Salah satu isu diperingkat Kementerian Kesihatan Malaysia ialah banyak doktor meletakkan jawatan dan berhijrah ke hospital/klinik-klinik swasta. Ini merupakan kerugian kepada Kementerian Kesihatan Malaysia. Bagi menangani isu ini, Ketua Pengarah Kesihatan telah mengemukakan permohonan untuk menaikkan pangkat mengikut tahun perkhidmatan dan permohonan tersebut diterima oleh kerajaan. Saya salah seorang yang menerima rezeki tersebut pada tahun 2010. Alhamdulillah. Kenaikan pangkat daripada UD44 ke UD48 membawa tangga gaji yang amat berbeza. Sebagai mengucapkan syukur ke hadrat Ilahi, hati ini terdetik untuk menyatakan kesyukuran tersebut dengan cara yang lebih bermakna lagi iaitu ingin segera ke tanahsuci. Mengunjungi Baitullah dan menziarahi Rasulullah s.a.w, Rasul yang amat kita cintai dan rindui. Disebabkan tarikh kelayakan untuk mengerjakan haji adalah masih lambat dan dengan keadaan anak yang masih kecil, saya berpendapat adalah lebih elok untuk saya mengerjakan umrah terlebih dahulu. Kegembiraan anugerah kenaikan pangkat dikongsi dengan kedua ibu bapa saya. Saya menyatakan untuk membawa mereka bersama mengerjakan umrah. Namun, tawaran saya ditolak dengan baik oleh kedua ibu bapa saya. Mereka menolak kerana keadaan ibu saya yang uzur. Ibu telah diserang stroke sejak 10 tahun dahulu dan keadaannya masih tidak pulih sepenuhnya. Ibu masih perlu menggunakan kerusi roda.
Keinginan saya untuk mengerjakan umrah disampaikan kepada suami saya. Pada mulanya suami tidak bersetuju kerana katanya keadaan kewangan yang tidak berapa mengizinkan. Namun, saya cuba meyakinkan beliau bahawa masalah tersebut Insya-Allah dapat ditangani dengan menyimpan. Saya telah membuat perkiraan bahawa jika kami menyimpan dan tidak berboros, Insya-Allah wang memang teramatlah cukup untuk kami pergi mengerjakan umrah di samping membawa anak-anak. Namun, suami masih tidak memberikan persetujuan juga kerana beliau tidak yakin bahawa duit yang disimpan akan mencukupi.
2 comments:
Salam kenal , amy singgah dan follow , ada masa jemput ke SR ye.
Waalaikumussalam Amy...
Terima kasih kerana sudi singgah dan follow...:)...Insya-Allah saya akan kunjungi SR...:)
Post a Comment