Thursday, February 4, 2010

Kung Fu Panda...akibat terlalu dimanjakan...



Akhir-akhir ini boleh dikatakan setiap hari selepas balik dari rumah pengasuh, Aqilah akan minta saya pasangkan DVD Kungfu Panda sebelum dia menyusu dengan saya. Dia akan meminta saya dengan menyebut perkataan “ukk” sambil memegang kakinya seolah-olah berkungfu lar…hehe…Bila sudah terlalu kerap menonton, secara tidak sedar Aqilah sudah belajar perkataan English dari cerita tersebut iaitu ‘coming’ dan ‘noodle’ dan ‘what’ (dia sebut dengan sebutan pelatnya), dan yang paling pasti sebelum karakter dalam filem tersebut menyebutnya, dia sudah tahu babak mana yang dia akan menyebut perkataan tersebut bersama watak-watak dalam filem tersebut…huhu….

Menyentuh filem Kungfu Panda, memang terdapat banyak pengajaran yang boleh kita ambil daripada cerita ini (ini di antara sebab kadang-kadang saya lebih suka menonton filem daripada Negara luar kerana ia membawa banyak mesej yang boleh dijadikan pengajaran berbanding Malaysia). Perkara yang menyentuh perasaan saya sebagai seorang ibu dalam filem filem ini berkenaan watak Sifu dan Tai Lung. Dalam filem ini menceritakan mengenai Sifu yang merupakan bapa angkat kepada Tai Lung. Sebagai seorang bapa beliau telah membesarkan Tai Lung dengan penuh kasih sayang. Segala permintaannya dituruti dan di masa yang sama beliau menanamkan harapan bahawa Tai Lung adalah Dragon Warrior yang dinanti-nantikan selama ini dengan melihat kebolehannya yang luar biasa di dalam bidang KungFu. Namun peribadi Tai Lung telah rosak akibat terlalu dimanjakan. Dia tidak dapat menerima hakikat bahawa beliau bukanlah Dragon Warrior yang dinanti-nantikan apabila dirinya dinafikan oleh Master Oogway. Akibatnya dia telah mengamuk dan membawa kerosakan bukan sahaja kepada kampungnya malahan lebih-lebih lagi kepada hati Sifu yang membesarkannya. Akibatnya Tai Lung telah ditumpaskan oleh Master Oogway dan dipenjarakan.

Sewaktu hari di mana Master Oogway yang terkenal dengan kebijaksanaanya membuat keputusan untuk memilih Dragon Warrior, beliau telah berpesan kepada sifu,

“Whoever I choose as a dragon warrior not only bring peace to the valley but also to you (sifu)”

Akhirnya Tai Lung telah dapat melepaskan diri daripada penjara yang dikawal oleh 1000 pengawal dan mempunyai hanya satu jalan keluar dan satu jalan masuk dengan kehebatan dan kecekapan dirinya. Kesemua 1000 orang pengawal penjara telah tewas berdepan dengan dirinya seorang sahaja. Dia kemudiannya bertarung dengan Sifu sendiri, bapa angkat yang telah membesarkannya dengan penuh kasih sayang. Apa yang diinginkan di hatinya hanyalah menjadi KungFu Warrior yang terkuat. Tiada lagi nilai kasih dirinya kepada bapa angkatnya. Tai Lung akhirnya mati di tangan Kungfu Panda bernama Po yang sebenarnya tidak sekuat dan sehebatnya dalam berkungfu. Babak akhir filem ini menggambarkan Sifu berada dalam keadaan benar-benar tenang setelah mengetahui Tai Lung telah mati. Seolah-olah beban yang tergalas di bahunya selama ini akibat kesalahan dirinya telah hilang sama sekali.

