Sedar tak sedar kita sudah masuk pusingan 2/3 Ramadhan. Muhasabah diri kita sekarang, bagaimana prestasi Ramadhan kita kali ini? Adakah masa kita dipenuhkan dengan perkara-perkara kebaikan? Membaca al-Quran, berzikir, sembahyang sunat, sembahyang fardhu di awal waktu dan berjemaah (terutama bagi golongan lelaki) dan bersolat malam. Jika jawapannya YA, alhamdulillah syukur kita panjatkan kepada Allah kerana kita menggunakan Ramadhan yang hanya datang sekali setahun ini, Ramdhan yang penuh keberkatan dengan sebaik-baiknya. Kita tidak tahu samada kita berpeluang lagi untuk bertemu kembali Ramadhan pada tahun hadapan. Jika jawapan kita adalah TIDAK bagi soalan-soalan di atas, ayuh jangan berlengah lagi, rebut peluang untuk 18 atau 19 hari lagi yang berbaki ini untuk melakukannya. Semoga kita tergolong dalam golongan yang mengejar impian yang paling tinggi iaitu mudah-mudahan puasa dapat mendidik kita menjadi orang yang berTAQWA....Insya-Allah...
Bagaimana ingin mencapai ketaqwaan? Rasulullah s.a.w bersabda bahawa TAQWA itu adalah sesuatu yang berkaitan dengan hati. Jadi, untuk mencapai ketaqwaan kita harus mendidik hati kita? Bagaimana mahu mendidik hati menjadi hati yang baik (kalbu salim)? Menurut Imam Al-Ghazali, bagi mendidik hati dan mengawal nafsu kita harus KURANGKAN MAKAN kita, dengan sebab itu Allah wajibkan kita berpuasa selama sebulan untuk mendidik kembali hati-hati kita. Kemudian setelah makan dikurangkan kita dera nafsu dan didik hati kita kembali dengan BANYAKKAN BERIBADAH. Biar nafsu letih dan dengan itu hati akan mudah dididik untuk mencapai ketaqwaan. Oleh sebab itu, di bulan Ramadhan ini, adalah amat-amat digalakkan untuk kita bertadarus, solat sunat tarawikh dan solat malam dengan tujuan mudah-mudahan kita akan tergolong dalam golongan orang-orang yang berTAQWA...Insya-Allah.
Bagi kurangkan makan, waktu berbuka, pantau makanan yang kita ambil. Bukan sahaja pantau kebersihannya namun pantau amaun makanan yang kita ambil, jangan berlebih-lebihan. Bila berbelanja di pasar Ramadhan atau memasak juga kawal supaya tidak terlebih. Dengan itu, kita dapat kawal daripada makan secara berlebih-lebihan semasa berbuka puasa. Makan secara bersederhana juga dapat mengelakkan kita berasa malas untuk beribadah dan berasa mengantuk semasa bersolat tarawikh dan liat untuk solat malam.
Moga-moga Ramadhan yang berbaki ini kita guna sebaik-baiknya. 10 Ramadhan dipertengahan ini, Allah menjanjikan keampunan kepada hamba-hamba-Nya yang memohon keampunan. Semoga kita tergolong di dalam hamba Allah yang diampun dosa-dosa kita...Insya-Allah.
Firman Allah Taala dalam Surah Asy Syu'araa'
Ayat 88
Hari yang padanya harta benda dan anak-anak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun
Ayat 89
Kecuali orang-orang yang mengadap Allah dengan hati yang sejahtera (bersih)
Firman Allah s.w.t di dalam Surah Al-Qalam[Ayat : 34]
Sesungguhnya orang yang bertakwa, disediakan bagi mereka taman-taman syurga yang penuh nikmat, di sisi Tuhan mereka.
Semoga mendapat manfaat.
Wallahua'lam
No comments:
Post a Comment