Wednesday, June 29, 2011

Hargai orang yang kita sayang

Semalam saya melayari WebMD. Saya memang suka baca artikel-artikel perubatan di sini kerana ia dapat mengemaskini (update) pengetahuan saya di dalam bidang perubatan. Bidang perubatan sepertimana bidang-bidang yang lain juga berkembang setiap hari. Jadi, amat malang jika kita masih lagi berada di takuk lama dan tidak memperbaharui pengetahuan kita...

Ok, semalam saya melihat satu tajuk yang menarik perhatian saya di WebMD “The best age to be have a baby”. Mengikut pengetahuan saya yang lalu, umur yang terbaik untuk hamil bagi wanita adalah sebelum umur 35 tahun. Banyak sebab mengapa pakar-pakar perubatan menyarankan perkara ini. Namun saya tidak menolak fakta bahawa terdapat wanitayang boleh lagi mengandung selepas umur 35 tahun namun mengandung di usia tersebut mempunyai risiko kesihatan kepada ibu dan juga bayi yang dikandung. Mungkin, ada yang mencebik mengatakan bahawa ada juga orang yang mengandung selepas umur 35 tahun namun tiada masalah. Saya tidak membangkang. Itu semua memang kuasa Allah Yang Maha Esa, namun banyak kajian dijalankan oleh pakar perubatan bahawa ibu yang mengandung selepas umur 35 tahun mempunyai risiko kesihatan seperti darah tinggi dan kencing manis berbanding mereka yang lebih muda.

Berbalik kepada apa yang saya baca di WebMD semalam. Saya menyangka ada ilmu yang baru berkenaan perkara ini. Mana tahu terdapat kajian baru mengenai umur terbaik untuk mengandung. Namun apa yang di paparkan adalah mengenai pengalaman beberapa orang ibu di negara barat menceritakan kisah kali pertama mereka hamil. Umur mereka sewaktu mereka pertama kali hamil dan pandangan mereka bilakah umur yang paling sesuai untuk hamil. Apabila membaca kisah-kisah mereka, saya merasakan betapa bertuahnya diri saya kini...Masya-Allah...kisah-kisah hidup mereka benar-benar menginsafkan diri ini. Diri ini telah dikurniakan nikmat yang paling agung iaitu nikmat Iman dan Islam. Diri ini menganut agama yang benar dan dapat dijadikan panduan hidup. Tidak tersasar sebagaimana orang-orang barat yang kebanyakkannya tidak lagi beragama. Mereka hidup secara sekular iaitu memisahkan agama dari kehidupan seharian kerana agama mereka yang tidak benar itu tidak lagi dapat menyelesaikan masalah mereka.

Di samping nikmat iman dan Islam yang Allah kurniakan kepada diri saya, Allah juga telah mengurniakan nikmat hidup berkeluarga kepada diri saya. Mempunyai anak dan suami. Tidak dinafikan kadangkala terdapat perselisihan faham dalam hidup berkeluarga. Namun, saya masih ada tempat bergantung iaitu suami yang baik dan juga tempat untuk menumpahkan kasih sayang kepada suami dan anak-anak. Fitrah sebagai manusia ini telah Allah kurniakan kepada diri saya, Alhamdulillah...bila membaca kisah-kisah mereka yang tidak bernasib baik, tidak mendapat nikmat yang memenuhi fitrah manusia, kita akan insaf dan tersedar kembali. Betapa kadang-kadang kita terlupa untuk mengucapkan terima kasih kepada orang-orang yang kita sayang yang berada di sekeliling kita.

Saya juga merasa amat bersyukur di samping mempunyai keluarga, saya juga mempunyai pekerjaan yang baik. Walaupun saya bekerja namun saya masih boleh lagi berbakti kepada keluarga dan masyarakat secara serentak. Ya Allah betapa besarnya nikmat yang Engkau kurniakan kepada hambaMu ini yang kadang-kadang terlalai dan terleka. Ampunkan hambaMu ini, Ya Allah...

Di sini saya paparkan kisah-kisah mereka, moga-moga ianya menjadi teladan buat diri kita. Benarlah kata-kata bahawa jika kita ingin menghargai nikmat yang Allah kurniakan kepada kita, kita lihat orang yang tidak bernasib baik berbanding dengan kita...

