Sunday, December 19, 2010

Filem wajib tonton:Shrek 4!


Dalam 2 minggu lepas, kami sama-sama lepak tengok DVD Shrek 4, walaupun mungkin bagi sesetengah kawan-kawan ianya dah basi tapi ini 1st time saya dan suami menonton filem ini dan Aiman dah pernah tengok kat rumah babysitter...Sepanjang tengok filem ini sibuk Aiman mahu bercerita sebab dia dah tengok sampai saya terpaksa cakap sshhh...sori ye Along Aiman, ibu nak feel sendiri filem ni...:)...


Saya dan suami bagi 5 bintang pada filem ini, menarik dan banyak pengajaran yang dapat kita ambil dari kisah Shrek 4. Bagi Aqilah, saya rasa Aqilah bagi 10 bintang kot sebabnya Aqilah tak puas-puas tengok cerita ini, pagi-pagi bangun tidur tengok shrek, petang ibu balik kerja pun nak tengok shrek...


Bagi sesiapa yang belum tengok filem ini wajib beli dan tengok dengan suami dan anak-anak sebab pengajarannya untuk sekeluarga. Shrek 4 menceritakan mengenai Shrek yang mulai merasa bosan dengan kehidupan rutinnya bersama keluarganya iaitu Fiona dan 3 anaknya. Setiap hari rutin kehidupan Shrek ialah bangun tidur yang dikejutkan oleh anak-anaknya kemudian menolong Fiona menguruskan urusan anak-anak, memberikan susu anak, menyalin lampin anak, membuang sampah lampin, menolong membetulkan sinki tersumbat, makan bersama keluarga yang diceritakan tentang cerita yang sama berulang-ulang. Kesibukan rutin harian ini juga menyebabkan aktiviti personal Shrek untuk mandi lumpur dan berehat-rehat sendirian juga terganggu. Kebosanan dan kemarahan yang terpendam dalam diri Shrek akhirnya dikeluarkan semasa sambutan Hari Jadi pertama anak kembar 3 Shrek. Shrek mengamuk dengan menghancurkan kek hari jadi anaknya. Fiona dengan sabar cuba menyedarkan Shrek tentang nikmat yang Shrek ada pada hari ini iaitu isteri yang menyayanginya, anak-anak yang comel dan rakan-rakan yang memuja dirinya. Namun, nasihat Fiona tidak dapat melembutkan hati Shrek yang marah dan ingin mendapat nikmat kehidupan sebelum dia berjumpa dengan Fiona. Pertengkaran Shrek dan Fiona didengari oleh Rumpelstilskin iaitu seorang ahli sihir yang jahat. Rumpelastilskin membuat rancangan untuk memusnahkan kehidupan Shrek dengan memujuk Shrek membuat satu perjanjian di mana Shrek akan dapat kehidupannya semula sebelum bertemu Fiona. Namun, perjanjian tersebut terdapat perkara yang tersembunyi di belakang perjanjian tersebut yang tidak disedari oleh Shrek. Apabila Shrek tersedar, ianya bagaikan sudah terlambat. Dalam kehidupan barunya, Fiona tidak pernah kenal dirinya dan Shrek tidak pernah menyelamatkan Fiona daripada menara yang dikawal oleh naga. Bagi menyelamatkan keadaan, Shrek cuba mendapatkan semua true love daripada Fiona. Adakah Shrek berjaya?Anda perlu menontonnya. Filem ini digarap dengan begitu baik dan memang rasa amat terhibur menontonnya. Aqilah paling suka dengan adegan Shrek, Fiona dan rakan-rakan Ogre yang menari dengan terpaksa akibat siulan seruling oleh Piper.


Lepas menonton filem ini, macam biasa saya akan bertanyakan Aiman apa pengajaran yang dapat diambil dari filem ini. Pengajarannya ialah kita harus bersyukur dengan apa yang kita ada pada hari ini, kena sayang apa yang kita ada, keluarga kita, suami kita, anak-anak kita. Jangan sesekali kita merasa susah dan bosan dengan kehadiran kita dalam kehidupan kita kerana sesungguhnya merekalah penyeri kehidupan yang mungkin kita telah melupakannya.....


Selamat menonton....

Thursday, December 9, 2010

APA YANG ANDA PERLU TAHU MENGENAI OMEGA 3



Info ini diadaptasi daripada Medscape dan diolah oleh saya

Adakah anda tahu apakah sebenarnya Omega 3?
Omega 3 sebenarnya adalah sejenis lemak yang baik yang boleh didapati daripada ikan, telur beromega 3, kekacang dan sayuran seperti bayam, brokoli.

Apakah terdapat perbezaan di antara Omega 3 daripada ikan dan kekacang juga sayur-sayuran?
Memang terdapat perbezaan antara Omega 3 di dalam ikan dan kekacang juga sayur-sayuran. Jenis omega 3 yang terdapat pada ikan dikenali sebagai DHA dan EPA dan didalam sayuran dan kekacang dikenali sebagai ALA. DHA dan EPA didapati mempunyai manfaat yang lebih berbanding ALA. Namun begitu sebahagian kecil daripada ALA akan ditukarkan kepada EPA dan ALA oleh badan.

Apakah kebaikan Omega 3 ini?
Omega 3 dipercayai boleh mengurangkan risiko penyakit jantung, mengurangkan simptom kemurungan, sakit sendi dan juga mengurangkan risiko penyakit kanser.

Bagaimana Omega 3 dapat mengurangkan risiko penyakit-penyakit tersebut?
Omega 3 dipercayai dapat menghalang penyakit-penyakit tersebut dengan mengurangkan inflamasi di dalam salur darah, sendi dan semua tempat inflamasi yang ada di dalam badan. Omega 3 juga dipercayai mengurangkan risiko ritma jantung yang abnormal (abnormal heart rhythm), mengurangkan kadar lemak yang tidak sihat di dalam badan dan melambatkan kadar pembinaan plak-plak lemak di dalam salur darah atau dikenali sebagai arteriosklerosis (penyebab penyakit darah tinggi dan penyakit jantung).

Omega 3 dan Triglycerides (TG)
Omega 3 boleh mengurangkan kadar TG dalam darah (TG adalah sejenis lemak yang tidak baik dalam darah yang boleh menyebabkan penyakit jantung). Walau bagaimanapun, Omega 3 juga boleh meningkatkan kadar kolesterol dalam badan iaitu kedua-dua lemak baik (HDL) dan lemak jahat (LDL). Oleh itu bagi pesakit yang mempunyai kadar TG yang tinggi dalam badan hendaklah mendapatkan nasihat pakar perubatan sebelum mengambil Omega 3. Namun secara umumnya pengambilan ikan yang mempunyai kadar Omega 3 yang tinggi adalah selamat.

Omega 3 dan Stroke
Omega 3 menghalang pembinaan plak dalam salur darah ke otak yang boleh menghalang ischemic stroke (strok yang terjadi akibat saluran darah ke otak tersumbat). Omega 3 juga mempunyai kesan menghalang pembekuan darah. Oleh itu pada dos yang tinggi, supplement Omega 3 dipercayai boleh menyebabkan hemorrhagic stroke (strok yang terjadi akibat pendarahan dalam otak).

Omega 3 dan Rheumatoid Arthritis
Omega 3 boleh mengurangkan sakit sendi dan kekerasan sendi (joint stiffness) pada pesakit rheumatoid arthritis.

Omega 3 dan dementia
Omega 3 dipercayai mengurangkan risiko penyakit Alzheimer’s.

Omega 3 dan kanak-kanak
Berhati-hati dengan promosi iklan susu tepung kanak-kanak yang mendakwa Omega 3 adalah ”brain-boosting” power untuk kanak-kanak. American Academy of Pediatrics mengesyorkan kanak-kanak makan lebih banyak ikan bagi mendapatkan khasiat Omega 3 berbanding pengambilan supplement.

Omega 3 dan wanita mengandung
Satu kajian yang telah dijalankan oleh John Colombo, PhD mendapati bayi yang lahir daripada ibu yang mengambil kadar Omega 3 dan DHA yang mencukupi semasa mengandung didapati mempunyai daya tumpuan yang lebih semasa dua tahun awal mereka berbanding dengan bayi yang lahir daripada ibu yang kurang kadar Omega 3 dan DHA.

Berapa banyak Omega 3 dan DHA yang diperlukan oleh wanita mengandung?
Kajian Levine menyarankan keperluan DHA sebanyak 250mg semasa mengandung

DHA dan susu ibu
DHA secara semulajadi terkandung di dalam susu ibu yang mana amat bagus untuk kecerdasan otak bayi yang sedang membesar....alhamdulillah, anugerah Allah untuk ibu dan anak-anak kita.

Bahaya ikan yang dicemari
Salah satu perhatian yang perlu diberi perhatian semasa pengambilan ikan adalah pencemaran ikan oleh merkuri akibat laut yang tercemar. Kehadiran merkuri di dalam ikan adalah berbahaya bagi wanita mengandung, wanita menyusukan anak dan kanak-kanak. Oleh itu sebagai langkah berjaga-jaga elakkan memakan ikan pemangsa seperti shark, sworkfish, king mackerel dan buang kulit, lemak-lemak ikan sebelum memakan ikan.


Kesimpulan

Terdapat banyak kebaikan yang boleh didapati dengan pengambilan Omega 3 terutamanya bagi mengelakkan penyakit kronik seperti darah tinggi, sakit jantung dan strok. Bahkan ianya amat bagus untuk bayi dan kanak-kanak yang sedang membesar untuk kecerdasan otak dan daya tumpuan yang tinggi. Namun, badan kita tidak dapat menghasilkan Omega 3 dengan sendiri. Sumber terbaik bagi mendapatkan Omega 3 adalah daripada ikan. Ini bertepatan dengan hadis Rasulullah yang menggalakkan kita umat Islam memakan ikan dan mengurangkan pengambiln daging sekali seminggu sahaja. Dan bayi bayi pula sumber yang terbaik semestinya daripada susu ibu, anugerah daripada Allah Taala. Oleh itu, langkah terbaik sebagai seorang ibubapa, kita pastikan diet keluarga kita lebih kerapkan pengambilan ikan dalam masa seminggu sebagai sumber protein berbanding ayam atau daging. dan bagi bakal-bakal ibu pastikan anda menyusu anak-anak anda.

Semoga mendapat manfaat.

Wallahua’alam.

Tuesday, November 23, 2010

Panduan asas pengambilan ubat semasa mengandung




Pengambilan ubat semasa mengandung terutama semasa 3 bulan pertama seharusnya dielakkan oleh ibu-ibu mengandung kerana sewaktu 3 bulan pertama janin dalam proses membesar dan menghasilkan organ-organ penting di dalam badan mereka. Namun masih terdapat ubat yang selamat diambil oleh ibu-ibu walaupun semasa 3 bulan pertama mengandung. Bagi merungkai persoalan ibu-ibu mengandung, di sini terdapat panduan apakah ubat yang boleh dan tidak boleh diambil semasa mengandung bagi sakit-sakit yang biasa dialami.

1. Jika demam atau sakit-sakit badan:

Ubat yang selamat dimakan adalah paracetamol (PCM)

Elakkan mengambil ponstan dan ubat tahan sakit yang lain seperti voltaren

Jika demam perpanjangan melebihi 3 hari segera berjumpa dengan doktor berdekatan untuk pemeriksaan lebih lanjut.

2. Jika selsema:

Elakkan mengambil semua jenis ubat selsema seperti actifed, piriton

Apa yang boleh dilakukan oleh ibu-ibu mengandung adalah mengambil vitamin C dan makan banyak buah-buahan dan sayur-sayuran dan banyakkan minum air suam.

3. Jika batuk

Elakkan minum semua jenis ubat batuk

4. Jika cirit-birit

Elakkan mengambil ubat cirit birit (lomotil) dan ubat sakit perut yang memulas akibat cirit birit (buscopan)

Ibu-ibu boleh mengambil ubat garam (ORS-oral rehydration salt) untuk menggantikan garam galian yang hilang daripada badan dan pastikan banyak minum air suam.

Antibiotik selamat?

Terdapat antibiotik yang selamat digunakan semasa mengandung. Di sini saya senaraikan antibiotik yang biasa diberikan oleh doktor-doktor di Malaysia untuk jangkitan yang pelbagai dan ianya selamat digunakan semasa mengandung

-amoxycillin
-erythromycin
-augmentin
-cephalexin

Semoga panduan asas ini membantu anda menentukan ubat yang selamat semasa mengandung. Paling penting jaga kesihatan anda semasa mengandung. Elakkan mengunjungi tempat-tempat kunjungan orang ramai bagi mengelakkan terkena jangkitan terutamanya selsema dan batuk (jangkitan salur pernafasan atas-upper respiratory tract infection) kerana semasa mengandung imuniti ibu-ibu sedikit lemah dengan kehadiran bayi di dalam kandungan. Bagi mengelakkan jangkitan kuman pada salur kencing pula, elakkan menahan diri daripada buang air kecil dan minum banyak air. Semoga anda dan bayi anda sihat dalam proses mengandung, jangan lupa banyak berdoa dan berserah diri kepada Yang Maha Esa, Insya-Allah dimudahkan.

Semoga jumpa lagi.

