Pada mulanya saya terdengar sipi-sipi sahaja mengenai berita Kelab Isteri Taat, tak baca berita penuh. Tapi bila dapat tahu berita penuh mengenainya, saya rasa perlu membuat sedikit ulasan mengenai perkara ini. Kenyataan dari kumpulan ini ternyata telah memberi imej negative kepada umat Islam. Kenyataannya supaya para isteri melayan suami seperti pelacur kelas pertama jika ingin memastikan kebahagiaan rumahtangga dan supaya para isteri bersabar sahaja jika didera suami amatlah tidak munasabah dan terpesong. Kenyataan tersebut keluar dari orang yang kurang ilmu tentang ilmu Islam yang sebenar.
Perkahwinan dalam Islam adalah sesuatu yang mulia. Jika lelaki Islam berkahwin hanya ingin memuaskan nafsu dan ingin memperhambakan wanita, lelaki tersebut adalah tidak layak untuk berkahwin sebenarnya. Perkahwinan dalam Islam adalah satu institusi yang dibina atas dasar sifat kasih sayang di antara suami dan isteri dan juga anak-anak. Suami adalah ketua keluarga yang wajib mendidik isteri dan anak-anak untuk mentaati Allah dan Rasul. Jika isteri hebat di ranjang tetapi perangai tidak berakhlak juga tidak menjamin kebahagiaan sesebuah keluarga. Poligami juga bukanlah jalan untuk memuaskan nafsu lelaki yang disalahertikan. Jika mereka yang memahami dan belajar mengenai sejarah Rasulullah s.a.w, Rasulullah bukan berpoligami untuk tujuan itu (Ya, Allah dijauhkan dari prasangka buruk terhadap junjungan mulia Rasulullah). Rasulullah berpoligami adalah untuk membela nasib janda-janda yang kehilangan suami akibat perang, untuk mengeratkan tali silaturrahim dengan ketua puak contohnya Rasulullah berkahwin dengan aanak Abu Sufian dan juga ketua puak seorang Yahudi di Madinah. Hanya seorang sahaja isteri Rasulullah yang bukan janda iaitu Siti Aisyah r.a. Rasulullah juga digambarkan orang yang paling baik dengan isterinya. Berlembah-lembut, tidak pernah memarahi isteri-isteri baginda dengan suara yang keras apatah lagi memukul isteri. Sejarah juga membuktikan bahawa waktu malam baginda dipenuhi dengan ibadah malam, bertahajjud dan berqiamulail sehingga bengkak kaki baginda dan bukan sejarah yang sebaliknya. Bagi mereka yang tidak pernah membaca khutbah terakhir Rasulullah, perkara kedua yang diingatkan di dalam khutbah terakhir baginda adalah baginda berpesan suami kaum lelaki melayan isteri mereka dengan kasih sayang. Saya menangis bila mengenangkan perkara ini. Betapa kasihnya Rasulullah s.a.w kepada kita kaum wanita sehingga perkara ini ditekankan oleh baginda sebagai sebelum baginda menyentuh mengenai rukun Islam, Masya-Allah....rindunya saya kepada insan yang mulia ini....Antara sabda Rasulullah juga adalah mereka yang paling baik antara kamu adalah mereka yang paling baik kepada ahli keluarganya.
Suami isteri adalah insan yang saling lengkap melengkapi antara satu sama lain. Jika salah seorang terlalai dari jalan yang lurus, salah seorang harus menegur dengan cara mendidik bukan cara mengasari. Suami juga harus memandang isteri sebagai pembantu dan ibu kepada anak-anaknya. Ibu yang bakal mendidik anak-anaknya. Kebajikan isteri tidak harus dipandang ringan. Isteri juga harus dijaga haknya. Tidak patut seorang suami memandang isteri sebagai alat untuk memuaskan nafsu semata....Nauzubillah...Jika seorang suami memberikan alas an dia mencari perempuan lain kerana untuk puaskan nafsunya, bagi saya lelaki tersebut sebenarnya tidak patut dihormati sebagai ketua keluarga...Sebagai seorang Islam yang cintakan Allah dan Rasul, sepatutnya seorang suami malu untuk berkata sedemikian.
Antara wasiat Imam As-Syafie pula, antara 3 perkara yang menumpulkan akal seorang manusia adalah kuat seks, kuat makan dan kuat tidur...Fikir-fikirkanlah, jika akal seoarng lelaki sudah tumpul bagaimana dia dapat mendidik isteri dana nak-anaknya dengan baik.
Wallahua’lam.
No comments:
Post a Comment