Doa Nabi Ibrahim yang dimakbulkan oleh Allah dan telah tercatat di dalam al-Quran, Surah Ibrahim Ayat 37
Maksudnya: Ya Tuhan kami, sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian keturunanku di lembah yang tidak mempunyai tanam-tanaman di dekat rumah Engkau (Baitullah) yang dihormati, ya Tuhan kami (yang demikian itu) agar mereka mendirikan shalat, maka jadikanlah hati sebagian manusia cenderung kepada mereka dan beri rezkilah mereka dari buah-buahan, mudah-mudahan mereka bersyukur.
Ya memang benar, Mekah merupakan satu bumi yang betul-betul tandus. Berbanding Madinah,buminya lebih subur dan buah kurma banyak ditanam di Madinah. Pengalaman menjejakkan kaki ke sana dan melihat sendiri muka buminya benar-benar membuatkan diri saya berfikir. Muka buminya ternyata kontang, gunung-ganangnya benar-benar berbatu tiada sepohon pokok pun tumbuh di atas gunung-ganangnya. Bukan batu kerikil seperti gunung ganang di Malaysia tetapi memang batu yang keras yang tidak mampu ditumbuhi oleh sebarang tumbuhan. Cuacanya pula panas kering. Angin yang menghembus juga ternyata terasa bahangnya. Namun, terdapat satu keajaiban yang tidak anda temui di mana-mana tempat di dunia ini iaitu dengan kehadiran AIR ZAM-ZAM. Di tempat yang kering-kontang, tandus, tiada pepohon yang menghiasi lanskapnya namun terdapat air yang PALING BERKHASIAT boleh menjadi penyembuh penyakit, boleh mencerdaskan minda, boleh diminum SECARA PERCUMA. Hebatnya kekuasaan Allah...Masya-Allah. Minumlah air tersebut sebanyak-banyaknya, ambillah airnya sebanyak-banyaknya, bergelen-gelen pun tiada siapa yang marah, tiada siapa yang menghalang dan air tersebut tidak pernah kering sejak beribu-ribu tahun lamanya...Masya-Allah.
Dan ada sesuatu yang membuatkan kita cinta pada bumi yang kontang ini. Cinta yang tidak dipaksa. Cinta yang sukar dimengertikan. Cinta yang mengundang rindu dan terbawa-bawa ke dalam mimpi. Bukan sahaja saya yang termimpi-mimpi malah suami dan anak juga. Mimpi berada di Masjidil Haram, mimpi melihat Kaabah. Bagi saya ianya amat ajaib. Sehinggakan anak saya, Muhammad Aiman yang berusia 8 tahun pun boleh terjatuh cinta dengannya. Walaupun di sana tiada hiburan untuk Aiman, tiada computer untuk main computer games, tiada PS2, tiada Astro Channel, tiada kawan-kawan untuk diajak bermain bola sepak pada waktu petang, namun dirinya juga jatuh cinta pada tempat ini. Sedangkan jikalau di rumah, jika tidak dapat bermain games atau bermain bersama kawan-kawan, dirinya sudah resah. Di sana juga, Aiman tidak liat langsung untuk bangun di awal pagi seawal jam 3.00 pagi untuk ke Masjidil Haram sedangkan jam 10.00 malam baru tidur. Kurang rehat, namun tiada rungutan dan rintihan. Kenapa ya? Memang satu keajaiban...Masya-Allah...Seakan-akan ada magnet yang menarik hati kita untuk cinta hidup di sana. Bilamana saya memberitahu Aiman bahawa kami akan datang kembali ke bumi yang mulia ini Insya-Allah pada 5 tahun akan datang untuk mengerjakan haji dan kami berkata kalau tidak membawanya bersama, boleh ke? Aiman cakap mana boleh tinggalkan dia, dia juga ingin kembali ke sini. Dia juga seronok datang ke sini, bersama-sama mengerjakan ibadah bersama kami; tawaf, saie, membaca al-quran, sembahyang berjemaah....
Bilamana telah menjejakkan kaki ke bumi yang mulia ini, secara ikhlas saya katakan keinginan untuk melancong ke London, ke Hongkong untuk mengunjungi Disneyland, ke Jepun serta merta menjadi pudar, tidak sehebat dahulu....
No comments:
Post a Comment