Monday, November 15, 2010

Tahniah Aiman sayang:)

Alhamdulillah dalam exam akhir tahun satu baru-baru ini Aiman mencatatkan keputusan yang amat membanggakan. Terdapat peningkatan berbanding exam-exam yang terdahulu, alhamdulillah, syukur kepada Allah. Markah-markah Aiman banyak yang sipi-sipi saja lagi nak dapat 100%; Bahasa Arab:98%, Bahasa Melayu:99%, Matematik:99%, Sains:98%. Kedudukan dalam kelas, Aiman mendapat tempat kedua, tempat pertama daripada keseluruhan budak lelaki dalam kelas Aiman..:)...Tahniah daripada ibu dan ayah. Semoga Aiman tidak akan berhenti berusaha kerana ini hanya satu permulaan. Permulaan yang memberangsangkan untuk kejayaan-kejayaan yang akan datang, Insya-Allah. Tahun depan Aiman akan pindah ke kelas pertama dan persaingan semestinya semakin hebat...Apa-apa pun, ibu doakan Aiman akan tidak akan berhenti berusaha kerana setiap kejayaan tidak akan datang secara bergolek...Untuk dapat kejayaan samada kejayaan di dunia dan kejayaan di akhirat semua harus berusaha. Jadi, Aiman jangan lupa juga untuk solat, jangan cuai dan malas untuk sembahyang ya nak...:)...Tahun depan juga Aiman dilantik menjadi pengawas perpustakaan. Semoga ini adalah satu jalan untuk mengasah bakat kepimpinan dan tanggungjawab melaksanakan tugas di dalam diri Aiman....:)...Dan sebagai menghargai usaha Aiman dalam exam kali ini ayah menghadiahkan helicopter control untuk Aiman dan ibu Insya-Allah akan belikan buku untuk Aiman untuk tambahkan koleksi buku-buku Aiman. Semoga kejayaan Aiman akan menjadi contoh juga untuk adik-adik Aiman nanti, Insya-Allah...Selamat berjaya anakku...ibu sentiasa dan tidak putus berdoa untuk kejayaan Aiman di dunia dan juga akhirat....Amin.....


Hadiah dari Ayah



Hadiah dari Ibu

Thursday, November 11, 2010

ANDAI DIRIMU TIDAK DIHARGAI.....

Saya ingin berkongsi satu ingatan yang ringkas tapi significant yang saya dengar daripada ceramah motivasi di IKIM baru-baru ini.

“Janganlah ditangisi jika diri kita tidak dihargai tetapi menangislah jika diri kita sudah tidak berharga lagi”

Kata-kata ringkas di atas mempunyai pelajaran yang amat besar di sebaliknya. Tidak dinafikan dalam menjalani kehidupan kita seharian kadang-kadang seringkali kita berdepan dengan situasi suami/isteri, anak-anak kita, bos kita/orang bawahan kita, ibubapa kita , adik beradik kita tidak menghargai segala kebaikan yang kita berikan kepada mereka. Kerana sememangnya sifat manusia itu jarang suka menghargai kebaikan orang lain. Sudah semestinya kita akan merasa teramat sedih jika menghadapi situasi tersebut, bukan. Tetapi sebenarnya kita tidak perlu menangis kerana sesungguhnya jika kebaikan itu kita lakukan dengan ikhlas semata-mata kerana Allah maka sudah pasti Allah akan memberikan ganjaran kepada hamba-Nya. Sebab itu jika ditanya siapakah yang lebih sayangkan pasangan masing-masing, samada suami lebih sayang kepada isteri atau isteri lebih sayang kepada suami, jawapannya ialah suami/isteri yang sayangkan Allah akan lebih sayang kepada pasangannya....

Namun kita seharusnya menangis jika diri kita sudah tidak berharga. Nilai harga diri seseorang manusia itu terletak pada 3 perkara yang utama:

1. Iman
2. Ilmu
3. Akhlak

Oleh itu, jika kita tiada kesemua perkara yang tercatat di atas atau kita hilang salah satu perkara yang di catatkan di atas, kita seharusnya menangis kerana diri kita seolah-olah tidak berharga lagi di mata manusia mahupun di mata Allah s.w.t. Fikir-fikirkanlah.....

Sunday, November 7, 2010

IMAM AS-SYAFIE, SAYA KAGUM KEPADA ANDA!!!

Adakah anda pengikut ahli Sunnah wal Jamaah? Jika ya, mazhab mana yang menjadi ikutan anda? Secara umumnya mengikut pengetahuan saya, rakyat Malaysia yang beragama Islam adalah pengikut ahli Sunnah Wal Jamaah dan mengamalkan mazhab as-Syafie. Jadi, adakah anda tahu siapa Imam As-Syafie, imam mazhab anda? Jika tidak, saya merasakan anda perlu mengenali siapa dia Imam As-Syafie kerana anda mengamalkan mazhab yang disarankan oleh beliau. Dengan mengenali Imam ikutan kita, kita akan lebih sayang dan kagum kepada beliau. Kata orang apabila kenal barulah benar-benar cinta.

Saya telah membaca buku yang menceritakan sejarah hidup Imam As-Syafie. Buku bertajuk Imam As-Syafie Pejuang Kebenaran hasil tulisan Abdul Latip Talib amat menarik jika anda tercari-cari buku mengenai Imam As-Syafie. Anda boleh dapatkan buku ini di website saya http://www.kasihbuku.com/title-Imam-Syafie-pejuang-kebenaran/isbnno-9789833892518.aspx Cara penulisannya benar-benar memberi kesan, apabila membacanya kita terasa amat rugi untuk berhenti membacanya dan terasa rindu dan teringat-ingat untuk membacanya kembali apabila sudah berhenti.

Setelah membaca buku ini satu perasan yang amat kagum terhadap Imam As-Syafie terlekat di jiwa saya. Banyak sifat positif yang patut menjadi ikutan kita semua sebagai umat Islam dan sebagai pengamal mazhabnya. Sifat Imam As-Syafie yang paling saya kagum adalah KECINTAANnya yang amat tinggi terhadap ILMU. Beliau menuntut ilmu bukan untuk menjadi masyur, menjadi kaya tetapi beliau menuntut ilmu kerana beliau amat cintakan ilmu. Kecintaan terhadap ilmu sebenarnya amat penting dipupuk kepada diri kita sendiri dan keluarga kita juga. Salah satu perkara yang akan membuat diri seseorang adalah berharga baik di dunia mahupun akhirat ialah orang yang berilmu. Imam As-Syafie amat cintakan ilmu sejak kecil lagi. Kemiskinan hidupnya tidak menjadi penghalangnya untuk menuntut ilmu. Pada umur 9 tahun beliau sudah menghafal al-Quran. Ibunya menjadi guru pertama beliau di dalam bacaan al-Quran. Beliau suka mendengar apa sahaja ilmu yang disampaikan oleh imam-imam di Masjidil Haram waktu itu tanpa jemu. Akhirnya beliau dapat menjadi murid kepada kebanyakkan imam-imam yang terkenal di dalam bidang al-Quran, ilmu hadis, ilmu tafsir dan bermacam-macam ilmu lagi termasuk ilmu bersyair. Guru Imam As-Syafie yang paling terkenal ialah Imam Malik pengasas mazhab Maliki. Terasa amat kagum sekali saya terhadap Imam As-Syafie kerana sebelum beliau menuntut ilmu dengan Imam Malik, beliau telah menghafal kitab karangan Imam Malik iaitu kitab Al-Muwatta’. Sehingga Imam Malik sendiri kagum dengan kebolehan Imam As-Syafie (cerita lanjut tentang pertemuan Imam As-Syafie dan Imam Malik boleh di baca di dalam buku ini, pertemuan mereka mungkin agak tragis, jadi jika nak tahu kena beli dan baca sendiri buku ini..:)). Satu kelebihan yang Allah kurniakan kepada Imam As-Syafie ialah beliau mempunyai akal yang amat bijak. Beliau mudah untuk menghafal dan memahami apa jua ilmu yang dipelajari dalam waktu yang singkat. Sepanjang hidupnya dia tidak jemu mengembara demi menuntut ilmu. Beberapa perkara yang positif yang diamalkan oleh Imam As-Syafie boleh kita amalkan dan saya ingin terapkan juga kepada anak-anak saya dalam proses menuntut ilmu iaitu:

Membaca terlebih dahulu buku, dokumen yang berkaitan dengan ilmu yang bakal kita pelajari sebelum kita masuk kelas/bilik kuliah/ seminar yang berkaitan. Dengan membaca terlebih dahulu akan membuatkan kita lebih faham apabila belajar. Di samping itu jika terdapat bahagian yang kita tidak faham semasa pembacaan kita dapat bertanya lebih lanjut dengan guru/ pensyarah/ penceramah yang berkenaan.

Beliau mencatatkan apa jua ilmu yang diajarkan kepada beliau. Disebabkan kemiskinan beliau, beliau tidak dapat membeli kertas untuk menulis. Oleh itu beliau menulis ilmu di atas tulang-tulang, kulit-kulit binatang. Pernah satu ketika beliau hanya menulis ilmu di atas tapak tangan beliau semasa kuliah Imam Malik. Kelakuan beliau menyebabkan Imam Malik marah kerana sangkaannya Imam As-Syafie bermain-main dan tidak menumpukan perhatian. Namun setelah diuji, barulah Imam Malik tahu kebenarannya. Cerita lanjut kena dapatkan buku ini.

Di dalam buku ini juga menceritakan mengenai ketegasan Imam As-Syafie di dalam menangani salahlaku pemimpin/gabenor yang lalai. Beliau sangat tegas di dalam perkara ini. Sehinggakan beliau difitnah disebabkan ketegasan beliau. Jika diperhatikan sikap pemimpin yang lalai amat berleluasa di kalangan pemimpin hari ini. Sikap bermewah-mewah di kalangan pemimpin amat ketara. Jika pada zaman Imam As-Syafie beliau akan menegur sikap pemimpin yang lalai tanpa menghiraukan periuk nasi beliau. Saya amat rindukan kehadiran ulama seperti beliau. Banyak ulama masa kini tidak mengamalkan sikap seperti Imam As-Syafie. Membaca kisah-kisah Imam As-Syafie membuatkan diri saya amat insaf dan saya menangis ketika membaca kisah sewaktu diri beliau difitnah.

Imam As-Syafie juga tidak pernah putus berzikir dan membaca al-Quran. Sembahyang tahajud sentiasa diamalkan. Beliau meninggal disebabkan pendarahan yang terlalu banyak disebabkan buasir. Buasir beliau terjadi kerana beliau waktu siangnya beliau banyak duduk semasa mengajar ilmu-ilmu agama dan waktu malam beliau banyak berdiri menghidupkan solat malam. Membaca kisah beliau membuatkan diri terasa amat kerdil kerana amat culas sekali diri ini untuk bangun sembahyang tahajud di waktu malam. Imam as-Syafie juga tidak pernah menyakiti hati sesiapa termasuk orang yang menyakiti hatinya jua beliau tidak membalas. Jika beliau ingin menegur beliau menegur dengan lembut namun tegas. Saya bercadang untuk memberikan Aiman dan Aqilah membaca buku ini apabila Aiman dan Aqilah sudah mencapai 9 atau 10 tahun kerana banyak sifat positif yang boleh diambil daripada tokoh ini. Semoga Imam As-Syafie juga menjadi idola anak saya Aiman dan Aqilah sebagaimana diri saya menjadikan Imam As-Syafie sebagai idola hidup saya selain daripada Nabi Muhammad s.a.w. Sekali lagi, jika anda berminat untuk dapatkan buku ini anda boleh dapatkan di website saya di http://www.kasihbuku.com/title-Imam-Syafie-pejuang-kebenaran/isbnno-9789833892518.aspx

Tuesday, October 26, 2010

Saya diuji lagi - Ovarian cyst

Alhamdulillah saya selamat menjalani pembedahan laparoscopic cystectomy baru-baru ini tanpa sebarang komplikasi. Syukur ke hadrat Ilahi dan terima kasih di atas semua doa daripada suami, ibu ayah saya , saudara mara dan rakan-rakan yang mendoakan kejayaan pembedahan ini. Laporan ujikaji tisu cyst juga telah saya terima dan alhamdulillah sekali lagi dipanjatkan kesyukuran kepada Allah kerana cyst saya buka sejenis kanser ianya sejenis teratoma, syukur pada-Mu Ya Allah kerana sesungguhnya Engkaulah Tuhan Yang Berkuasa di atas segala-galanya.

Mengimbau kembali ketika saya diberitahu terdapat cyst di ovari sebelah kiri saya baru-baru ini. Saya sebenarnya agak terkejut kerana tiba-tiba dimaklumkan terdapat cyst yang agak besar bersaiz 4x3 cm pada ovari sebelah kiri saya. Sebelum itu saya kerap menjalani ultrasound sewaktu mengalami pendarahan sebelum keguguran tempohari namun di waktu itu tiada sebarang cyst yang kelihatan. Di samping itu juga saya tidak pernah mengalami sengugut atau pendarahan yang melampau sejak saya akil baligh sehingga sekarang. Cyst ini langsung tidak memberi sebarang simptom. Sewaktu dimaklumkan saya seolah-olah bermimpi. Bukannya saya tidak percaya dan redha di atas ujian ini namun kehadirannya yang terlalu cepat membuatkan diri saya terfikir adakah ianya perkara yang paling menakutkan iaitu kanser…Nauzubillah…namun dengan ilmu perubatan yang saya ada memang agak menakutkan kerana pengesananan yang secara tiba-tiba. Kata-kata perangsang dan nasihat suami menenangkan hati saya. Allah sebenarnya sayangkan saya kerana diberikan ujian ini supaya saya sabar menghadapinya. Dengan sifat sabar dan redha saya akan mendapat ganjaran, Insya-Allah. Di samping itu juga cyst ini dapat dikesan sebelum berlaku komplikasi yang memungkinkan salah satu ovari saya terpaksa dibuang. Ya Allah aku hamba-Mu yang hina ini bersyukur ke hadrat-Mu Ya Allah.