Cerita 1

Shannon, seorang peguam berusia 38 tahun. Beliau telah berkahwin namun perkahwinannya hanya bertahan selama 4 bulan. Selepas setahun hidup sendirian, naluri inginkan seorang anak sebagai penyeri hidup telah membuak-buak dalam dirinya. Jadi dia mengambil keputusan untuk mengandung menggunakan IVF . Teknik IVF ini akan menggunakan ovum daripada Shannon dan sperma dari lelaki yang tidak dikenali. Sperma ini beliau akan dapat dari bank sperma. Beliau menghabiskan wang sebanyak $50,000 untuk merealisasikan kehendaknya untuk mempunayi seorang anak. Beliau sedar cabaran yang akan beliau akan hadapi iaitu membesarkan anak secara bersendirian dan anak ini akan membesar tanpa mengetahui siapa sebenarnya ayahnya.

Masya-Allah, betapa rosaknya sudah system kekeluargaan di Negara barat. Mereka membenarkan seorang wanita mengandung dengan mengambil sperma hanya dari bank sperma. Natijahnya kesian terhadap anak yang akan dilahirkan. Satu kerana tiada bapa. Kedua, langsung tidak mengetahui siapa bapanya. Ketiga, membesar tanpa kasih sayang bapa. Keempat ada kemungkinan akan berkahwin dengan adik beradiknya sendiri apabila telah dewasa...bagi si ibu pula membesarkan anak tanpa suami di sisi juga merupakan satu cabaran yang besar...

Cerita 2

Leslie, seorang editor sebuah syarikat akhbar berusia 40 tahun. Berkahwin sewaktu umur 36 tahun tahun. Sewaktu mula-mula kahwin mereka merasakan tidak mahu mempunyai anak namun lama kelamaan fitrah kemanusiaan datang juga mengetuk hati mereka. maka, dalam usia 40 tahun, barulah Leslie mengandung. Beliau berfikir bahawa di usianya mencecah umur 60 tahun pun dia masih perlu bekerja bagi menyara kos pembelajaran anaknya. Pada waktu yang sama kawan-kawannya sudah menikmati hidup persaraan

Semoga cerita-cerita ini mengingatkan diri kita tentang nikmat yang kita ada sekarang...

Wallahua’lam...

Monday, June 27, 2011

Kejayaan Hakiki


Hujung minggu baru-baru ini, kami ke PTS untuk membeli buku-buku tambahan bagi kedai online kami. Dalam membelek-belek buku untuk dibeli, mencari buku-buku yang bagus untuk dibaca oleh kami dan juga sahabat-sahabat pelanggan kami, suami saya terjumpa buku motivasi yang best, tajuk buku “A day Count” ditulis oleh John Maxwell. Balik dari PTS, suami saya terus membaca buku tersebut. Memang selalunya apabila membaca buku, beliau akan kongsikan bersama saya dan juga Aiman manfaat yang boleh diambil daripada pembacaannya.

“Aiman, apa maksud kejayaan bagi Aiman? Macam sesetengah orang, berjaya ertinya ada harta banyak, kereta besar, rumah besar, Aiman rasa berjaya tu apa?”

“Berjaya ertinya dapat masuk syurga” jawab Aiman

“Betul tu, itu kejayaan tahap yang paling tinggi. Jadi, untuk dapat kejayaan tu kena usaha, betul tak?”

“Betul”

Alhamdulillah, jawapan Aiman benar-benar menggembirakan hati saya. Semoga Aiman benar-benar menjawab soalan tersebut tulus dari hatinya.

Apakah kita akan berjaya di sana?

Semalam di blog tazkirah membicarakan soal solat. Dan sebagaimana yang kita tahu, solat adalah perkara pertama yang akan dihisab oleh Allah di hari akhirat nanti.

