Bab 5 – Persediaan mengerjakan umrah; rohani, ilmu, emosi dan fizikal
Persediaan ilmu
Surat daripada pihak Andalusia menyatakan bahawa tarikh untuk menghadiri kursus umrah adalah satu bulan sebelum bertolak. Saya menelefon bertanyakan bolehkah hadir lebih awal, jawapannya boleh, cuma pihak agen bimbang jika hadir terlalu awal, bimbang ilmu yang dapat akan lupa. Berapa kali harus hadir kursus umrah? Beberapa kali pun boleh kerana setiap sesi, pengisian yang diberikan adalah sama sahaja. Sebelum menghadiri kursus, saya dan suamai telah terlebih dahulu membaca buku panduan yang dibekalkan oleh pihak Andalusia. Saya kira saya terlebih advance daripada suami kerana telah hadir kursus haji dan umrah yang dianjurkan oleh kerajaan tempohari. Secara kesimpulan, mengerjakan ibadah umrah adalah amat mudah kerana ianya terdiri daripada 5 rukun iaitu, niat, tawaf, saie, bercukur (tahallul) dan juga tertib. Ibadah haji adalah lebih rumit kerana terdapat tambahan wukuf di arafah dan juga melontar di 3 Jamrah. Ihram haji juga adalah lebih panjang daripada ihram umrah. Seorang yang mengerjakan ibadat umrah hanya berada dalam ihram dalam beberapa jam sahaja manakala ibadah haji memakan masa berhari-hari, dan ada yang memakan masa berminggu-minggu (bergantung kepada jenis haji yang dijalankan. Adalah dinasihatkan supaya kita membaca buku panduan terlebih dahulu sebelum mengikuti kursus kerana ianya memberi gambaran awal kepada kita bagaimana ibadah umrah dijalankan. Semasa mengikuti kursus hanya tambahan ilmu yang tiada dalam buku dan penerangan lebih lanjut. Jika kita langsung tidak membaca buku panduan kemudian menghadiri kursus, soalan-soalan yang telah terjawab di dalam buku,kita akan bertanyakan lagi kepada penceramah dan mengambil masa peserta lain bagi penceramah untuk terangkan lagi lanjut kepada kita. Keadaan ini sepatutnya tidak berlaku. Ini kerana ianya akan menimbulkan rasa tidak puas hati peserta lain.
Pada kali pertama menghadiri kursus, kami pergi pada hari Ahad, ceramah disampaikan oleh Ustaz Daud Che Ngah. Pada minggu seterusnya, kami pergi pada hari Sabtu pula, ceramah disampaikan oleh abang kepada Ustaz Daud. Jadi, ada sedikit perbezaan penyampaian dan ilmu yang tiada dalam buku yang disampaikan juga ada tambahan. Pada kali ketiga, kami hadir pada hari Ahad, dan ternyata pengisiannya memang sama dengan hari Ahad yang lepas. Jadi, memang benar apa yang disampaikan oleh kakitangannya bahawa setiap minggu akan diulang ilmu yang sama. Jadi, pada kali ketiga kami tidak mengikuti kursus sehingga akhir.
Satu perkara yang mungkin tidak dinyatakan di dalam buku-buku panduan namun harus diberikan perhatian adalah berkaitan dengan hutang. Bukan sahaja hutang dengan manusia perlu diselesaikan malah hutang dengan Allah juga harus diselesaikan seperti hutang meninggalkan sembahyang atau puasa samada puasa wajib atau puasa nazar. Perkara ini saya dapat tahu semasa menghadiri ceramah. Disebabkan tidak punay waktu yang banyak, saya terpaksa mengganti puasa setiap hari sebelum saya bertolak mengerjakan umrah. Walaupun dirasakan berat, namun saya kuatkan hati untuk menggantikannya supaya diri saya tiada lagi hutang dengan Allah sewaktu menjadi tetamu Allah. Semoga dengan itu, ibadah umrah saya akan dinilai dan diberikan pahala oleh Allah s.w.t.