Setelah dua minggu selepas pembedahan, saya telah sihat untuk kembali bertugas seperti biasa. Ini kerana pada zaman kini, pembedahan laparoscopic dapat dijalankan berbanding pembedahan biasa pada zaman dahulu. Pembedahan laparoscopic ialah satu pembedahan menggunakan tangan robot untuk membantu para doctor menjalankan pembedahan. Oleh itu luka di bahagian perut hanya berukuran lebih kurang 1cm sebanyak 3 lubang ditebuk pada bahagian perut. Dengan luka yang lebih sedikit pada bahagian perut maka proses penyembuhan adalah lebih cepat.


Sedikit info mengenai ovarian cyst

1. Ovarian cyst ialah pembengkakan cecair yang berlaku pada salah satu telur (ovum) di kilang telur (ovari).

2. Ovarian cyst memang boleh terjadi di kalangan wanita pada peringkat umur reproduktif (umur sewaktu wanita subur dan boleh melahirkan anak). Ini kerana bagi wanita yang subur, pada setiap bulan ovari akan menerima rangsangan daripada hormon untuk mengeluarkan satu telur (ovum). Ovum ini akan keluar dan jika tidak disenyawakan ianya akan mati dan wanita akan mengalami haid selepas itu dengan perubahan hormon yang berlaku juga.

3. Antara jenis ovarian cyst:

a. Dermoid cyst/teratoma (seperti yang dialami oleh saya)
Cyst ini tidak akan mengganggu kitaran haid. Pesakit biasanya tidak akan merasa senggugut dengan kehadiran cyst ini. Cyst ini akan terus membesar jika tidak dibuang melalui kaedah pembedahan. Kandungan di dalam cyst ini boleh terdiri daripada sel-sel lemak, sel-sel rambut dan juga sel-sel gigi, sel-sel tulang dan sel-sel rawan. Apabila cyst ini membesar risiko untuk cyst ini terpusing (twisted ovarian cyst) dan juga terpecah (ruptured) adalah tinggi. Jika ovari terpusing atau pecah maka ovari perlu dibuang kerana ovari telah mati disebabkan gangguan bekalan darah ke ovari tersebut.

b. Functional cyst
Cyst ini boleh terbentuk apabila ovulasi tidak berlaku dan ovum yang sepatutnya keluar tiba-tiba mati. Kebiasaannya cyst ini akan boleh hilang dengan sendiri (regress) selepas beberapa bulan.

c. Endometrial cyst
Pada cyst ini terdapat tisu-tisu rahim (uterus) di dalam cyst ini. Oleh itu, pesakit berkemungkinan tinggi akan merasa senggugut setiap kali datang haid dan cyst ini kemungkinan juga akan mengganggu kesuburan wanita.

d. Corpus luteum cyst
Cyst ini terbentuk semasa wanita hamil. Cyst ini akan membantu bayi dengan kehadiran hormon-hormon yang tertentu pada peringkat awal kehamilan agar bayi tidak gugur.

Wednesday, August 25, 2010

Tazkirah bulan Ramadhan...Untuk ingatan diriku dan dirimu...

Hari ini masuk hari ke-16 kita umat Islam berpuasa. Bermakna tinggal separuh bulan lagi Ramadhan meninggalkan kita. Bersama-sama kita bermuhasabah diri bagaimana ibadah kita di bulan yang mulia ini. Adakah solat wajib kita terjaga waktunya?Berapa banyak solat sunat yang telah kita lakukan?Berapa mukasurat al-Quran yang telah kita baca. Jika ada perubahan yang baik Ramadhan ini berbanding Ramadhan yang lepas, Alhamdulillah. Namun jika tidak, fikir-fikirkanlah dimana letaknya diri kita di samping Allah s.w.t…..

Tuesday, August 24, 2010

Panduan asas: Pendarahan semasa bulan awal mengandung


Saya ingin memberikan panduan kepada pembaca mengikut ilmu perubatan apa yang harus anda buat jika terdapat pendarahan semasa mengandung, apa yang mungkin menyebabkannya, apa yang akan doktor akan lakukan kepada anda. Semoga panduan asas ini akan dapat membantu anda dan memahami apa yang terjadi kepada diri anda….


Apa yang harus saya lakukan jika saya dapati saya mengalami pendarahan semasa bulan awal (kebiasaannya 12 minggu) mengandung?

Perkara pertama yang harus anda lakukan adalah anda harus segera berjumpa dengan doktor. Jika anda telah mempunyai buku rawatan semasa mengandung (jika di klinik/hospital kerajaan di Malaysia, buku ini berwarna merah jambu) jangan lupa bawa buku ini sewaktu berjumpa doktor.


Apakah yang akan doktor lakukan kepada saya

1. Perkara pertama doktor akan bertanya mengenai maklumat kandungan anda iaitu:

i.Tarikh akhir period anda (hari pertama datang kotor) dan samada anda pasti tarikh
tersebut ataupun tidak

ii. Berapa banyak darah yang telah keluar

iii. Adakah anda mempunyai sakit perut ataupun tidak

iv. Adakah anda mempunyai demam

2. Doktor kemudiannya akan memeriksa perut anda untuk melihat tanda kesakitan atau tidak.

3. Doktor akan melakukan ultrasound untuk melihat IUGS (Intrauterine Gestational Sac) atau kata lain bayi yang berada didalam kantung di dalam perut anda samada ianya berada didalam uterus ataupun diluar uterus. Ini kerana bagi mereka yang mengandung di luar rahim juga, mereka kadang-kadang boleh mendapat pendarahan semasa mengandung di samping rasa sakit perut yang amat teruk. Jika terdapat IUGS dikesan di dalam rahim, maka doktor akan mengukur saiz IUGS tersebut untuk melihat adakah ianya bertepatan dengan tarikh atau tidak. Di samping mengukur, bentuk kantung juga dilihat samada masih normal atau tidak. Di samping itu juga doktor akan mengesan kehadiran jantung bayi semasa ultrasound dilakukan.
Apakah yang akan doktor lakukan jika tidak dapat mengesan kehadiran jantung bayi?
Jika kandungan anda masih awal iaitu dalam lingkungan 5-6 minggu kemungkinan jantung bayi tidak akan dapat dikesan dengan ultrasound melalui perut. Maka doktor akan melakukan ultrasound melalui vagina anda. Anda jangan merasa takut kerana imbasan ini tidak akan menyakitkan anda. Ultrasound tersebut bersaiz kecil (bukan sebesar ultrasound pada perut) dan ianya hanya diletakkan di muka pintu vagina sahaja. Tetapi rasa sedikit selesa mungkin ada.

Macamana saya akan tahu samada saya gugur atau tidak?

Keguguran bayi mengikut ilmu perubatan dibahagikan kepada 3 iaitu:

1. Threaten abortion
Bermakna ibu mengalami pendarahan vagina namun bayi masih sihat. Saiz dan bentuk kantung masih normal dan jantung bayi akan dapat dikesan.

2. Complete abortion
Bayi beserta kantung telah keluar bersama dengan lengkap semasa pendarahan berlaku. Bentuknya adalah seperti kandungan perut ikan di dalam kantung. Oleh itu, amatlah penting bagi anda membawa sesuatu yang keluar dari vagina anda sewaktu pendarahan berlaku untuk ditunjukkan kepada doctor kerana mungkin ianya janin anda yang telah keluar. Kebiasaan bagi complete abortion pesakit akan mengalami sakit perut sebelum janin keluar dan sakit perut terus hilang selepas janin keluar.

3. Incomplete abortion
Janin telah keluar tetapi tidak lengkap. Bagi kes seperti ini, pesakit akan merasa sakit perut sebelum dan juga selepas janin keluar.

4. Missed abortion
Semasa doktor melakukan imbasan, doktor akan dapati kantung bayi telah kosong (hanya tinggal kantung) atau jantung bayi tidak dapat dikesan.



Bagaimana doktor akan merawat saya?


Threaten abortion
Doktor akan membekalkan anda ubat Duphaston bagi menguatkan rahim anda dan akan memberikan anda cuti sakit untuk berehat di rumah selama beberapa hari.


Complete abortion
Selepas memeriksa janin yang anda bawa, doktor akan menjalankan pemeriksaan pada bahagian vagina anda bagi memeriksa samada pintu rahim sudah tertutup ataupun tidak dan melihat samada masih terdapat pendarahan yang banyak daripada pintu rahim dan terdapat sisa janin atau darah beku di pintu rahim. Jika tiada, doktor akan melakukan ultrasound untuk memastikan tiada sisa IUGS tertinggal di dalam rahim. Setelah pasti, anda boleh pulang ke rumah dan akan diberikan cuti rehat selama seminggu. Di samping itu, doktor akan membekalkan ubat antibiotik dan ubat ponstan kepada anda. Ubat antibiotic bagi mengelakkan adanya jangkitan di dalam rahim. Manakala ubat ponstan pula untuk mempercepatkan rahim untuk mengecut. Ubat antibiotik harus dihabiskan dan ubat ponstan hendaklah dimakan selama seminggu mengikut aturan.


Incomplete abortion
Sepertimana kes complete abortion, doctor akan memeriksa janin yang anda bawa, memeriksa pintu rahim dan melakukan ultrasound. Bagi kes incomplete abortion, pintu rahim masih akan terbuka dan kemungkinan terdapat sisa janin dan darah beku di pintu rahim. Ultrasound juga akan mendapati masih terdapat sisa IUGS di dalam rahim anda. Bagi kes seperti ini doktor akan melakukan D&C untuk mencuci sisa janin yang tertinggal. Sama seperti complete abortion, anda akan dibekalkan ubat antibiotic dan ubat ponstan semasa pulang ke rumah.


Missed abortion
Bagi kes seperti ini, pintu rahim adalah masih tertutup. Kebiasaannya doktor akan memberi masa untuk janin untuk keluar sendiri. Namun begitu, selepas tempoh beberapa lama, janin masih tidak juga keluar, para doctor akan melakukan samada D&C atau memasukkan ubat ke dalam vagina anda untuk merangsang pintu rahim untuk terbuka. Sama seperti complete dan incomplete abortion, anda akan dibekalkan ubat antibiotic dan ubat ponstan apabila keluar daripada wad.

Semoga info ini berguna untuk dijadikan panduan dan memahami apa yang berlaku kepada diri anda.

Wallahua’lam.

info mengenai keguguran (miscarriage)

Sepertimana yang telah kawan-kawan sedia maklum, baru-baru ini saya mengalami keguguran (miscarriage) kandungan. Ini merupakan pengalaman kedua saya mengalami keguguran (miscarriage). Kali pertama sewaktu kandungan kedua iaitu selepas Aiman. Saya menerima dengan redha apa yang telah ditentukan oleh Allah kepada saya. Saya percaya banyak hikmah yang tersembunyi yang telah ditentukan oleh Allah kepada saya. Hanya Allah sahaja Yang Maha Mengetahui atas segala sesuatu. Sebelum saya mengalami keguguran pada kali ini, saya telah mengalami pendarahan selama dua minggu. Pada mulanya setitik sahaja sehari selama seminggu dan kemudian ia bertambah. Namun begitu saya tiada langsung mengalami sakit perut. Waktu mengandung kali ini juga, paling banyak saya membuat ultrasound kerana ingin melihat keadaan bayi saya. Dalam pada itu, saya berserah diri kepada Allah. Semasa mengandung kali inilah, saya paling banyak membaca al-Quran. Mungkin ini satu jalan Allah menguji saya untuk mendekatkan diri saya kepada-Nya. Apabila membaca al-Quran beserta maknanya membuatkan hati saya tabah, kuat dan redha menerima segala ketentuan-Nya. Semasa saya mengalami pendarahan, saya panjatkan doa kepada Allah s.w.t agar Allah kurniakan bayi saya kesihatan yang sempurna dan semoga dia bakal menjadi seorang bakal penyambung lidah nabi. Namun, Allah lebih sayang kepada dirinya. Bayi saya meninggalkan saya sewaktu saya tidur. Saya tidak mengalami sebarang sakit perut semasa bayi saya keluar. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Berkuasa.


Firman Allah s.w.t Surah A-Li ‘Imraan ayat 6

Maksudnya : Dialah yang membentuk rupa kamu dalam rahim (ibu kamu) sebagaimana yang dikehendakiNya. Tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana.

Membaca ayat ini membuatkan saya merasa amat insaf. Betapa lemahnya saya insan yang tidak berupaya terhadap segala-galanya. Nyawa saya dan anak-anak yang ada bersama saya ini hanyalah pinjaman daripadanya dan kita harus bersyukur kepada Allah yang mengurniakannya kepada kita dengan melakukan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang. Sesungguhnya Ya Allah hambaMu ini amatlah lemah dan tidak berupaya Ya Allah.