Anak-anak memang merupakan cahaya mata dan penyejuk hati kita. Di kala kita keletihan pulang daripada kerja, terpandang sahaja muka anak terasa hilang rasa kepenatan. Telatahnya, gelak ketawa mereka menjadi penghibur dan mengikat kasih sayang antara suami-isteri. Namun sebagai ibubapa, kita semua harus sentiasa ingat. Ingat bahawa tanggungjawab kita mendidik anak-anak adalah amanah Allah. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w, “anak-anak adalah ibarat kain putih, ibubapalah yang menentukan samada mereka menjadi,yahudi, majusi atau nasrani”. Kesilapan kita mendidik mereka bukan sahaja akan kita tanggung di dunia malahan akan di bawa ke akhirat, mengadap Allah s.w.t apabila dihisab. Keadaan kita tidak sama dengan dalam filem KungFu Panda dimana seolah-olah masalah telah selesai apabila Tai Lung mati. Mahu tidak mahu kita terpaksa menerima hakikat sebagai hamba di muka bumi hidup kita adalah infiniti. Infiniti bukanlah bermaksud kita akan hidup selamanya di dunia tetapi setelah kita mati kita akan hidup semula dalam bentuk roh di alam kubur dan di alam akhirat. Itulah seolah-olah digambarkan hidup kita ini adalah infiniti. Anak kita akan selamanya akan menjadi anak kita sampai bila-bila hingga ke hari akhirat. Kita sebagai ibubapa akan dipertanggungjawabkan dengan apa amanah yang diberikan oleh Allah kepada kita untuk mendidik anak-anak. Kedengaran amat berat sekali bukan. Ya, sememangnya tanggungjawab mendidik anak-anak harus diberi priority yang paling teratas dalam kehidupan kita. Sebagaimana yang dikatakan oleh Ustaz Zaharuddin mendidik anak-anak sebenarnya perlu perancangan daripada ibubapa bukan secara spontan. Anak-anak tidak boleh dididik secara spontan. Jika untuk mencapai kejayaan dalam apa-apa bidang sekalipun kita perlukan kepada ilmu samada secara formal atau tidak formal, begitu juga di dalam proses mendidik anak-anak. Jadi perlu diingat kita sebagai ibubapa dari semasa ke semasa sentiasa mempertingkatkan diri dalam mencari ilmu untuk menjadi ibubapa yang cemerlang. Jangan hanya ingat untuk banyakkan bilangan anak namun tidak mendidik mereka dengan sempurna. Natijahnya akan kita tanggung sampai bila-bila.

Sekali lagi menyentuh filem di atas didapati sikap terlalu memanjakan dan memewahkan anak-anak akhirnya akan menjadi racun. Bukanlah saya maksudkan kita perlu mendidik anak-anak dengan cara memarahi, mengherdik anak-anak. Pendekatan memarahi, mengherdik dan tidak menunjukkan rasa kasih sayang juga adalah salah. Jadi pendekatan yang perlu adalah keseimbangan di antara kasih sayang dan tunjuk ajar kepada anak-anak dan yang paling penting bagi saya sentiasa perlu ada komunikasi di antara ibubapa dan anak-anak. Komunikasi yang dimaksudkan tidak termasuk berleter yer…hehe…

Bagi diri saya, saya kini telah memasuki fasa kedua pendidikan anak-anak bagi anak saya Aiman. Memang saya perhatikan ada perbezaan di antara fasa 1 dan fasa 2. Ini kerana semasa umur 1-6 tahun, ibubapa adalah tumpuan (center) bagi setiap anak-anak. Biasanya pada waktu ini kurang masalah akan timbul. Namun bila mencapai umur 7 tahun, kawan-kawan juga perkara yang utama (center) bagi seorang kanak-kanak, ditambah lagi jika ibubapa banyak anak yang lain perlu diberikan perhatian. Di waktu usia ini ditakuti kita akan terlepas pandang untuk mendidik anak-anak kita, sedangkan di waktu umur inilah iaitu di antara 7-14 tahun akan menentukan personaliti anak-anak di waktu dewasa kelak. Jadi, bagi mengingatkan diri saya sendiri dan para ibu bapa di luar sana agar jangan terlepas waktu keemasan ini. Berikut adalah panduan yang di ajar oleh Rasulullah s.a.w dalam mendidik anak-anak:

Umur 1-7 tahun : membesarkan anak dengan penuh kasih sayang
Umur 7-14 : waktu untuk mengajar anak-anak berdisiplin
Umur 14-21 : waktu di mana menganggap anak sebagai kawan dan tempat anak untuk
berbincang
Umur 21 : Melepaskan anak-anak untuk ke alam dewasa
Perkara yang paling penting pada pendapat saya adalah terapkan nilai-nilai dan ilmu islam di dalam diri anak-anak. Sentiasa ingatkan pada diri mereka tentang adanya Allah. Allah melihat apa yang mereka buat walaupun ibubapa tidak ada. Jadikan juga sembahyang berjemaah sebagai rutin dalam keluarga kerana di waktu itu kita bersama satu keluarga berzikir dan berdoa bersama-sama untuk kebahagian keluarga (jika boleh, bacalah doa di dalam bahasa melayu agar ianya sama-sama dapat difahami dan dihayati oleh anak-anak yang akan mengaminkan doa tersebut) dan bersalaman dan berpeluk-pelukan selepas itu. Suasana tersebut amat harmoni sekali, tidak dapat digambarkan ketenangan di waktu itu....
Itu sahaja buat kali ini. Entry ini di tulis juga sebagai ingatan buat diri ini yang kadang-kadang lupa dan terleka.....
Semoga memberi manfaat buat anda jua....

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...