Alhamdulillah, kami sekeluarga (saya, suami, Aiman dan Aqilah) selamat mengerjakan umrah. Kami mengunjungi tanahsuci Mekah dan Madinah pada 1-13 Mei 2011 baru-baru ini. Kerinduan pada Rasulullah membuatkan hati saya sentiasa ingin cepat-cepat mengunjungi tanahsuci. Alhamdulillah, kami dikurniakan rezeki dan peluang untuk mengunjungi tanahsuci, syukur pada Allah yang tidak terhingga.
Perjalanan daripada lapangan terbang Jeddah ke Mekah mengambil masa lebih kurang 2 jam. Pada pukul 11.30 malam, suami dan Aiman telah terlebih dahulu turun mengerjakan umrah bersama kumpulan yang dipandu mutawif. Saya agak terlewat turun ke Masjidil Haram kerana Aqilah tertidur sewaktu di dalam bas menuju ke hotel daripada Lapangan terbang Jeddah. Jam 2.30 pagi, suami pulang untuk menjemput saya pula untuk mengerjakan umrah.
Kali pertama melihat Masjidil Haram jam 3.00 pagi (selepas 4 jam sampai di Mekah), perasaan saya amat hiba, saya tidak dapat menahan air mata dan sedu sedan lagi di saat itu. Sedu-sedan menjadi bertambah kuat apabila pertama kali melihat Kaabah. Ibarat bertemu kembali kekasih yang telah lama terpisah. Aiman cakap tadi ayah nangis, ini ibu pulak yang nangis. Aiman merasa hairan kenapa kami menangis. Dia belum dapat mengerti situasi tersebut.
Terasa diri amat kerdil berada di Masjidil Haram. Orang ramai berpusu-pusu datang berqiamulail seawal jam 3.00 pagi. Masya-Allah dimanakah letaknya nilai hambaMu yang lemah ini di sisiMu Ya Allah.Selama ini berqiamulail amat liat sekali untuk ditunaikan.
Budaya orang Arab yang bagus untuk dijadikan contoh adalah mereka amat kuat beribadah. Sehinggakan pengawal keselamatan tidak lupa berzikir, di tangan mereka sentiasa ada tasbih untuk berzikir. Berqiamulail, mengerjakan umrah (tawaf dan saie sehingga pecah-pecah tapak kaki) tidak kira tua ataupun muda. Mereka juga amat suka bersedekah walaupun sedikit. Pagi-pagi selepas solat subuh sudah ada suami isteri berdiri di tepi jalan susur keluar masjid memberikan roti secara percuma kepada jemaah. Masya-Allah. Sewaktu sebelum masjid ada sahaja yang datang bersedekah kurma dan air teh pudina, dituang ke dalam cawan, dari seorang ke seorang. Selepas itu, ada orang lain pula akan datang mengutip cawan-cawan berkenaan. Membuat kerja kebajikan.
Alhamdulillah, saya dan keluarga diizinkan oleh Allah untuk memegang Kaabah, melihat Maqam Ibrahim secara dekat. Tapak kaki Nabi Ibrahim lebar daripada kebiasaan kaki, saiznya dalam saiz 10. Juga dapat bersembahyang dan berdoa di Hijr Ismail sebanyak dua kali. Keadaan agak bersesak untuk masuk ke Hijr Ismail. Kami tidak dapat mencium Hajarul Aswad kerana melihat keadaan yang amat sesak di tempat tersebut, sehinggakan ada yang terpaksa merangkak di atas badan orang lain kerana tidak dapat keluar selepas mencium Hajaratul Aswad kerana orang-ramai bertolak-tolak untuk pergi mencium Hajaratul Aswad. Kami tidak berani mencuba. Namun alhamdulillah, kami dapat bersembahyang dan berdoa di depan multazam(di antara Hajaratul aswad dan pintu Kaabah) tidak terkira bilangannya.