Nabi bersabda, Sesungguhnya amalan pertama yang akan dihisab bagi seseorang hamba di hari kiamat ialah SOLAT, jikalau solatnya baik maka dia termasuk orang yang bahagia lagi beruntung dan jika solatnya rosak maka dia termasuk orang yang rugi dan tidak beruntung." (HR Imam al-Tirmidzi)

Jika amalan solat kita diterima oleh Allah, Insya-Allah amalan-amalan yang baik yang lain juga akan diterima. Justeru, sebelum hari hisab yang sebenarnya di hari akhirat nanti, kita hisab dahulu diri kita di sini. Agak-agak bagaimana solat kita. Agak-agak dengan solat yang kita lakukan sekarang Allah terima tak solat kita. Khusyuk tak solat kita? Masya-Allah, bagi diri saya sendiri amat takut bila teringatkan solat sendiri. Bagi diri saya yang lemah ini, memang tidak saya nafikan amat sukar mencapai kekhusyukkan 100% ketika solat. Ada-ada saja perkara-perkara yang mencelah di fikiran ini ketika solat. Walaupun diri ini sudah cuba bersembahyang di awal waktu, memahami setiap bacaan solat. Cuba menghayatinya, namun kekadang datang juga rasa leka seketika sewaktu sembahyang, Masya-Allah amat sukar sekali mencapai kekhusyukkan ini. Saya mencuba untuk mencapai kekhusyukkan dengan memahami makna, terbayang bahaya solat yang didirikan adalah solat yang terakhir, membuang segala perkara dunia dalam fikiran di waktu ingin solat dan juga berdoa kepada Allah setiap kali sebelum solat dengan doa ini iaitu:

Ya Allah, Engkau bantulah hambaMu ini untuk sentiasa mengingati diri-Mu, Ya Allah Engkau bantulah hambaMu ini untuk sentiasa bersyukur dengan nikmatMu, Ya Allah Engkau bantulah hambaMu ini untuk beribadah dengan baik, Ya Allah, Engkau bantulah hambaMu ini untuk solat dengan khusyuk

Namun kadang-kadang diri ini tertewas jua. Benarlah ayat al-Quran dalam Surah Al-Baqarah Ayat 45

Jadikanlah sabar dan shalat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyu',

Cerita solat orang yang soleh

Cerita ini saya dapat dekat blog kawan saya http://wfaiziah.blogspot.com/ . Moga cerita ini dapat dijadikan panduan untuk kita untuk mencapai kekhusyukkan dalam solat. Semoga dengan itu, kita semua akan berjaya di akhirat nanti, Insya-Allah

Seorang ahli ibadah bernama Isam Bin Yusuf, sangat warak dan khusyuk solatnya. Namun, dia selalu khuatir kalau-kalau ibadahnya kurang khusyuk dan selalu bertanya kepada orang yang dianggapnya lebih ibadahnya, demi untuk memperbaiki dirinya yang selalu dirasainya kurang khusyuk.

Pada suatu hari, Isam menghadiri majlis seorang abid bernama Hatim Al-Assam dan bertanya, "Wahai Aba Abdurrahman, bagaimanakah caranya tuan solat?". Hatim berkata, "Apabila masuk waktu solat, aku berwuduk zahir dan batin." Isam bertanya, "Bagaimana wuduk zahir dan batin itu?" Hatim berkata, "Wuduk zahir sebagaimana biasa iaitu membasuh semua anggota wudhuk dengan air.

Sementara wuduk batin ialah membasuh anggota dengan tujuh perkara :

1. Bertaubat

2. Menyesali dosa yang telah dilakukan

3. Tidak tergila-gilakan dunia

4. Tidak mencari/mengharap pujian orang (riya')

5. Tinggalkan sifat berbangga

6. Tinggalkan sifat khianat dan menipu

7. Meninggalkan sifat dengki.

" Seterusnya Hatim berkata, "Kemudian aku pergi ke masjid, aku kemaskan semua anggotaku dan menghadap kiblat. Aku berdiri dengan penuh kewaspadaan dan aku rasakan aku sedang berhadapan dengan Allah, Syurga di sebelah kananku, Neraka di sebelah kiriku, Malaikat Maut berada di belakangku, dan aku bayangkan pula aku seolah-olah berdiri di atas titian 'Siratal mustaqim' dan menganggap bahawa solatku kali ini adalah solat terakhir bagiku, kemudian aku berniat dan bertakbir dengan baik." "Setiap bacaan dan doa dalam solat, aku faham maknanya, kemudian aku rukuk dan sujud dengan tawadhuk, aku bertasyahud dengan penuh pengharapan dan aku memberi salam dengan ikhlas. Beginilah aku bersolat selama 30 tahun." Apabila Isam mendengar menangislah dia kerana membayangkan ibadahnya yang kurang baik bila dibandingkan dengan Hatim. "

