Thursday, December 17, 2009

ILMU YANG TIDAK DIAJAR


Sejak akhir-akhir ini saya sering marah dan hilang sabar dengan perangai Aiman.

Perangainya yang sengaja suka mengusik adiknya dan membuatkan adiknya menangis.

Perangainya yang tiada tumpuan bila mengaji. Mengaji 10 minit sudah resah gelisah, menangis, mahu cepat-cepat habis mengaji kerana ingatkan TV atau main computer game.

Perangai suka merajuk.

Suatu hari, suami saya menegur saya supaya jangan terlalu marahkan Aiman. Kalau ingin tegur katanya biarlah secara toleransi dan berhikmah. Katanya takut-takut membantutkan perkembangan emosi dan jiwanya. Teguran suami membuatkan saya tersentak dan tersedar.

Memang benar, saya melihatnya dari pengalaman saya sendiri. Di kalangan anak kakak-kakak dan abang-abang saya malah di sebelah keluarga suami juga, biasanya anak sulung selalu kena marah dengan teruk dengan mak dan ayah mereka. Kadang-kadang tanpa sebarang sebab yang munasabah mereka dimarahi dan dirotan. Saya melihat sendiri, anak-anak ini di awal usia mereka, mereka kelihatan sangat cerdik dan petah bercakap namun akhirnya potensi diri mereka seakan terbantut. Terbantut akibat selalu dimarahi dengan emosi oleh ibu atau bapa. Dulu, saya bertekad tidak mahu perkara yang sama berlaku kepada anak-anak saya. Dan kini, seolah-olah saya sudah mulai lupa tekad saya bila emosi menguasai diri. Astagfirullahalazim….

Saya mula muhasabah diri.

Memang benar, sudah lama saya kurang memberikan tumpuan kepada Aiman. Sejak Aqilah lahir sudah jarang saya memeluknya. Sedangkan dahulu, Aiman tidak akan dapat tidur sebelum saya memeluknya sehinggalah dia terlena. Jika sedang menonton TV juga dia kadang-kadang mengada-ngada baring disebelah saya minta dipeluk. Ya, sudah lama saya tidak memeluknya. Sedangkan, di usia sepertinya masih perlukan ciuman sayang dan pelukan dari ibu sekali-sekala.
Saya rasa amat bersalah. Memang saya bersalah pada Aiman.

Di suatu petang hujung minggu

Aqilah sudah nyenyak tidur di dalam buai selepas kenyang menyusu dan didodoikan.
Aiman pula sedang khusyuk menonton TV, duduk di atas sofa.
Saya mengambil sebiji bantal dan berbaring di sofa yang sama.

“Aiman, marilah baring sebelah ibu, lama dah ibu tak peluk Aiman”

Aiman menolak sambil menggeleng kepala.
Saya tidak memaksa.
Kemudian, dia datang dan berbaring di sebelah saya.
“Dulu, ibu selalu peluk Aiman kan” sambil saya memeluknya.

Aiman mengangguk.

“Ibu sayang Aiman tau”

“Tak” jawab Aiman dengan mukanya yang masam.

“Betul, ibu sayang sangat Aiman. Ibu marah-marah tu sebab ibu sayang lar. Kalau orang tu buat jahat, tapi ibu dia tak tegur dia, itu sebenarnya lagi tak sayang. Dia tak marah, nanti lama-lama anak dia jadi lagi jahat”

Aiman diam tanpa menunjukkan sebarang reaksi samada setuju atau tidak.

“Aiman ingat tak drama yang kita tengok kat Singapore dulu tu”

Aiman mengangguk. Ternyata drama itu memberi kesan pada jiwanya.

“Kan, dalam drama tu, ada kakak yang jahat, pastu ibu dia tak tegur dia, jadi dia jadi lagi jahat”

“A’ah…Dia marah nenek dia kan, sian nenek dia. Nenek kan tak sihat. Pastu dia bawak balik kawan lelaki, nenek suruh mak dia tegur, mak dia tak nak, takut dia lari. Pastu mak dia tutup pintu, terhantuk kepala nenek, sian nenek tu”

“Ha…itu baru betul tandanya tak sayang…Sebab bila buat jahat, kemudian jadi makin jahat sebab tak ditegur, nanti masa hari Akhirat, Allah masukkan dia dalam api Neraka…Ibu tak nak macam tu…Ibu nak,Aiman, Adik Aqilah, ayah dan ibu masuk syurga sama-sama nanti”

“Macam cerita hari tu kan ibu (yang dimaksudkan cerita Gladiator-cerita ini buat saya menangis di akhir cerita…mmg sedih…). Orang jahat bunuh mak dia (maksud Aiman, isteri pelakon utama) dan anak dia. Pastu dia jumpa balik dalam syurga kan ibu….”

“Macam tu lah ibu nak…Kita sama-sama nanti jumpa balik dalam syurga….”

Aiman menunjukkan wajah ceria kembali….

“Ibu nak Aiman ingat sampai bila-bila ibu sayang sangat kat Aiman tau. Kalau ada apa-apa masalah bagitau ibu yer..”