Jika menurut ilmu perubatan juga sebenarnya tidak diketahui punca sebenar berlakunya keguguran bayi. Dan bagi sesetengah wanita kerap mengalaminya berbanding dengan yang lain namun wanita atau suami tidak mempunyai sebarang risiko. Di situ datangnya keyakinan kita terhadap kuasa Allah seperti ayat-ayat di atas, hanya Allah sahaja yang berkuasa di atas segala-galanya.

Sedikit info mengenai keguguran (miscarriage) mengikut ilmu perubatan (adaptasi daripada baby centre)

Apakah keguguran bayi (miscarriage)

Keguguran adalah kehilangan bayi sebelum minggu ke 24 mengandung. Jika berlaku sebelum 12 minggu ia dikenali sebagai keguguran awal dan selepas minggu ke-12 hingga ke-24, keguguran lewat. Kebiasaanya keguguran adalah berlaku di peringkat awal iaitu sebelum minggu ke-12 mengandung.

Apakah yang menyebabkan keguguran

Kebiasaanya keguguran berlaku adalah disebabkan embrio tidak dapat membesar sepertimana yang sepatutnya. Disebabkan itu para doktor mengandaikan kemungkinan berlaku masalah pada kromosom namun sebab sebenarnya tidaklah dapat diketahui. Punca sesetengah wanita mengalami keguguran lebih kerap berbanding wanita lain juga tidak juga diketahui.

Antara risiko mudah berlakunya keguguran bagi seseorang wanita

1. Umur
Semakin berusia seseorang wanita, semakin besar potensi dirinya untuk mengalami keguguran. Bagi wanita berusia 30-an, kejadian keguguran 1:5 dan bagi umur 42 ke atas 1:2.

2. Masalah kesihatan
i. Obesiti, pesakit diabetes, pesakit thyroid, antiphospholipid syndrome, SLE
ii. Uterus yang tidak normal
iii. Jangkitan toxoplasmosis

3. Cara hidup
Merokok, minum arak dan mengambil dadah.


Tanda-tanda anda mengalami keguguran
1. Pendarahan semasa mengandung
2. Ultrasound mendapati kantung yang kosong
3. Tanda-tanda mengandung semakin hari semakin hilang


Keguguran merupakan satu peristiwa yang akan memberikan kesan emosi kepada ibu yang mengandung terutama kepada mereaka yang kerap mengalami keguguran. Dapatkan sokongan daripada suami, keluarga dan kawan-kawan semasa saat ini. Dan sebagai orang Islam tempat mengadu yang paling baik adalah kepada Allah s.w.t. Berdoalah kepada yang Esa semoga diberikan ketenangan dan ketabahan kepada hati kita bagi menghadapinya. Bacalah ayat-ayat Al-Quran semoga ianya menjadi penawar yang paling mujarab untuk hati kita. Insya-Allah. Wallahua’alam.



Thursday, August 19, 2010

Cerita puasa Aiman 7 tahun

Hari ini dah masuk 10 hari berpuasa. Macam-macam ragam dan cerita yang say abaca di blog kawan-kawan mengenai pengalaman anak masing-masing dalam menjalankan ibadah puasa tahun ini. Namun, bagi saya latihan berpuasa bagi kanak-kanak boleh mengikut kesesuaian masing-masing. Ikut tahap kanak-kanak tersebut. Ada kanak-kanak yang kuat dan dapat menahan lapar waktu puasa selama sebulan dan ada yang tidak. Bagi saya, jikalau anak sudah nampak terlampau letih atau membawa komplikasi kesihatan tidak ada salahnya untuk kita sebagai ibu bapa mengajar mereka belajar berpuasa secara perlahan-lahan bukan secara drastic. Mungkin mula-mula puasa separuh hari. Bila dah ok, mungkin puasa makanan sahaja, air boleh minum dan kalau larat tahan boleh terus sampai berbuka. Pendekatan boleh diambil mengikut kesesuaian masing-masing. Jadi, di sini saya ingin mencoretkan pengalaman anak sulung saya Muhammad Aiman dalam usia 7 tahun berpuasa tahun ini.

Ramadhan kali ini agak berbeza sikit buat Aiman. Tahun lepas masa 6 tahun, saya lewatkan sikit sahurnya dalam pukul 8 pagi sebelum pergi ke sekolah. Tahun ini, dah sekolah betul-betul, jadi saya dan suami cuba untuk ajar Aiman untuk bangun sahur waktu betul-betul sahur. Tetapi tak berapa berjaya sebab bila terlalu awal bangun sahur, Aiman tak selera untuk jamah nasi, hanya makan roti dan milo untuk sahur. Jadi 2-3 hari, tenaganya tak banyak untuk tahan lapar, ada juga lar puasa yang bocor. Dengan persetujuan bersama kami dan Aiman kami lewatkan sedikit sahurnya ke jam 6.30 pagi, selepas ayah balik sembahyang subuh berjemaah di surau. Cerita terperinci tentang puasa Aiman kat bawah:

Hari pertama : Aiman demam, jadi tak pergi sekolah. Waktu sahur dah siap-siap bagi makan ubat. Hari ini Aiman sahur sebelum subuh. Alhamdulillah demam Aiman tak teruk. Jadi, Aiman dapat puasa penuh. Bila duduk kat rumah tak berapa sedar masa berjalan kerana sibuk main computer games atau tengok tv.

Hari kedua : Demam Aiman dah baik. Jadi, Aiman pergi sekolah. Kat sekolah, Aiman tak tahan tengok kawan makan kat kantin waktu rehat. Aiman beli makanan dan makan dalam pukul 3.30 petang. Bila balik rumah, cakap kat ibu, respons ibu, alahai sayangnya lagi 4 jam aje nak berbuka. Aiman cakap nanti Aiman akan ganti puasa yang tertinggal ni. Alahai, sweetnya anak ibu.

Hari ketiga – hari keenam : Aiman berjaya puasa penuh. Tetapi waktu hari keenam, kaki dan tangan Aiman sakit, lemah dan cramp waktu dah hampir nak berbuka puasa. Bila dah habis makan pun kaki masih sakit. Ibu bimbang takut-takut potassium kurang dalam badan Aiman sebab dalam masa puasa penuh ini Aiman tidak selera makan waktu sahur dan juga waktu berbuka makan sedikit. Ibu bagi Aiman minum air garam (ORS) yang ada dalam simpanan ubat dan ayah urut-urut kaki Aiman bagi hilang rasa sakit. Lepas dalam 10 minit urut, Aiman dah rasa lega, Alhamdulillah.

Hari ketujuh – kelapan : Bila sampai waktu tengahari, Aiman mengadu kat ibu rasa lapar. Ibu bagi suruh Aiman sabar. Ibu cakap anak ibu kuat. Ibu cakap waktu kecik-kecik berlatih puasa nanti bila besar senang puasa. Kalau tak latih dari kecik, nanti dah besar susah nak puasa. Ibu cerita pasal ada kawan Pak Long yang tak puasa. Waktu bulan puasa dia suruh kawan India belikan makanan dan makan bawah meja. Tak malu kan!...Tapi nasihat ibu tak jalan jugak…huhu…Aiman tetap tak tahan lapar. Dia cakap rasa perut kena gigit-gigit. Dalam kelas pun masa puasa penuh, Aiman amat lemah dalam kelas. Hati ibu tak tahan tengok Aiman merayu, jadi ibu bagi Aiman milo sahaja untuk alas perut. Makan tak boleh. Aiman setuju. Jadi dua hari itu, Aiman minum segelas milo sahaja sebelum pergi ke sekolah. Waktu di sekolah Aiman tidak makan pun masa rehat. Aiman pergi library.

Hari kesembilan : Ibu dah habis MC. Jadi, Aiman duduk rumah pengasuh (Auntie Gee) selepas balik mengaji dan sebelum pergi sekolah. Duduk rumah pengasuh, Aiman malulah nak minta minum milo jadi Aiman berjaya puasa penuh. Ibu puji dan peluk Aiman hari ini sebab Aiman dapat puasa penuh. Syukur…

Hari kesepuluh : Hari ini. Ibu doakan semoga Allah kurniakan Aiman kekuatan, kesabaran dan dapat menahan lapar. Nak tahu berjaya atau tidak kena tunggu Aiman balik sekolah hari ini.
Memang sebagai ibu saya tidak nafikan memang terdapat cabaran dalam kita mengasuh anak-anak dalam menjalani ibadah ini. Namun, jika dikenang-kenang kenangan ini akan menjadi kenangan terindah buat diri kita dan anak kita di masa akan datang, Insya-Allah. Di samping itu, sentiasa panjatkan doa kepada Allah s.w.t supaya diberikan kekuatan, kesabaran kepada anak-anak kita dalam menjalani latihan ibadah ini. Sepertimana yang kita semua yakin bahawa doa seorang ibu itu amatlah mudah dimakbulkan oleh Allah dan lebih-lebih lagi di bulan Ramadhan yang penuh berkat ini. Akhir kata, selamat berpuasa untuk semua para ibu dan anak-anak semua...

Thursday, August 12, 2010

Baby dah takde...

Assalamualaikum...

Untuk pengetahuan rakan-rakan semua, saya telah mengalami keguguran (miscarriage) pada 10 Ogos 2010. Sebelum keguguran saya mengalami pendarahan selama 2 minggu. Saya redha dengan ketentuan Ilahi. Sesungguhnya hanya Allah yang Maha Berkuasa mematikan dan menghidupkan hamba-hambaNya....

Wallahua'alam...

Wednesday, July 21, 2010

Lagi promosi KasihBuku.com



Website http://www.kasihbuku.com/ merupakan satu inisiatif yang dijalankan oleh saya dan suami saya. Kami memilih untuk memulakan perniagaan bagi mengikut jejak langkah idola kami, Rasulullah yang dikasihi Nabi Muhammad s.a.w. .Baginda sendiri pernah menjadi peniaga dan terdapat hadis yang pernah disabdakan mengenai perniagaan iaitu 9/10 punca rezeki adalah daripada perniagaan. Jadi berbekalkan semangat daripada hadis Rasulullah s.a.w yang tercinta, kami mengambil langkah memulakan perniagaan buku melalui website kami iaitu http://www.kasihbuku.com/.

Mungkin ada yang bertanya kenapa memilih perniagaan buku dan bukan perniagaan-perniagaan yang lain? Jawapannya adalah kerana ayat pertama yang diturunkan oleh Allah s.w.t sendiri adalah Iqra’ bermaksud Bacalah. Ini menunjukkan peri pentingnya aspek pembacaan dan ilmu di sisi agama Islam. Di samping itu terdapat banyak hadis-hadis yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w sendiri mengenai kepentingan ilmu. Antara hadis yang berkaitan dengan ilmu adalah “Jika kamu ingin mendapatkan dunia, dengan ilmu, jika kamu ingin mendapatkan akhirat, dengan ilmu, jika kamu ingin mendapat kedua-duanya juga dengan ilmu”. Memang sesiapa pun tidak akan dapat nafikan, dengan ilmu seorang miskin boleh merubah hidupnya daripada miskin kepada hidup yang lebih sempurna. Ilmu juga dapat memisahkan di antara manusia yang jahil dengan orang yang berilmu. Orang-orang jahil mudah ditipu oleh manusia-manusia yang jahat yang menggunakan kejahilan si jahil. Namun dengan ilmu, kita tidak akan mudah ditipu oleh manusia yang tidak bertanggungjawab. Harta yang banyak jika digunakan tanpa ilmu akan habis tanpa sebarang kebaikan namun ilmu akan bermanafaat kepada sesiapa sahaja selagi mana ianya disebarkan. Orang yang berilmu kebiasaannya di pandang tinggi oleh masyarakat berbanding mereka yang jahil.

Tabiat suka kepada ilmu, suka membaca harus dipupuk sejak kecil. Oleh itu, kami memilih untuk menjual buku-buku kanak-kanak supaya dapat menggalakkan ibu bapa membeli buku-buku untuk anak-anak mereka supaya membaca menjadi tabiat mereka sedari kecil. Bila sifat suka membaca sudah dipupuk, maka mudahkan anak-anak ini membesar dengan sifat suka membaca dan menjadi seorang yang berilmu. Seperti kata pepatah jika hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya. Oleh itu, buku-buku yang dijual di Kasihbuku.com adalah buku-buku yang berkualiti dan menarik agar kanak-kanak suka dan gembira memiliki buku tersebut.

Sebagai ibubapa juga kita perlu melengkapkan diri kita dengan ilmu untuk mendidik anak-anak. Tiada perkara di dalam dunia boleh kita dapat secara spontan sebagaimana sabda Rasulullah jika hendak mendapatkan dunia dan akhirat mestilah dengan ilmu. Jadi Kasihbuku.com sekali lagi mengambil pendekatan menjual buku-buku agama melalui website kami supaya semua ibubapa yang berada di luar sana menjadi ibubapa yang berilmu dan dapat mendidik anak-anak generasi akan datang menjadi generasi yang hebat.

