Hujung minggu baru-baru ini, kami ke PTS untuk membeli buku-buku tambahan bagi kedai online kami. Dalam membelek-belek buku untuk dibeli, mencari buku-buku yang bagus untuk dibaca oleh kami dan juga sahabat-sahabat pelanggan kami, suami saya terjumpa buku motivasi yang best, tajuk buku “A day Count” ditulis oleh John Maxwell. Balik dari PTS, suami saya terus membaca buku tersebut. Memang selalunya apabila membaca buku, beliau akan kongsikan bersama saya dan juga Aiman manfaat yang boleh diambil daripada pembacaannya.
“Aiman, apa maksud kejayaan bagi Aiman? Macam sesetengah orang, berjaya ertinya ada harta banyak, kereta besar, rumah besar, Aiman rasa berjaya tu apa?”
“Berjaya ertinya dapat masuk syurga” jawab Aiman
“Betul tu, itu kejayaan tahap yang paling tinggi. Jadi, untuk dapat kejayaan tu kena usaha, betul tak?”
“Betul”
Alhamdulillah, jawapan Aiman benar-benar menggembirakan hati saya. Semoga Aiman benar-benar menjawab soalan tersebut tulus dari hatinya.
Apakah kita akan berjaya di sana?
Semalam di blog tazkirah membicarakan soal solat. Dan sebagaimana yang kita tahu, solat adalah perkara pertama yang akan dihisab oleh Allah di hari akhirat nanti.
Nabi bersabda, Sesungguhnya amalan pertama yang akan dihisab bagi seseorang hamba di hari kiamat ialah SOLAT, jikalau solatnya baik maka dia termasuk orang yang bahagia lagi beruntung dan jika solatnya rosak maka dia termasuk orang yang rugi dan tidak beruntung." (HR Imam al-Tirmidzi)
Jika amalan solat kita diterima oleh Allah, Insya-Allah amalan-amalan yang baik yang lain juga akan diterima. Justeru, sebelum hari hisab yang sebenarnya di hari akhirat nanti, kita hisab dahulu diri kita di sini. Agak-agak bagaimana solat kita. Agak-agak dengan solat yang kita lakukan sekarang Allah terima tak solat kita. Khusyuk tak solat kita? Masya-Allah, bagi diri saya sendiri amat takut bila teringatkan solat sendiri. Bagi diri saya yang lemah ini, memang tidak saya nafikan amat sukar mencapai kekhusyukkan 100% ketika solat. Ada-ada saja perkara-perkara yang mencelah di fikiran ini ketika solat. Walaupun diri ini sudah cuba bersembahyang di awal waktu, memahami setiap bacaan solat. Cuba menghayatinya, namun kekadang datang juga rasa leka seketika sewaktu sembahyang, Masya-Allah amat sukar sekali mencapai kekhusyukkan ini. Saya mencuba untuk mencapai kekhusyukkan dengan memahami makna, terbayang bahaya solat yang didirikan adalah solat yang terakhir, membuang segala perkara dunia dalam fikiran di waktu ingin solat dan juga berdoa kepada Allah setiap kali sebelum solat dengan doa ini iaitu:
Ya Allah, Engkau bantulah hambaMu ini untuk sentiasa mengingati diri-Mu, Ya Allah Engkau bantulah hambaMu ini untuk sentiasa bersyukur dengan nikmatMu, Ya Allah Engkau bantulah hambaMu ini untuk beribadah dengan baik, Ya Allah, Engkau bantulah hambaMu ini untuk solat dengan khusyuk
Namun kadang-kadang diri ini tertewas jua. Benarlah ayat al-Quran dalam Surah Al-Baqarah Ayat 45
Jadikanlah sabar dan shalat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyu',
Cerita solat orang yang soleh
Cerita ini saya dapat dekat blog kawan saya http://wfaiziah.blogspot.com/ . Moga cerita ini dapat dijadikan panduan untuk kita untuk mencapai kekhusyukkan dalam solat. Semoga dengan itu, kita semua akan berjaya di akhirat nanti, Insya-Allah
Seorang ahli ibadah bernama Isam Bin Yusuf, sangat warak dan khusyuk solatnya. Namun, dia selalu khuatir kalau-kalau ibadahnya kurang khusyuk dan selalu bertanya kepada orang yang dianggapnya lebih ibadahnya, demi untuk memperbaiki dirinya yang selalu dirasainya kurang khusyuk.
