Monday, May 23, 2011

Isu Zakat dan Wakaf dari perspektif saya dan juga ulasan dari Dr.Asri di blognya

Isu ini memang telah menjadi persoalan pada diri saya dan juga suami. Kami setiap tahun membayar zakat tapi impak kegunaan zakat tidak berapa kelihatan. Masih terdapat orang-orang miskin Islam yang tidak dibantu, yang dibantu juga mendapat bantuan dalam nilai yang begitu sedikit RM100-200 sebulan dibandingkan dengan keperluan hidup masa kini. Lalu dimana silapnya? Dr. Asri juga menyentuh mengenai keperluan bantuan biasiswa untuk para pelajar bukan sahaja di bidang agama malahan bidang-bidang seperti perubatan, kejuruteraan dan sebagainya. Saya amat-amat menyokong perkara ini. Teringat semasa belajar dahulu, terpaksa fotostat buku perubatan kerana wang biasiswa tidak cukup untuk membeli buku-buku perubatan yang mahal. Ini kerana wang biasiswa juga digunakan untuk menyara hidup, tidak sanggup meminta duit dari ibu bapa di kampung kerana faham kesusahan yang mereka alami. Hinggakan hujung-hujung semester terpaksa agak ikat perut kerana wang sudah tidak ada. Rupa-rupanya diri ini tidak tahu bahawa para pelajar sepertiku layak untuk menerima wang zakat. Bagi yang tidak tahu, pihak kristian adalah lebih maju dalam memberikan bantuan kepada mereka yang tidak mampu. Malahan di sesetengah negara yang miskin seperti Vietnam dan Kemboja mereka membina hospital dan sekolah melalui duit kebajikan kesatuan mereka (info ini diberitahu oleh Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia semasa lawatan beliau ke negara tersebut). Saya terasa malu dengan keadaan ini. Kita memiliki agama yang benar, paling bagus, telah diajar oleh Allah dan Rasulullah s.a.w untuk membantu melalui sistem zakat, wakaf dan sedekah, namun kita yang ternyata gagal. Lalu, bagaimana kita akan menjawab di hadapan Allah yang Maha Esa di akhirat kelak??? Bagi saya yang berada dalam sistem kesihatan, saya dapat melihat banyak orang-orang miskin yang amat memerlukan bantuan kewangan dalam kesihatan. Bantuan pembedahan, ubat-ubat untuk sakit kanser, rawatan dialisis dan sebagainya sememangnya mahal. Saya tidak nampak secara zahir pihak zakat memberi bantuan zakat kepada mereka. Saya memohon maaf jika ada kes-kes yang telah diberikan bantuan tanpa pengetahuan saya. Tetapi kebanyakan pesakit meminta bantuan samada daripada kerajaan (ada satu unit khas yang dibentuk iaitu Unit Tabung Bantuan Kesihatan di Kementerian Kesihatan Malaysia), melalui sumbangan orang ramai (iklan di suratkhabar) atau melalui sumbangan badan-badan bukan kerajaan (NGO). Saya amat tertarik dengan konsep kebajikan yang diamalkan di negara-negara maju (ini juga diceritakan oleh Timbalan Pengarah Kesihatan saya). Sebenarnya konsep ini adalah seperti konsep wakaf yang telah diajar oleh agama Islam namun kita tidak pandai mengolahnya di zaman ini. Konsepnya adalah individu yang kaya meninggalkan duit berjuta atau berbilion menyumbangkan kepada pihak hospital. Duit ini dijana untuk perniagaan atau sebagainya. Keuntungan dari duit ini disalurkan untuk kebajikan hospital; membeli peralatan-peralatan di hospital seperti ultrasound, MRI, peralatan pembedahan dan sebagainya dan yang lebih hebat bagi saya, duit ini juga digunakan untuk membantu doktor-doktor untuk menyambung pelajaran dalam bidang kepakaran dan subkepakaran. Oleh sebab itu di negara maju, tidak susah untuk seorang doktor menyambung dalam bidang kepakaran malahan dalam bidang subkepakaran kerana semuanya adalah percuma. Jika konsep ini digunapakai untuk sistem wakaf di Malaysia, cuba anda bayangkan, wang wakaf anda akan terus dijana sampai bila-bila malahan ilmu yang didapati oleh seorang doktor kemudian dia merawat beribu-ribu pesakit, pahalanya akan dikongsi oleh anda...Masya-Allah..Insya-Allah alam kubur anda akan sentiasa terang sampai bila-bila....Saya sebenarnya mempunyai cita-cita untuk merealisasikannya di masa akan datang. Semoga Allah memudahkan saya dalam usaha ini...Insya-Allah.

Wallahua'lam

Untuk pandangan dan ulasan lanjut dari Dr. Asri, anda boleh baca di link di bawah....


Zakat Berbaki Atau Kita Kurang Bijak Membahagi : Minda Tajdid

1 comment:

AyahAiman said...

InsyaAllah semoga Allah permudahkan niat baik kita semua atas usaha agama yang kita lakukan. Amin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...