Sebagai menghargai sokongan anda kepada Kasihbuku.com, kami menawarkan harga buku-buku yang semestinya lebih rendah dari harga pasaran. Kos penghantaran juga PERCUMA bagi pembelian RM100 ke atas dan diskaun bagi pembelian-pembelian tertentu (seperti tertulis di laman hadapan). Semoga anda semua akan berpuas hati dan seronok membeli buku di Kasihbuku.com.

Niat kami bukanlah semata-mata ingin mencari keuntungan tetapi yang paling penting anda minat membaca perkara-perkara yang baik, dapat menyuburkan tabiat membaca kepada anak-anak anda sedari kecil. Kami juga ingin mengubah persepsi jika membeli buku bernilai RM20 sudah berasa mahal namun jika membeli pakaian atau makan di restoran sejumlah RM20 terasa begitu kecil nilainya. Kami berharap melalui Kasihbuku.com, ilmu itu lebih dicintai dan lebih dihargai. Jika perkara-perkara seperti tersebut dapat dicapai, ianya akan memberi kepuasan yang lebih bermakna kepada kami di kasihbuku.com. Semoga anda akan terus menyokong kami di Kasihbuku.com.

Antara buku-buku best di http://www.kasihbuku.com/

1) Untukmu Wanita yang ditulis oleh Ustaz Zaharuddin hanya RM 19.00 (harga asal:Rm21)
Buku ini sesuai dimiliki oleh semua wanita yang boleh dijadikan panduan kepada wanita mengenai masalah aurat, tanggungjawab wanita sebagai anak, isteri dan juga ibu dalam mendidik anak-anak

2)Langit Ilahi oleh Hilal Asyraf hanya RM 19.00 (harga asal 21)
3)Aku terima nikahnya oleh Ustaz Hasrizal hanya RM 19.00 (harga asal RM 20.90)
4) Bercinta Sampai ke Syurga oleh Ustaz Hasrizal hanya RM 22.50 (Harga asal RM 25.00)
5) Murabbi Cinta oleh Ustaz Hasrizal hanya RM 22.50 (Harga asal RM25.00)
6)365 Tips Sihat Gaya Rasulullah hanya RM 10.00
7) Dashsyatnya doa ibu hanya RM 13.00
8) Biografi Muhammad bin Abdullah hanya RM 29.00 (harga asal RM 35.00)

Banyak lagi buku-buku yang menarik menanti anda di http://www.kasihbuku.com/

Semoga kawan-kawan sudi berkunjung ke website saya dan membeli-belah buku-buku agama dan juga kanak-kanak dan buku baby di KasihBuku.com.


Sekian, terima kasih.

Thursday, July 15, 2010

Promosi Website Bukuonline saya

Salam semua...saya menjemput semua rakan-rakan blogger untuk jenguk website buku online saya yang dibangunkan oleh suami saya di http://www.kasihbuku.com. Yang paling pasti kami menawarkan HARGA BUKU-BUKU YANG LEBIH RENDAH DARI HARGA PASARAN.

Saya menanti kedatangan kawan-kawan semua....:)

Selamat membeli buku...


Daripada Ibnu Mas'ud r.a berkata: Rasulullah s.a.w bersabda: "Semoga Allah memberikan kebaikan dan keindahan akan seorang yang mendengar daripada kami sesuatu lalu ia menyampaikannnya kepada orang lain. Maka barang kali orang yang mendengar itu lebih mengambil manafaat daripada orang yang menyampaikannya".
Hadis Riwayat At Tirmidzi

Thursday, July 8, 2010

Adakah selamat memberikan ubat selsema dan ubat batuk kepada kanak-kanak?



Masalah selsema dan batuk disebabkan jangkitan viral mungkin adalah perkara biasa jika dihadapi oleh orang dewasa namun bagi ibu-ibu yang mempunyai bayi, serangan selsema dan batuk kepada bayi mereka boleh memberikan kesan yang besar kepada ibu-ibu. Ketidakselesaan bayi sewaktu menyusu dan ketika bayi tidur boleh meruntun hati ibu melihat anak-anak yang tidak selesa.

Jika ibubapa membawa anak mereka berjumpa dengan para doktor adalah dinasihati mereka menyemak kembali label ubat yang diberikan oleh doktor terutama bagi bayi yang berumur 2 tahun ke bawah. Ini kerana terdapat ubat selsema yang BERBAHAYA kepada bayi yang mana boleh menyebabkan bayi mengalami masalah pernafasan. Disebabkan implikasi yang mungkin timbul kesan ubat selsema tersebut, Drug Control Authority Malaysia (DCA) telah bersepakat mengeluarkan AMARAN dilabel ubat-ubat selsema yang dikenalpasti bagi mengelakkan implikasi yang bakal timbul. Amaran yang dikeluarkan adalah;

(a) Not to be used in children less than 2 years of age (Jangan diberikan kepada kanak-kanak kurang daripada usia 2 tahun) dan
(b) To be used with caution and on doctor’s or pharmacist’s advice in children 2 to 6 years of age (Digunakan dibawah pemantauan dan nasihat oleh doktor atau ahli farmasi bagi kanak-kanak berusia di antara 2 hingga 6 tahun).

Antara ubat selsema dan batuk yang terlibat adalah:

Actifed (Tripolidine)
Phenergan (Promethazine) - juga digunakan untuk menahan muntah
Diphenhydramine (Benadryl)
Brompheramine
Chlorpheramine
Clemastine
Dexbrompheniramine
Pheniramine
Dextromethorpan

Antara ubat titis hidung yang terlibat:

Ephedrine
Phenylephrine
Pseudoephedrine

Adalah dinasihatkan ibubapa mengambil berat mengenai perkara ini. Jika klinik yang dilawati tidak melabelkan nama ubat yang sebenar di botol ubat, hanya menandakan ubat selsema/ ubat batuk/ ubat titis hidung, para ibu bapa hendaklah meminta mereka menulis nama sebenar ubat di botol berkenaan supaya kita akan dapat mengetahui apa sebenarnya ubat yang diberikan oleh mereka. Selain dapat melindungi diri anak kita daripada perkara yang tidak sepatutnya (Nauzubillah), ianya juga boleh ditunjukkan kepada pihak hospital jika sesuatu perkara yang tidak diingini berlaku dan tindakan sepatutnya akan dapat diambil.

Antara langkah yang boleh diambil semasa bayi anda mengalami selsema adalah memberikan air suam yang kerap kepada bayi dan berikan rehat yang secukupnya kepada bayi selain memberikan makanan yang berkhasiat seperti sayur-sayuran kepada bayi. Kepada ibu-ibu yang menyusu, terdapat BONUS yang terdapat kepada bayi anda kerana antibodi daripada susu ibu dapat membantu bayi dalam menyembuhkan masalah selsema. Jadi, teruskan menyusu bayi anda dengan selesa dan gembira.

Saya menasihati ibu bapa diluar sana mengambil berat akan hal ini dan sebarkan pengetahuan ini kepada rakan-rakan dan juga keluarga anda. Seperti yang selalu saya tekankan selama ini ILMU adalah amat penting dalam menjalani kehidupan ini. Dengan ILMU kita akan dapat membezakan antara yang benar dan salah samada dalam ilmu dunia mahupun ilmu akhirat. Wallahua’alam.

Alhamdulillah...masalah blog settle

Alhamdulillah...hari ini, saya cuba tukar design baru blog saya. Warna rumput yang kehijauan menarik minat mata saya kali ini, terasa damai memandangnya. Kemudian cuba masukkan kesemua blog list yang saya follow dan segalanya dimudahkan oleh Allah rupanya. Baby ticker dari babyastrology juga dapat dimasukkan dengan mudah. Rupa-rupanya semalam saya tidak perasan rupanya ada cara yang mudah untuk masukkan baby ticker itu, cuma clik kepada column blog dan ianya automatik masuk ke blog saya, alhamdulillah segalannya dimudahkan oleh-Nya....Sesungguhnya memang benar kita hambanya yang lemah dan segalanya yang berlaku atas keizinan dan kekuasaan daripada Allah jua...Alhamdulillah

Wednesday, July 7, 2010

Indahnya sifat SABAR

Selalu kita dengar sedari kecil lagi ungkapan bahawa sabar itu separuh daripada Iman. Ungkapan ini ternyata amat BENAR sekali. Baru-baru ini sewaktu mengikuti bengkel OSCC (One Stop Crisis Center), antara yang dibincangkan di program berkenaan mengenai kes-kes penderaan isteri oleh suami (Bagi yang belum mengetahui, OSCC adalah satu perkhidmatan yang diberikan oleh semua jabatan kecemasan di semua hospital kerajaan bagi menangani kes-kes penderaan kanak-kanak, penderaan isteri, kes-kes rogol dan liwat). Sewaktu membincangkan mengenai kes-kes penderaan isteri, kebanyakan kes yang berlaku berpunca daripada sikap suami yang tidak sabar, panas baran dan bertindak dengan sewenangnya memukul para isteri mereka. Lalu natijah daripada sikap ini, bukan sahaja isteri yang menjadi mangsa malahan anak-anak juga yang menerima kesannya. Anak-anak yang melihat ibu mereka dipukul sudah tentu terganggu emosi mereka. Malahan kesan tindakan ini mungkin boleh membawa kepada kes-kes perceraian. Jika kita melihat kepada kes-kes perceraian, kesan buruknya adalah melebihi kesan baik. Oleh sebab itu di dalam ajaran Islam, perkara halal yang paling DIBENCI oleh ALLAH adalah perceraian di antara suami isteri.

Semasa perbincangan mengenai kes-kes ini saya terfikir bahawa alangkah indahnya jika para suami menggunakan akal fikiran yang dikurniakan oleh ALLAH untuk bersabar. Jika mereka bersabar, isteri tidak akan dipukul, anak-anak tidak akan terganggu emosi dan sudah pastilah kes-kes perceraian akan dapat dijauhkan. Implikasi perceraian amatlah besar kepada anak-anak kerana mereka terpaksa memilih di antara dua orang yang mereka sayangi. Terdapat dimana kes si ibu mencuba pelbagai cara untuk elakkan anak daripada berjumpa kembali dengan ayahnya dengan melarang anaknya untuk keluar dari rumah dan pergi ke sekolah selama berbulan-bulan. Ada juga kes di mana ibu dan bapa saling memburukkan pasangan masing-masing di depan anak-anak. Cuba bayangkan bagaimanakah kesan emosi dan psikologi anak-anak yang menghadapinya. Kesan buruk kes-kes seperti ini adalah berterusan dan sebenarnya kesan buruk yang berterusan ini boleh DIELAKKAN dengan satu jawapan iaitu sikap SABAR.

Teringat satu cerita yang agak terkenal iaitu mengenai para sahabat yang ingin mengadu kepada Umar al-Khattab mengenai isteri mereka yang suka berleter. Apabila mereka sampai di rumah Umar, mereka mendengar isteri Umar juga sedang meleteri Umar al-Khattab. Apabila diceritakan masalah mereka, Umar menasihati mereka supaya BERSABAR kerana kata Umar seorang isteri itu telah banyak berkorban untuk keluarga, menjaga anak-anak dengan baik, menyediakan makan minum dan memenuhi kehendak suami sewaktu diperlukan yang mana mengelakkan suami daripada berzina. Jadi apa salahnya jika para suami bersabar sedikit dengan leteran para isteri mereka. Nasihat Umar itu pada pandangan zahir mungkin kita rasa biasa, namun jika kita kaji dan fikir kembali natijah jika para suami tidak sabar dan sewenangnya menceraikan isteri mereka yang suka berleter, implikasinya amat besar bukan sahaja kepada keluarga mereka tetapi juga pada masyarakat.

Jadi sama-sama kita fikir-fikirkan. Wallahu’alam.

Tuesday, July 6, 2010

Masalah blog...

Arini saya cuba masukkan babyastrology kat blog saya, natijahnya data yang ada kat blog macam blog list dan juga follower sumer hilang...saya ni tak berapa pandai IT, tak tahu nak buat mcmana, panik pun ada ni, sedih pun ada...cuba-cuba betulkan namun tak jadi-jadi jugak...ada sesiapa boleh tolong???

Happy Birthday Aqilah - 2 tahun

6 Julai 2010, genap usia Nur Alisha Aqilah bt Muhammad Rizal 2 tahun. Alhamdulillah sehingga ke hari ini, Aqilah masih breastfeeding. Kalau ikutkan tempoh menyusu, tempoh 2 tahun kira dah macam graduate...hehe...namun ibu Insya-Allah akan teruskan menyusu Aqilah sampai peringkat phD pulak..:)...Happy birthday sayang, ibu doakan Aqilah akan jadi seorang anak yang solehah. Bila dah besar nanti rajin sembahyang, rajin tolong ibu, rajin belajar dan jangan lupa terus sayang ibu, ayah dan abang Along Aiman sampai bila-bila...:)....Ibu sayang adik sampai bila-bila....muah....

4 hari sebelum birthday Aqilah, ibu buat test UPT dan alhamdulillah ibu pregnant lagi. Namun ibu tak berniat untuk berhenti menyusu adik. Macam yang ibu azamkan sebelum ini, ibu akan buat tandem breastfeeding untuk adik dan bakal baby akan datang. Semoga ibu berjaya lakukannya...Insya-Allah..