Pada suatu hari, Isam menghadiri majlis seorang abid bernama Hatim Al-Assam dan bertanya, "Wahai Aba Abdurrahman, bagaimanakah caranya tuan solat?". Hatim berkata, "Apabila masuk waktu solat, aku berwuduk zahir dan batin." Isam bertanya, "Bagaimana wuduk zahir dan batin itu?" Hatim berkata, "Wuduk zahir sebagaimana biasa iaitu membasuh semua anggota wudhuk dengan air.
Sementara wuduk batin ialah membasuh anggota dengan tujuh perkara :
1. Bertaubat
2. Menyesali dosa yang telah dilakukan
3. Tidak tergila-gilakan dunia
4. Tidak mencari/mengharap pujian orang (riya')
5. Tinggalkan sifat berbangga
6. Tinggalkan sifat khianat dan menipu
7. Meninggalkan sifat dengki.
" Seterusnya Hatim berkata, "Kemudian aku pergi ke masjid, aku kemaskan semua anggotaku dan menghadap kiblat. Aku berdiri dengan penuh kewaspadaan dan aku rasakan aku sedang berhadapan dengan Allah, Syurga di sebelah kananku, Neraka di sebelah kiriku, Malaikat Maut berada di belakangku, dan aku bayangkan pula aku seolah-olah berdiri di atas titian 'Siratal mustaqim' dan menganggap bahawa solatku kali ini adalah solat terakhir bagiku, kemudian aku berniat dan bertakbir dengan baik." "Setiap bacaan dan doa dalam solat, aku faham maknanya, kemudian aku rukuk dan sujud dengan tawadhuk, aku bertasyahud dengan penuh pengharapan dan aku memberi salam dengan ikhlas. Beginilah aku bersolat selama 30 tahun." Apabila Isam mendengar menangislah dia kerana membayangkan ibadahnya yang kurang baik bila dibandingkan dengan Hatim. "
Semoga cerita ini memberi inspirasi kepada kita untuk melakukan solat dengan yang lebih baik dan khusyuk. Semoga segala usaha kita untuk mendapat ibadah yang terbaik dan berlumba-lumba untuk mencapai yang terbaik akan dinilai oleh Allah. Dan semoga dengan itu kita akan mendapat kebahagiaan yang hakiki dengan bertemu Rasulullah di syurga nanti dan semestinya bertemu dengan Allah Pencipta kita Yang Agung....Masya-Allah...
Cerita sedih...
Hari yang sama kami ke PTS, kami singgah makan di Ikan Bakar di Jalan Bellamy. Banyak orang yang datang makan di situ, habis laku semua ikan, sotong dan kerang bakar yang dijual. Bersesak-sesak manusia hingga terpaksa menunggu meja kosong dahulu. Namun, amat yang sedih bila kami singgah sembahyang zohor berjemaah di surau sebelah tempat makan, surau ini betul-betul sebelah kawasan Istana Negara (saya suka surau ini kerana ianya dibuat dari kayu dan suasana amat nyaman, terbayang rumah di kampung). Jumlah orang lelaki yang berjemaah boleh dibilang dengan jari dan orang perempuan yang berjemaah hanya diri saya seorang sahaja. Sangat sedih...Rakyat Malaysia (terutama bagi kaum lelaki) rata-rata masih belum mengutamakan solat berjemaah.
Wallahua'lam...
No comments:
Post a Comment