Aiman mengangguk.




Di suatu pagi di dalam kereta

Hari ini Aiman ingin mengikut saya pergi kerja. Boring katanya duduk di rumah pengasuh. Saya tidak membantah.

Dalam perjalanan ke tempat kerja, Aiman membuka dashboard dan mengambil muqaddam di dalamnya. Aiman mengambil dan membelek muqaddam.

Sebenarnya sudah lama saya membeli muqaddam ini untuk Aiman, namun asyik lupa ajer mahu membawanya masuk. Saya mahu mencuba pendekatan menggunakan muqaddam pula untuk membantu Aiman pandai mengaji. Saya diberitahu oleh seorang penceramah (beliau seorang mualaf),kebanyakkan mualaf lebih cepat pandai membaca Al-Quran menggunakan muqaddam berbanding dengan menggunakan Iqra’. Mungkin ada benarnya kerana seingat saya (ingat-ingat lupa), saya belajar muqaddam semasa umur 6 tahun. Umur 7 tahun sudah baca Al-Quran besar. Aiman pula belajar membaca Iqra’ seawal umurnya 4 tahun lagi. Sekarang berada di tahap Iqra’ 5. Saya dan suami target, darjah satu kalau boleh sudah start Al-Quran besar. Jadi, saya ingin mencuba muqaddam, tengok-tengok kalau lebih bagus.

“Kenapa ibu beli ini (Muqaddam)?”Aiman bertanya semasa saya memandu kereta.

“Sebab Aiman asyik tertukar-tukar jer huruf masa baca Iqra’”

Sambil membelek muqaddam, Aiman cuba membacanya. Namun ternyata beliau masih tertukar-tukar di antara huruf jim, ha, kho: di antara huruf ain dan ya: di antara sod dan tho: di antara dho dan zho.

“Kan, betul Aiman masih lagi tertukar-tukar”

Teguran saya membuatkannya merajuk. Tak mahu lagi meneruskan pembacaan.

“Ibu sedih lar macam ni. Nanti kalau kat hari akhirat, Allah tanya ibu kenapa ibu tak ajar betul-betul Aiman baca Quran, apa ibu nak jawab? Nanti Allah rotan ibu, hancur badan ibu. Ayah pun kena rotan juga. Aiman pun sama. Kan, Aiman sendiri cakap Aiman cepat tangkap (pick-up). Dialog cerita Upin dan Ipin Aiman boleh hafal kenapa tidak Al-Quran?(Aiman boleh hafal boleh katakan setiap dialog dalam cerita GENG-Upin Ipin). Ibu betul-betul sedih lar macam ni….betul-betul sedih”

Aiman membatu. Kemudian, dia cuba mengambil hati saya semula dengan cuba membaca dengan betul. Namun, saya tidak dapat memberikan perhatian penuh kerana sedang memandu dan kejar punch card…

Di waktu petang, balik dari rumah pengasuh, kami bertiga lepak di dalam kereta sebelum masuk ke rumah. Aqilah tunjukkan isyarat mahu berbaring di atas kerusi kereta. Lalu kami berbaring bersama-sama di dalam kereta sambil gelak-gelak…Aiman mencapai Muqaddam. Cuba membaca dengan betul. Dan kali ini tiada kesilapan lagi. Tiada lagi tertukar-tukar.
“Haa…macam tu lar, baru betul”

Aiman tersenyum

“Aiman rasa seronok lar ibu. Kenapa yer rasa seronok yer ibu bila dapat baca dengan betul?”

“Memang lar rasa seronok kalau kita pandai. “

“Malam ini, Aiman nak baca Muqaddam lar ibu”

Malam itu, tanpa di suruh, selepas azan maghrib, Aiman mandi dan bersiap-siap untuk mengaji tanpa disuruh atau dipaksa….Alhamdulillah, ibu harap keadaan ini akan berterusan...aku bersyukur kepada-Mu Ya Allah….

Ya Allah, Aku bersyukur dengan nikmat yang Engkau berikan kepadaku Ya Allah.
Sesungguhnya aku hamba-Mu yang lemah.
Berilah petunjuk kepadaku dan juga suamiku di dalam usaha kami mendidik anak-anak kami.
Semoga anak-anak kami Muhammad Aiman dan Nur Alisha Aqilah akan menjadi anak-anak yang soleh dan solehah….
Sesungguhnya ilmu ini tidak pernah kami pelajari di mana-mana Ya Allah. Petunjuk dari-Mu Ya Allah kami pinta, semoga Engkau dengarlah rintihan kami Ya Allah, rintihan dari hambaMu yang lemah dan hina ini, Ya Allah…..Amin…Ya Robbal Alamin

2 comments:

Unknown said...

syahdu......:(
moga kita sama2 jd ibu yg prihatin dgn emosi anak2...

ibuaiman said...

yer lela.. ssh benornyer nak bahagikan kasih...tu lar cn plg byk pun rasenyer nak 4 ajer

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...