Untuk tatapan Aqilah di masa hadapan, masa 2 tahun ini, antara perangai-perangai adik:

1. Dah banyak boleh bercakap, kira bercakap buat ayat sudah pandai, cuma ada yang ibu faham dan ada juga yang ibu tak faham...hehe

2. Paling suka berlakon bercakap kat telefon bimbit mainan (ibu beli telefon mainan flip untuk adik ada bunyi dan gambar mickey). Adik selalu berlakon telefon nenek lar, telefon atuk lar...

3. Mainan yang paling adik suka, main masak-masak. Kadang guna mainan masak-masak adik, kadang guna alat masak yang betul juga. Baru ini adik selongkar kabinet ibu ambil mixer ibu, adik cakap nak buat kek, pandainya anak ibu...

4. Dah tak takut kat nenek, tok wan dan tokki bila balik kampung. Macam dulu-dulu, kalau balik kampung, nangis tak nak masuk rumah atuk/tokki, sekarang dah okey. Cuma bila tiba malam, adik pandai ajak balik umah kat KL...huhu...adik cakap nak alik....nak alik...

5. Adik teringin naik tricycle. jadi ibu beli tricycle sebagai hadiah hari jadi adik kali ini. tapi adik lum pandai kayuh lagi. Jadi yang banyak main tricycle ni bukan adik tapi abang Along...huhu

6. Sangat suka dengan kucing. Kalau balik rumah tokki paling suka main kucing kat rumah tokki yang sangat jinak. Ibu cakap jangan pegang kucing, tengok saja sebab nanti bulu-bulu kucing terlekat kat tangan tapi adik geram tengok kucing tu, bukan setakat pegang malah angkat lagi kucing tu bila kucing tu duduk atas kerusi sofa. Adik tak bagi kucing duduk atas sofa. Nasib baik kucing tu ok, tak cakar atau gigit tangan adik...

7. Suka gosok gigi. Rutin malam-malam sebelum tidur, ibu akan gosok gigi adik kemudian adik akan suruh ibu gosok gigi pula lepas tu. Ibu gosok gigi sambil dukung adik. Adik suka perhatikan ibu gosok gigi. Semoga adik arjin gosok gigi sampai bila-bila. Sehingga kini gigi adik masih cantik dan belum rosak. Tapi adik amat suka makan gula dan aiskrim, tu yang buat ibu bimbang juga.

8. Bila ibu kat dapur memasak, adik suka datang bergantung kat kaki ibu suruh ibu dukung, nak sama-sama nak tengok ibu masak. Ibu kadang-kadang serba salah, nak dukung adik atau biarkan saja adik. Kalau biarkan adik, adik menangis, kalau dukung adik, takut bahaya adik terpercik minyak masa ibu masak. Tapi selalu ibu akan dukung juga adik dengan guna sebelah tangan untuk masak, tak sanggup dengar adik menangis, baik tak ibu?

9. Buah yang adik paling suka ialah buah rambutan. Ada satu hari tu, kat umah atu ayong ada buah rambutan yang dah hampir buruk (buah rambutan ini atuk bawak dari kampung), adik nak juga makan rambutan ini. jadi ibu kupas buah rambutan, hilangkan tanda coklat (yang dah hampir buruk tu ) kemudian bagi adik makan.

10. Selain suka main masak-masak, adik suka main air dalam bilik air. Kalau dibiarkan satu jam pun boleh adik main air dalam bila air. Main air dalam bathtuh baby lar, main sabun dan shampoo. Jadi tak hairan kalau sabun dan shampoo adik cepat habis...huhu...Apa yang buat ibu takut juga, adik pandai ambil bekas air, buat lapik kaki adik dan adik capai paip kat singki, main air dalam singki. Ibu takut-ataku adik terjatuh saja. Tapi adik tak tahu takut, jika dilarang menangis pula. Jadi ibu bagi adik guna kerusi untuk lapik kaki adik supaya senang main air paip kat singki, sekurang-kurangnya selamat sikit.

11. Kalau ibu tanya adik, adik ada nangis tak arini kat umah auntie Gee, adik suka terangkan sambil berlakon, berlakon menangis lar, ayah cakap adik pandai buat pantomin...hehe

12. Kalau tengok DVD, suka tengok part yang ada baby, macam baby dalam cerita Shrek, baby dalam cerita Toy Story 3, part yang ada baby tu ada akan suruh ulang berulang kali...sambil adik cakap baby, baby...

13. Kadang-kadang waktu malam sekarang adik mengigau, ayah cakap sebab banyak main waktu siang.

14. Adik sekarang suka makan sotong dan udang sebagai lauk. Kalau makan nasi lauk udang/ sotong, bukan makan nasi yang banyak, makan lauk yang banyak.

15. Kalau balik kampung, berhenti sembahyang kat R&R, adik akan sama-sama nak ambil air sembahyang dengan ibu. Adik pandai basuh muka, tangan dan kaki, tiru ibu.

Semoga coretan ibu ini boleh adik baca bila adik dah pandai baca nanti....:)...Walau apa-apa pun ibu nak adik sentiasa ingat, ibu akan sentiasa sayangkan adik sampai bila-bila....I Love You So Much My Dear...

Wednesday, June 23, 2010

Ulangtahun Pertama Blog Klinik-Ibuaiman dan Cara Menghadapi Anak yang mengalami kecederaan ketika di rumah

Assalamualaikum....

Sudah lama saya tidak mencoretkan sesuatu di blog ini. Keadaan diri yang sibuk menghalang saya. 4 Jun 2010 baru-baru ini, genap setahun blog saya ini. Terima kasih kepada semua 31 follower saya dan juga pembaca senyap yang sudi bertandang ke blog saya yang tidak seberapa ini. Entry pertama saya di blog ini adalah berkenaan cara menghadapi anak yang mengalami kecederaan di rumah. Mungkin ada baiknya saya refresh balik apa yang perlu dilakukan oleh ibubapa jika anak-anak jatuh atau cedera di rumah. Semoga ianya dapat memberi manfaat bagi mereka yang belum pernah membaca entry ini...:)


Apakah yang patut dilakukan oleh ibubapa apabila anak-anak mengalami kecederaan di rumah?

1. Perkara yang pertama dan PALING PENTING adalah ibubapa JANGAN PANIK

Ini sangat penting kerana jika ibubapa panik, keadaan akan jadi bertambah celaru. Tenangkan diri anda terlebih dahulu.

2. Jika terdapat bahagian yang luka/berdarah

Tindakan awal : Jika terdapat bahagian yang luka, apa yang perlu dilakukan sebelum di bawa ke klinik atau hospital adalah tekan bahagian luka/berdarah itu menggunakan kain tuala/apa-apa kain yang agak tebal. Tekan bahagian yang luka itu dalam masa 5-10minit bagi memastikan darah berhenti mengalir dengan banyak dan menerukkan lagi keadaan. Jangan cuba membuka kain yang ditekapkan itu sebelum sampai waktu 5 atau 10 minit.

3. Jika anak-anak terjatuh, tetapi tiada luka, apakah yang perlu dilakukan?

Hendaklah memastikan apakah anggota yang terlibat semasa jatuh. Adakah melibatkan kepala, tangan, kaki atau bahagian perut.

i. Jika melibatkan bahagian kepala, beberapa perkara/tanda awal yang perlu diperhatikan iaitu:

(a)Adakah anak pengsan, muntah?
Jika terdapat tanda-tanda seperti ini, hendaklah segera membawa anak ke jabatan kecemasan hospital berdekatan kerana kemungkinan ada pendarahan di dalam kepala berlaku.

(b)Tiada pengsan atau muntah, tetapi ada benjolan
Jika terdapat benjolan pada kepala, tindakan awal yang perlu dilakukan adalah ambil ais, letakkan di dalam kain/tuala, tuam di tempat yang bengkak atau benjol tersebut. Insya-Allah, benjolan tersebut akan berkurangan. Jangan tuam dengan air suam, atau hembus di tuala kemudian meletakkan di bahagian benjol tersebut kerana ini akan menerukkan lagi benjolan tersebut. Ini kerana keadaan yang sejuk daripada ais akan menghentika pengaliran darah di kawasan benjolan dan akan menghilangkan benjol sebaliknya keadaan suam/panas akan meransang pengaliran darah dan akan menerukkan benjolan tersebut.

Jika anak anda aktif seperti biasa dan tiada muntah dalam masa 24 jam, Insya-Allah tiada kecederaan dalam kepala yang berlaku.

ii. Jika kecedaraan melibatkan bahagian perut

Jika anak mengadu sakit pada bahagian perut dan terdapat kesan lebam, anda harus segera membawa anak anda ke jabatan kecemasan hospital kerana kemungkinan berlaku pendarahan di dalam perut. Keadaan ini amat berbahaya. Ini kerana terdapat organ-organ penting seperti hati dan limpa di kawasan perut yang boleh tercedera jika impak trauma adalah kuat.

iii. Jika kecederaan melibatkan anggota badan seperti tangan dan kaki

Cara yang paling cepat untuk mengetahui samada tulang anggota patah atau tidak adalah:

(a) Tengok tempat yang cedera adakah ianya nampak abnormal/bengkok atau tidak, jika abnormal/bengkok, cuba elakkan pergerakkan yang banyak kepada bahagian anggota yang tercedera.

(b) Suruh anak anda menggerakkan sendiri anggota badan mereka seperti biasa,jika mereka dapat menggerakkan anggota badan tanpa rasa sakit, maknanya tiada tulang yang patah dan jika mereka mengadu sakit sewaktu menggerakkannya SEGERA membawa berjumpa doktor.


Jika anda ragu-ragu untuk melakukan sendiri assessment seperti yang dicadangkan di atas, bolehlah membawa anak anda berjumpa doktor berhampiran.


Semoga maklumat di atas bermanafaat untuk semua.

Tuesday, May 4, 2010

MAKLUMAT PENTING JIKA ANAK CIRIT-BIRIT


Saya kerap menerima soalan-soalan daripada ahli keluarga dan kawan-kawan apabila anak-anak mereka mengalami cirit-birit. Jadi saya mengambil kesempatan ini untuk mencoretkan maklumat asas yang perlu diketahui oleh ibu bapa jika anak-anak mereka mengalami cirit-birit. Cirit-birit perlu ditangani dengan bijak oleh semua ibu bapa agar komplikasi yang buruk tidak akan terjadi kepada kanak-kanak terlibat. Antara sebab-sebab berlakunya cirit-birit adalah makanan yang diambil oleh kanak-kanak telah tercemar oleh kuman-kuman samada semasa penyediaan makanan tersebut atau kerana makanan tersebut telah dihinggapi lalat. Namun terdapat juga faktor-faktor lain yang boleh menyebabkan cirit-birit.

1. Antara faktor-faktor cirit-birit

a. Makanan tercemar
b. Puting dan botol susu yang tidak bersih
c. Ibu yang menyusu bayi makan jamu
d. Paranteral diarrhea

2. Apakah parentral diarrhea?

Parentral diarrhea adalah satu simptom cirit-birit yang berlaku semasa kanak-kanak mengalami demam viral beserta dengan batuk berkahak. Kebiasaannya kanak-kanak tidak pandai untuk mengeluarkan kahak daripada kerongkong/mulut apabila batuk. Apabila kanak-kanak batuk dan kahak terkeluar daripada kerongkong ke dalam mulut, kanak-kanak biasanya akan menelan kahak tersebut. Disebabkan kahak mengandungi virus/kuman maka virus/kuman ini boleh menyebabkan cirit-birit apabila ia masuk ke dalam saluran penghadaman.

3. Apakah yang perlu saya lakukan jika anak saya mengalami cirit birit?

Perkara UTAMA yang perlu diambil perhatian jika seseorang kanak-kanak mengalami cirit-birit adalah tahap hidrasi/ kandungan air dalam badan kanak-kanak berkenaan, adakah ianya telah berkurangan atau tidak. Jika kadar kandungan air di dalam badan mereka berkurang atau mereka mengalami dehidrasi, keadaan ini amat berbahaya. Kanak-kanak memang amat terdedah mengalami dehidrasi berbanding dengan orang dewasa kerana saiz badan mereka yang kecil.

4. Bagaimana saya ingin mengetahui samada anak saya yang mengalami cirit-birit mengalami dehidrasi atau tidak?

Tanda-tanda dehidrasi adalah seperti berikut:

4.1 Bagi bayi:

a. Ibu-ibu boleh merasa bahagian ubun-ubun bayi mereka. Jika ubun-ubun terasa lekuk, ini menandakan bayi telah mengalami dehidrasi/kekurangan air.

b. Bayi lemah dan tidak aktif seperti biasa.

c. Bibir kering, lidah kering

4.2 Bagi kanak-kanak yang telah tertutup ubun-ubun mereka:

a. Bibir kering dan berkeruping

b. Lidah kering (nampak warna keputihan pada lidah dan air liur yang kurang)

c. Kanak-kanak kelihatan lemah, tidak aktif seperti biasa. Mereka tidak akan berminat untuk bermain seperti biasa.

JIKA TERDAPAT TANDA-TANDA SEPERTI DI ATAS, ANDA HARUS MEMBAWA ANAK ANDA SEGERA KE JABATAN KECEMASAN HOSPITAL UNTUK RAWATAN SUSULAN IAITU MEMASUKKAN AIR BANTUAN MELALUI SALUR DARAH.

