Suami saya memang suka berkongsi cerita mengenai khutbah Jumaat yang beliau ikuti. Dua minggu lepas, khutbah Jumaat yang disampaikan oleh Imam yang bertugas memang menarik. Antara kandungan khutbah tersebut adalah betapa pentingnya membangunkan golongan orang muda bagi sesebuah negara. Kehebatan sesebuah negara itu bukan terletak kepada berapa banyak buah bangunan tinggi yang dibina, berapa nilai aset yang dimiliki oleh negara berkenaan tetapi ianya terletak pada golongan orang muda yang beriman dan berilmu. Namun, Imam tersebut menyatakan kesedihan terhadap apa yang berlaku kepada pemuda-pemudi Islam kita pada hari ini. Daripada statistik didapati kes kelahiran bayi luar nikah adalah paling tinggi di kalangan orang Islam, kes dadah dan pemuda yang memenuhi pusat-pusat serenti juga, angka paling tinggi adalah di kalangan orang Melayu. Kes-kes mat rempit yang tidak mempunyai haluan hidup juga adalah di kalangan pemuda-pemuda Melayu. Inilah senario sebenar yang berlaku yang terpaksa kita telan walaupun pahit. Apakah langkah yang patut kita ambil sebagai ibu bapa pada zaman ini bagi mendidik anak-anak kita agar menjadi pemuda-pemudi yang hebat pada zaman akan datang????
Pada minggu lepas, saya ada mengikuti satu mesyuarat mengenai isu penderaan kanak-kanak dan isu-isu berkaitan dengannya. Telah banyak duit yang yang dikeluarkan oleh kerajaan bagi menangani masalah kanak-kanak yang didera dimana implikasinya amat besar. Melalui mesyuarat tersebut, semua ahli bersetuju bahawa aktiviti pencegahan adalah paling UTAMA harus diambil berbanding dengan soal pemulihan iaitu selepas penderaan kanak-kanak berlaku. Isu penderaan kanak-kanak, broken family (ibubapa bercerai), remaja hamil luar nikah, remaja bermasalah dadah, remaja rempit, kemiskinan keluarga sebenarnya ibarat cerita ayam dan telur. Tidak dapat dinyatakan siapa yang dahulu, siapa yang kemudian. Kemiskinan boleh menyebabkan pasangan bercerai, anak-anak terabai, mendera anak-anak, anak remaja hamil luar nikah, rempit, dadah. Penglibatan dengan dadah juga boleh menyebabkan si penagih menjadi pendera, penceraian berlaku, anak-anak terabai. Statistik mendapati kebanyakkan anak-anak yang bermasalah adalah daripada broken family.
Memang bertepatanlah di dalam agama Islam satu perkara yang dihalalkan namun adalah yang paling dibenci oleh ALLAH adalah perceraian di antara suami isteri.
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda, Maksudnya : “ Perkara yang halal yang paling dibenci Allah ialah talak [perceraian]”. Riwayat Al-Imam Abu Daud dan Ibnu Majah.
Memang ALLAH sebagai PENCIPTA MAHA MENGETAHUI akan natijah yang akan berlaku apabila perceraian berlaku. Ia bukan sekadar merosakkan hubungan suami isteri yang terlibat namun boleh melarat hingga ke beberapa generasi. Cerai, kemudian anak-anak terabai, kurang kasih sayang, anak-anak didera, anak-anak terlibat dadah, rempit, hamil luar nikah. Anak-anak yang didera juga akan terdorong menjadi pendera. Anak-anak yang dilahir luar nikah akan dibuang atau terabai atau dibesarkan di rumah anak-anak yatim, kurang kasih sayang kemudian cycle ini akan berulang kembali...anak-anak ini juga kemungkinan akan terlibat dalam gejala-gejala yang tidak sihat...Oleh itu, saya menasihatkan kepada para suami dan bakal-bakal suami di luar sana, jangan sekali-kali mudah untuk melafazkan perkataan cerai walaupun golongan anda mempunyai kuasa kerana implikasinya amatlah besar. Kaum lelaki juga harus ingat bahawa mereka akan disoal oleh ALLAH di hari akhirat tentang tanggungjawab mereka. Balasan yang dahsyat akan diterima nanti jika kesilapan mereka ini membawa kerosakan. Maka fikir-fikirkanlah. Satu perkara yang memeranjatkan saya juga adalah sewaktu mesyuarat tersebut, wakil daripada JAKIM menceritakan bahawa terdapat sebahagian besar orang ISLAM yang mengikuti kursus kahwin yang diwajibkan sebelum kahwin mengambil ringan terhadap pengajaran dan ceramah yang disampaikan sewaktu kursus tersebut. Mereka lebih suka keluar masuk sewaktu ceramah, pergi ke tandas, menghisap rokok, merayau-rayau. Bagi mereka yang penting hanyalah mendapatkan sijil...Sedih saya mendengar keadaan ini. Macamana mereka mahu mendidik anak-anak mereka nanti jika inilah sikap mereka di peringkat permulaan lagi???
