa dan berharap kepada Allah untuk mudahkan segala urusan kita?
14. Adakah kita lebih cintakan kehidupan dunia atau akhirat?

Checklist ini menjadi panduan untuk muhasabah diri saya dan juga anda. Saya selalu mendengar orang takut tentang masa depan anak-anak mereka di masa hadapan. Takut anak-anak mereka terlibat dengan gejala yang tidak sihat. Lalu, mereka menghantar anak-anak mereka ke sekolah agama. Namun, pada masa yang sama, diri mereka sebagai ibubapa tidak berusaha untuk menjadi yang terbaik. Mereka hanya mengharapkan anak-anak mereka menjadi yang terbaik. Jika merujuk checklist di atas kebanyakkan jawapannya adalah tidak. Saya merasakan itu adalah satu perkara yang tidak adil untuk diri anak-anak mereka sendiri dan adakah Allah s.w.t akan membantu kita jika hubungan kita dengan Yang Maha Kuasa adalah setakat gitu-gitu sahaja? Insya-Allah jika hubungan kita dengan Allah adalah kuat, Allah akan memudahkan urusan kita mendidik anak-anak kita, dilembutkan hati anak-anak kita untuk mendengar tunjuk ajar dan nasihat daripada kita, rasa kasih dan sayang anak akan sentiasa ada pada kita dan dilindungkan anak-anak kita daripada gejala yang tidak diingini. Ini kerana Allah sentiasa mendengar doa dan rintihan hamba-hambanya terutamnya daripada hambanya yang baik dan terutamanya di waktu 1/3 malam. Contoh terbaik untuk kita ikut pastilah Rasulullah s.a.w. yang merupakan insan terbaik di muka bumi ini.

Untuk melahirkan anak-anak yang hebat sebenarnya bermula dari diri anda bukan bermula dari diri anak anda.
Fikir-fikirkanlah.
Wallahua’alam.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...