5. Adakah terdapat ubat yang boleh menghentikan cirit-birit?

Rawatan cirit-birit bagi kanak-kanak adalah sangat berbeza daripada orang dewasa. Jika bagi orang dewasa, apabila mereka mengalami cirit-birit, para doktor akan memberikan ubat kepada mereka untuk menghentikan simptom tersebut. Namun, bagi kanak-kanak, amat berbahaya jika diberikan ubat untuk menghentikan cirit birit tersebut. Ini kerana jika ubat diberikan kepada kanak-kanak untuk menghentikan cirit-birit, kuman-kuman di dalam usus mereka akan meresap ke dalam salur darah. Ini akan lebih memudaratkan keadaan kanak-kanak tersebut. Jadi, para ibu bapa dikehendaki amat berhati-hati di dalam perkara ini.

6. Apakah perkara yang paling penting untuk diberi perhatian jika anak saya cirit-birit?

Perkara yang paling penting adalah memastikan kanak-kanak tidak mengalami dehidrasi/kekurangan air dalam badan. Pastikan anak anda kerap minum air dan minum air garam yang dibekalkan oleh doktor. Jika anak anda tidak gemar minum air garam yang dibekalkan oleh doktor memadai dengan memberikannya minum air masak dengan kerap bagi mengelakkan anak anda mengalami dehidrasi.

7. Bolehkah saya meneruskan pemberian susu kepada anak saya semasa dia mengalami cirit-birit?

Jika anda menyusukan bayi anda (breastfeeding), anda boleh meneruskan penyusuan seperti biasa dan dikerapkan penyusuan jika boleh.
Jika anak anda menyusu susu formula, dinasihatkan anda mencairkan sedikit kepekatan susu formula tersebut kerana susu formula boleh memburukkan keadaan cirit birit. Tambah keperluan air anak anda dengan air masak atau air garam yang dibekalkan oleh doktor.

8. Apa yang perlu saya lakukan jika laluan najis (anus) anak saya melecet?

Cirit-birit memang boleh menyebabkan anus melecet kerana najis semasa cirit birit adalah lebih berasid daripada biasa. Pastikan anda segera membasuh najis selepas anak anda membuang air besar dan sapukan ubat (boleh didapati daripada klinik/farmasi) pada anusnya yang melecet.

Semoga maklumat di atas boleh dijadikan panduan yang berguna untuk anda semua....:)

Tuesday, April 20, 2010

Hari Ulangtahun Perkahwinan ke-8, di mana letaknya bahagia?

19 April 2010 adalah hari ulangtahun perkahwinan kami yang ke-8. Diam tak diam sudah 8 tahun kami suami isteri mengharungi suka duka alam perkahwinanan yang didoakan agar kekal hingga ke akhir hayat, Insya-Allah.

Saya menghadiahkan sebuah buku kepada suami sempena ulangtahun kami kali ini. Nanti saya download muka depan buku tersebut. Buku itu memang bagus untuk menginsafkan diri kita dalam mengharungi alam rumahtangga. Antara kata-kata hikmah yang terdapat di dalam buku tersebut adalah berkenaan kebahagiaan. Di mana terletaknya kebahagiaan sebenarnya? Adakah pada rupa, pangkat, harta benda? Jika benar perkara-perkara tersebut membawa bahagia kenapa banyak mereka yang yang berupa cantik, popular dan kaya raya juga bercerai-berai, tidak bahagia? Contoh yang paling senang kita lihat artis-artis Hollywood yang terkenal, cantik dan kaya juga berpisah. Namun, jika kita perhatikan ibu bapa kita yang telah 50 tahun bersama (seperti ibu bapa saya), masih utuh dan bahagia bersama walau hidup seadanya. Jawapan kebahagiaan adalah terletak pada SABAR. Dengan sabar, jika harta tiada, sabar dengan dugaan, dengan sabar juga jika harta banyak disedekahkan dan dizakatkan pula, dengan sabar, karenah pasangan dianggap ujian daripada Allah atas kelemahan diri sendiri jua dan sebagai cara mendekatkan diri kepada diri-Nya yang Maha Esa.

Masih banyak ruang-ruang yang perlu ditambahbaik di dalam alam perkahwinan kami sebenarnya. Namun, perkara yang dirasakan amat berkesan mengeratkan kasih sayang antara kami adalah melalui sembahyang berjemaah. Terasa amat syahdu apabila berzikir, berdoa dan bersalam-salaman sambil berpelukan apabila telah selesai menunaikan solat. Semoga amalan ini dapat diteruskan. Namun, kadang-kadang saya sembahyang sendiri juga di rumah apabila suami berjemaah di surau.

Ya Allah Ya Tuhanku Engkau kurniakanlah kebahagiaan kepada keluargaku di dunia dan di akhirat. Semoga kami akan dapat berkumpul bersama-sama nanti di syurga Mu nanti Ya Allah, Ya Rabbalalamin…Amin.

Thursday, April 15, 2010

HAPPY BIRTHDAY AIMAN (7 YEARS OLD)

Hari ini 16 April 2010, genap 7 tahun hero kesayangan kami sekeluarga, Muhammad Aiman bin Muhamad Rizal. Ibu sentiasa doakan Aiman akan berjaya di dunia dan akhirat, not only proud to us but also proud to yourself my dear….Ibu love you so much…..Happy birthday sayang....

Demi kasih sayang Ibu kepada Aiman, semua Ibu masak sendiri tau. Kek coklat, muffin coklat dan nasi hujan panas. Satay ajer yang tempah.


Gambar Aiman dan kawan-kawan. Kat bawah gambar Aiman dan kawan-kawan main PS2 dan gambar sebelah kanan gambar Pak Long, Mak Long, Shamsul, Aqilah dan Humaira.



Gambar-gambar Aqilah masa birthday Abang Along. Kat bawah tu gambar Aqilah dan Humaira (sepupu Aqilah yang sebaya).

Wednesday, April 14, 2010

Perkembangan Aqilah 21 bulan

Coretan ini ditujukan khusus untuk anak ibu Aqilah. Mungkin ini akan jadi kenangan buat Aqilah bila sudah besar nanti... :)

Sedar tak sedar anak dara saya sudah masuk 21 bulan usianya, lagi 3 bulan akan mencapai usia 2 tahun. Memang banyak perkembangan yang dialami oleh si comel saya ini. Dari sehari ke sehari semakin bijak jadinya.

1. Masih lagi breastfeeding, Alhamdulillah. Insya-Allah akan diteruskan jika Aqilah masih tidak jemu dengan susu ibu....:)

2. Perkara yang paling ketara perkembangan sekarang adalah dia akan mengikut apa perlakuan yang dilihat di sekelilingnya.

a. Apabila saya bersin dan menyebut Alhamdulillah, Aqilah akan ikut sebut Alhamdulillah juga.

b. Di waktu bersembahyang jemaah, dia akan cuba ikut sembahyang dan berlagak seolah-olah
pandai membaca bacaan di dalam sembahyang. Apa yang saya dengar sesesese.
c. Waktu abang dia nak mengaji, dia pun sibuk juga nak mengaji.

d. Meniru saya atau pengasuhnya bagi arahan. Kalau saya memberi arahan kepada Aiman
supaya tidur, sibuk juga lar dia macam mengarahkan abang untuk tidur.

e. Pandai buat bunyi wekk kalau dia geram kat abang dia atau ayah dia. Ini dia tiru perlakuan
upin ipin dalam cerita geng. Terkejut saya bila tengok dia tahu buat macam tu....huhu

f. Pandai sebut satu, dua, tiga, empat. Memang sejak kecil, waktu pegang jari
kakinya/tangannya, saya akan mengira jari kakinya, satu sampai lima. Sekarang, kalau pegang
jari kaki atau tangan dia, dia akan mengira dan suruh saya ikut sekali. Jari tangan saya juga dia
akan kira. Mainan telefon yang ada nombor juga dia akan tekan sambil mengira, satu, dua….

g. Apa-apa yang abang Aiman buat, Aqilah suka tiru.

h. Sibuk juga nak pakai tudung dan stokin kalau nak keluar jalan sebab nak sama dengan saya.


3. Sudah pandai memilih baju mana yang ingin dipakai, jika dia tidak berkenan dengan baju itu, dia akan suruh saya tukar dan tidak mahu pakai baju tersebut.

4. Sudah tahu fungsi kamera untuk mengambil gambar dan pandai minta ambil gambarnya. Jika sebelum ini bila kita pegang kamera dia akan sibuk untuk tekan sekali kamera tersebut, amat susah untuk snap gambar, sekarang tidak lagi, amat mudah mengambil gambarnya. Minta lagi ambil gambarnya. Masa kami ke cosmo world, waktu naik kereta kuda, Aqilah cakap amba, amba sambil tunjuk beg saya. Mulanya tak dapat tangkap apa yang dia cakap. Kemudian barulah faham dia suruh ambil gambar guna handset saya rupanya. Kalau waktu ambil gambar, pandai bergaya sambil buat peace dan tunjukkan giginya yang cantik.

5. Rutin harian:
a. Pagi-pagi kalau dah bangun sebelum saya pergi kerja, Aqilah akan masuk bersama-sama saya dalam kereta dan duduk di sebelah. Saya akan reverse kereta sampai keluar pagar dan
kemudian ayah akan datang ambil Aqilah. Kalau mood baik, tak nangis sambil babai ibu
kemudiannya.
b. Apabila saya datang menjenguk di tengahari, Aqilah akan minta saya susukan dia sampai dia
tertidur. Kadang-kadang waktu saya datang, dia akan main-main sembunyi dan gelak-gelak
suruh saya datang mencarinya. Saya pun tipu-tipu tak nampak dan datang cari dan peluk dia.
Aqilah akan ketawa keriangan…

6. Makanan kegemaran: sangat suka sayur dan buah-buahan. Suami saya cakap tidak pernah
dia jumpa kanak-kanak yang amat suka sayur dan buah-buahan seperti Aqilah.

a. sup sayur bayam (kalau makan sayur bayam, boleh ratah selamba aje, taknak langsung
makan nasi) ,
b. buah-buahan paling suka anggur, epal, mangga pisang dan juga buah mata kucing,
c. Makanan lain yang juga disukai : aiskrim, ayam goreng, scrabble egg, coklat

7. Kalau dengar anjing menyalak (kawasan rumah saya memang ada orang Cina yang bela anjing), Aqilah akan cakap “Dog….lari”. Bila saya tanya siapa ajar, dia jawab Auntie Jie (pengasuhnya). Kalau dulu-dulu, dengar anjing menyalak, lagi dia mahu pergi dekat dengan anjing tu...huhu...

8. Pandai cakap takut hantu dan momok (pengasuhnya yang ajar).

9. Pandai berlakon, kalau cakap pedas, Aqilah akan buat muka menahan kepedasan, macam betul-betul pedas..huhu.

10. Kalau rasa gatal, Aqilah sebut sakit bukannya gatal

11. Aktiviti yang digemari :
a. Suka kalau saya nyanyi labah-labah sambil gerakkan jari di atas tangan atau kakinya. Bila
dengar saya nyanyi lagu tu dia akan cakap kaki sambil tunjuk kakinya. Dia amat seronok
dengan aktiviti ini.
b. Suka main aci cak
c. Masih lagi amat suka dengan buku. Tapi sekarang kalau tengok buku encylopedia Disney, kalau tengok gambar seperti katak, biawak, buaya, dia akan cakap takut, sambil tutup muka.
d. Suka menggosok gigi sendiri. Dah pandai kumur sbb tiru Abang Aiman dan ibu berkumur bila gosok gigi. Tapi saya masih lagi belum letak ubat gigi waktu berus sebab bila sapu ubat gigi atas berus tu, Aqilah akan telan ubat gigi tu, mungkin sebab rasa ubat gigi tu sedap kot..huhu..jadi nak elakkan dapat fluorosis (btl ke Dr.gigi?), saya belum lagi start bagi ubat gigi bila berus gigi Aqilah. Sekarang dah senang ibu nak gosok gigi adik sebab dia akan buat apa yang ibu suruh, macam tunjuk gigi, bukak mulut, pandai anak ibu...:)...Sekarang gigi dah ada 16 batang. Lagi 4 geraham(yang paling belakang, atas, bawah,kiri, kanan belum tumbuh).

12. Manja dengan abang dan suka juga bergaduh dengan abang. Apa yang abang pegang, itulah yang dia nak juga.

13. Kadang-kadang, kalau tengah main sorang-sorang boleh dengar Aqilah nyanyi.

14. Kadang-kadang ada tantrum juga terutama kalau tak cukup tidur atau mengantuk. Biasanya saya akan cuba alihkan tantrum dia dengan buat cerita lain. Contohnya, tengok bird tu terbang. Bird tu pagi-pagi keluar cari makan kan…dengar tak dog tu bising, ngape dia bising ye Dik? Dan cara ini amat berkesan..:)

15. Bahasakan diri sendiri adik. Aiman =abang, ayah=ayah, ibu=kadang-kadang mama, kadang-kadang abu...

16. Kalau dia cakap ayah, saya akan jawab ayah pergi kerja/main badminton ke, lepas tu dia akan kira satu-satu, abang, saya akan kena jawab pertanyaan dia, pastu dia akan tanya ibu, adik.