Saya ingin berkongsi pengalaman semasa saya bertugas di Jabatan Kecemasan HKL. Kisah di bawah adalah kisah benar yang berlaku....
Waktu itu saya bertugas shif petang. Seorang pesakit dalam usia 18 tahun masuk untuk mendapatkan rawatan.
"Apa masalah adik "
"Saya sakit perut lah doktor, rasa perut ni tak sedap, kadang-kadang rasa macam nak muntah"
"Ada demam, cirit birit?"
"Takde"
"Bila kali terakhir adik datang bulan?"
"Empat bulan lepas"
"Dah kahwin ke belum?"
"Belum"
"Selalu period tak teratur ker"
"Sebelum ini ok je"
"Ini dr nak tanya soalan peribadi sikit, harap adik jawab dengan jujur, adik pernah bersama @ buat hubungan dengan mana-mana lelaki tak sebelum ini"
"Tidak"
"Ok, sekarang adik baring atas katil tu, dr nak periksa perut adik"
Pesakit itu pun bangun dan berbaring untuk diperiksa.
Bila beliau baring, barulah saya terperasan sesuatu. Ya ALLAH...
"Adik, kamu ni mengandung , tengok perut kamu ini dah nak masuk 4 bulan ni"
Namun pesakit tersebut tetap tidak mahu mengaku bahawa beliau pernah melakukan hubungan dengan mana-mana lelaki.
"Ok, macam ni lah, dr akan buat ultrasound, kita lihat sendiri baby dalam perut kamu"
Dia kelihatan serba salah, namun masih lagi tidak mengaku, beliau masih berada dalam keadaan denial.
Saya pun melakukan ultrasound. Dan memang sudah nampak janin dengan denyutan jantung di dalam perutnya. Namun, yang paling memeranjatkan dia masih juga belum mengaku...
Ibu bapa pesakit dipanggil untuk diberikan kaunseling. Pesakit juga diberikan kaunseling. Pesanan terakhir saya kepada beliau ialah agar beliau jangan gugurkan kandungan berkenaan dan jika bayi sudah lahir, jangan pula dibuang bayi berkenaan. Saya nasihatkan beliau jangan gandakan kesilapan yang telah beliau lakukan. Saya doakan agar terbuka hatinya untuk mendengar nasihat saya.
4 comments:
Saya sebagai seorang bapa memang takut akan perkara-perkara seperti ini. Saya rasa ibu dan bapa memang kena bertanggung jawab atas apa2 yang berlaku keatas anak-anak mereka. Kadang-kadang sikap terlepas pandang ibu-bapa menyebabkan anak-anak terpengaruh dengan rakan sebaya mereka. Saya rasa pengaruh rakan sebaya memang kuat. Bukan saya nak cakap tak boleh berkawan tetapi ibu bapa mesti mengawal anak2 mereka.
Salam dr. Jumaat yg sama tu, masjid dkt rmh sya pun khutbah yg sama. Dpt la jg sya dgr dr rmh sambil masak2.Isu ni mmg agak menyedihkan. Pengalaman sya, rasa cam nak buka rumah utk tempatkan mana2 ibu yg nak buang bb, anta je kat rmh ni.. sedih...sedih sangat...
mmg sedih...tapi yang paling penting sebenarnya jalan untuk cegah semua itu dari berlaku...Prevention is better than cure
Tp kan ibuaiman, tak semua juga masalah ni berlaku pd anak2 yg ibu bapanya bercerai. Agak mengejutkan sya, krn skg ni kes buang anak berlaku pada anak2 yg penuh didikan agama. Beberapa tahun lepas, sya menyelam sendiri dunia anak2 rempit, anak2 yg m'gandung luar nikah, pondan, gay & lesbian. Kesimpulan yg sya dpt, pendek akal.Byk juga la faktor lain.
Post a Comment