Wednesday, June 10, 2009

Penyakit genetik

"Anak makcik Esah tu sakit leukimia, selalu pergi Hospital Kuala Lumpur, masuk darah"bagitau mertua saya. Saya merasa hairan, sakit leukimia? Mengapa masuk darah pula?Anemia agaknyer... Tapi bila saya melihat sendiri tuan punya diri yang dikatakan sakit leukimia tu, baru saya tahu beliau sebenarnya mengidap penyakit THALASEMIA!!!

Memang tidak dapat dinafikan, rata-rata penduduk Malaysia tidak tahu berkenaan sakit Thalasemia. Kita sering didedahkan dengan penyakit leukimia melalui filem-filem Melayu di mana adegan pelakon yang mengidap penyakit leukimia akan mengalami keguguran rambut seperti dalam Filem Abang 92. Namun tidak penyakit Thalasemia. Bahkan saya sendiri secara jujurnya mengetahui wujudnya penyakit Thalasemia hanya semasa mengambil bidang perubatan.

Apa yang ingin saya tekankan pada coretan kali ini adalah penyakit ini dapat DICEGAH dan tidak keterlaluan jika saya katakan ianya akan HILANG/PUPUS pada suatu masa nanti jika masyarakat mempunyai kesedaran betapa pentingnya membuat ujikaji darah sebelum BERKAHWIN bagi mengesan adakah mereka atau pasangan mereka pembawa penyakit ini. Jika kedua-dua pasangan pembawa (carrier) penyakit ini, maka dinasihatkan anda TIDAK berkahwin, tetapi jika hanya seorang daripada pasangan adalah pembawa, tidak menjadi masalah untuk meneruskan perkahwinan. Ada orang bertanya, kalau dah cinta macamana?Takkan nak korbankan rasa CINTA pula. Bagi saya jawapannya adalah ya, anda perlu korbankan CINTA demi sebuah masa depan hidup yang lebih berkualiti bagi anak-anak anda.

Mari saya ceritakan serba sedikit mengenai penyakit ini(penceritaan ini tidak akan menggunakan bahasa medical agar ianya mudah difahami oleh orang awam). Penyakit ini adalah satu penyakit genetik. Salah satu kromosom iaitu kromosom 11 telah mengalami mutasi menyebabkan sel-sel darah yang terhasil di dalam badan tidak normal. Apabila sel-sel darah ini tidak normal, maka badan secara automatik akan menghapuskan sel-sel darah ini. Ini menyebabkan badan akan kekurangan sel darah dan pesakit akan kelihatan pucat dan cepat letih. Disamping itu juga, pesakit juga akan mengalami jaundice iaitu kekuningan pada kulit dan mata disebabkan aktiviti penghapusan sel-sel darah merah tadi. Biasanya penyakit ini akan dikesan selepas usia 6 bulan selepas lahir.

Fungsi sel-sel darah merah adalah mengangkut oksigen dalam badan. Oleh sebab itu , pesakit Thalasemia akan cepat merasa letih. Bagi merawat masalah kekurangan sel-sel darah ini, para doktor akan menambah bekalan darah pesakit melalui PEMINDAHAN DARAH. Pemindahan darah ini akan berlangsung SEPANJANG HAYAT kerana sel-sel darah merah yang tidak normal akan terus dihasilkan dan kemudiannya dimusnahkan, berulang-ulang. Ceritanya tidak hanya bernoktah di situ sahaja. Pemindahan darah yang terlampau kerap ini mengundang masalah iaitu pengumpulan zat besi ( iron ) yang banyak di dalam darah. Zat besi ( iron ) ini akan akan termendap di organ-organ seperti jantung dan hati. Ada orang berkata aku bertulang besi dan berurat dawai untuk menunjukkan bahawa mereka tahan lasak namun berjantung besi dan berhati besi adalah tidak bagus kerana ianya akan memendekkan jangka hayat. Bagi mengatasi pengumpulan zat besi yang berlebihan ini, para saintis telah menemukan jalan penyelesaian. Ubat berupa suntikan telah ditemui pada tahun 70-an dan pada tahun 2006, inovasi telah ditemui dengan penghasilan ubat biji(tablet). NAMUN, ubat-ubatan ini samada dalam bentuk suntikan atau biji harus diambil TIAP-TIAP HARI SEPANJANG HAYAT!!!Bayangkan....betapa kesiannya bagi anak-anak sekecil 1-2 tahun terpaksa mengambil suntikan/ubat ini sepanjang hayat mereka. Bagi saya sendiri, untuk memberi anak saya makan ubat demam pun punyalah susah, inikan pula sepanjang hayat. Tetapi ini harus juga dilakukan bagi mengelakkan kemungkinan berlakunya kegagalan jantung atau kegagalan hati akibat mendapan zat besi. Apakah kualiti hidup yang diperolehi oleh kanak-kanak tadi jika setiap hari perlu mengambil ubat, setiap minggu perlu mengambil ujian darah bagi memantau perkembangan penyakit dan setiap beberapa bulan perlu menjalani pemindahan darah.

Oleh itu, fikir-fikirkanlah apa yang terbaik dilakukan oleh anda.


Itu sahaja buat kali ini. Semoga ianya bermanfaat untuk semua.

Semoga jumpa lagi, Insya-Allah.

1 comment:

Anonymous said...

Sapa-sapa nak cari awek tuh dinasihatkan supaya buat aah ujian darah, kalau dah bercintun serius lepas tuh buat ujian darah lepas tuh tak serasi susah gak nak tinggalkan kekasih hati...huah...huahh

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...