Saya juga berkesempatan mengunjungi Rasulullah di Masjid Nabawai dan bersembahyang dan berdoa di raudah sebanyak 3 kali. Bagi sesiapa yang tidak tahu, raudah adalah satu tempat yang diibaratkan taman syurga berdasarkan hadis Rasulullah. Tempat ini adalah di antara rumah Rasulullah bersama Aisyah (tempat dimana terletaknya maqam Rasulullah sekarang) dan mimbar Rasulullah di Masjid Nabawi. Bagi kaum perempuan, peluang untuk bersolat di raudah adalah agak terhad berbanding lelaki kerana tempatnya terhad, dan kebenaran untuk masuk adalah mengikut negara. Negara kita Malaysia digolongkan bersama Indonesia dan Brunei. Masa melawat juga terhad iaitu selepas subuh hingga jam 10 pagi, selepas zohor sehingga 3 petang dan selepas Isyak sehingga jam 11.00 malam. Bagi membezakan tempat Raudah dan tempat lain di dalam masjid adalah raudah berkarpet hijau manakala tempat lain di Masjid Nabawi berkarpet merah.
Waktu kali pertama mengunjungi maqam Rasulullah, saya pergi bersama Aqilah. Sebelum masuk ke tempat raudah, Aqilah merengek minta breastfeeding. Saya menyusukannya hingga tertidur. Dengan memangku Aqilah saya masuk ke tempat yang berkenaan yang disangkakan raudah dengan membei salam kepada Rasulullah, Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar. Saya membaringkan Aqilah di tepi tiang dan membuat solat hajat. Terasa agak pelik kenapa tempat tersebut agak lengang sedangkan daripada penceritaan sahabat-sahabat yang telah pergi di ceritakan berasak-asak di raudah. Rupa-rupanya saya tersilap tempat. Terdapat 3 perhentian yang perlu kita tunggu sebelum sampai di raudah. Ketiga-tiga perhentian dikawal oleh tentera/polis Arab. Saya berniat jika terpaksa berasak-asak, jika saya tidak dapat bersolat di raudah adalah memadai jika hanya dapat berdoa sahaja di raudah. Namun, terdapat seorang orang Indonesia yang prihatin menawarkan diri untuk memangku Aqilah supaya saya senang bersolat di raudah. Selesai solat, saya mengambil semula Aqilah daripada orang yang menolong. Terasa amat ajaib kerana Aqilah sedikit pun tidak menangis walaupun didukung oleh orang yang dia tidak kenali. Mungkin juga berkat tempat yang suci ini berhampiran maqam Rasulullah dan raudah. Sambil saya berdiri di tepi tiang dan memangku Aqilah, saya mengajar Aqilah berkata...Assalamualaika Ya Rasulullah..Aqilah dengan lancar mengikut kata-kata saya. Kemudian saya menyuruh Aqilah sambung lagi; Ya Rasulullah, Aqilah datang ni. Bila terdengar anak saya yang kecil ini berkata sedemikian, terasa amat sebak dan tangisan saya tidak dapat ditahan lagi. Semoga Rasulullah sedar dengan kehadiran kami dua beranak hendaknya. Kami teringin sekali untuk menjadi tetamu istimewa dari pandangan Rasulullah.
Terasa masa bergerak amat pantas sewaktu berada di tanahsuci. Terasa belum puas berada di sana walaupun sudah 12 hari. Peninggalan tanahsuci juga meninggalkan kesan rindu yang amat mendalam di dalam hati setiap insan yang pernah mengunjunginya. Ini adalah berkat doa Nabi Ibrahim kepada Allahyang dimakbulkan olehNya supaya setiap hati manusia yang datang mengunjungi Baitullah akan sentiasa rindu untuk mengunjunginya kembali. Perasaan ini sukar untuk diterjemahkan. Rindu serindu-rindunya....Masya-Allah
Ini doa Nabi Ibrahim, Surah Ibrahim Ayat 37
Maksudnya: Ya Tuhan kami, sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian keturunanku di lembah yang tidak mempunyai tanam-tanaman di dekat rumah Engkau (Baitullah) yang dihormati, ya Tuhan kami (yang demikian itu) agar mereka mendirikan shalat, maka jadikanlah hati sebagian manusia cenderung kepada mereka dan beri rezkilah mereka dari buah-buahan, mudah-mudahan mereka bersyukur.
2 comments:
sayunya bila membaca kisah ibuaiman....saya sendiri terasa nak pergi,insya Allah jika ada rezeki..doakan untuk saya dan keluarga ya...
Salam e-fantasykayd...
Insya-Allah jika kita niatkan dalam hati kita dengan sungguh-sungguh untuk mengerjakan umrah/haji, Allah akan mudahkan untuk kita perkara tersebut. Allah akan murahkan rezeki kita, Insya-Allah..Yang penting kena ada niat dan keinginan terlebih dahulu...:)...memang bagus pergi muda-muda ini, senang untuk kita beribadah...:)
Post a Comment