Sunday, April 10, 2011

Analisis saya daripada segmen motivasi pagi IKIM

Setiap hari, dalam perjalanan ke tempat kerja, satu perkara wajib yang saya mesti buat ialah mendengar motivasi pagi di IKIM. Memang seronok dan banyak perkara yang berguna saya dapat sepanjang tempoh mendengar motivasi tersebut. Jadi, kali ini saya ingin mengambil peluang berkongsi manfaat yang saya dapat menerusi motivasi pagi pada minggu lepas.

Motivator yang baru ini menekankan perkara-perkara yang boleh menaikkan semangat untuk bekerja. Dengan mengambil falsafah daripada Maslow, beliau mengolah falsafah tersebut kepada konsep Islam. Saya rasa cara tersebut amat bagus. Antara perkara yang boleh menaikkan semangat untuk bekerja ialah kita merasa seronok dengan pekerjaan yang kita lakukan dan mempunyai matlamat yang jelas berkenaan pekerjaan kita. Jadi kunci untuk bersemangat untuk bekerja ialah kita mesti tanamkan minat terhadap pekerjaan yang kita lakukan dan merancang matlamat hasil daripada pekerjaan kita. Bila dikaitkan dengan Islam sebenarnya, Islam telah mengajar kita tentang matlamat sesuatu perkara yang kita lakukan iaitu setiap perkara yang dilakukan dengan niat kerana Allah Taala pasti akan mendapat ganjaran yang besar daripada Allah. Kalau niat perkara keduniaan semata-mata, maka kita akan dapat perkara dunia itu sahaja dan terlepas ganjaran yang lebih besar di akhirat sana yang lebih kekal abadi...Subhanallah...

Saya ingin kaitkan dengan dunia blogging saya. Niat saya berblogging adalah kerana Allah dan untuk berkongsi serba sedikit ilmu perubatan, ilmu keibubapaan, ilmu agama yang ada pada saya dengan semua orang-orang awam (public person) dengan bahasa yang mudah difahami dan mudah untuk dipraktikkan. Matlamat saya ialah satu semoga ilmu yang bermanafaat ini menjadi salah satu antara 3 perkara yang dapat menolong saya jika saya telah meninggal dunia nanti iaitu di bawah ilmu yang bermanafaat. Semoga niat saya ini dimakbulkan oleh Allah dan semoga ilmu yang bermanafaat ini dapat menerangi saya semasa di alam barzakh nanti, Insya-Allah. Jadi, kawan-kawan amatlah dialu-alukan menyebarkan ilmu daripada blog saya ini untuk manfaat semua.

Daripada motivasi pagi kepada motivasi untuk Aiman

Saya sebagai ibu, saya ingin memupuk rasa seronok untuk belajar dalam diri anak saya Aiman. Saya amat sedar bahawa jika kesedaran untuk belajar datang dari dalam diri individu itu sendiri bukan dari paksaan ibu bapa, maka kejayaan akan mudah dicapai oleh mereka. Selalu saya dengar bahawa budak-budak lelaki lebih suka bermain daripada belajar. Memang saya akui, Aiman memang lebih suka bermain daripada mentelaah pelajaran. Namun, saya tidak mahu berputus asa. Sifat berputus asa tidak boleh ada dalam diari seorang yang mengaku dirinya Islam. Saya ingin merubah keadaan tersebut untuk mendidik anak lelaki saya juga salah seorang anak yang cemerlang dan belajar hasil daripada keinginan beliau sendiri bukan dari paksaan saya.

Daripada motivasi pagi yang saya dengar mengenai matlamat dan keseronokan dengan apa yang kita suka, saya cuba terjemahkan kepada Aiman dalam bahasa yang mudah. Saya mengambil contoh Jackie Chan sebab Aiman memang mengenali Jackie Chan dan meminati filem-filem aksi beliau. Sepertimana yang kita ketahui, Jackie Chan merupakan seorang pelakon Hong Kong yang berjaya bukan sahaja di negaranya malah di seluruh dunia. Daripada pembacaan saya, Jackie Chan amat komited, seronok dengan pekerjaannya sebagai pelakon filem kung-fu. Kesemua filem aksi kung fu dan aksi lasak di dalam filem-filem beliau dilakukan oleh beliau sendiri tanpa menggunakan pelakon lagak ngeri (stunt man). Di setiap akhir filem beliau akan ditunjukkan aksi-aksi ngeri yang dilakukan sendiri oleh Jackie Chan. Walaupun kesemua aksi lagak ngeri tersebut berbahaya tetapi beliau melakukan sendiri di atas rasa seronok apabila beliau melakukan perkara tersebut. Rasa seronok telah menolak semua cabaran yang akan beliau hadapi. Bila saya bagi contoh tersebut, Aiman kelihatan amat berminat sekali mendengar. Jadi, saya memberitahu Aiman, jika kita ingin berjaya pada tahap yang paling tinggi dalam hidup kita kita kena terlebih dahulu seronok dengan perkara yang kita lakukan. Ini termasuklah belajar. Bahkan matlamat atau cita-cita juga kena tanamkan apa yang seronok tentang cita-cita tersebut. Cita-cita Aiman ingin menjadi seorang doktor. Saya memberitahu Aiman bahawa bekerja sebagai seorang doktor adalah sangat sibuk. Jadi, jika duit menjadi matlamat, maka kesibukan kerja akan melemahkan semangat Aiman nanti untuk bekerja. Jadi kena betulkan niat untuk menjadi doktor bukan kerana duit tetapi kerana pahala yang dapat oleh para doktor yang bekerja secara ikhlas dan seronok dapat membantu orang sakit. Kelihatan muka Aiman amat ceria sekali menyatakan Aiman amat seronok jika dapat bantu orang yang sakit. Saya sentiasa panjatkan doa semoga anak-anak saya akan menjadi orang yang berguna dan berjaya di dunia dan akhirat....Amin... dan saya juga percaya anda juga begitu...

Wallahua'lam...

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...