17. Kalau saya tanya siapa nama adik? Dah pandai jawab Aqilah (namun tak berapa jelas, yang jelas Qilah).

18. Cerita terbaru yang Aqilah suka cerita Jumanji.

19. Suka juga dengan Ultraman..huhu…pandai sebut Omen

20. Kenal Spongebob.

21. Amat suka main handset betul dan juga handset mainan. Berlakon seolah-olah tengah bercakap dengan seseorang dengan handset tu walaupun bahasanya tak jelas.

22. Kalau tidur suka peluk bantal peluk

23. Kalau tengah menyusu, dia ada tabiatnya.

24. Dah kenal McD. Kalau tengok restoran McD, Aqilah akan sebut burger. Kuat betul pengaruh McD ni..huhu. Padahal baru 2-3 kali kami bawa Aqilah ke McD/beli kat drive thru’. Kawan suami saya cakap memang bahaya pengaruh McD ni, ada kajian telah dijalankan mendapati, kalau sekali bagi kanak-kanak merasa burger McD, mereka akan ingat sampai bila-bila…:(

25. Kalau dia nak buang air besar, dia akan pergi jauh-jauh dari kami, pergi menyorok belakang kerusi atau belakang langsir.

26. Tahu erti kotor dan comot. Kalau makan aiskrim ke mulut comot, dia akan cakap kotor (otor) dan suruh ibu sapu...memang anak perempuan...hehe

27. Kalau nampak masjid, Aqilah akan cakap Allahuakbar (bahasa baby), even kalau nampak menara maxis pin dia cakap yang sama…huhu…Aqilah ingatkan menara maxis sama dengan menara masjid…

28. Suka pakai cermin mata hitam seperti ayah dan Abang Aiman bila keluar jalan-jalan...Memang pandai bergaya.

29. Kalau masuk rumah, sudah pandai bagi salam, Assalamualaikum walaupun bunyi tak penuh, yg jelas bunyinya Akum...

30. Kalau pergi keluar jalan-jalan, Aqilah suka ajak balik rumah...Alik...alik....sampai sekarang, Aqilah masih belum terbiasa berada di kalangan orang ramai dan orang yang tidak dia kenali sebab dah terbiasa duduk dengan pengasuh. Tak tahu macam mana kalau sudah mula bersekolah nanti, harap-harap ok.

31. Baru-baru ini, makciknya ada bagi hadiah permainan masak-masak untuk Aqilah, amat suka sekali bermain dengan mainan tersebut, salah satu ada bentuk pizza dan Aqilah pandai sebut "pizza".

Ibu doakan Adik Aqilah akan jadi anak yang solehah dan bijak dan sayang ibu sampai bila-bila....:). Macam yang selalu ibu cakap "Siapa budak bijak?"Adik akan jawab "Qilah". "Siapa budak baik" Adik akan jawab "Qilah". "Siapa budak comel?"Adik akan jawab "Qilah"

Tuesday, April 13, 2010

Makanan yang boleh kuatkan tulang


Adakah anda tahu berapa banyak calcium yang diperlukan oleh tubuh seorang dewasa setiap hari?

Secara purata keperluan sehari kalsium bagi seorang dewasa adalah:
- berumur kurang daripada 50 tahun adalah sebanyak 1000mg sehari
- berumur lebih daripada 50 tahun adalah sebanyak 1200mg sehari

Apakah makanan yang mengandungi banyak kalsium?

Susu segar, susu skim, susu rendah lemak dan bukan susu pekat manis.
Yogurt, keju
Ikan sardin bersama tulang
Sayur-sayuran hijau
Cereal
Makanan berasaskan kacang soya
Ikan salmon
Kekacang

Berapa banyak calcium dalam makanan kita?

-Segelas susu segar, susu skim atau susu rendah lemak (dalam 8 oz) mengandungi kira-kira 300mg kalsium. Oleh itu kita perlu minum 3-4 gelas susu sehari jika kita tidak mengambil sumber kalsium yang lain untuk mencukupkan keperluan kalsium kita sehari

-kadar kalsium dalam satu cawan yogurt atau satu aun cheese juga sama dgn segelas susu

-ikan sardin tapi kena makan bersama tulangnya, tulang jgn buang ye juga merupakan sumber kalsium. 3 aun ikan sardine mengandungi kadar kalsium yang lebih tinggi dari segelas susu.

-Sayur-sayuran hijau. Satu cawan sayuran hijau mengandungi lebih kurang 200mg calcium

-Cereal seperti cococrunch dan yang seangkatan dengannya. Satu cawan cereal blh mengandungi sehingga 1000mg calcium. Perisa label nutrisi pada kotak cereal tersebut.

-Makanan yang berasaskan kacang soya seperti tauhu, tempe. Setengah cawan tauhu mempunyai 258mg calcium. Di samping kalsium, tauhu juga mengandungi isoflavone yang juga boleh menguatkan tulang. Isoflavone juga mempunyai tindakan seperti estrogen (estrogen like-effect). Oleh itu ia amat sesuai untuk wanita menopause untuk menguatkan tulang mereka.

-Jika anda alergik dengan makanan-makanan yang dinyatakan di atas, anda boleh mengambil supplement calcium untuk membantu mendapatkan nutrisi kalsium setiap hari

Perkara-perkara lain yang perlu dilakukan untuk menguatkan tulang

1. Senaman (weight bearing exercise) seperti berjalan laju, menari, bermain tenis. Senaman-senaman ini akan membantu menambahkan kekuatan tulang kita.

2. Menghindarkan garam. Semakin banyak garam diambil, semakin banyak calcium akan dikeluarkan semula daripada badan melalui air kencing.

3. Perlukan cahaya matahari. Badan menghasilkan vitamin D apabila mendapat rangsangan daripada cahaya matahari. Tanpa bantuan vitamin D, kalsium yang diambil oleh kita tidak dapat diserap oleh tulang.

sumber WebMD. Telah diolah oleh penulis supaya difahami oleh para pembaca...

Semoga bermanafaat untuk semua

Semoga kita terhindar daripada osteoporosis dengan mengamalkan pemakanan yang sihat dan senaman....Insya-Allah

Monday, April 12, 2010

Adakah anda berisiko untuk mengalami OSTEOPOROSIS?

Apabila membaca kesemua risiko-risikonya, saya boleh dikatakan mempunyai kesemua risikonya…:(….jadi saya tidak boleh mengambil ringan tentang masalah osteoporosis ini…Gerun mengingatkan kalau dah tua-tua nanti tiba-tiba tulang terpatah dengan kecederaan ringan (minor injury) seperti terjatuh di dalam bilik air…Nauzubillah….Jadi, jikalau tidak mahu mengalaminya, kita harus berwaspada dan selalu amalkan minum susu dan makanan yang mengandungi kalsium yang tinggi (nanti saya tulis kat entry akan datang). Kalau nak tahu anda telah mengalami osteoporosis atau tidak pada waktu sekarang, cuba ukur tinggi anda, jika ianya berkurang dari tahun-tahun sebelum ini bermakna anda telah mengalaminya sedikit demi sedikit. Jadi, jangan ambil ringan masalah ini, langkah-langkah pncegahan harus diambil sebelum terlambat….

Risiko untuk mengalami osteoporosis:

1. Umur
Kekuatan dan ketumpatan tulang akan mencapai peringkat maksimum pada umur 30 tahun. Selepas umur 30 tahun, kekuatan tulang akan mula berkurang mengikut usia.
Saya ada risiko ini memandangkan usia saya sudah hampir 32 tahun.


2. Jantina
Perempuan berisiko empat kali ganda berbanding lelaki untuk mengalami osteoporosis terutama selepas mengalami menopause. Ini disebabkan perempuan lebih ringan dan mempunyai struktur tulang yang lebih kecil berbanding lelaki.
Sememangnya ada risiko ini.


3. Bangsa
Kajian menunjukkan bahawa bangsa Asia dan Caucasian berisiko 2 kali ganda mengalami osteoporosis berbanding bangsa Afrika.
Sememangnya ada risiko ini.


4. Struktur tulang dan berat badan
Wanita yang berbadan kecil dan kurus berisiko lebih tinggi berbanding wanita yang berbadan besar. Ini kerana wanita yang berbadan besar mempunyai rangka yang besar (tulang besar). Lelaki yang rangka kecil dan kurus juga berisiko untuk mengalami osteoporosis berbanding lelaki yang berbadan besar dan rangka besar.
Badan saya memang kecil dan kurus. Satu kelebihan orang cakap nampak lebih muda dari usia sebenar namun ada risiko osteoporosis pula …huhu


5. Sejarah keluarga
Jika terdapat ibubapa atau datuk/nenek yang pernah mempunyai sejarah mengalami patah tulang paha selepas jatuh (minor fall), anda adalah berisiko tinggi untuk mengalami masalah yang sama.
Alhamdulillah, belum ada lagi sejarah ibubapa atau datuk/nenek saya patah tulang apabila jatuh.

6. Sejarah tulang patah selepas jatuh (diri sendiri).
Alhamdulillah saya tidak pernah mengalaminya. Semoga dijauhkan oleh Allah.


7. Ubat-ubatan
Sesetengah ubat seperti prednisolone jika digunakan secara berpanjangan akan menyebabkan osteoporosis.
Ubat prednisolone merupakan sejenis ubat alahan. Biasanya doctor akan memberikan ubat ini kepada pesakit asthma yang kronik dan juga kepada pesakit autoimmune seperti SLE. Semasa bertugas di Hospital Kuala Lumpur, selalu pesakit asthma akan minta ubat ini daripada saya kerana sememangnya ubat ini amat berkesan untuk menghilangkan serangan asthma mereka. Namun, kadang-kadang saya tidak akan memberikan ubat ini secara mudah kepada mereka dan menerangkan kesan buruk yang akan mereka alami jika selalu mengamalkannya.

Semoga bermanafaat kepada semua....:)



Wednesday, March 10, 2010

KESIHATAN GIGI KANAK-KANAK


Saya bukan doktor gigi. Saya hanya seorang doctor perubatan. Namun saya ingin kongsikan sedikit pengetahuan yang saya dapat semasa membaca artikel mengenai gigi semasa saya menunggu giliran untuk menampal gigi di klinik tempohari. Mungkin info-info ini berguna untuk semua jua...:)

1. Gigi berlapis yang berlaku bukan disebabkan gigi susu lambat tercabut tetapi disebabkan saiz rahang yang tidak sesuai dengan saiz gigi iaitu rahang kecil tetapi saiz gigi besar-besar. Gigi berlapis juga boleh disebabkan oleh keturunan. Mmm…patut lah gigi saya berlapis, mungkin rahang saya kecil namun gigi agak besar berbanding kakak-kakak dan abang-abang saya yang lain. Mereka semua tiada yang gigi berlapis kecuali saya dan adik saya…huhu. Namun gigi ibubapa saya tidak berlapis. Anak-anak saya juga akan berkemungkinan akan mendapat gigi berlapis jika mereka mendapat genetik daripada saya; rahang kecil, gigi besar…huhu

2. Jika gigi susu dicabut lebih awal yakni sebelum ianya goyang tidak menjamin gigi tidak akan berlapis. Ayah Aiman amat takut gigi Aiman akan berlapis masa pertama kali gigi susunya goyang sebab masa itu gigi kekal sudah mahu tumbuh…

3. Gigi geraham ketiga (gigi geraham kekal) akan mula tumbuh pada usia 6 atau 7 tahun. Kebanyakkan ibubapa tidak sedar dan menyangka ianya gigi susu juga. Jadi kebanyakkan gigi geraham ketiga ini sudah rosak apabila dibawa berjumpa doktor gigi. Bila baca ini, balik tu saya terus periksa mulut Aiman, a’ah lar, dah ada gigi geraham ketiga atas bawah kiri kanan. Dah lama saya tak tengok gigi Aiman sejak dia pandai gosok gigi sendiri. Bila gigi ini tumbuh, saya pun tidak sedar…huhu..Nasib baik gigi Aiman masih okey.

4. Jika gigi susu rosak dan terpaksa dicabut lebih awal mungkin akan mengganggu pembentukan otak yang cergas di kalangan kanak-kanak. Pertama kerana saraf untuk mengunyah bersambung dengan saraf di otak. Kedua, jika gigi tiada, sukar kanak-kanak untuk mengunyah dengan baik dan proses penghadaman nutrisi tertentu mungkin akan terganggu. Nak kena jaga gigi Aqilah supaya tidak rosak awal. Setakat ini gigi Aqilah yang paling cantik antara kami berempat..huhu..namun, kena jaga-jaga kerana Aqilah suka makan aiskrim, muffin coklat yang ibu buat dan juga coklat…

5. Karies gigi boleh terjadi di kalangan bayi jika mereka tidur bersama-sama botol susu dan susu berkumpul di dalam mulut mereka. Ini kerana semasa tidur, air liur yang dihasilkan adalah kurang berbanding semasa sedar. Kes ini berlaku kepada anak saudara saya. Memang dia suka tidur dengan botol susu. Bila ditarik aje botol susu tengah dia tidur pasti dia akan terjaga dan menangis. Mahu tidak mahu, kakak saya biarkan saja botol itu dalam mulutnya samapi pagi. Natijahnya pada umur 4 tahun semua giginya terpaksa dicabut, kenalah makan bubur sahaja. …huhu..

Itu sahaja buat kali ini, semoga berguna untuk semua.

Jumpa lagi...Insya-Allah
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...