Selalu kita dengar sedari kecil lagi ungkapan bahawa sabar itu separuh daripada Iman. Ungkapan ini ternyata amat BENAR sekali. Baru-baru ini sewaktu mengikuti bengkel OSCC (One Stop Crisis Center), antara yang dibincangkan di program berkenaan mengenai kes-kes penderaan isteri oleh suami (Bagi yang belum mengetahui, OSCC adalah satu perkhidmatan yang diberikan oleh semua jabatan kecemasan di semua hospital kerajaan bagi menangani kes-kes penderaan kanak-kanak, penderaan isteri, kes-kes rogol dan liwat). Sewaktu membincangkan mengenai kes-kes penderaan isteri, kebanyakan kes yang berlaku berpunca daripada sikap suami yang tidak sabar, panas baran dan bertindak dengan sewenangnya memukul para isteri mereka. Lalu natijah daripada sikap ini, bukan sahaja isteri yang menjadi mangsa malahan anak-anak juga yang menerima kesannya. Anak-anak yang melihat ibu mereka dipukul sudah tentu terganggu emosi mereka. Malahan kesan tindakan ini mungkin boleh membawa kepada kes-kes perceraian. Jika kita melihat kepada kes-kes perceraian, kesan buruknya adalah melebihi kesan baik. Oleh sebab itu di dalam ajaran Islam, perkara halal yang paling DIBENCI oleh ALLAH adalah perceraian di antara suami isteri.
Semasa perbincangan mengenai kes-kes ini saya terfikir bahawa alangkah indahnya jika para suami menggunakan akal fikiran yang dikurniakan oleh ALLAH untuk bersabar. Jika mereka bersabar, isteri tidak akan dipukul, anak-anak tidak akan terganggu emosi dan sudah pastilah kes-kes perceraian akan dapat dijauhkan. Implikasi perceraian amatlah besar kepada anak-anak kerana mereka terpaksa memilih di antara dua orang yang mereka sayangi. Terdapat dimana kes si ibu mencuba pelbagai cara untuk elakkan anak daripada berjumpa kembali dengan ayahnya dengan melarang anaknya untuk keluar dari rumah dan pergi ke sekolah selama berbulan-bulan. Ada juga kes di mana ibu dan bapa saling memburukkan pasangan masing-masing di depan anak-anak. Cuba bayangkan bagaimanakah kesan emosi dan psikologi anak-anak yang menghadapinya. Kesan buruk kes-kes seperti ini adalah berterusan dan sebenarnya kesan buruk yang berterusan ini boleh DIELAKKAN dengan satu jawapan iaitu sikap SABAR.
Teringat satu cerita yang agak terkenal iaitu mengenai para sahabat yang ingin mengadu kepada Umar al-Khattab mengenai isteri mereka yang suka berleter. Apabila mereka sampai di rumah Umar, mereka mendengar isteri Umar juga sedang meleteri Umar al-Khattab. Apabila diceritakan masalah mereka, Umar menasihati mereka supaya BERSABAR kerana kata Umar seorang isteri itu telah banyak berkorban untuk keluarga, menjaga anak-anak dengan baik, menyediakan makan minum dan memenuhi kehendak suami sewaktu diperlukan yang mana mengelakkan suami daripada berzina. Jadi apa salahnya jika para suami bersabar sedikit dengan leteran para isteri mereka. Nasihat Umar itu pada pandangan zahir mungkin kita rasa biasa, namun jika kita kaji dan fikir kembali natijah jika para suami tidak sabar dan sewenangnya menceraikan isteri mereka yang suka berleter, implikasinya amat besar bukan sahaja kepada keluarga mereka tetapi juga pada masyarakat.
Jadi sama-sama kita fikir-fikirkan. Wallahu’alam.
No comments:
Post a Comment