Semoga cerita ini memberi inspirasi kepada kita untuk melakukan solat dengan yang lebih baik dan khusyuk. Semoga segala usaha kita untuk mendapat ibadah yang terbaik dan berlumba-lumba untuk mencapai yang terbaik akan dinilai oleh Allah. Dan semoga dengan itu kita akan mendapat kebahagiaan yang hakiki dengan bertemu Rasulullah di syurga nanti dan semestinya bertemu dengan Allah Pencipta kita Yang Agung....Masya-Allah...


Cerita sedih...

Hari yang sama kami ke PTS, kami singgah makan di Ikan Bakar di Jalan Bellamy. Banyak orang yang datang makan di situ, habis laku semua ikan, sotong dan kerang bakar yang dijual. Bersesak-sesak manusia hingga terpaksa menunggu meja kosong dahulu. Namun, amat yang sedih bila kami singgah sembahyang zohor berjemaah di surau sebelah tempat makan, surau ini betul-betul sebelah kawasan Istana Negara (saya suka surau ini kerana ianya dibuat dari kayu dan suasana amat nyaman, terbayang rumah di kampung). Jumlah orang lelaki yang berjemaah boleh dibilang dengan jari dan orang perempuan yang berjemaah hanya diri saya seorang sahaja. Sangat sedih...Rakyat Malaysia (terutama bagi kaum lelaki) rata-rata masih belum mengutamakan solat berjemaah.

Wallahua'lam...


Tuesday, June 21, 2011

DISKAUN 30%

Assalamualaikum Sahabat-sahabat semua,

Kali ini kedai buku online saya kasihbuku.com mengadakan promosi diskaun sebanyak 30% untuk semua jenis buku. Banyak buku-buku menarik boleh sahabat-sahabat beli di kedaibuku kami seperti buku-buku agama, buku-buku motivasi, buku kanak-kanak dan buku untuk bayi juga iaitu buku kain(cloth book) yang comel...

Kunjungi kedai kami di www.kasihbuku.com .Kedatangan dan sokongan semua amatlah dihargai...:)

Terima kasih...

Sunday, June 19, 2011

Sambutan hari bapa di Planetarium...


Semalam kami ke Planetarium. Ayahaiman ajak anak jalan-jalan dan makan-makan sempena Hari Bapa. Ayahaiman, Aiman dan Aqilah pertama kali ke Planetarium. Ibuaiman, kali kedua ke sini, pertama kali dulu-dulu masa zaman sekolah-sekolah dulu masa form2 rasenye...kira-kira 19 tahun yang lalu...kenangan ingat-ingat lupa, yang paling ingat yang tengok movie kat sini kalau tak silap mengenai haiwan...betul ke?

Paling best di Planetarium tengok movienya. Semalam kami tengok movie, Passport to the universe. bayaran kami bertiga hanya RM8 (dua dewasa, satu kanak-kanak). Tayangan lebih kurang 30 minit. Masya-Allah, Subhanallah...banyaknya bintang-bintang ciptaan Allah di alam cakarewala. Bintang-bintang ini bukan beribu-ribu, bukan berjuta-juta tetapi berbilion...Subhanallah. Daripada berbilion-bilion bintang yang dijadikan Allah s.w.t, bumi adalah salah satu daripadanya. Bayangkan bila bumi berada di antara berbilion bintang, bumi hanyalah satu planet yang kecil. Jadi, bayangkan betapa kerdil dan kecilnya diri anda sebagai hamba di bumi ini, sekecil yang berada di atas salah satu planet yang kecil, imagine how tiny you are in a tiny planet....Subhanallah....Melihatkan ini benar-benar menginsafkan diri ini...betapa kerdilnya diri ini, betapa hebatnya kuasa Allah s.w.t....lantas sebab itulah diceritakan di dalam al-Quran tatkala Allah memperlihatkan diriNya menghala ke arah sebuah gunung sewaktu Nabi Musa memohon melihat Allah, gunung tersebut hancur luluh dan Nabi Musa pengsan sewaktu kejadian tersebut....Allah, Ya Allah betapa lemahnya hambaMu ini Ya Allah...Tidak layak untuk hamba-hambaMu ini merasa sombong dan takbur walau sekelumit pun di dalam hati mereka kerana sesungguhnya hambaMu ini hanyalah insan yang lemah, Ya Allah...Tidaklah layak hambaMu ini meninggalkan perintahMu dan membuat apa sahaja yang menjadi laranganMu, Ya Allah...tidaklah layak untuk hambaMu ini mempersoalkan segala apa sahaja undang-undangMu Ya Allah....

"Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan silih bergantinya siang dan malam terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal. (Iaitu) orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka banyak berfikir tentang penciptaan langit dan bumi seraya berkata, “Wahai Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa api neraka.”
(Surah al-Imran ayat 190-191)

Bagus untuk membawa anak-anak ke sini. Di samping menginsafkan diri kita yang kadang-kadang lalai dan lupa, boleh juga menjadi tazkirah untuk mendidik anak-anak kita supaya mengagungkan Allah dan memperkuatkan tauhid di dalam hati mereka. Anak-anak yang mempunyai asas tauhid yang kuat di dalam hati mereka akan memunyai asas yang kukuh mengenai Islam dan tidak akan mudah goyah dengan godaan yang mendatang..Insya-Allah...Awal-awal agama mengenal Allah...

Wallahua'lam...

Friday, June 17, 2011

Menjadi isteri yang baik!


Semalam ada seminar kekeluargaan anjuran JAIWP di Auditorium Parcel E. Tetamu undangan ceramah Keluarga Jambatan Syurga ialah Dato’ Dr. Fadzilah Kamsah. Saya ingin berkongsi ilmu yang saya dapat semasa program tersebut. Semoga manfaat yang ada dapat disebar-sebarkan...:)

1. Daripada kajian yang dijalankan oleh Dr. Fadzilah Kamsah sebanyak 98% pasangan yang bermasalah dalam rumahtangga yang membawa kepada perceraian adalah mereka yang tidak menjaga solat.

2. Ramai orang perempuan yang masuk ke neraka kerana bercakap kasar kepada suami masing-masing. Namun, pihak suami juga harus ingat jika isteri mereka tidak terdidik maka peluang mereka untuk ke syurga juga amat sukar. Jadi, bersama-sama kita muhasabah diri, berkomunikasi dengan baik dengan suami dan suami juga jangan takut untuk menegur isteri. Dengan itu, Insya-Allah mudah untuk sama-sama berbahagia di dalam syurga nanti.

3. Niat kita berbakti kepada suami dan keluarga hendaklah diniatkan hanya kerana ALLAH kerana jika kita niat untuk mendapat kasih sayang daripada pasangan, kemungkinan kita akan merasa kecewa jika pasangan membalas sebaliknya. Namun jika kita niat ikhlas semata-mata kerana Allah, Insya-Allah pahala akan kita dapat yang ganjarannya pastilah syurga di akhirat nanti.

4. Sebelum kita masuk ke dalam rumah amalkan baca bismillah 3x, kemudian bagi salam dan masuk dengan langkah kaki kanan, Insya-Allah syaitan yang ditugaskan untuk memecahbelahkan keluarga tidak akan dapat menghasut kita untuk melawan cakap suami dsbnya. Syaitan yang bertugas untuk memecahbelahkan keluarga ini paling disayangi oleh iblis kerana jika keluarga pecah belah banyak masalah social lain akan timbul.

5. Amalkan sebelum tidur untuk meminta maaf daripada suami supaya semua dosa kita tidak puas atau melawan suami akan terhapus setiap hari. Dengan itu, Insya-Allah kita suami isteri akan selamat di akhirat nanti. Ini kerana terdapat insidens di mana orang meninggal sewaktu tidur dan mengikut kajian, jangkahayat lelaki adalah lebih pendek berbanding perempuan.

Semoga mendapat manfaat.

Wallahua’lam.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...