Thursday, June 4, 2009

kereta pertama

"Puan, sila tandatangan di sini", saya menurunkan tandatangan di borang penerimaan barang. Hari ini kereta pertama aqilah sampai di pejabat saya...ini kali kedua saya menempah barang melalui online, alhamdulillah segala urusan berjalan lancar dan barang diterima tepat pada masanya tanpa sebarang masalah. Saya tak sabar-sabar lagi untuk pulang membawa kereta baru untuk Aqilah.

"Waaa" tiba-tiba Aqilah menangis...saya lihat tangannya tersepit di kotak kereta barunya. Saya mendukung Aqilah menenangkan dirinya yang sedang menangis. "Eh, kenapa ada darah pula ni?"Saya bergegas pergi membasuh tangan aqilah yang ada kesan darah. Tiada pula kesan luka pada tangan. Kemudian saya terlihat banyak darah keluar di bahagian bibir atas. "Ya Allah, rupanya darah itu daripada frenulum bibir atas yang luka. Saya cuba menekan bahagian yang luka itu dengan kain, tapi makin dicuba, makin kuat aqilah meronta dan menangis...Saya panik kerana melihat banyak darah di dalam mulut aqilah. Setelah gagal mencuba, saya menyusukan Aqilah. Alhamdullillah, dia mahu menyusu walaupun sakit akibat luka. Selepas menyusu, luka itu sudah berhenti berdarah...Alhamdullillah....

Saya menghubungi suami untuk membawa Aqilah ke hospital kerana saya gagal melihat tahap mana kedalaman luka tersebut. Aqilah tetap menolak setiap kali saya ingat melihat bahagian dalam mulutnya dengan lebih lanjut. Apabila suami sampai, Aqilah sudah semakin tenang dan saya dapat melihat dengan jelas keadaan luka tersebut. Alhamdullillah, luka tersebut tidak dalam, jadi ianya tidak perlu dijahit. Kami batalkan hasrat untuk membawa Aqilah ke hospital


Apakah frenulum?

Frenulum bibir adalah urat halus yang menyambungkan bahagian gusi atas dengan bibir atas.
terdapat juga frenulum di bahagian lidah iaitu urat yang berada di bawah lidah.


Apa yang patut dilakukan oleh ibubapa apabila anak-anak mengalami kecederaan di rumah?

1. Jangan panik

Ini sangat penting kerana jika ibubapa panik, keadaan akan jadi bertambah celaru. Tenangkan diri.

2. Jika terdapat bahagian yang luka

Jika terdapat bahagian yang luka, apa yang perlu dilakukan sebelum di bawa ke klinik atau hospital adalah tekan bahagian luka itu, boleh menggunakan mailto:kain@. Tekan bahagian yang luka itu dengan lama (dalam masa 5-10minit) bagi memastikan darah berhenti mengalir dengan banyak dan menerukkan lagi keadaan.

3. Jika anak-anak terjatuh, tetapi tiada luka, apakah yang perlu dilakukan?

i. Hendaklah pasti apakah anggota yang terlibat semasa jatuh. Adakah melibatkan kepala, tangan, kaki atau bahagian perut.

ii. Jika melibatkan bahagian kepala:

(a)Adakah anak pengsan, muntah?
Jika terdapat tanda-tanda seperti ini, hendaklah segera membawa anak ke jabatan kecemasan hospital berdekatan kerana kemungkinan ada pendarahan di dalam kepala berlaku.

(b)Tiada pengsan atau muntah, tetapi ada benjolan
Jika terdapat benjolan pada kepala, tindakan awal yang perlu dilakukan adalah ambil ais, letakkan di dalam kain/tuala, tuam di tempat yang bengkak atau benjol tersebut. Insya-Allah, benjolan tersebut akan berkurangan. Jika anak anda aktif seperti biasa dan tiada muntah dalam masa 24 jam, Insya-Allah tiada kecedaraan dalaman yang berlaku.

iii. Jika kecedaraan melibatkan bahagian perut

Anak mengadu sakit pada bahagian perut dan terdapat kesan lebam.
Anda harus segera membawa anak anda ke jabatan kecemasan hospital kerana kemungkinan berlaku pendarahan di dalam perut. Keadaan ini amat berbahaya. Ini kerana terdapat organ-organ penting seperti hati dan limpa di kawasan perut yang boleh tercedera jika impak trauma adalah kuat.

iv. Jika kecederaan melibatkan anggota badan seperti tangan dan kaki

Cara yang paling cepat untuk mengetahui samada tulang anggota patah atau tidak adalah:
(a) Tengok tempat yang cedera adakah ianya nampak abnormal atau tidak, jika abnormal, cuba elakkan pergerakkan yang banyak kepada bahagian anggota yang tercedera.
(b) Suruh anak anda menggerakkan sendiri anggota badan mereka seperti biasa,jika mereka dapat menggerakkan anggota badan tanpa rasa sakit, maknanya tiada tulang yang patah.


Jika anda ragu-ragu untuk melakukan sendiri assessment seperti yang dicadangkan di atas, bolehlah membawa anak anda berjumpa doktor berhampiran.


Itu sahaja buat kali ini untuk dijadikan panduan.

Semoga jumpa lagi

Insya-Allah

-Ibu Aiman-





1 comment:

Unknown said...

Bagus article ni, kalau terjadi apa2 kat anak-anak kita kat rumah bo follow panduan ni.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...