Di samping menjelaskan hutang, solat diawal waktu juga harus dijaga. Banyakkan solat sunat sebelum dan selepas sembahyang fardhu. Sembahyang tahajud juga jika boleh diamalkan. Ini adalah persediaan awal yang perlu kita buat supaya hati kita lebih bersih sebelum berangkat menunaikan umrah dan mudah-mudahan ibadah umrah kita diterima oleh Allah, Insya-Allah.
Persediaan emosi
Cabaran pertama saya bermula apabila membawa anak-anak bersama menghadiri kursus umrah. Saya memang tidak mempunyai pembantu rumah. Pengasuh anak saya pula setiap hujung minggu akan pulang ke rumah ibunya di Gombak. Mahu tidak mahu kami terpaksa membawa anak bersama-sama menghadiri kursus. Sebagaimana kanak-kanak lain, Aiman dan Aqilah resah dan agak membuat perangai dalam masa 2-3 jam program kursus tersebut. Bagi diri Aqilah, dia akan mengajak kami meninggalkan kursus untuk diajak berjalan-jalan. Bagi Aiman pula, bosan menunggu, kadang-kala bermain game di telefon suami. Kadang-kadang mengacau adik apabila dirinya sudah bosan. Memang mereka tidak boleh disalahkan. Anak-anak tidak faham apa yang disampaikan. Lagi pula masa yang diambil berjam-jam. Jadi, mahu tidak mahu kami hanya bersabar dan melayan karenah mereka semampunya. Aiman juga diingatkan oleh ayahnya bahawa ini adalah salah satu latihan sebelum pergi Mekah. Satu latihan untuk Aiman belajar untuk tidak bosan.
Namun, saya yakin Allah pasti menolong saya. Setiap kali selesai solat, saya akan panjatkan doa supaya Allah kurniaan kekuatan rohani, emosi dan fizikal kepada saya, suami dan anak-anak sewaktu kami mengerjakan umrah. Doa juga saya panjatkan supaya anak-anak saya diberikan kegembiraan dan rasa seronok sewaktu berada di Mekah dan juga Madinah. Setiap hari saya panjatkan doa tersebut.
Persediaan fizikal
Kami membeli keperluan umrah sebulan sebelum berangkat. Setiap minggu saya siapkan senarai barang-barang yng perlu dibeli. Setiap hujung minggu kami penuh dengan aktiviti menghadiri kursus dan membeli barang-barang keperluan umrah. Dalam membeli barang-barang keperluan umrah, saya sedaya mungkin membeli secara bijak. Berbelanja mengikut kemampuan diri. Bagi saya jika kita mampu membeli telekung sembahyang berharga RM500, silakan namun jika berlebih-lebihan dibimbangi membazir dan mungkin juga takut-takut timbul riak kerana memakai telekung sembahyang yang mahal dan cantik berbanding orang yang lain. Jadi, kami membeli seadanya. Baju-baju juga kami membawa baju-baju kami dan baju-baju anak yang sedia ada. Hanya tambahan sehelai dua baju baru untuk di bawa ke sana. Begitu juga bagi kain ihram, telekung sembahyang, stoking, sarung tangan, selipar/kasut baru yang dibeli, kami membeli yang pada harga mampu milik dan berpatutan. Satu bahan yang saya rasa penting juga untk dibawa adalah losyen untuk kaki yang tidak berbau (kerana semasa dalam ihram dilarang menggunakan bahan-bahan yang berbau). Ianya dipakai untuk mengelakkan tumit kaki pecah atau memulihkan tumit kaki pecah. Terdapat satu losyen kaki jenis tidak berbau dijual oleh Andalusia. Ianya ternyata bagus untuk memulihkan tumit kaki yang pecah.
No comments:
Post a Comment