Thursday, August 18, 2011

10 malam terakhir Ramadhan yang bakal hadir

Alhamdulillah, bermula malam ini kita akan masuk ke fasa terakhir Ramadhan iaitu Fasa yang dijanjikan dijauhkan dari api neraka dan Insya-Allah, antara malam-malam kesepuluh ini kita bakal berjumpa dengan malam Lailatul-Qadar, malam yang sangat-sangat istimewa, malam yang lebih baik dari seribu bulan, malam ini dinanti-nantikan oleh hamba-hambaNya yang beriman....Insya-Allah. Jadi, jangan kita lepaskan peluang keemasan ini.

Untuk membangkitkan semangat memeriahkan 10 malam terakhir Ramadhan ini, sama-sama kita muhasabah diri kita semua. Renung-renung dan fikir-fikirkan kembali sedalam-dalamnya...Jika kita mati pada hari ini, adakah kita pasti amalan kita cukup untuk melepaskan diri kita dari azab Allah yang benar di akhirat sana iaitu azab neraka yang amat pedih dan seksa...duduk bertafakur dan renung kembali, bagaimana agaknya kedudukan kita di sisi Allah Yang Maha Esa. Kita semak bermula dari solat kita....

Solat fardhu : Adakah kita tunaikan diawal waktu atau kita lengah-lengahkannya. Berjemaah kah kita (terutamanya bagi lelaki)? Khusyukkah solat kita? Mereka yang dekat di sisi Allah yang dijanjikan syurga adalah mereka yang pertama sekali menjaga solat fardhu mereka. ditunaikan di awal waktu dan berjemaah. Mereka menunggu-nunggu solat ini seumpama untuk bertemu kekasih. Mereka solat dengan khusyuk, seolah-olah berkata-kata dan memuji-muji Penciptanya Yang Maha Agung.

Solat-solat sunat: Adakah kita banyak menunaikan solat-solat sunat untuk menampung kekurangan kesempurnaan solat fardhu kita? Rasulullah s.a.w dan para sahabat banyak melakukan solat sunat terutamanya solat malam sehingga bengkak-bengkak kaki Rasulullah kerana terlalu lama berdiri menunaikan solat malam. Rasulullah telah dijanjikan syurga namun tetap melakukan solat kerana cintanya terhadap Allah. Lalu, kita bagaimana?

Membaca al-Quran : Adakah kita membaca al-quran setiap hari. Begitu hebat amalan orang-orang yang soleh di zaman lampau. Imam As-Sayfie mengkhatamkan al-quran sebanyak 2 kali dalam sehari semasa bulan Ramadahn. Masya-Allah, hebatnya. Kita bagaimana?

Bersedekah: Kalau kita rajin bersedekah, Alhamdulillah. Namun, walaupun kita rajin bersedekah namun sedekah kita tidaklah mencapai walau separuh pun dari harta kita. Sifat bermewah-mewah itu adalah lebih besar dari sedekah yang kita berikan. Ini amat berbeza dengan sahabat Rasulullah seperti Abu Bakar yang mendermakan seluruh hartanya untuk Islam dan Umar mendermakan separuh hartanya untuk jalan Allah. Kita masih tidak sanggup melakukannya.

Lalu bagaimana kedudukan kita?

Rasa takut atau tidak, takut-takut kita tidak lepas dengan hisab Allah di akhirat nanti dan kita dihukum dengan azab api neraka...Nauzubillah....

Akhirat itu benar.

Syurga itu benar...

Dan neraka itu benar...

Jadi, sama-sama kita muhasabah dan mengambil peluang 10 malam terakhir Ramadhan ini, untuk berdoa, menghidupkan malam. Kita mohon supaya diri kita dan keluarga kita, sahabat-sahabat kita, semua muslimin muslimat dijauhkan dari azab api neraka dengan rahmat dan kasih sayang Allah semata.

Jangan kita sombong dan berlagak dari memohon dari Yang Maha Esa.

Di sini saya petik peringatan dari ayat-ayat al-Quran yang menceritakan dahsyatnya Api Neraka supaya hati kita akan lembut dan kembali bertaubat kepada Allah dan memohon supaya kita dijauhkan oleh-Nya dari azab ini..

Surah al- Ghaasiyyah

[Ayat : 1]

Sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal hari kiamat yang huru-haranya meliputi.


[Ayat : 2]

Muka (orang yang kafir) pada hari itu tunduk kerana merasa hina.


[Ayat : 3]

Mereka menjalankan kerja yang berat lagi berpenat lelah.


[Ayat : 4]

Mereka tetap menderita bakaran neraka yang sangat-sangat panas (membakar).

[Ayat : 5]

Mereka diberi minum dari mata air yang menggelegak panasnya.

[Ayat : 6]

Tiadalah makanan bagi mereka (di situ) selain dari pokok-pokok yang berduri.

[Ayat : 7]

Yang tidak menggemukkan, dan tidak pula dapat menghilangkan sedikit kelaparan pun.

[Ayat : 8]

(Sebaliknya) muka (orang yang beriman) pada hari itu berseri-seri.


[Ayat : 9]

Berpuas hati dengan balasan amal usahanya (yang baik, yang telah dikerjakannya di dunia).

[Ayat : 10]

(Mereka tinggal menetap) di dalam Syurga yang tinggi (tempat kedudukannya dan darjatnya).


[Ayat : 11]

Mereka tidak mendengar di situ sebarang perkataan yang sia-sia.

[Ayat : 12]

Di dalam Syurga itu ada mata air yang mengalir.

[Ayat : 13]

Di situ juga ada pelamin-pelamin (berhias) yang tinggi (tempatnya).

[Ayat : 14]

Dan piala-piala minuman yang disediakan (untuk mereka).

[Ayat : 15]

Dan bantal-bantal yang teratur (untuk mereka berteleku atau bersandar).

[Ayat : 16]

Serta hamparan-hamparan yang terbentang.

[Ayat : 17]

Tidakkah mereka memperhatikan keadaan unta, bagaimana ia diciptakan?

[Ayat : 18]

Dan keadaan langit, bagaimana ia ditinggikan binaannya.?

[Ayat : 19]

Dan keadaan gunung-ganang, bagaimana ia ditegakkan?

[Ayat : 20]

Dan keadaan bumi, bagaimana ia dihamparkan?

[Ayat : 21]

Oleh itu, berikanlah peringatan kerana sesungguhnya engkau hanyalah seorang Rasul pemberi ingatan.

[Ayat : 22]

Bukanlah engkau seorang yang berkuasa memaksa mereka (menerima ajaran Islam).

[Ayat : 23]

Akan tetapi sesiapa yang berpaling (dari kebenaran) serta ia kufur ingkar.

[Ayat : 24]

Maka Allah akan menyeksanya dengan azab seksa yang sebesar-besarnya.

[Ayat : 25]

Sesungguhnya kepada Kamilah kembalinya mereka.

[Ayat : 26]

Selain dari itu, sesungguhnya tanggungan Kamilah soal menghitung amal mereka.

Semoga mendapat manfaat.

Wallahua’lam

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...